Sep 02, 2017 - 166

Dari Wartawan Meja Jenayah — Tercipta Karakter Naabella Hijabis & Kak Leha Bunting Buat Netizen Ketawa Terbahak-bahak

Kak Leha Bunting, Pak Leman, Naabella Hijabis dan Cik Yam antara watak yang digunakan Faiz Dickie untuk menghasilkan video jenaka. Dari mana datang nama-nama tersebut, ikuti temu bual bersama Faiz Dickie.

 

 

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

 

 

 

 

 

KETIKA 2013 saya lihat trend orang Barat mula menghasilkan video- video kelakar tetapi tidak meluas dalam kalangan masyarakat kita. Dan ketika itu saya cuba beranikan diri menghasilkan comic street terlebih dahulu.

 

Hampir setahun saya berkarya menerusi komik. Hanya selepas Instagram memperkenalkan video durasi 15 saat, barulah saya beralih menghasilkan video hingga hari ini. Dan apa yang membuatkan saya tular adalah hasil bantuan selebriti- selebriti tempatan antaranya Diana Danielle yang berkongsi dan menyebarkan (repost) salah satu comic street tersebut.

 

 

Nama penuh saya, Mohd Nasrul Faiz bin Abu Azal. Berusia 29 tahun dan membesar di Selayang Baru. Saya adalah anak kelima daripada enam orang adik-beradikdan kini bergelar .................................? Bintang Media Sosial.

 

 

 

Kalau time kecik kau dok baca majalah-majalah macam Mastika, Infiniti dan sebagainya cam #kaklehabunting and #cikyam ni, nak taknak mesti kau akan terpengaruh sikit ngan kisah-kisah pengalaman orang ke tanah suci Mekah. Macam-macam kau baca wei then bila kau reflek balik diri kau, rasa cam 'emmm takutlah nak pergi! Kbye!' Haha Tapi kan, nak tunggu diri kau tu jadi perfect, memang sampai mampus lah kau tak jejak kaki ke sana kan? Lagipun, ramai yang cakap, kisah-kisah dalam majalah tu banyak yang digoreng je. Haaa betul ke? Hew hew Honestly speaking, bila abang diajak oleh @umrahepl untuk gi buat umrah, abang nak tolak sebenarnya. Bukan apa, cuak and rasa belum ready. Nak pulak, abang sebenarnya pun bukanlah jejaka yang terpaling baik dalam dunia. Tapi bila abang pikir balik, kalau nak ikutkan cuak, takut, tak ready, tak cukup baik, then sampai kesudah lah abang takkan pergi cos nobody is perfect kan? So, HERE I GO! Insyaallah abang akan pergi umrah pada bulan 11 nanti. ANDDD, to those #villagepeople yang satu geng ngan abang yakni nak pergi tapi takut, tak reti sangat, rasa tak cukup sempurna, takpe. Jom kita gi sesama and belajar sesama ngan orang yang lebih pakar. Diterima or tak umrah kita, biar Allah yang judge. Heaaa Untuk daftar or nak maklumat lanjut, kau boleh datang kat opis dorang di 1-13 Jln Kajang Impian 1/11, Taman Kajang Impian, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor Darul Ehsan. [EPL TRAVEL & TOURS SDN BHD] or contact person in charge +60 3-8912 2703 (pejabat) or +6019391371(Rashid). Hew hew P/S: Siapa yang dah penah sampai Mekah, share la sikit pengalaman korang please!

A post shared by Faizdickie (@faizdickievp) on

 

 

 

 

Sejak bila dan bagaimana mula tular dengan video jenaka?

Hampir empat tahun lalu (2013) saya mula menghasilkan komik dengan meletakkan kapsyen pada setiap foto. Ketika itu saya masih bekerja sebagai wartawan akhbar di bahagian jenayah. Kerjaya sebagai wartawan sebenarnya menyeronokkan tetapi saya tidak menafikan ada kalanya ia membuatkan saya tertekan.

 

Masakan tidak, seringkali berhadapan dengan mayat, pergi ke tempat kejadian atau lokasi jenayah dan sebagainya. Maka saya perlukan satu saluran untuk mengurangkan tekanan serta dalam masa sama dapat menterjemahkan hasil kreativiti yang saya ada.

