Oct 15, 2016 - 422731

"Kalau Kita Tiada Iri Hati, Kita Takkan Persoal Rezeki Orang, Kita Gembira Tidur Atas Cadar Kain Belacu” — RIZALMAN IBRAHIM

Umpama jauhari ‘haute joaillerie’. RIZALMAN IBRAHIM mengajar kita mengenal dan membeda; yang mana kaca, yang mana permata.

 

Oleh:

 

 

 

 


 

 

JIKA Rizalman Ibrahim hidup sebagai Generasi Y di mana majoriti angkatan pereka fesyen muda popular hari ini dilahirkan, apa mungkin Rizalman menggunakan pendekatan berbeza untuk berkarya? 

Pertama-tamanya, saya sangat bersyukur, saya tidak dilahirkan sebagai Generasi Y. Walau dulu kita tiada internet, walau zaman dulu kita hanya mampu ke kutub khanah, walau dulu kita harus tunggu selama enam bulan untuk lihat hasil rekaan kita tersiar dalam lembar fesyen — saya gembira — kerana ia sebenarnya adalah proses-proses kedewasaan yang amat berharga.



Zaman dulu, kalau kita shooting hari ini, enam bulan lagi baru kerja kita tersiar dalam majalah. Walau berbulan-bulan kita terpaksa tunggu wartawan itu untuk laporkan hasil kerja kita, saya tetap bersyukur. Tetapi sekarang, penggambaran fesyen atau kempen itu boleh kita saksikan secara live. Itu adalah pronya.


Tetapi konsnya adalah, jika anda meniru, jika anda plagiat hasil kerja lain, orang pasti tahu. Kerana anda sendiri memberikan akses tak terbatas kepada kerja-kerja anda itu. Bermaksud, ruang lingkup pengkaryaan anda telah disempitkan secara tak sengaja. Semua orang akan tahu serta-merta, dari mana datangnya sumber rekaan itu. Nilai-nilai originality telah tiada.

 

 

Sumber:
 

 

Sumber:
 

 

Sumber:
 
  

Sumber:

 

Sumber:

 



Jangan lupa juga kepada jenama-jenama luar negara yang sedang membanjiri pasaran fesyen kita. Lebih-lebih lagi jika anda cuba lancarkan koleksi Ready-to-Wear. Apakah rekaan anda cukup berdaya saing untuk menyaingi kepantasan trend yang masuk begitu laju melalui pintu perdagangan kita yang terbuka luas ini? Ya, anda namakan apa saja — dari Chanel ke Louis Vuitton, dari Balmain ke Gucci misalannya, setiap minggu stok mereka silih berganti.



Adakah saya telah jawab soalan anda tadi? Saya harap ya, kerana inilah fenomena yang mesti didepani pereka-pereka Generasi Y. Walau mereka ada akses internet, mereka ada Minggu Fesyen, tapi mereka juga terpaksa berkongsi porsi sepotong kek yang tertinggal itu — alahai — teramatlah kecil — dengan ramai yang lain.

 


Berbeza dengan pereka angkatan lama. Kami dirahmati dengan kelompok klien yang setia dan tulen. Yang benar-benar membeli dan berbelanja. Yang benar-benar setia dan mengikut kita selama berpuluh-puluh tahun. Kerana kejatian rekaan, kerana elemen originality yang kita bawakan dari dulu hingga sekarang.



Resepi saya sejak dulu cukup mudah, Rosie. Saya bermain dengan manipulasi siluet baju tradisi kita. Ia telah tersedia cantik. Itulah baju kurung dan kebaya kita. Kerana sifatnya yang tersedia mendekati kesempurnaan, buat saya berfikir, bahawa baju tradisi kita ini harus diangkat lebih tinggi supaya ia setaraf, setanding jenama-jenama luxe yang dijuruterakan oleh angkatan pereka fesyen Barat. Saya mahu wanita kita yang pergi ke majlis-majlis berprestij sambil menjinjit Prada, Chanel, Dior, Hermes atau Birkins — diberikan baju kurung atau kebaya — yang setanding juga nilai prestijnya.

 

Sumber:

 

 

Dari situ saya kukuhkan asas saya, pioneering in kebaya making, pioneering in baju kurung making. Kerana itu apabila pereka muda kita keluar dengan rekaan-rekaan yang telah saya buat 15 tahun dulu misalannya, saya tak salahkan mereka. Dalam mana-mana proses keperekaan pun, kita perlu ada rujukan. Tetapi ia haruslah rujukan yang disusuli kebijakan improvisasi dan inovasi. Tapi yang selalu berlaku adalah sebaliknya. Jika anda memplagiat dalam terang, darling, the credit goes to me.


 

Sumber:
 

 


Rizalman Ibrahim sangat vokal apabila menyuarakan pendapat. Dan komen yang terkeluar daripada Rizalman yang bersangkut-paut dengan hasil keperekaan pereka fesyen generasi muda — tidak pernah yang tidak berbisa. Mengapa?

 

Saya dilahirkan dalasilence culture, tetapi saya tidak mahu menjadi manusia yang mute. Fikirkanlah kembali, kalau saya masih mengguna pakai kaedah didikan silence yang ibu bapa saya gunakan suatu masa dulu, kalau saya tak menegur, kalau saya tak memberi nasihat, kalau saya tak memantau angkatan pereka-pereka muda ini — maaf — mereka pasti akan hanyut dari industri ini dengan cepat.

 

Pereka muda mudah percaya dengan apa yang mereka lihat di internet. Tapi tidak mereka sedari, bahawa ada beberapa perkara yang mereka tak wajar buat. Mereka tak sepatutnya membazirkan wang untuk beberapa perkara (dan pelaburan) yang sia-sia, misalannyalah.



Anda mungkin lihat Chanel, Dior, Saint Laurent dan Valentino dengan gerakan dan gagasan-gagasan idea yang meletus-letus seperti ledakan bom. Dan anda menirunya dengan laju. 



Tetapi anda terlupa, mereka ini adalah global luxury powerhouses. Mereka punya rantaian bisnes yang diteraju pemikir-pemikir ekonomi. Mereka adalah pemain industri fesyen paling gergasi peringkat dunia. Pendapatan fesyen mereka berbilion-bilion-bilion! 

