May 02, 2017 - 3185

Bila ‘Mak Cik Rosmah MCR’ Bantai Netizen, Isu KBAT SPM Sampai King CoCo! — Ini Orangnya Buat Malaysia Gamat!

Terkenal dengan karakter Mak Cik Rosmah, kini setiap video yang dimuatnaik olehnya menjadi tular. Kenali siapa dia yang menjayakan watak MCR ini?

 

 

 

 

Oleh: Salina Ibrahim 

 

 

 

 

 

 

SAYA Arwind Kumar, berumur 22 tahun dan pelajar tahun kedua jurusan Event Management di Sunway University. Sebelum video karakter Mak Cik Rosmah (yang tular sekarang), saya buat video di dalam tandas sahaja. 

 

Ketika itu video saya tidak ada content (pengisian) dan hanya sebagai hobi. Saya duduk di dalam tandas, guna telefon Samsung, letak di sinki dan rakam. Saya buat parodi lagu atau drama tetapi daripada segi content tiada informasi apa-apa. Itu pada tahun 2012, ya lima tahun lalu. Pada tahun 2014, saya mula hasilkan video yang ada content. Masa itulah Mak Cik Rosmah saya timbul dari lautan samsara! 

 

 

 

 

Bila dan bagaimana tercetusnya idea untuk menghasilkan video sedemikian? 

Video Mak Cik Rosmah bermula dengan video SPM, ada video lain juga tetapi kurang diminati. Sebelum saya menghasilkan video SPM, saya sedar ada soalan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) sekarang yang kelakar. Soalan itu berkonsep KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) yang menuntut kita berfikir secara kritis. 

 

Saya sedar kerana saya sendiri pernah rasa susah hendak menjawab dan saya jadi sangat stres. Saya faham tahap stres itu. Lalu saya terfikir, mengapa tidak saya gunakan karakter Mak Cik Rosmah untuk remake soalan itu dalam cara yang kelakar. Dia ambil soalan yang lucu dan dia akan buat cara dia. Ketika itu saya sedar, penonton sangat suka Mak Cik Rosmah review soalan SPM. Sejak itulah segalanya mula berubah. 

 

 

 

 

 

 

Maklum balas dan reaksi daripada video tersebut? 

Respons terutamanya terhadap video SPM sangat-sangat mengejutkan. Saya tak pernah jangka dapat respons yang sebegitu, malah sangat multiracial. Itu yang menarik tentang video saya. Ada respons daripada orang Melayu, Cina dan India. Mak Cik Rosmah adalah karakter yang menaikkan semua kaum.

 

you, stres sudah pergi.” Saya fikir, “Eh, cikgu-cikgu pun suka?” Ini buat saya sedar bahawa video ini sangat realistik contentnya. 

 

 

 

 

 

 

Mengapa memilih karakter Mak Cik Rosmah dan tidak menjadi diri sendiri? 

Soalan yang bagus tu! Sebenarnya ada tiga karakter, pertama saya sendiri. Kedua, Mak Cik Rosmah. Ketiga, Aunty Chailing. Sedar tak, ia pelbagai kaum kan, saya mewakili India, Mak Cik Rosmah Melayu dan Aunty Chailing Cina. Saya cuba experimenting ketiga-tiga karakter ini, yang manakah paling disukai. Karakter saya adalah karakter yang bercakap lemah lembut dan bernada rendah. Aunty Chailing pula dengan cara kelakar dan sangat lembut juga.

 

Sementara Mak Cik Rosmah pula punya karakter yang yakin, berani, sangat garang, karakter yang ada energy seperti seorang ibu. Saya rasa, sebab itulah penonton suka Mak Cik Rosmah kerana apabila dia bercakap, tidak seperti budak kecil, cara dia bercakap, berpakaian, malah namanya pun mak cik. Memang hingga sekarang Mak Cik Rosmah adalah karakter yang semua orang suka. Jadi saya buat keputusan, Mak Cik Rosmah akan jadi ‘suara’ untuk semua video saya. 

 

 

 

Video pertama yang dimuat naik? Dan video yang menjadi tular? 

