Oct 22, 2016 - 5092

Caliph Buskers: "Fendy dan Nadira Pasangan Buta, Tapi Anak Lahir Celik. Ini Allah Punya Kuasa!"

Tentang dunia mereka yang terang-benderang, kerana mereka melihat dengan mata hati...

 

Oleh: Huda Hussain
 




TERUJA saya sewaktu menyudahkan edisi ini. Memandangkan sesi penggambaran perlu dilunaskan sebelum cuti menyambut Syawal yang lalu, maka sesi temu ramah juga perlu diselesaikan ketika bulan Ramadan. 

Saya berkesempatan ke kompleks membeli-belah Sogo untuk sesi temu bual bersama semua ahli Caliph Buskers. Hajat di hati mahu melihat sendiri mereka busking namun dek kerana terperangkap dalam kesesakan jalan raya, tiba di hadapan Sogo mereka sedang mengemaskan peralatan muzik. Ketika bulan Ramadan, Caliph Buskers masih meneruskan aktiviti busking bermula jam 12 tengah hari hingga tiga petang. Biarpun dalam keadaan panas dan berpuasa, mereka masih kental menghiburkan orang ramai.
 

Huraikan secara ringkas masalah penglihatan kalian, adakah semua tidak mampu melihat secara total, boleh melihat sedikit atau bagaimana?

A Z M I: Hampir semua mempunyai masalah penglihatan yang sama tetapi bagi Abang Zaki dan Nirwan sedikit berbeza. Mereka berupaya melihat sedikit. Bagi Nirwan misalnya dia boleh melihat sedikit cahaya berbanding dengan kami yang lain.

N I R W A N: Saya juga boleh membaca sedikit dengan melihat dari jarak yang dekat. Kalau membaca Braille pula semua boleh.

Z A K I: Saya hanya mampu melihat dalam lingkungan 10 peratus sahaja. Misalnya jika di jalan raya, saya hanya dapat melihat kereta, itu pun samar-samar sahaja dan tidak dapat melihat jika ada orang di dalam kereta tersebut.
 

 

Adakah kalian ditakdirkan tidak dapat melihat kerana faktor genetik, penyakit atau bagaimana?

A Z M I: Kami semua tidak boleh melihat sejak lahir lagi. Bukan kerana masalah penyakit atau faktor lain. Sudah semula jadi, lahir saja ke dunia kami tidak boleh melihat.
 

Ketika zaman kecil dan alam persekolahan, bagaimana kalian melaluinya?

A Z M I: Saya bersekolah seperti biasa. Ketika sekolah rendah, saya mendapatkan pendidikan awal di sekolah pendidikan khas untuk golongan cacat penglihatan. Tetapi peringkat menengah, saya bersekolah dan bercampur dengan pelajar biasa. Di dalam kelas tersebut terdapat hampir 40 orang dan dalam lingkungan empat hingga lima orang terdiri daripada pelajar yang tidak dapat melihat.

Di situlah bermulanya cabaran kerana guru yang mengajar adalah guru biasa yang tiada kepakaran mengajar pelajar seperti saya. Di sekolah terdapat sebuah bilik khas untuk pelajar yang tidak dapat melihat. Selepas tamat sesi persekolahan, kami akan belajar dan menyempurnakan tugasan yang diberi oleh guru dan ditulis dalam tulisan Braille. Guru pendidikan khas yang bertanggungjawab mengajar dan menterjemahkan tulisan Braille kepada tulisan biasa untuk dihantar kepada guru kelas yang mengajar.
 

Sumber:



Di kelas pula, saya perlu meminta pertolongan rakan di sebelah untuk memberitahu apa yang cikgu tulis di papan hitam. Saya menduduki peperiksaan dari peringkat UPSR hingga SPM seperti pelajar-pelajar lain. Itu daripada aspek pembelajaran dan daripada segi bermain misalnya, saya masih lagi dalam kelompok pelajar-pelajar khas. Bermain bersama mereka kerana kami menginap di asrama pendidikan khas.