 


 

Ayuh, bandingkan dengan diri anda. Jenama anda tidak buat sales RM100,000.00 sebulan pun? Tapi cita-cita dan syahwat anda besar. Anda mahu buat itu, anda mahu buat ini, anda mahu sebatalion model, anda mahu buat reviu fesyen berkali-kali dalam setahun, anda mahu rebut setiap laluan permaidani merah.



Dan sekali lagi, anda terrrrrrrlupa... siapa dan bagaimana organisasi luar negara menaungi gerakan batalion fesyen paling terancang ini? Sedangkan anda sendiri masih menyewa untuk memacakkan butik anda. Itu pun saya percaya, kadang-kadang anda terkucil bayar duit sewa butik anda, jadi bagaimana?



Mengapa anda tergesa sekali mahu cipta imej yang maha indah ini? Apa yang anda cuba tunjukkan? Fashion show yang anda masyhurkan itu sendiri, tidak kolektif, tidak menjenamakan identiti keperekaan anda. Aksesori, kasut, tas tangan itu sendiri; terpisah-pisah daripada konsep design anda. Dan anda sekali lagi terrrrrrlupa, anda harus menjualnya juga.


 

Sumber:
 
 
Sumber:

 


Anda mahu menjadi seperti Chanel dan Giorgio Armani. Mereka buka tirai untuk Haute Couture Show, anda pun mahu buka tirai juga. Mereka hamparkan permaidani merah untuk Spring/Summer dan Cruise Fashion Preview, anda pun mahu bentang karpet juga. Tapi anda mesti faham, mereka bukan saja menjual adibusana dan prêt-à-porter pieces. Mereka menjual skarf, kaca mata, baguette bag, clutch, kasut, jam tangan, jewelled cuffs, tali pinggang, haruman, kosmetik, bermacam lagi.


Anda perlu duduk kembali. Berdialoglah dengan diri sendiri. Fahamkan semula. Apakah foundation anda? Sudahkah anda membinanya?



Jika anda masih ghairah dan serakah berbelanja, jika anda cuba benchmark diri anda dengan Chanel dan Giorgio Armani tanpa ilmu dan strategi, minta maaf, saya beri anda dua tahun dari sekarang sebelum anda bungkus keluar dari industri ini.

 

Kalau sudah buat 10 baju untuk 10 artis pakai, dari mana anda peroleh material yang eksklusif itu? Apa jadi dengan kerincian beadings? Apa jadi dengan seni dan estetika? Mana letaknya prinsip-prinsip asas rekaan anda? Apa jadi dengan keperluan shape and volume; purity and fluidity? Apa jadi dengan integriti dalam craftmanship? Takkanlah juga selamanya orang kita asyik nak pakai dress kepuk-kepuk, ropol-ropol, skirt bertingkat net?



Oh. Artisan anda, siapa yang membayarnya?



Budaya rekaan ekspres ini sangat-sangat bahaya. Anda tidak layak panggil diri anda couturier jika ini amalan anda. Pada kemudian hari, anda akan tersekat di situ saja. Anda jadi stagnant. Anda jadi batu yang berat dan buruk dan lapuk dan akhirnya ditendang keluar. Inikah visi anda?


Kerana itu saya sebagai orang tua dalam industri ini, saya hadir untuk menegur. Mengingatkan.

 


 

Namakan tunas muda yang punya masa depan cemerlang dalam legasi keperekaan Malaysia?

Tiada lagi, ini pendapat saya. Kerana tiada satu yang memiliki identiti yang asli. Identiti yang ada adalah apa yang pernah mereka miliki satu masa dahulu. Mereka ulang pakai identiti ini, dan ia tidak pernah dibuang-buang. Amalan menyalin dan meniru sikap Rizalman Ibrahim untuk menjadi seorang pereka yang berjaya, yang sentiasa mencabar kebolehan diri untuk sentiasa berinovasi dalam rekaan — maaf — tak ada.



Tapi, sebagaimana seorang ibu atau bapa selalu mendoakan kesejahteraan anaknya, begitu juga saya. Saya selalu berdoa, semoga suatu hari nanti, akan muncul seseorang yang berupaya mengambil-alih tempat saya.


 

Sumber:

 

Sumber:
 
   Sumber:
 
 
 

Siapa yang harus mencari pintu ‘exit’ dan keluar dari industri ini pada hemat Rizalman?

Whoah! Ramai... out you go! (ketawa). Ramai sekali. Saya fikir mereka ini perlu beratur untuk keluar. Mereka ini datang daripada kelompok pereka fesyen, kelompok artis, kelompok fesyenista, yang mahu mencari ruang mereka sendiri. Mereka datang dari padang berbeza-beza.



Arena fesyen kita sudah menjadi sebuah pentas akademi untuk berkhayal dan berfantasi. Sesiapa saja boleh datang untuk mencuba nasib dalam gelanggang akademi khayalan ini. Jurinya adalah saya dan anda semua. Hanya yang terbaik akan bertahan. Tetapi yang terbaik juga akan hanyut jika mudah sendawa dengan sanjungan dan puji-pujian.

 


Saya suka mahu berpesan, anda harus selalu berpijak di bumi nyata. Tidak kira berapa tinggi anda diangkat dan dimartabat, kaki anda harus selalu menjadi akar. Akar yang kembali kepada tanahnya, tahu potensi dan batas, tahu ilmu dan kemahiran, tahu asal-usul, tahu juga mengenang jasa. Puji-pujian itu umpama bisikan syaitan. Apabila dipuji melangit, anda rasa anda sudah terlalu bagus, lalu anda berhenti mencabar diri untuk hasilkan koleksi lebih baik pada masa akan datang.


Ini paling bahaya. Anda bunuh karier anda sendiri. Bukan orang lain.

 

VIDEO Temu Bual Eksklusif Bersama Rizalman Ibrahim


 

Kalau selamanya Rizalman Ibrahim sahaja yang betul dan layak membetulkan pereka fesyen generasi muda, siapa pula yang layak membetul dan menegur Rizalman Ibrahim?

Sesiapa saja boleh, Rosie. Saya persilakan anda muncul di depan saya, dan tolong betulkan saya. Kalau anda berani berhujah, berdebat dengan saya, by all means please come talk to me. Tapi kalau anda tak sanggup dan tiada hujah konkrit lagi bernas, jaga-jagalah.