Video pertama yang saya buat di dalam tandas itulah, tahu kan gaya “gwiyomi ... gwiyomi”, hah, yang itulah! Video paling tular pula, adalah video berkaitan Coco. Saya baru semak, sudah 1.5 juta views. Saya pun terkejut juga. Hoosh, meletop! 

 

 

 

 

 

 

Kepuasan yang dirasai apabila menghasilkan sesebuah video? 

Apabila saya letakkan segala usaha dalam penghasilan video, kemudian orang ramai suka, maka itulah kepuasan saya. Kerja keras saya berbaloi. Rasa puas apabila melihat bukan hanya satu kaum tetapi semua kaum, multiracial, memberikan komen. “Arwind, you’re so funny. You made my day.” Saya rasa matlamat saya sudah tercapai.

 

Matlamat saya adalah untuk menarik semua kaum menjadi satu. Kadangkala memang susah hendak urus masa tapi saya cuba. Kalau saya ada masa break, katakan dua jam, antara 10.00 hingga 12.00 atau 12.00 hingga 2.00 petang, saya akan lari balik bilik, cepat-cepat pakai lipstick, mekap, maskara, letak selendang, cepat-cepat rakam dan kemudian simpan. Saya mandi dan bersiap ke kelas semula. Waktu tengah malam, barulah saya buat editing

 

 

 

 

 

 

Ada jadual tertentu dan jumlah video yang dimuat naik dalam seminggu? 

Pada masa sekarang, kalau ada apa- apa isu yang boleh jadi tular atau saya boleh ambil sebagai pengisian, saya akan segera hasilkan video. Contohnya, video Coco ini, sebenarnya videonya ada content, jadi saya akan hasilkan video berdasarkan hal itu.

 

Sekarang isu 'Beauty and The Beast', pada saya, itu juga ada suatu content yang dapat saya hasilkan. Saya fikir, banyak orang mahu bercakap tentang isu itu tetapi mereka tak reti. Jadi saya akan gunakan Mak Cik Rosmah untuk suarakan bagi pihak mereka. Hari inilah saya akan buat, sabar... sabar! 

 

 

 

 

 

 

Apa yang ingin Arwind cuba buktikan dan sampaikan menerusi setiap video yang dihasilkan? 

Saya ada satu matlamat sahaja, iaitu supaya orang tahu, kalau mereka nak suarakan sesuatu, mereka boleh suarakan. Sebab apa pun yang mereka cakap, sama ada baik atau buruk, masyarakat tetap akan hakimi. Pada saya, sama ada anda buat baik atau buruk, masyarakat tetap akan nilai, jadi tak payah simpan ketakutan itu.

 

Ketakutan itu tidak akan bawa anda ke mana- mana. Apabila saya voice out, saya mahu orang lain tengok apa yang saya buat itu. Saya mahu beri inspirasi pada orang lain supaya suarakan. 

 

Dalam dunia tempat kita tinggal sekarang, banyak orang takut untuk suarakan, takut orang mengata, takut orang akan pandang berbeza. Video saya semuanya berkenaan ‘anda tak perlu takut kalau anda tahu yang anda cakap betul dan ikhlas’.

 

Matlamat saya untuk beri inspirasi pada orang ramai supaya jadi berani dan bersuara. Dalam dunia ini, kita perlu anak muda untuk jadi defender negara pada masa depan, tapi kalau mereka duduk dalam shell (cengkerang) mereka sahaja dan tak berani keluar, kita takkan capai semua itu. 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana Arwind membahagikan masa antara belajar juga komitmen lain, dalam masa sama menghasilkan video? 

Memang tak ada masa. Kelas bermula pukul 8.00 pagi dan kadangkala berakhir jam 5.30 atau 6.30 petang. Kadangkala lepas kelas, saya ada penggambaran yang perlu dibuat hingga jam 8.30 atau 9.30 malam. Kalau nak buat video tengah malam di rumah, dengan suara Mak Cik Rosmah, pasti semua orang akan bangun. 

 

 

 

 

 

 

Siapa yang galakkan Arwind untuk hasilkan video begini?