 

 

 

 

Daripada mana datangnya keberanian untuk muncul dengan video sendiri?

Saya cuma melakukannya sekadar suka-suka, jauh sekali untuk memikirkan kesan, apa risiko atau kecaman yang akan diterima. Memandangkan ketika itu tidak ramai yang mengetahui mengenai video berunsur kelakar atau jenaka, maka ada yang menerimanya sebagai salah satu sumber hiburan. Namun tidak kurang juga yang mengecam.

 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana pula dengan kecaman yang dilemparkan?

Rata- ratanya yang mengecam menggunakan isu yang sama yakni mengapa saya berpakaian seperti perempuan dan memegang watak perempuan. Pada mulanya saya tidak ambil pusing mengenai kecaman kerana apa yang saya perhatikan trend netizen sering kali mengecam walaupun tiada isu besar misalnya.

 

Setiap watak yang saya tampilkan tidak lebih hanya sekadar mahu menghiburkan kerana pada hakikatnya saya bukanlah begitu. Di alam realiti saya tidak seperti itu.

 

 

 

 

Mengapa memilih watak makcik dan tidak watak lain?

Jika diteliti, sebenarnya banyak watak yang dicipta seperti sebuah keluarga. Watak bapa, emak, anak, kawan emak dan sebagainya. Pertamanya saya tampilkan watak anak perempuan, Naabella Hijabis. Kemudian dari situ saya kembangkan pula kepada watak ibunya iaitu Kak Leha Bunting kemudian saya olah watak bapa pula iaitu Pak Leman.

 

Begitu juga dengan kawan Kak Leha, Cik Yam. Masing-masing berkait. Setakat ini penerimaan dan sambutan daripada pengikut mahupun penonton yang menonton video jenaka saya amat memberangsangkan.

 

Setiap watak yang ditampilkan sebenarnya adalah karakter sebenar yang berlaku dalam persekitaran kita. Apabila berdasarkan karakter sebenar, ia memudahkan penerimaan orang kerana secara tidak langsung sesiapa jua boleh mengaitkannya dengan kehidupan mereka.

 

 

 

A post shared by Faizdickie (@faizdickievp) on

 

 

 

Mengapa memilih medium ini dan tidak menyertai pertandingan lawak?

Pertama, niat saya menghasilkan video ini sekadar suka-suka malah tidak pernah terfikir ia akan menjadi kerjaya seperti apa yang saya lakukan hari ini. Malah personaliti saya berbeza sama sekali dengan apa yang saya tampilkan dalam setiap watak.

 

 

 

Karakter Faiz jika tidak menyarung kostum dalam setiap watak yang diketengahkan?

Saya seorang yang laid back, tidak banyak bercakap dan ada ketikanya saya agak serius.

 

 

 

A post shared by Faizdickie (@faizdickievp) on

 

 

 

Siapa yang memberi galakan untuk Faiz tampil seperti hari ini?

Pada mulanya saya sendiri yang mengambil inisiatif untuk beranikan diri merakam pelbagai karakter. Tetapi lama-kelamaan, saya akan meminta bantuan daripada rakan-rakan kerana saya perlukan input daripada mereka.

 

Malah ada ketikanya sebelum saya muat naik sesebuah video saya akan minta pandangan daripada rakan-rakan terlebih dahulu sama ada okey atau tidak, isu sensitif dan sebagainya. Dan lazimnya mereka yang akan membantu untuk menapis kandungan setiap video, daripada segi tajuk dan lain-lain.

 

 

 

 

 

 

 

Apa cabaran dan kekangan yang Faiz perlu berdepan sebagai bintang media sosial?

Pada saya apabila kita berbicara mengenai dunia yang melibatkan kreativiti, apa yang ‘kritikal’nya adalah idea. Mungkin orang tidak sedar atau tidak nampak akan perihal ini kerana idea bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk diperolehi.

 

Apatah lagi sudah empat tahun saya menghasilkan video-video berunsur kelakar, maka kebanyakan idea telah digunakan. Ada kalanya sukar untuk saya dapatkan idea yang bagus dalam menghasilkan sesebuah video.