Daripada aspek pengurusan diri, semua kami pelajari ketika menginap di asrama. Ada warden, pengasuh atau guru yang mengajar bagaimana mahu menggosok baju dan sebagainya.

N I R W A N: Ketika sekolah rendah saya bersekolah di sekolah integrasi (asrama) manakala peringkat menengah pula di sekolah biasa. Secara keseluruhannya kami mendapatkan pendidikan awal yang sama cuma berlainan negeri sahaja. Misalnya saya dan Nadira dari Sarawak, Azmi dari Johor, Fendi dari Perak.
 


 

Pernah diejek atau disisihkan rakan sebaya?

F E N D I: Tidak pernah kerana kami bercampur gaul dengan golongan normal. Misalnya jika di sekolah dahulu, pelajar yang tak boleh melihat, tidak sampai 10 orang. Malah bagi kami amat penting untuk menyesuaikan diri dengan golongan bukan OKU supaya kita dapat buat apa yang mereka juga buat. Tidak bermakna walaupun kami tidak boleh melihat, kami tidak mampu melakukan apa yang orang lain buat. Saya tidak melihatnya sebagai satu cabaran sebaliknya mereka banyak memberi galakan, sokongan dan dorongan.

 

Bagaimana kalian belajar mengurus diri hingga hari ini? 

A Z M I: Pada awalnya sukar untuk saya membiasakan diri. Biarpun mak dan ayah yang mengajar tetapi mereka tiada kepakaran dan kemahiran untuk mengajar anak yang tidak nampak seperti saya. Oleh kerana itu banyak kemahiran kami pelajari sewaktu di asrama. 

Dan pada saya ketika itu tidak ramai ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak istimewa ke sekolah asrama kerana mereka bimbang. Tetapi sebenarnya di sanalah tempat terbaik untuk kami golongan OKU (orang kelainan upaya) mempelajari bagaimana menguruskan diri dan menjalani rutin harian seperti orang lain. 
 

Sumber:



Cara kalian atasi tekanan atau masalah kurang keyakinan diri?

A Z M I: Saya akui pada awalnya saya takut dan tidak yakin dengan diri sendiri apabila berhadapan atau berada dalam kelompok golongan bukan OKU. Apatah lagi mahu bersaing dengan mereka. Dan pendekatan yang saya gunakan untuk mengatasinya adalah dengan mempunyai rakan (tidak kira sama ada normal atau seperti saya) untuk menegur dan dalam masa sama memberi tunjuk ajar agar saya juga kelihatan bagus walaupun saya adalah OKU.

Tidak semestinya apa yang orang biasa boleh lakukan, kami tidak boleh buat perkara yang sama. Jika ada bakat, beranikan diri untuk tonjolkan kelebihan yang ada. Namun, jangan pula sehingga timbul riak dan berbangga dengan kelebihan diri.
 

Sumber:



Mengapa pentingnya bercampur dengan semua orang?

A Z M I: Jika mahu bersaing atau sekurang-kurangya dilihat sama seperti semua, itulah pentingnya anda bercampur-gaul (jika anda adalah OKU).

Ia sebenarnya sebagai satu dorongan lebih-lebih lagi dunia kami (OKU) adalah kecil dan terhad. Banyak perkara yang perlu ditanya dengan mereka yang hidup normal. Malah Mak Ayah kami sendiri belum tentu memahami keperluan dan keadaan kami yang tidak boleh melihat ini. 

Daripada sudut yang lain pula, kami perlu memahami bahawasanya Mak Ayah tidak mampu memahami keadaan kami sepenuhnya. Apa jua perkataan yang tidak sengaja dilafazkan, kami perlu memahami keadaan mereka. Mungkin bukan niat mereka menyinggung perasaan tetapi kerana tidak semua daripada mereka memahami keadaan kami yang kurang upaya ini.