Sebenarnya saya bukanlah seorang extrovert. Dahulu saya seorang introvert. Ya, sungguh! Saya pernah jadi budak yang duduk seorang di dalam kelas, tak ada kawan, tak tahu nak dekati orang, sangat pemalu dan langsung tak ada keyakinan. Saya akan duduk seorang dalam kelas dan sangat takut nak buat presentation. Saya tak keluar rumah sebab saya tak suka tempat awam. Saya tak suka orang tengok saya kerana saya rasa sangat malu.

 

Saya alami depresi kerana rasa tak ada kawan dan rasa tak ada orang mahu berkawan dengan saya. Saya pernah rasa apa guna hidup kalau tak ada kawan dan tak ada orang mahu bercakap dengan saya. 

 

Suatu hari, saya mula buat video di dalam tandas. Disebabkan saya seorang, saya buat sahaja video sebagai hobi dan upload. Video pertama yang dapat banyak komen, adalah Video SPM Sejarah. Apabila saya baca banyak komen dan review yang bagus, mereka sangat happy dengan video itu, stres mereka hilang, maka semangat saya jadi membara. "Oh, mereka suka video aku. Ada orang suka aku!" Maka saya buat lagi dan lagi.

 

Saya pun tak sedar daripada introvert, saya berubah jadi extrovert kerana saya sudah ada keyakinan untuk buat video, upload ke public, saya mula buat kawan dan keluar. Video-video itu semua memang telah mengubah hidup saya! 

 

 

<<Siapa dia Arwind Kumar aka Mak Cik Rosmah>> KLIK DI SINI: 

 

 

 

Menjadi satu trend kini apabila terlalu ramai anak muda yang ingin bergelar social media influencer. Maka dengan itu terciptalah pelbagai video yang tidak memberi manfaat. Apa komen Arwind? 

Sangat banyak remaja dan anak kecil yang mahukan sangat perhatian dengan menghasilkan video. Tapi yang mereka tak faham, kalau video mereka tak ada content yang orang sukai, video itu takkan sampai ke mana-mana. Sekadar buat video memang tak cukup. Pada saya, video itu perlu ada content dan informasi. Kalau tak ada content, anda jadi tular sama ada dengan bad reason atau takkan jadi tular langsung.

 

Memang ada kemungkinan jadi tular tapi tak ada gunanya sebab orang tak melihat video itu ada content yang baik. Anda akan jadi tular sebagai very negative Pada saya, menghasilkan video tak ada hal tetapi video itu mesti ada arah tuju dan tak boleh buat video hanya sebab nak buat video sahaja. 

 

 

 

 

 

Pernah terfikir mahu bergelar stand-up comedian atau menonjolkan bakat dalam pentas yang berskala besar, mungkin? 

Ketika video saya berkaitan Coco 'meletop', ada banyak mesej terutamanya peminat Melayu yang suruh saya masuk Maharaja Lawak. “Arwind kena masuk MLM, confirm boleh menang,” kata mereka. Memang cikgu-cikgu juga kata, saya patut cuba stand-up comedy tetapi saya tak tahulah, saya rasa saya belum sampai ke tahap itu.

 

Saya lebih berminat sebagai content creator. Matlamat utama saya untuk jadi content creator, saya nak buat video yang ada content, mengenai pendidikan dan seumpamanya. Untuk jadi stand-up comedian itu, saya fikir, belum lagi. Mungkin akan jadi tetapi bukan sekarang, mungkin beberapa tahun akan datang. 

 

 

 

 

 

Apa yang menjadi sumber inspirasi Arwind untuk terus menghasilkan video-video ini? 

Inspirasi utama saya sudah tentulah kisah silam saya. Saya loner, tak yakin pada diri sendiri, ketika saya alami depresi, saya gunakan video untuk atasi rasa itu. Saya tahu apa rasanya apabila lalui kesakitan dan negativiti. Saya tak mahu orang lain juga lalui perkara sama. Saya gunakan kisah silam saya sebagai inspirasi untuk bantu remaja dan budak-budak lain atasi depresi dan stres.

 

Ramai yang hantar mesej di Facebook dan Instagram pada saya, beritahu mereka stres kerana belajar atau ibu bapa suruh belajar itu ini tapi mereka tak minat bidang itu dan mereka tak tahu apa nak buat. Jadi saya sasarkan video saya untuk bantu mereka atasi stres itu.