 

Cabaran kedua pula daripada segi ‘pendatang baru’ yang turut sama menceburi bidang ini. Mahu atau tidak, saya perlu bersaing dengan mereka kerana rata-rata mereka juga melakukan pendekatan atau teknik yang sama.

 

Pendatang baru ini lazimnya mempunyai kelompok pengikut yang muda dan berbeza dengan pengikut saya yang terdiri daripada golongan young adults. Justeru, bukan sesuatu yang mudah untuk saya ‘tackle’ kumpulan pengikut mereka.

 

 

 

 

 

 

 

 

Kepuasan yang diraih?

Apabila saya berpeluang merasai dan menikmati perkara yang sebelum ini tidak pernah saya peroleh. Contohnya berpeluang pergi ke tempat-tempat yang tidak pernah orang pergi dan sebagainya. Selain itu pengikut saya yang saya gelarkan ‘village people’, saya anggap dan melayani mereka sebagai kenalan. Ia meluaskan rangkaian sosial dan teman- teman dalam bidang ini.

 

Misalnya jika saya outstation dan ingin bertanya di mana tempat makan yang menarik, saya cuma post di Instagram dan pasti ada yang membantu. Kepuasan lain yang saya sifatkan cukup bertuah dapat merasainya adalah daripada segi kewangan.

 

Mungkin ada yang tidak tahu sebenarnya bintang media sosial boleh menjana pendapatan melalui medium ini. Contohnya melalui reviu produk, iklan dan sebagainya. Saya boleh menghiburkan penonton dan dalam masa sama saya juga memperoleh pendapatan sampingan.

 

 

 

 

Kata orang bukan sesukar mana untuk menghasilkan video tular. Komen Faiz bagaimana?

Sebenarnya bukan senang mahu membuatkan orang ketawa. Malah lebih susah jika mahu membuatkan orang tertawa dan dalam masa sama mahu menyelitkan ilmu atau moral di sebaliknya. Dan pada saya jika ada yang berpendapat demikian, apa kata cuba lakukan sendiri.

 

Bukanlah mahu mendabik dada tetapi sebenarnya tidak mudah menghasilkan sesebuah video yang bukan sekadar orang ketawa berdekah-dekah tetapi ada ilmu yang dapat dipelajarinya.

 

 

 

 

 

 

 

 

Subjek atau bahan yang sering menjadi content dalam penghasilan video Faiz?

Apa yang berlaku di sekeliling saya atau ada ketikanya saya akan mengambil pendekatan dengan melihat perkembangan isu semasa.

 

 

 

 

Jika ada yang menyifatkan bintang media sosial ini akan hilang ‘taringnya’ dan tular hanya seketika sahaja. Komen Faiz?

Saya setuju dengan pandangan demikian tetapi bergantung kepada tuah, untung nasib dan usaha seseorang. Sebenarnya pada hemat saya, tiada yang kekal dalam dunia ini. Masing-masing punya turun naik. Sama juga seperti bintang media sosial, ada masanya anda dikenali dan ada juga ketikanya anda mungkin ‘sendu’ tiada lagi yang mengenali anda.

 

Semuanya terpulang kepada anda bagaimana untuk memastikan anda kekal relevan. Secara peribadi, saya sendiri melaluinya. Jika dahulu dan pada awalnya apa jua yang saya post pasti bikin pecah perut orang ketawa dan mereka terhibur. Sehinggakan ada masanya orang anggap sudah biasa dan boleh jangkakan apa yang akan berlaku di penghujung sesebuah jalan cerita yang saya tampilkan.

 

Maka dengan itu saya perlu cari idea lain untuk memastikan saya kekal relevan dan evolve. Contohnya, saya sudah mula hasilkan rancangan temu bual sendiri (Knock Knock Apa Ittew), melibatkan diri dalam platform yang lebih serius dan sebagainya.

 

Biarpun mungkin saya kehilangan pengikut yang hanya menggemari video-video kelakar sahaja, tetapi dalam masa sama saya juga berpeluang memperoleh dan meluaskan kumpulan pengikut daripada latar belakang berbeza umpamanya. Pada saya semuanya berbalik kepada diri kita sendiri, bagaimana mahu seimbangkan DNA lawak yang sedia ada atau mahu kekal pada satu takuk sahaja.