 

Memandangkan kalian tidak mampu melihat, apakah deria lain yang banyak membantu?

AZMI, FENDI & NADIRA: Telinga

N I R W A N: Telinga dan mata kerana saya hanya boleh melihat sedikit cahaya.
 

Sumber:



Bagaimana tercetusnya Caliph Buskers?

A Z M I:  Saya dan Abang Zaki sudah mula bermain muzik pada 2008 dan mereka yang lain masih bersekolah. Ketika itu saya berumur 29 tahun manakala Abang Zaki berumur 37 tahun. Hanya selepas empat tahun, barulah Fendi dan Nadira menyertai kami. Bakat mereka dalam bidang muzik dicungkil menerusi aktiviti anjuran Persatuan Orang Buta. Malah persatuan ini banyak melakukan aktiviti misalnya pertandingan sesama band, nyanyian dan lain-lain. 

Bertitik-tolak dari situlah kami mula mengenali antara satu sama lain. Nirwan pula secara kebetulan kami mempelawanya menyertai kumpulan ini kerana pada suatu hari Abang Zaki terlibat dalam kemalangan. Dek kerana tidak cukup orang, Nirwan tampil menonjolkan bakatnya. Selepas berpuas hati dan berpendapat dia cukup berbakat maka kami mengajaknya untuk menyertai kumpulan ini. 

Bagi saya untuk mantapkan sesebuah persembahan, penglibatan lebih ramai ahli akan membuatkannya lebih meriah dan ada ‘umph’ kata orang. Pada mulanya kami tidak yakin dan berani untuk busking malah lebih selesa membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan. Hinggalah pada suatu hari, kami cuba beranikan diri busking di Brickfields. Berdasarkan sambutan yang agak memberangsangkan maka bermulalah perjalanan hidup kami sebagai pemuzik jalanan. Kami mula busking di Sogo sekitar Jun 2014.
 

Sumber:



Pekerjaan kalian selain bergelar pemuzik jalanan? 

A Z M I: Saya, Abang Zaki dan Fendi bekerja sebagai tukang urut. Manakala Nadira bekerja sebagai operator telefon dan Nirwan baru sahaja tamat belajar.

 

Bagaimana kalian menyedari punya bakat dalam muzik?

A Z M I: Sejak di bangku sekolah lagi, kami sudah diajar bermain alat muzik.

N I R W A N: Juga di sekolah kerana lazimnya semua sekolah mempunyai peralatan muzik. Dan guru-guru yang bertanggungjawab mengajar bagaimana bermain setiap alat muzik. Lazimnya kami akan membuat persembahan pada Hari Kokurikulum, Hari Guru dan sebagainya.

F E N D I: Sama seperti Azmi dan Nirwan, saya juga belajar bermain alat muzik sejak sekolah lagi.

 

Bagaimana kalian dipertemukan dengan Edry KRU?

A Z M I : Semuanya berlaku di sini (Sogo). Sememangnya menjadi hasrat kami untuk dikenali tetapi bukanlah hingga peringkat menjadi artis. Secara kebetulan, kami mempunyai banner yang tertera nombor telefon untuk dihubungi jika ada yang berminat menjemput untuk membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan atau majlis makan malam dan sebagainya. 

Dan dalam masa sama, kami juga menyedari peranan media sosial untuk meluaskan rangkaian dan berkongsi bakat yang ada. Maka dengan itu, sahabat kami merakamkan persembahan ketika kami busking lagu Roman Cinta nyanyian kumpulan Mojo. Rakaman video tersebut dimuat naik di YouTube. Kebetulan Abang Edry ketika itu mencari penyanyi bagi menggantikan vokalis kumpulan Mojo. 

Dijadikan cerita, pemain drum kumpulan Mojo sendiri datang ke Sogo dan melihat persembahan kami. Katanya pada Abang Edry, kami dapat menyanyikan lagu Roman Cinta dan menunjukkan rakaman video yang sudah pun dimuat naik di YouTube.
 