Saya punya banyak ilham. Bukan dalam aspek keperekaan semata-mata. Saya punya hujan ilham dalam kata-kata. Saya diberikan puput-puput ilham dengan kepelbagaian sifat. Ada yang mengasyikkan seperti kapas. Ada yang menikam seperti belati paling tajam.



Kalau anda berani, sila tegur. Kalau bendanya elok, logik, munasabah, ya saya terima. Tapi kalau anda beri saya sampah, saya pekakkan telinga.


 

Sumber:
 
 
Sumber:
 
  
 

Sumber:


 

Sukarkah menggaulkan kehendak syariat dalam aspek mereka cipta busana untuk para muslimah Malaysia yang berhijab? Pengalaman Rizalman sendiri?

Ini fenomena yang sedang rancak terjadi di Malaysia. Kita sedang berhadapan dengan beberapa ‘kelompok’ dan ‘komplot’ sekarang. Kelompok berhijab dan kelompok tak berhijab. Hmph... I really don’t know (diam seketika). Isu ini akan jadi satu situasi yang yang panjang dan deep. Kelompok yang tidak bertudung seperti tiada kesepakatan dengan golongan berhijab dalam beberapa perkara dan isu, kerana mereka seperti melindungi diri sendiri. Pegangan kelompok ini, “Pergilah jaga mulut sendiri”, “Kalau nak menegur, tegurlah baik-baik, jangan aibkan orang”, “Kepala kau saja berhijab tapi mulut tidak berhijab...”



Ini sebahagian adegan-adegan tipikal pertarungan antara komplot hijab dan tidak berhijab. Jangan lupa, yang hijabi juga punya jawapan mereka sendiri, “Kami cuma beri nasihat...”, “Kalau kami tak nasihatkan, siapa lagi akan buat?”, “Ini fardhu kifayah...”



Pada hemat saya, kedua-duanya betul. Dan dalam masa sama, kedua-duanya juga salah. Pertelagahan ini terjadi kerana kedua-duanya tidak faham agama, dan tidak faham Tuhan. Hadis ada menyebut tentang tujuh dosa besar yang mendatangkan kecelakaan. Yang pertama, adalah menyekutukan Allah SWT (syirik), melakukan sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT kecuali dengan cara yang hak, makan harta riba, makan harta anak yatim, keluar dari medan perang jihad dan menuduh wanita yang baik-baik melakukan zina.



Jadi soalan saya di sini, adakah tidak menutup kepala termasuk dalam dosa besar yang tidak boleh diampunkan? Ini untuk anda fikir-fikirkan. Walau bagaimanapun, kalau Dia suruh tutup, tutuplah. Mengapa anda tak mahu tutup?



Tapi kalau enggan nak menutup, pesan saya, bersederhanalah. Jangan berlebih-lebihan.

 

 

Sumber:


 
Sumber:
 

 

Kita tak suka orang menegur kita. Tapi pada kebanyakan waktu, kitalah pendorong utama yang mengajak orang menegur kita. Contoh mudah, artis pergi umrah. Bila mengerjakan umrah, anda pakai dress code umrah. Tapi selesai umrah, balik ke Kuala Lumpur, anda kembali pada tabii lama. Jadi, bagaimanalah kelompok yang berhijab ini tidak mengata kelompok yang tidak berhijab? Salah siapa juga?



Walau bagaimana parah sekalipun polemik ini, di luar sana, masih ada dan ramai golongan berhijab yang benar-benar faham konteks agama. Saya tidak nafikan ini, saya setuju. Okey, mari kita letak tepi isu ini sekejap. Berbalik kita pada tujuh dosa besar tadi. Mengapa Tuhan wajibkan kita bersolat lima waktu sehari? Kerana ia menghapuskan dosa-dosa kita, yang kita buat saban hari, yang dibuat secara sedar, separa sedar, tak sedar, atau barangkali juga kerana kita pura-pura tak sedar. Kerana pada kemudian hari nanti, hidup kita ini kembali pada neraca. Pertimbangan. Pertarungan antara buku baik dan buku jahat.



Sekiranya seorang wanita itu tidak menutup kepalanya, tetapi ada banyak lagi perkara-perkara baik yang dia lakukan, misalannya bersolat lima waktu, menjaga bapa mentua yang sakit terlantar, membasuh punggung ibu yang tua tak berdaya, melahirkan anak — berbanding dengan seorang wanita berhijab tetapi tidak melakukan perkara-perkara yang saya sebutkan tadi — pada fikiran anda — pahala siapakah yang lebih banyak?



Inilah kefahaman yang tiada pada masyarakat kita. Mereka tak faham. Kita mengata orang, kita mencemuh orang. Kemudian kita mengajak dan menyuruh pula orang lain untuk sama-sama mencemuh dan menghina.



Inilah situasi sebenar yang berlaku dalam masyarakat Islam madani kita.

 

 

Sumber:
 
  


Sekarang, saya mahu sentuh konteks fesyen dan keperekaan. Kalau anda tanyakan kepada saya, apa saranan saya untuk menggaulkan agama dan fesyen? Saya lebih suka jika masyarakat kita meniru gaya Arab, iaitu berfesyen di dalam, dan menutupnya di luar dengan pemakaian sehelai abaya. Ataupun, kalau susah sangat, hah — pakailah baju kurung saja! (ketawa).



Yang selalu berlaku pada pereka fesyen kita adalah, kita mengerah dan memeras idea tercantik untuk golongan wanita berhijab. Persoalannya di sini, apakah yang paling baik untuk wanita berhijab? Yang selalu terdetik di hati saya: Apa gunanya kita berhijab, kalau kita bermekap tebal? Anda berhijab, tetapi anda memakai baju-baju yang warnanya galak dan terang, yang ketat dan sendat, mengapa? Bukankah itu yang akan menggamit umpatan orang? Menambahkan lagi dosa kerana anda mempamerkan kecantikan dengan riak, malah membakar nafsu berahi para lelaki?

 

Apa konklusinya di sini? Konsep fesyen hijab itu sudah jadi caca-marba.



Nak salahkan siapa? Pengguna atau pereka? Saya pun tak dapat menjawabnya. Anda semua fikirkanlah.