 

 

 

 

 

Apakah persediaan sebelum Faiz menghasilkan sesebuah video, punya rangka jalan cerita mungkin?

Kebanyakan masanya ketika saya peroleh idea yang sumbernya datang daripada pelbagai cara; saya akan mengolahnya terlebih dahulu. Kembangkan idea tersebut menerusi bagaimana jalan ceritanya. Daripada situ saya kembangkan dan cuba dapatkan punch line juga penghujung jalan cerita video tersebut. Skrip pula semuanya spontan belaka.

 

 

 

 

Perbezaan bintang media sosial dengan pelawak, pengamal komedi tegar?

Secara peribadi saya mengagumi barisan pelawak atau penggiat komedi yang boleh dan berani berlawak di hadapan orang ramai. Sebutlah apa jua pentas komedi berskala besar seperti Raja Lawak, Maharaja Lawak, Lawak Solo dan lain- lain. Kerana saya tahu tidak mudah bagi mereka melakukannya.

 

Walaupun ada yang menyifatkan lawak mereka hambar, tidak seiring dengan perkembangan semasa tetapi pada saya saat mereka berdiri di atas pentas, berani tampil di hadapan khalayak dan berlawak itu sudah cukup untuk meraih tabik hormat daripada saya. Saya salute mereka. Malah saya sendiri tidak mempunyai keberanian dan keyakinan seperti mereka kerana hakikatnya saya bukan begitu.

 

Pada saya yang membezakan adalah keyakinan diri yang ada pada mereka. Seperti pelawak sedia ada, personaliti mereka sememangnya peramah, mudah didekati dan cepat mesra. Dan itu yang tiada pada bintang media sosial seperti saya.

 

 

 

 

 

 

 

Apakah mungkin Faiz akan cuba mencabar diri untuk menyertai pertandingan lawak pula selepas ini?

Setakat ini masih belum terfikir untuk sertai apa jua pertandingan lawak. Jika ada yang mengajak sekalipun saya dengan rela hati menolak tawaran tersebut.

 

 

 

 

Selama mana Faiz ingin kekalkan pembawaan diri dalam genre komedi tular?

Pada saya benda ini tidak akan habis atau tamat sebegitu sahaja. Saya sendiri punya matlamat atau impian untuk menyambung pengajian dan dalam masa sama mahu menamatkan profesyen sebagai pensyarah dalam jurusan Komunikasi Massa.

 

Malah saya percaya, apa yang saya lakukan hari ini sebenarnya salah satu daripada cabang komunikasi massa juga. Dan pada hemat saya, tidak salah rasanya jika saya teruskan apa yang dilakukan hari ini sampai bila-bila kerana ia akan membantu untuk saya berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan bakal pelajar-pelajar saya.

 

 

 

 

 

 

 

Sukar atau tidak memahami trend atau apa yang menjadi kesukaan orang untuk menonton sesebuah video jenaka?

Sebenarnya tidaklah terlalu sukar kerana rata- ratanya masyarakat Malaysia sukakan elemen santai, benda yang boleh membuatkan mereka tertawa. Tetapi harus diingat,biarpun ia sekadar hiburan, gelak tawa janganlah pula sehingga menghasilkan lawak-lawak bodoh yang tiada pengisian. Pada saya cuma perlukan pendekatan dan tumpuan untuk menghasilkan video lawak yang mampu mendidik.

 

 

 

Video yang paling banyak mendapat 'likes'?

Video iklan Adabi, 40,000 likes.

 

 

 

 

 

 

'Props' yang sering menemani kala merakam aksi?

Tudung yang membezakan setiap watak, juga pakaian selain monopod dan telefon bimbit.

 

 

Jika tiada media sosial adakah Faiz akan dikenali seperti hari ini?

Saya hanya akan dikenali sebagai wartawan meja jenayah. Masih lagi nobody.

 

 

 

 

Adakah sesama kalian berlumba-lumba untuk menghasilkan video yang meraih banyak likes, paling banyak menerima komen atau bagaimana?