Sumber:

 

Komen kalian mengenai Edry, jika boleh diimbas semula bagaimana dia meyakinkan kalian lantas mengundang untuk membuat persembahan di pentas AJL?

A Z M I: Mulanya dia menghubungi Abang Zaki. Katanya mahu mengajak kami membuat persembahan di suatu majlis. Ketika itu Abang Zaki yang bertanggungjawab menguruskan soal pembayaran, kenal pasti lokasi persembahan, menetapkan tarikh dan apa jua bentuk persembahan sama ada kami akan membuat persembahan di majlis perkahwinan dan sebagainya. 
 

Sumber:  

 

Abang Zaki bertanya di mana majlis tersebut dan usai Edry memberitahu tentang AJL, terkebil-kebil dan terkejut dia mendengarnya.

Katanya, “Biar betul Edry ni.” Lantas Edry menetapkan tarikh untuk berjumpa. Abang Zaki menghubungi saya memaklumkan Edry mahu bersua dengan kami. Saya cuma tergelak dan apa yang terdetik di hati saya ketika itu adalah, “Jangan-jangan kena bohong agaknya kita ni,” (ketawa). 

 

Sumber:


Saya mengambil pendekatan tunggu dan lihat sahaja. Dan tidak menyangka ia benar-benar terjadi.

Tanggal 25 Disember 2013, Abang Edry datang ke Sogo berjumpa kami. Kami duduk di sini, kafe The Loaf (kebetulan ketika temu bual saya duduk di meja yang sama ketika Edry berjumpa mereka). Kami mulanya agak takut kerana bimbang terikat dengan kontrak yang mengekang kami daripada terus busking dan pelbagai perkara dibincang secara terperinci. Saya menyuarakan pendirian kami bahawa kami mahu terus kekal busking kerana tidak mahu bergelar artis arus perdana.

 

Sumber:


Mengapa ingin terus kekal sebagai pemuzik jalanan?

A Z M I: Satu sebab kukuh adalah kerana jiwa kami sudah tersemat sebagai pemuzik jalanan. Apabila kami membuat persembahan, kami tidak perlu bimbang atau terikat dengan apa-apa protokol. Faktor lain adalah kerana jika bergelar artis arus perdana, pasti ada kesukaran untuk mengekalkan populariti supaya kekal relevan sampai bila-bila. Datuk Jamal Abdillah misalnya, biarpun sudah lama dalam industri tetapi masih lagi aktif bernyanyi hingga kini. Pendekatan kami, jika ada apa jua undangan persembahan kami akan penuhi dan busking masih bergerak seiring.

Z A K I: Jujurnya industri hiburan terutamanya dunia nyanyian ada pasang surutnya. Kami lebih selesa untuk busking kerana sudah ada kelompok masyarakat yang menyenangi cara kami menghiburkan mereka. Biarlah ia berterusan selagi kami mampu melakukannya. Kami tidak malu kerana ia juga sebahagian daripada cara kami mencari rezeki untuk menyara keluarga.

 

Sumber:  

 

Malam AJL 2014, kongsikan perasaan kalian dan momen ketika membuat persembahan di hadapan ribuan penonton?

F E N D I: Sewaktu Azmi menyanyikan bait lirik ‘selamanya’ dengan high pitch, sorakan penonton yang bergema di dalam stadium lebih kuat daripada ear piece yang bertindak sebagai monitor juga isyarat pada telinga kami. Rasa mahu menangis pun ada kerana tidak menyangka begitu sekali reaksi penonton melihat persembahan kami.

A Z M I: Saya lebih risau memikirkan persembahan dan nyanyian saya. Ada cerita di sebaliknya, kami hampir-hampir menarik diri kerana ketika itu saya baru pulih daripada demam. Tiga kali berlatih bersama Abang Edry, saya masih gagal melakukan yang terbaik. Masih lagi ada yang sangkut. Dia berikan masa pada saya hingga hari Khamis (tiga hari sebelum berlangsungnya AJL pada Ahad) jika saya tidak boleh menyanyi dengan baik, dia terpaksa mencari pengganti yang lain. 