 

Dengan kata mudah, untuk jadikan dunia ini tempat yang lebih baik dan sebarkan kegembiraan. Sekarang banyak perkara yang melukakan kita dan kita perlukan kegembiraan, jadi saya mahu sebarkan kegembiraan dan buat orang melupakan masalah mereka. 

 

 

 

Ke mana dan apa perancangan Arwind selepas ini? 

Sudah tentulah yang pertama, saya mahu sempurnakan pengajian saya. Kemudian, saya mahu fokus sepenuhnya pada content creating. Pengajian saya adalah sokongan penting untuk saya jika ada perancangan yang tak menjadi. Sebab itu perlu selesaikan pengajian, kemudian saya mahu fokus kepada content creating, hasilkan banyak lagi video dan bekerja bersama klien. 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana Arwind mahu kekalkan populariti? 

Kadangkala apabila video sudah tular atau popular, ada yang cenderung untuk menukar cara bercakap atau penghasilan video mereka. Bagi saya, cara itu sangat bahaya. Jika anda tukar gaya kerana kemasyhuran atau sebab sudah popular, content itu takkan jadi realistik lagi. Pada saya, sejauh mana popular dan tularnya Mak Cik Rosmah saya itu pergi, saya tetap akan buat video yang sama seperti yang saya hasilkan dua tahun lepas.

 

Saya akan kekalkan content yang sama, iaitu Mak Cik Rosmah saya. Saya tak mahu tukar dia sebab dia sudah jadi popular. Kalau saya tukar, dia tak akan jadi Mak Cik Rosmah lagi. Orang ingat Mak Cik Rosmah sebab video SPM-nya, pisaunya dan cara cakapnya. Saya takkan tukar kalau saya mahu orang terus ingat Mak Cik Rosmah. 

 

 

Tagline Mak Cik Rosmah “Sunat you!” dengan pisaunya, mungkin orang fikir itu terlalu kasar dan tak sesuai untuk tontonan remaja, komen Arwind? 

Memang saya dapat banyak mesej berkenaan hal itu, “Jaga-jaga Arwind dengan pisau tu. Bahaya tu!” Bagi saya begini, kalau anda ambil risiko apa yang anda buat, apa-apa terjadi anda kena sedarlah akibatnya. Apabila saya pegang pisau itu, memang saya sedar, hello, saya sedar okey, saya tahu dekat atau jauh jaraknya, takkan saya gila nak pegang dekat-dekat dengan orang!

 

Memang saya dapat banyak komen berkenaan hal itu, saya ucapkan terima kasih kerana itu menunjukkan anda semua memang kisah. Saya memang berjaga- apa apabila saya pegang pisau. Yalah, pisau betul tu, tajam! 

 

 

 

 

 

 

Siapakah tokoh/idola pelawak yang Arwind kagumi? 

Saya memang orang yang susah hendak gelak ketika tengok video orang lain. Saya pun tak tahu kenapa. Tetapi seorang pelawak yang mampu buat saya senak perut dan saya gelak sampai keluar air mata, adalah Kumar dari Singapura. Keyakinan dan keberaniannya untuk pakai apa yang dia pakai, memang tak mudah orang lain nak tiru. Dia memang kelakar nak mampus! 

 

 

 

Ucapan buat peminat dan penyokong Arwind? 

Terima kasih banyak sebab saya sendiri tak pernah menyangka video saya akan dapat sampai pada sasaran audiens yang besar dan engaged orang ramai. Terima kasih semua penonton sebab kalau mereka tak view dan share, video ini takkan jadi tular seperti sekarang. Terima kasih yang tidak terhingga. Saya amat menghargai sokongan anda selama ini. 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Wanita Jelita Ini Suri Niaga Sukses, TAPI “Jadi Ibu di Dunia dan Mengejar AKHIRAT Tetap Kerjaya No. 1 Saya”

  • Seterus →

    “Saya Lihat Sendiri, Rakyat GAZA Bersemangat Mahu Syahid. Tapi Kita Ni di Malaysia, Kusut Kejar Dunia dan Populariti!”