Pada saya cabang seni kreativiti ini tidaklah sebesar mana apatah lagi dalam ruang media sosial seperti yang kami tampilkan hari ini. Malah ada ketikanya jika saya terserempak dengan bintang media sosial lain dalam sebuah majlis umpamanya kami masih lagi bertegur sapa. Dan saya juga mengenali bintang media sosial lain seperti Luqman Podolski, Arlina Banana dan ramai lagi.

 

Kami berkawan tetapi tipulah jika saya mengatakan tidak pernah merasa terancam atau tidak pernah merasa mahu lakukan lebih baik daripada orang lain dan sebagainya. Saya percaya sesiapa jua jika berada dalam sesuatu persaingan, pasti punya perasaan yang sama.

 

Dan bagi saya sendiri, saya tidak meletakkannya sebagai prioriti kerana sekarang saya hanya akan lakukan apa yang saya suka sahaja. Biarlah kita bersaing secara sihat dan bukannya meletakkan sasaran tertentu untuk meraih populariti atau pengikut yang lebih ramai dengan cara yang tidak bijak.

 

 

 

 

 

 

 

 

Sejauh mana Faiz rasakan video yang dihasilkan mampu mendidik atau dalam erti kata lain menyindir dengan cara paling sopan?

Itu antara sasaran saya kerana saya cuba pastikan setiap video yang dihasilkan mampu mendidik orang yang menonton. Malah saya lebih gembira jika sekurang-kurangnya hanya seorang dua yang ‘terasa’ atau tercuit dengan mesej yang disampaikan menerusi setiap video.

 

Itu sudah mencukupi. Misalnya ada yang mengirim e-mel mengatakan mereka terinspirasi melihat saya melanjutkan pelajaran, itu sudah memadai bagi saya.

 

 

 

 

Jika ada yang berpendapat periuk nasi Faiz Dickie hanya di media sosial sahaja, komen?

Itu terpulang kepada pendirian dan rezeki masing-masing. Saya tidak akan membandingkan diri dengan pelawak dan pengamal komedi yang lain kerana saya percaya mereka juga mempunyai perjalanan hidup tersendiri.

 

Malah pemilihan dan percaturan jalan hidup juga jauh bezanya. Saya hanya bandingkan diri saya sendiri kerana jika melihat apa yang saya lalui sebelumnya, rutin saya cuma di pejabat atau pergi ke lokasi kejadian, melihat mayat dan kembali ke pejabat menulis berita untuk dipaparkan di akhbar.

 

Berbanding dengan apa yang saya perolehi kini, ia cukup besar dan banyak mengubah dimensi pemikiran saya. Benar kata orang, jangan terlalu selesa dengan apa yang anda miliki. Tetapi saya fikir janganlah terlalu tamak untuk kaut semuanya sehinggakan nanti kesudahannya anda tidak ke mana.

 

 

 

 

 

 

 

Ke mana Faiz lima atau 10 tahun akan datang?

Insya-Allah saya akan teruskan dengan apa yang dilakukan selagi diperlukan dan diterima semampu saya. Selebihnya selagi saya berada dalam industri ini, saya mahu kumpulkan peluang juga pengalaman yang ada sebagai persediaan bergelar pendidik dan berkongsi dengan pelajar-pelajar kelak.

 

Jika lima tahun akan datang, seandainya ada tawaran untuk bergelar pensyarah, akan saya rebut peluang itu kerana itu yang saya angankan.

 

 

 

 

Kata akhir Faiz Dickie?

Kepada semua yang menyokong saya selama ini, daripada detik mula saya menghasilkan video berunsur lucu ini, terima kasih buat kalian kerana memberi kata-kata semangat dan mendorong saya hingga ke hari ini.

 

Selamanya kita kekal sebagai 'village people'. Dan kepada mereka yang teringin berada di tempat saya, nasihat yang saya boleh kongsikan, apabila anda mahu lakukan sesuatu, pastikan niat anda betul.

 

Janganlah sekadar mahu terkenal dan ramai pengikut, anda tergamak lakukan perkara-perkara bodoh. Cuba lakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada diri anda juga orang lain. Dan dalam masa sama, just have fun!

 

 

 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.