 

Sebagai pengguna dan penerima servis rekaan, anda sendiri perlu faham, apa fungsi hijab? Pertanyaan paling asas untuk anda juga: Mengapa anda pilih untuk berhijab? Muslimah zaman dahulu pun, kalau berbicara dengan lelaki bukan muhrim, mereka bercakap di sebalik dinding kain. Bandingkan dengan kehidupan kita hari ini, apa pendapat anda?

 

Apakah kita juga menunggu masa menjadi sebuah tamadun yang dilingkupkan, sewaktu kita ghairah dan serakah mengejar kemajuan?

 

Dalam hal ini, saya suka membawa anda kembali kepada akar kita — agama kita. Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi pernah menyimpulkan, kalau kita merujuk kembali pada neraca Al-Quran dan As-Sunnah, kita akan sedar, betapa ada banyak sekali faktor yang menyumbang kepada kejatuhan sesebuah tamadun. Kalau kita taasub pada harta dunia sambil melupakan kemurkaan Allah SWT, maka akan datanglah malapetaka. Itulah yang berlaku pada Fir’aun dan Qarun.

 

Kalau kita menuruti perintah penguasa yang ganas lagi zalim, yang hidup berfoya-foya, yang lakukan kerosakan di muka bumi, maka tamadun kita juga akan dihancurkan. Contoh paling jelas, kemusnahan kaum ‘Ad dan Thamud.

 

Kalau kita menjadi bangsa yang ujub, yang bongkak, menindas yang miskin dan lemah, generasi kita akan ditelingkupkan, dan itulah yang telah berlaku pada bangsa Madyan dan kaum Nabi Syu’aib A.S.
 

Dan yang ingin saya kaitkan kembali pada hujah saya yang di atas — adalah kuasa sehelai baju dari tangan seorang pereka — yang berlekuk-lekuk, yang menggiurkan, yang memetik suis nafsu, yang merangsang ghairah, yang memperomosikan gaya hidup lelaki berhubungan sejenis, contohnya. Ini juga salah satu jalan yang merangsang syahwat. Kaum Nabi Lut A.S adalah contoh satu bangsa yang telah Allah SWT lumatkan dengan gempa bumi. Negeri mereka tunggang terbalik, dikecaikan dengan hujan-hujan batu yang dibakar.

 

Al-Quran sudah menyebutnya. Kajian-kajian arkeologi dan geologi yang ditaja masyarakat Barat juga mengakui, bahawa satu kemusnahan yang amat dahsyat pernah terjadi dalam riwayat ketamadunan itu.

 

Soalan saya, apa pula nasib negara bangsa kita?

 

Kita juga akan menuju kehancuran, jika kita tidak kembali pada Al-Quran dan As-Sunnah. Mengapa tidak kita pegang kembali (dengan kemas) Rukun Islam yang lima? Mengapa kita masih tidak belajar daripadanya?

 

Inilah fenomena Melayu Islam kita hari ini. Saya tidak mereka-reka situasi ini. Anda nilaikanlah sendiri.

 

 

Sumber:


 

Okey kita tinggalkan sekejap isu berat ini, mari kita bercakap tentang fesyen dan seni nyanyian. Zaiton Sameon dikenang kerana dress “Menaruh Harapan”, Ramlah Ram dikenang kerana dress “Kau Kunci Cinta Dalam Hatimu”. Dan nampaknya Dayang Nurfaizah akan dikenang kerana couture dress lagu “Di Pintu Syurga” untuk AJL29. Komen?

Jujurnya, tidak ada yang terlalu luar biasa tentang rekaan gaun putih untuk Dayang itu. Ia melalui proses rekaan biasa, seperti yang selalu saya buat untuk helaian-helaian terdahulu. Cuma, saya mahu dress itu meninggalkan impak, kerana ia dipentaskan untuk membantu Dayang bercerita dan berartikulasi dengan lagunya.

 

Rekaan couture dress untuk AJL29 itu adalah satu contoh, bagaimana satu-satu ilham itu boleh mengalir apabila tiadanya sekatan-sekatan idea. Dayang, saya sifatkan sebagai kanvas yang hampir sempurna untuk saya melukis, berkarya, berekspresi dan berseni.
 


Apabila menerima tugasan sebegini, saya akan sentiasa cabar diri. Saya harus tandingi diri sendiri. Saya tidak bertanding dengan orang lain. Bukan siapa-siapa.



 

Kata Rizalman tentang Datuk Bernard Chandran, Melinda Looi, Radzuan Radziwill, Albert King dan Bill Keith? 

Bernard Chandran sangat bagus, kami sezaman. Dia juga bermula dengan rekaan baju kurung dan kebaya seperti saya, kemudian dia menembusi pasaran London. Saya ucapkan selamat berjaya buat Bernard, moga dia terus menempa nama dan kemasyhuran dengan rekaan-rekaannya.



Melinda Looi juga sangat bagus, dia hadir terkemudian selepas saya, sangat ekspresif dan eksplisit dalam berkarya. Saya dapat lihat percubaan-percubaan Melinda untuk terus menguasai ilmu baju kurung.


Radzuan pula membawa masuk strategi bisnes dengan pintar ke dalam aliran karyanya. Dia seorang pereka dan tukang jahit yang amat memahami anatomi tubuh manusia dengan baik. Kerana itulah karya-karya rekaannya terserlah dengan cantik dan baik.


Albert King, orangnya baik, saya memandang tinggi kepadanya, dia antara guru saya selepas saya bergraduasi. Suatu waktu dulu, saya selalu peruntukkan masa di butiknya, melihat-lihat dan meneliti kerincian kerja-kerja Albert.



Bill Keith pula, kecerdikannya adalah sebagai seorang stylist, dia sangat kreatif. Dengan sepasang tangannya itu, sehelai kain murah gred C dari gedung kain kelas ketiga boleh digubah menjadi begitu cantik sekali sehingga teradunnya gaya Malaysiana. 

 

 

Sumber:

 

 

Rizalman mengurus lima syarikat; fesyen, perkahwinan & acara, interior residen, interior komersil dan retail store. Bagaimana Rizalman mengurus selia lima syarikat berskala mega, serentak?