Kebetulan pada hari Jumaat saya boleh menyanyi dengan iringan orkestra namun pada hari Sabtu ada lagi bahagian yang gagal saya lakukan sehabis baik. Saya maklum pasti Abang Edry risau dan tertekan namun dia ketepikan itu semua dan berikan tips, kongsikan sedikit ilmu untuk saya praktikkan. 

Alhamdulillah pada malam itu semuanya berjalan dengan baik. Katanya kepada saya, satu stadium berdiri sambil berteriak dan bersorak. Saya hanya mampu mendengar sorakan penonton dan tidak tahu sehingga semua berdiri. Rasa seperti mahu menangis mendengar teriakan dan sorakan penonton malam itu. Sesuatu yang bagi saya cukup dahsyat dan luar biasa apatah lagi itu kali pertama pemuzik jalanan beraksi di sebuah pentas yang cukup berprestij, cukup mengharukan.

 

Sumber:



Cara kalian untuk atasi 'stage fear' sementelahan itu kali pertama Caliph Buskers beraksi di pentas AJL?

A Z M I:  Saya dan tandas memang tidak boleh dipisahkan, hahaha... Selebihnya saya banyakkan berselawat. Rasa gugup sentiasa tersemat walau di mana jua kami lakukan persembahan kecuali waktu busking, tidaklah terlalu gugup.

F E N D I: Memandangkan saya bukan vokalis, rasa gugup itu tidaklah begitu ketara cuma rasa sejuk menyelinap ke seluruh badan. Perasaan takut mengatasi segalanya. NIRWAN: Saya takut dan bimbang jika merosakkan segala yang sudah diatur.

 

Selepas malam bersejarah itu...

A Z M I:  Habislah kita selepas ini, hahaha... Kami takut kerana tidak bersedia untuk menerima tempias glamor dan popular lantas dikenali seluruh negara dengan sekelip mata. Terlalu naik dengan mengejut, kami bimbang jika tersalah langkah atau tersilap melakukan itu ini kerana segalanya berlaku begitu pantas. 

Sungguhpun demikian, kami berterima kasih kepada Abang Edry dan KRU Music kerana banyak membimbing dan memberikan tunjuk ajar bagaimana perjalanan yang harus dilalui sebaik bergelar artis. Alhamdulillah kini kami sudah dapat membiasakan diri dengan dunia seni.

 

Perbezaan selepas dikenali dan terkenal, bagaimana?

A Z M I: Soal penampilan dan imej diri harus kami pelihara dan ambil perhatian. Biarpun tidak mempunyai waktu rehat yang cukup kerana selepas tamat AJL awal pagi kami perlu berada di konti radio. Kemudian pada hari yang sama (tengah hari) tiba di set rancangan bual bicara, hadir ke sesi fotografi akhbar dan majalah. Ia berlarutan hingga beberapa minggu. Jujurnya saya akui pada mulanya saya agak tertekan kerana tidak biasa dengan itu semua.

N I R W A N: Saya semakin gemuk kerana banyak makan, hahaha...
FENDI: Kalau pergi ke mana-mana, pasti ada yang mahu bergambar. Jika berjalan seorang diri, ada yang perasan, “Eh, ni bukan Caliph Buskers ke, mana yang lain?” Kata mereka. 

Z A K I: Kami perlu melayan sesiapa jua yang ingin bergambar dan sebagainya.

 

Sumber:



Mesej untuk masyarakat di luar terhadap persepsi kelompok pemuzik jalanan?

AZMI: Apa yang penting adalah masyarakat harus tahu, dalam jiwa pemuzik jalanan
sejati ini hanya sekadar hiburan. Kami mahu orang ramai melihat persembahan kami, itu sahaja. Kami hanya mahu bermain muzik dan mengetengahkan bakat yang ada melalui medium yang kami rasakan selesa dan mudah. 