Saya masuk kerja macam staff biasa. Balik kerja tak macam staff biasa, sebab saya selalu pulang lewat. Anda tanya bagaimana saya melakukannya? Well, saya mengawal CCTV, saya mengawal akaun untuk lima kompeni, saya perlu terus berhasil mengeluarkan koleksi ciptaan-ciptaan baru, saya memeriksa workmanship, saya perlu memastikan tandas dicuci atau tidak, apakah tisu di dalam tandas ada atau tidak, saya ke pasar raya membeli keperluan memasak, saya perlu menjaga anak saya di rumah, saya menguruskan permit pembantu rumah. Yaaaaaaa... banyak! (ketawa). 



Sekali lagi... I have to say alhamdulillah! Saya jarang sekali jatuh sakit, Allah SWT berikan kesihatan yang cukup baik, sampai staff pun hairan, “Bos kita ni tak sakit-sakitkah?”


 

Sumber:

 

 

Bagaimana saya melakukannya? Semua ini bermula dengan perancangan. Saya merancang paling kurang setahun lebih awal. Jika ada perkara urgent yang diletakkan di atas meja saya, saya akan terus mengerjakannya. Tidak sekali-kali saya biarkan ia bertimbun, apatah lagi menyimpan atau menangguhnya ke hari-hari lain. Setiap kertas atau dokumen yang mendarat ke meja kerja, saya acknowledge secepatnya. Ya, kalendar hidup saya penuh dengan perancangan. Jika kita gagal dalam merancang, kita pasti gagal capai matlamat.

 


Saya tahu pergolakan drama yang terjadi dalam industri kita, yang terjadi kerana gagalnya pereka merancang dengan baik. Misal kata, kalau tempahan pukal yang diterima daripada sebuah portal fesyen online adalah untuk menghasilkan 200 helai baju yang mesti disiapkan pada sekian-sekian tarikh, kerana ia perlu dijual pada sekian-kian jendela waktu, contohnyalah. Maka buatlah, kerana anda telah berjanji.



Ini tidak, dia order 200 baju, yang sampai cuma 50. Ini belum lagi saya sentuh soal kualiti. Lain yang dijanjikan, lain yang sampai.



Banyak pereka kita tidak memberikan prioriti kepada perkara-perkara sepatutnya. Mereka suka hidup dalam angan-angan. Mereka suka hidup di atas awan. Mereka sanggup berbelanja habis-habisan, mahu buat show skala mega, mereka mahu disanjung dengan tepukan bergemuruh, mereka mahu bergerak seperti kilat di media sosial, mereka mahu dipuji-puji dengan ayat manis.

 


Soalan saya di sini adalah, apakah ini saja yang anda cari? Apakah anda kenyang dengan puji-pujian? Apakah anda dan bisnes jenama anda akan maju dengan kelecup-kelecap bermuah-muah-muah dan berlaga pipi dengan selebriti?

Apa itu sajakah matlamat pembangunan karier keperekaan anda?

 

 

Sumber:
   Sumber:

 

 

Kadang-kadang, saya fikir... mungkin... ini juga salah saya, kerana saya menjual mimpi kepada mereka. Saya umpama pari-pari putih turun dari langit, kerana saya telah tunjukkan kepada mereka, “Taraaaaaa....!” (ketawa)


Saya buat mereka percaya bahawa hidup sebagai seorang fashion designer memang indah dan anda akan dapat itu... dan ini... dan ini dan ini! (ketawa panjang)



Apa yang Rizalman Ibrahim buat, mereka akan kata, kita juga boleh buat, jadi mari kita buat juga. Begitukah? Tapi mereka tidak tahu, bagaimana etika saya kala bekerja? Bagaimana saya bekerja keras mengurus tadbir semua perkara di pejabat sambil menyarung seluar katuk, berselipar Jepun tak ubah macam balaci Bangla (ketawa).



Profit anda tidak seberapa. Entahkan ada entahkan tiada, dan anda berbelanja dengan sangat besar untuk menunjukkan mimpi-mimpi anda. Jika inilah formula yang anda guna pakai, anda tidak akan lama dalam industri ini.



Ingatlah, sebagai pereka, kita harus mengenang dan menghargai seluruh team kita, yang menjadi tulang belakang terpenting dalam jatuh-bangun karier kita. Artisan-artisan yang menolong anda merealisasikan kerja-kerja jahitan anda misalannya. Anda harus menjaga kebajikan mereka sebaiknya. Merekalah lapis-lapis piramid yang telah menyokong kejayaan role anda, supaya anda boleh bersemayam di puncak piramid. Alhamdulillah! Daripada seorang pekerja, hari ini saya dirahmati dengan 60 pekerja. Inilah insan-insan di balik tabir terhebat yang telah menggerakkan seluruh jentera perniagaan saya.
 

 

Sumber:  

 

Sumber:  

  

Sumber:

 

 

Bila mahu mulakan Rizalman Cuisine & Culinary? Rasanya ramai menunggu? 

Oh, teringin juga. Tetapi adalah kurang bijak untuk membangunkan satu lagi francais bisnes apabila kita baru saja melancarkan satu francais yang lain. Pertama, tidak akan ada nilai eksklusiviti di situ. Inisiatif dan komitmen dalam R&D juga diragui. Saya tahu, saya dan team mampu melakukannya dengan cepat dan pantas. Tetapi kita tak boleh tamak. Janganlah hari ini kita keluarkan produk penjagaan kulit, esok-esok kita keluarkan contact lens, lepas tu tiba-tiba kita keluarkan tart nanas! (ketawa).



Sedangkan resepi laksa saya yang itu pun telah menempuh beberapa siri R&D (ketawa lagi). Ia mengambil masa beberapa tahun untuk memperoleh laksa yang paling sempurna, bayangkanlah. Inikan pula kalau kita berhasrat untuk buka satu jenama kulinari yang menjanjikan bermacam-macam jenis makanan dan minuman untuk konsumer.



Biarlah dulu. Bila kita kerjakan sesuatu, buatlah dengan fokus, satu demi satu. Kerana saya percaya, kehalobaan akan menjatuhkan standard dan prestasi kita. Ini antara kelemahan utama orang kita. Apabila berbisnes, cepat tamak dan gelap mata.
 

 

Sumber:

 
Sumber:


 

Projek filem secara serius? Mungkinkah karya filem bio-fashion anda akan pindah ke sinema Malaysia, satu hari nanti?

Pihak ASTRO ada menyatakan hasrat untuk melihat saya menghasilkan filem Pulang 2. Cuma ya, masa seperti tak berkecukupan, maka saya terpaksa meletaknya ke tepi buat sementara ini. Ada juga yang datang menawarkan saya membuat filem. Cuma pendirian saya, jika saya diminta untuk menukang filem, saya mahu mengerjakan karya epik. Dan saya membayangkan Mahsuri sebagai subjeknya.

 


Saya tidak pernah lagi melihat kisah Mahsuri diangkat, dirai dan dimasyhurkan dalam satu skala paling besar, dan saya mahu melakukannya. Saya melihat potensi kisah Mahsuri untuk dikupas melangkaui aspek kecantikan dan ketradisian budaya.



Mahsuri adalah perlambangan paling tepat untuk menggambarkan budaya yang sedang bergolak dalam masyarakat Melayu kita hari ini — mengadu domba, melaga-lagakan, menabur fitnah, berhasad dengki, iri hati, bermacam lagi.

 


Ia memberikan petunjuk-petunjuk yang jelas, bagaimana kita mewarisi hemah jelik dan perilaku hodoh ini sejak zaman berzaman. Bagaimana kita akhirnya disumpah selama tujuh keturunan, bagaimana kita ini enggan bangkit untuk berubah dan maju. Bagaimana kritikan sosial untuk masyarakat zaman millenial ini, berbibit-bibit dengan jelas dalam sejarah Mahsuri. Apakah kita tidak melihatnya?


 

Sumber:

 


Dalam fikiran saya ini, sari ilham itu mengalir tak henti-henti. Saya sudah terbayang-bayangkan bagaimana ritma rangkap-rangkap skripnya, bagaimana gerak kerja kameranya, bagaimana lapangnya perasaan mendepani sawah bendang terbentang, bagaimana seharusnya busana Mahsuri serta penduduk Kampung Mawat yang diguna pakai pada zaman itu, bagaimana juga lenggok bahasa dan percakapannya, runut bunyinya, ahh... Semuanya sedang meruap-ruap dalam peti idea saya.



Saya sangat terpanggil untuk mengerjakan ilham ini. Namun pihak yang saya temui kurang berminat dengan proposal ini. Katanya; susahlah Rizalman, payahlah Rizalman... Rizalman bukan orang industri (perfileman), begitulah, beginilah. Ah, baiklah! Jika anda tidak berminat, tidak mengapalah. Saya akan berusaha sendiri cari rakan kolaborasi yang sudi bekerjasama untuk bawa epik ini ke layar perak Malaysia suatu hari nanti. 

 

 

Sumber:

 



Rizalman baru memuat naik status beberapa jam yang lalu: “So proud of my team at . The fewer we are the better we become...” Apa yang Rizalman cuba sampaikan? Ada kakitangan yang tidak cukup bagus atau tidak capai tahap piawai Rizalman? Rizalman super cerewet (saya rasa semua orang setuju) dan sukar dipuaskan?

Ya, sudah tentu. Tapi seperti yang disebut tadi, kadang- kadang saya tertanya juga, apakah ini semua salah saya? Apakah saya telah memberikan bayangan yang salah kepada generasi muda? Mereka melihat seperti terlalu mudah saya membina legasi ini. Pada pandangan mereka, bos ni, gitu-gini-gitu-gini, tiba-tiba dapat duit... “BAMMMM!”, terus jadi senang dan kaya-raya.



Apa yang mereka tidak lihat adalah rezeki, rahmat, restu dan keberkatan yang Allah SWT telah tetapkan untuk kita.


Mereka telah saksikan perjalanan kompeni ini dari dalam, saya tahu. Ya, mereka melangkah masuk sebagai staff saya. Ya, mereka masuk bekerja di bawah saya selama setahun atau setahun setengah. Ya, mereka meletak jawatan dan keluar semula selepas itu kerana mereka berasakan bahawa mereka telah melihat semua template yang ada, mereka telah lihat bagaimana saya menunggangi bisnes ini.


 

Sumber:  

 

Sumber:  

 

Sumber:  

  

Sumber:  

 

 


Mereka belajar, ya bagus. Saya tidak ada masalah dengan itu, sebab saya suka mendidik perantis-perantis muda, kerana itu yang sepatutnya berlaku. Mereka harus berguru.



Tapi jangan lupa, Vera Wang, sebelum menjadi pereka gaun pengantin paling dipuja di seluruh dunia, dia terlebih dahulu bekerja di bawah Ralph Lauren... selama 15 tahun! Ya, lima belas tahun lamanya Vera Wang mempersiap dirinya dengan teori, praktik, ilmu, informasi, kemahiran, teknik, strategi, formasi-formasi pemikiran, sebelum dia melangkah keluar dan terus menawan dunia dengan jenamanya sendiri.

 


Tapi anda masuk ke teritori saya untuk setahun dua, dan anda keluar semula kerana anda rasa anda telah tahu segalanya...



Anda tanya apa pendapat saya? I wish you good luck!

 


 

 

Ini berbalik pada soal sikap-sikap tipikal bangsa Melayu. Dengki, iri, khianat. Kalau kita tidak iri hati, kita selesa, gembira dan bersyukur dengan apa yang kita miliki. Kita makan nasi putih dengan ikan kembung dan sambal belacan, cukuplah... yes, I’m fine with that.



Saya follow akaun-akaun Instagram selebriti terkenal, yang jalani gaya hidup glamor lagi luxe. Minum petang sambil cicip macaroon di TWG Tea Salon, makan malam di Marini’s on 57 sambil teguk champagne, mereka bla-bla-bla, mereka ha-ha-ha, hu-hu-hu... I don’t care, carry on! Kerana apabila habis kerja, saya pulang ke rumah, saya makan nasi putih, asam pedas dengan ikan kembung. Sudah.

 


Mengapa saya masih gembira dengan makan malam saya? Kerana saya tiada rasa iri hati terhadap kehidupan manusia lain. Begitu juga dengan anda. Hiduplah dalam kapasiti anda sendiri. You should live your life the way that you want to live, simple bukan?