Kami juga lebih selesa dan puas membuat persembahan di tempat yang membolehkan orang ramai duduk dan lihat persembahan kami. Bukan sekadar tempat laluan orang ramai dan kemudian meletakkan duit. Kami tidak memikirkan soal bayaran yang diterima bahkan kami tidak meminta orang memberikan duit. Jika mereka terhibur dan meletakkan duit, syukur kami panjatkan. Jika tidak sekalipun tidak mengapa. Ia lebih kepada kepuasan kerana dapat menghiburkan orang ramai.

 

Pendapatan yang diraih selepas 'busking', boleh kongsikan?

A Z M I:  Apa yang kami peroleh akan dibahagikan sama rata dalam kalangan kami berlima. Cukup untuk belanja makan, menanggung saraan anak isteri dan membayar sewa rumah. Tidaklah mewah, serba sederhana sahaja.
 

Sumber:
 


Kalau anda diberi peluang melihat semula, apakah perkara pertama yang anda ingin lihat dan mahu lakukan?

A Z M I:  Jika ditanya, “Engkau mahu lihat semula atau tidak?” Sejujurnya saya tidak pernah merasa nikmat melihat itu bagaimana. Saya tidak pernah membayangkan atau mempunyai keinginan untuk menjadi celik. Rasa takut pun ada sehinggakan pernah terfikir, “Entah apalah agaknya akan berlaku kalau aku celik nanti,” kerana sudah biasa hidup sebegini, biarlah hingga hujung nyawa saya macam ini. 

Namun seandainya diberi peluang melihat semula, saya mahu lihat isteri saya dan melakukan perkara yang tidak pernah saya buat sepanjang hidup selain majukan diri.

N I R W A N: Saya mahu lakukan perkara yang orang normal boleh buat misalnya membaca Al-Quran sendiri, memandu kereta dan lain-lain perkara yang boleh dilakukan sendiri.

F E N D I: Saya mahu lihat wajah ahli keluarga dan jika ada peluang melihat semula saya mahu mengembara ke seluruh dunia seorang diri.

N A D I R A: Jika diizinkan-Nya melihat, saya mahu menjadi seorang anggota polis agar dapat berbakti kepada negara, saya mahu menjadi peragawati kerana saya meminati bidang peragaan dan saya mahu menjadi pramugari kerana saya ingin merasai bagaimana nikmatnya sentiasa terbang dan berada di atas awan. Itulah cita-cita saya seandainya saya ditakdirkan boleh melihat dan nampak semua benda.

Z A K I: Sejujurnya saya tidak pernah terfikir akan dapat melihat semula. Dan jika diberi kesempatan saya mahu bermain bola seperti orang normal. Cara orang buta bermain bola adalah dengan membungkuskan plastik pada bola tersebut. Apabila ditendang, terjatuh dan sebagainya ia akan berbunyi dan itu yang menjadi panduan untuk kami bermain. Ada juga yang meletakkan loceng pada bola selain memberikan panduan untuk meggelecek bola, membuat hantaran ke kiri atau ke kanan. Selain itu saya ingin melihat pemandangan, melakukan terjunan bunjee. 
 

Sumber:

 

Pengalaman kalian, pernah atau tidak orang lain mengambil kesempatan terhadap kekurangan diri kalian?

A Z M I:  Setakat ini tiada yang mengambil kesempatan terhadap saya biarpun saya tidak nampak. Tetapi jika ia dilakukan dalam diam, entahlah. Saya tidak pasti. 

N I R W A N: Saya pun tidak tahu sama ada ada atau tidak orang yang ingin mengambil kesempatan terhadap golongan seperti kami.

 

Sumber:

 

Artis pujaan anda, siapa dan kalau boleh kalian huraikan bagaimana rupa paras wajahnya?