 


 

Sumber:

 

 


Mereka jinjit tas tangan Chanel, Dior. Ya, saya juga beli beg Chanel dan Dior. Tetapi saya beli bukan kerana dengki, iri atau mahu menandingi. Saya beli kerana saya mencintai craftmanshipnya. Saya beli kerana saya mahu lihat bagaimana collector’s item menjadi titik revival pada satu jenama ikonik. Saya beli kerana saya mahu belajar bagaimana jenama besar dunia ini mempakejkan pemasaran, produk, kakitangan dan servisnya — dari ceruk gudang sampai ke kaunter butik.



Kalau kita tiada iri hati, kita tidak akan mempersoal atau mempertikaikan nasib dan keberuntungan orang lain. Kita gembira pulang ke rumah kecil kita. Kita gembira tidur di tilam kita, meski cadarnya hanya kain belacu.

 


Jika anda berasakan apa yang saya muat naik pada laman Instagram saya, adalah apa yang anda mampu capai juga, silakan. Ia bukan prokovasi gaya hidup. Ia adalah seluruh hidup yang sedang saya lalui sekarang ini, sekali lagi, alhamdulillah!



Tapi jika anda ingin mencuba-cuba menjadi seperti apa yang anda lihat itu, oh please... check yourself. Mengapa perlu ada rasa iri hati terhadap bangsa sendiri? Tengok tu, hari ni dia pakai Chanel, besok pakai Prada, besok-besok pakai Gucci... Habiiissss... kita dah ada, kita pakailah! (ketawa).



Namun ada masanya, saya tone down juga. Ya saya jinjit tas Chanel, tapi saya pakai t-shirt Zara dan selipar jamban! (ketawa lagi). I just want to work. I set my goals really high.



Apakah saya perlu mempesonakan orang lain?



Sorry, I don’t have to impress people around me. Anda perlu bekerja dengan kuat sehingga anda tidak perlu memperkenalkan diri anda lagi. Demikian juga halnya dengan gaya hidup anda. Jika anda tidak punya wang yang besar untuk mempesonakan orang di sekeliling anda, please, don’t. DON’T.

 

 

Sumber:

 



Rizalman lebih daripada layak menubuhkan sebuah institusi fesyen berprestij. Jika ada penaung mahu membangunkannya bersama Rizalman, bersediakah anda sambut cabaran ini? Kerana pada saat itu, barangkali Rizalman tidak lagi berapa eksklusif kerana sudah ada “kilang” mengeluarkan pereka-pereka muda klon Rizalman?

Yang benarnya Rizalman Ibrahim tidak ada masa! (ketawa). Kerana Rizalman percaya, tidak ada sekolah yang dapat mengilangkan pereka fesyen terhebat pada mana-mana zaman dan kapsul masa sekalipun. Tetapi, anda tetap akan memperoleh begitu banyak sekali ilmu teknikal yang berguna dari institusi pendidikan fesyen, saya tidak nafikan. Walau bagaimanapun, ilham tidak semestinya diwahyukan di situ.



Ilham tidak boleh diajar. Ilham harus diberi dan diterima.



Tak tahulah Rosie, saya sudah 45 tahun. Saya berikan diri saya hingga umur 60 tahun. Itu pun dah kira lambat, sebab orang zaman sekarang ramai yang mati cepat (ketawa). Saya mahu dedikasikan usia yang masih bersisa ini untuk anak-anak, dan saya mahu bertungkus-lumus untuk akhirat juga.

 


Saya sudah pun kongsikan sedikit ilmu yang saya tahu untuk manfaat masyarakat, untuk para perantis saya. Saya sudah hasilkan buku belakang pentas, saya sudah buat filem. Saya tinggalkan sedikit-sedikit untuk orang lihat, belajar dan kenang.

 

Bermakna, saya sebenarnya sudah pun bersiap-siap untuk berangkat meninggalkan padang tempat saya bermain-jatuh-luka selama berpuluh-puluh tahun ini.






 

Sakit-pening mengayuh dan memacu sekian banyak kenderaan dalam industri keperekaan ini, anda tidak tahu. Saya mahu perlahan-lahan meninggalkannya. Saya mahu duduk di masjid suatu hari nanti, saya mahu mengaji dan bersolat tanpa henti di dalam rumah Allah, tanpa perlu memikirkan tuntutan dan janji-janji dunia.



Daripada memasyhurkan sekolah fesyen, lebih baik saya bangunkan madrasah atau Maahad Tahfiz untuk lahirkan lebih ramai generasi huffaz profesional, berikan rezeki kepada lebih ramai guru-guru tahfiz yang mursyid.



Sebab itulah saya bising dan tak penat-penat menegur. Kepada yang mendengar dan menerimanya sebagai satu nasihat daripada orang tua untuk anaknya, saya ucapkan selamat maju jaya.



Kepada yang mengambil kata-kata saya sebagai kata-kata sinis, ingatlah, I’m a mutant, saya boleh hybrid dan berubah menjadi apa saja – YA APA SAJA – dan saya cemerlang di situ. Saya boleh bermadah pujangga, saya boleh menjadi sasterawan negara, saya boleh menjadi penghibur anda di gelanggang Maharaja Lawak – ya – apa saja yang anda mahu. Ilham itu mengalir tidak berhenti-henti. Ia datang semasa saya mahu masuk tidur, semasa saya mandi... waima semasa melepaskan hajat besar juga ilham itu datang tiada henti. 



Ah, saya tak tahu. Saya betul-betul tak tahu. Mungkin saya didatangkan dan terus dihidupkan pada era millenial ini untuk membetulkan perkara-perkara yang salah dalam industri ini... entah-entah Imam Mahadi kot I ni? (ketawa mengelekek)

 

 

Sumber:

 

 

Rizalman besar nama, besar pengalaman. Masih belum dikurnia 'Datuk'?

Hmm… susahlah... “Datukship” sekarang banyak yang beli (ketawa). Mmm... hajat di hati, naklah, haha. Kadang-kadang, sekarang pun orang panggil saya Datuk, so okeylah. Tapi kadang-kadang kita kena fikir, mengapa Tuhan masih belum beri kita yang ‘itu’? Kerana mungkin yang ‘itu’ akan menerbitkan riak-riak kecil.