A Z M I : Daripada sudut vokal, saya mengagumi lontaran suara Jaclyn Victor. Namun daripada perspektif perjalanan hidup, kejayaan dan sumber inspirasi, saya meminati Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Saya membayangkan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dengan susuk tubuh yang berisi dan rambut kerinting.

N I R W A N: Selain Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, saya juga meminati Allahyarham Dato' Sudirman Hj Arshad, Dato’ Siti Nurhaliza kerana bagi saya mereka cukup berkaliber dan berjaya dalam industri seni.

F E N D I: Kalau daripada segi keseluruhan saya melihat pencapaian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai satu ikon kerana beliau sudah membuktikan segala bakat yang ada. Mengarah, berlakon, berlawak, menyanyi dan semuanya disempurnakan dengan cukup baik. Malah masih relevan hingga ke hari ini. Apa yang penting bagaimana artis-artis terdahulu memelihara dan menjaga ‘brand’ mereka. Biarpun sudah berpuluh tahun namun karya mereka masih segar sampai sekarang.

N A D I R A: Saya meminati Pasha daripada kumpulan Ungu kerana dia menjiwai setiap lagu-lagunya.

Z A K I: Saya meminati Anuar Zain kerana lantunan vokalnya cukup unik, nafasnya yang panjang selain penghayatan terhadap lagu yang disampaikan dipersembahkan dengan amat baik. Saya juga meminati Datuk Jamal Abdillah kerana dia masih evergreen hingga hari ini.
 

Sumber:
 


Jika anda mempunyai anak, bagaimana anda mendidik mereka agar sedar yang mereka mempunyai bapa atau ibu yang tidak dapat melihat?

A Z M I:  Saya sering ‘melihat’ Abang Zaki sebagai satu contoh kerana dia mempunyai dua orang anak kecil. Tetapi pada saya ia tidaklah sesukar mana kerana jika mereka sudah biasa sejak kecil lagi, segala apa jua perkara pasti dapat diharungi dengan baik.
 

Sumber:


Z A K ISaya akui pada mulanya agak sukar untuk membiasakan diri menjaga anak sulung hingga pernah berhadapan dengan konflik bersama bapa mentua. Pengalaman ketika anak sulung demam, saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Bajunya sudah dibuka namun Alisya masih menangis. 

Namun bagi saya ada baiknya jika saya sendiri yang menjaga anak kerana penting untuk anak-anak memahami keadaan saya. Syukur kerana sejak kecil lagi mereka sudah terbiasa dan faham dengan keterbatasan pergerakan saya. Anak sulung, Alisya (enam tahun) sudah boleh menemani dan membawa saya menaiki tren ketika dia berusia dua tahun. 

Sejak mereka kecil lagi dan dalam proses membesar semuanya dilakukan berdasarkan pemerhatian. Misalnya jika ada benda terjatuh atau saya tidak nampak, anak-anak yang akan tolong ambilkan.
 

Sumber:

 

Nilai kehidupan yang sudah diterangkan kepada anda dan diajar kepada anak berdasarkan apa yang tiada pada diri?

Z A K I: Saya mengajar anak-anak bersyukur dengan apa yang mereka ada kini. Saya tidak membiasakan mereka hidup mewah walaupun kini ada pendapatan lebih. Saya didik mereka agar menghormati orang yang susah. Jika berjalan ke mana-mana, mereka sudah terbiasa dan meminta duit daripada saya untuk disedekahkan kepada orang cacat, fakir miskin dan sebagainya. Itu tandanya mereka menghormati dan memahami golongan OKU kerana contoh terdekat sudah ada di hadapan mereka.



 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Prof Dr Muhaya: “Kita Semua Ada Timbangan di PADANG MAHSYAR Nanti. Berhentilah Menjadi HAKIM…”

  • Seterus →

    Dato' Rizalman Ibrahim: “Hari Ini, Allah Mengangkat Darjah dan Pangkat Saya di Dunia. Di Akhirat Kelak..."