Pendirian saya senang. Kalau yang ‘itu’ membawakan kebaikan, saya mohon kepada Tuhan, berikanlah kepada saya. Tetapi kalau ia menjerumuskan saya kepada perkara-perkara yang buruk, saya mohon, jauhkanlah. Ah... I don’t know, Rosie. Dapat, alhamdulillah. Tak dapat pun tak apa.

 

 

>>KLIK DI SINI<< Dato' Rizalman Ibrahim: “Hari Ini, Allah Mengangkat Darjah dan Pangkat Saya di Dunia. Di Akhirat Kelak..."

 

 

Sumber:

  

 


Menjayakan dua ‘role’ serentak — sebagai ayah dan ibu — dalam kasut seorang lelaki bujang — apakah yang paling sukar, yang kadang-kadang buat Rizalman rasa mahu mengalah? 

Susahnya kerana saya adalah single parent. Semuanya saya lakukan sendiri. Selebihnya, diserahkan ke tangan pembantu rumah. Yang selalu saya fikirkan, ada sebab mengapa saya dikurniakan dua anak angkat ini. Dan ada juga asbabnya, mengapa mereka mendapat saya sebagai ibu dan bapa angkat. Saya selalu mengingatkan Umar, Umar mungkin tiada ini dan ini, tapi Umar dirahmati dengan ini dan ini. Jadi bersyukurlah, dan jangan bersedih-sedih. 

 

 

Sumber:


 

Sumber:

 


Saya tidak sabar mahu lihat khalifah-khalifah kecil saya ini terus dewasa, menjadi sahabat saya, berkahwin, membawa pulang menantu untuk saya, ahh... semoga mereka berdua dipanjangkan umur. Kerana dalam banyak-banyak perkara yang paling menyakitkan di dunia ini, berpisah nyawa dengan mereka adalah satu-satunya perkara yang paling saya geruni. Jangan ambil nyawa mereka. Ambillah nyawa saya dahulu. Itu yang selalu saya minta dalam doa-doa saya (diam, sebak). 

 

 

Sumber:

 


Sekolah agama yang sama untuk Aali nanti?

Saya tak pasti, sebab Aali suka menari! Tetapi mengapa saya memilih institusi keagamaan untuk menyekolahkan Umar, adalah sejarah yang amat panjang. Umar, sewaktu kecil, adalah anak yang sangat perasa, moody, bengis, segalanya. Telah bermacam perkara saya lakukan untuk menjinakkannya, tak pernah berhasil. Saya hampir putus asa.



Saya selalu bertanya kepada Allah SWT; apakah lagi yang tidak betul tentang didikannya?


 

Sumber:

 


Hinggalah suatu hari, datang seorang wanita berperawakan alim agama ke butik saya untuk menempah busana perkahwinan anak perawannya. Anaknya itu sama datang ke butik. Orangnya teramat baik, halus budi pekerti, lemah-lembut, bertudung litup, berpurdah. Percayalah, untuk seorang gadis muda yang cantik, menutup auratnya (dengan ikhlas) pada zaman ini memang teramat susah. Terlalu banyak godaan dan pengaruh besi berani di sekelilingnya. Saya bertanya, bagaimana dia mendidik anaknya?

 


Jawab wanita itu, “Rizalman, lima anak kakak seperti ini. Kelima-limanya (lelaki dan perempuan) adalah huffaz.”



Tanya saya lagi, bagaimana puan melakukannya?



Dia menjawab, “Kelima-lima anak kakak dihantar ke Maahad Tahfiz...”


 

Sumber:

 


Allahu Akbar! Saya menangis mendengarnya. Baru semalam saya bertanya kepada Allah SWT, hari ini Dia menghantar jawapannya.



Saya pulang ke rumah, segera memberitakan kepada Umar bahawa saya mahu menghantarnya mengikuti pengajian agama. Saya beritahu Umar, biar Babah yang bekerja keras menyelesakan kehidupan duniawi kita. Babah cuma mahu minta satu saja perkara daripada Umar. Babah mahu Umar bantu Babah membina ‘banglo’ kita di akhirat. 

 

 

Sumber:

 

 

Sumber ada menyebut tentang amal jariah Rizalman menanggung bil utiliti sekolah umar, tentang amalan Rizalman bersedekah sebelum dan selepas menaiki kapal terbang. Juga tentang amalan Rizalman menyucikan rezeki dengan bersedekah (sekali lagi) apabila anda pulang dari percutian luar negara. Boleh kongsikan sebagai teladan semua?

Mana you dapat ni? (terperanjat)



Saya: Ish, adalah... (saya gelak-gelak nakal) 



Beginilah, apa yang anda sebutkan tadi hanyalah sebahagian kecil amalan, supaya kita dipanjangkan umur. Ia satu ibadat dan permintaan kita kepada Dia, supaya kematian kita dilambatkan, atau ditangguhkan, kerana kita berhasrat mahu membuat lebih banyak amal kebajikan.



Kalau anda faham konsep ajal maut dan Luh Mahfudz, anda akan faham perkaitannya. Tarikh kematian kita, ada beberapa, dan bukan satu. Apabila tergugur saja sehelai daun yang tertulis dengan nama kita di Luh Mahfudz, maka Malaikat Maut akan mengambil daun tersebut lalu mula mengikuti perjalanan kita. 



 

Sumber:

 

 


Sedekah dan amal kebajikan yang kita buat dengan nama Allah SWT, haruslah disertai doa dan nawaitu. Berdoalah agar maut itu ditangguhkan, berdoalah agar kita masih sempat amal ma’ruf nahi mungkar. Saya belum mahu berangkat. Ada beberapa perkara lagi harus saya langsaikan — Umar, Aali, berkongsi rezeki, tentang kebertanggungjawaban dalam industri, ahh...

 

Maaf, Rizalman Ibrahim masih ada tugas yang harus diselesaikan.


 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Momen Perkahwinan ‘FAIRYTALE’ Dato’ Siti Nurhaliza Cipta Rekod, ditonton 6.3 JUTA RAKYAT MALAYSIA

  • Seterus →

    Dato’ Seri Vida: “Subuh ke Tengah Hari Masa Mengaji dan Keluarga. Saya Kerja dari Zohor Sampai Tiga Pagi”