May 04, 2017 - 5920
Oleh: Huda Hussain
DUA tahun cuba mendekati namun dek kerana kekangan masa dan kerja, rezeki tidak memihak kepada InTrend ketika itu. Afdlin kini sibuk dengan...?
Insya-Allah saya kini sedang mengerjakan dua buah projek filem. Satu untuk diterbitkan ke pasaran Hollywood dan masih lagi mencari rakan usaha sama pengedar. Manakala sebuah filem lagi saya bertindak sebagai pengarah dan penerbit.
Bagaimana munculnya idea untuk menerbitkan Comedy Planet yang asalnya di Johor Bahru dan kini membuka cawangan di Great Eastern Mall, Kuala Lumpur?
Tujuannya adalah untuk membuka restoran yang bukan sekadar menyajikan makanan dan mengetengahkan hiburan tetapi lebih kepada menyasarkan tempat hiburan seisi keluarga. Halalnya daripada segi tiada minuman keras disajikan. Jika dahulunya selebriti sering ke pusat hiburan yang turut menyediakan minuman alkohol untuk membuat persembahan. Tetapi kini selebriti tidak lagi selesa dengan situasi sedemikian.
Dan kami adalah antara yang pertama mempelopori pusat hiburan berkonsepkan pendekatan ini. Sasarannya adalah untuk meluaskan rangkaian francais di kota-kota besar seluruh negara dan kemudiannya ke luar negara. Tahun lepas sudah mula beroperasi di Kilang Bateri, Johor dan kini ditutup kerana kami berpindah ke lokasi yang lebih besar di Danga Bay.
Sambutan yang diterima daripada peminat?
Alhamdulillah. Biarpun masih baru (di Johor Bahru), ramai orang mula tertanya- tanya, apakah konsep tempat ini dan sebagainya. Kerana kami bukan sahaja menyediakan platform untuk persembahan stand- up comedy tetapi juga persembahan puisi dan lain-lain. Di Kuala Lumpur, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Jika dahulu di Kilang Bateri, ruangnya agak kecil maka membataskan orang ramai untuk hadir.
Adakah anda mewarisi sifat-sifat humor atau dikelilingi oleh mereka yang fun and funny dalam hidup anda?
Sejujurnya keluarga saya orang susah. Adik-beradik lima orang, kadangkala perlu berkira-kira dan duit tidak cukup untuk ke sekolah dan sebagainya. Pada saya, dalam keluarga susah ini perlu cari jalan untuk menghiburkan diri sendiri. Dari situlah timbulnya idea untuk hiburkan adik-beradik, mahu mak ayah gelak.
Masih ingat lagi sewaktu kecil saya perform depan atuk nenek saya. Caranya, saya rakamkan suara dengan cassette player milik atuk. Saya lakukan sendiri bunyi-bunyi misalnya meniru suara haiwan dan bercerita itu dan ini. Selepas merakam, saya beri kepada atuk dan dia pasang dalam kereta lalu mengajak kawan-kawannya turut sama mendengar. Dari situlah ia bermula.
Kalau anda lihat, sebenarnya tidak ramai orang kaya boleh jadi pelawak, (ketawa). Kebanyakannya datang dari latar belakang keluarga susah atau punya kisah keluarga porak-peranda (ketawa), mesti ada sesuatu di sebalik sejarahnya. Kerana komedi adalah yang memberi rasional kepada kehidupan mereka.
Kongsikan bersama kami mengenai rancangan bual bicara Al Faham ke Idoq?
Saya adalah hos dan penerbit rancangan 10 episod ini. Pada saya menjadi tanggungjawab untuk menggunakan populariti yang ada ke arah kebaikan. Saya mengajak rakan-rakan selebriti untuk turut sama berbincang dan belajar dalam satu majlis ilmu dengan bantuan ustaz-ustaz.
Apa jua isu berkaitan agama yang tidak difahami atau tidak jelas akan dirungkaikan. Penonton juga turut sama boleh belajar.
Dakwah menerusi komedi, komen Afdlin?
Pada saya ia sudah dipraktikkan oleh ustaz-ustaz lain kerana kalau kita lihat, unsur komedi digunakan untuk menyampaikan informasi supaya orang yang mendengar tidak mengantuk. Lihat sahaja di mana-mana baik sesi tazkirah di masjid, pasti ada ustaz yang menyelitkan unsur komedi untuk membangkitkan keterujaan pendengar untuk terus mendengar ceramah dan ilmu yang disampaikan. Menerusi rancangan Al Faham ke Idok, saya dan barisan selebriti lain membantu menyebarkan dakwah itu menggunakan populariti kami.
Afdlin juga kini aktif dan banyak melibatkan diri dalam sesi perkongsian ilmu yang berunsurkan kerohanian dan keagamaan, ceritakan kisah di sebaliknya?
Pada saya, istilah yang sesuai adalah mencari titik keseimbangan dalam hidup. Segalanya bermula apabila saya mengikuti misi bantuan ke Gaza, Palestin pada 2012.
Sejujurnya sebelum ke sana, apa yang terpahat dalam minda saya adalah untuk mencari periuk nasi keluarga sahaja, atau secara asasnya bagaimana kita membuat persiapan agar kita tidak gagal hidup di dunia. Takutnya adalah hidup di dunia sahaja.
Dan bertitik tolak daripada itu, kesedaran itu mula membuahkan bibit sedikit demi sedikit. Sekitar empat ke lima tahun ini, saya lalui dengan pelbagai peluang yang mendekatkan diri ke arah ini. Dikurniakan rezeki dapat menunaikan umrah dan haji juga berkenalan dengan ustaz-ustaz menerusi sesi usrah dan sharing session yang lain telah membuka mata dan dimensi fikiran saya.
Kesedaran itu datang apabila adanya keseimbangan dalam apa jua yang kita lakukan. Apa jua medium yang mampu membawa saham akhirat juga saya akan kejar.
Apakah turning point yang membawa Afdlin ke dimensi ini?
Pengalaman ketika di Gaza, kehancuran hidup kesan peperangan itu terbentang di hadapan mata saya. Saya dapat selami emosi penduduk Gaza. Walaupun hidup sebegitu, tetapi orangnya tabah, senyum dan meneruskan kehidupan walaupun hidup mereka sebenarnya hanya menunggu mati.
Mereka lebih teruja untuk menunggu dan menempuh hidup selepas mati kerana kehidupan di dunia tiada apa yang mereka kejarkan. Semuanya telah hancur dan musnah kesan peperangan.
Tetapi mereka tidak pernah putus asa. Cita-cita mereka hanya mahu syahid. Dan saya sifatkan pemikiran mereka cukup indah kerana apalah sangat yang mahu kita kusutkan dengan perihal dunia ini.
Dunia hanya bersifat sementara dan kehidupan selepas itu adalah selama-lamanya. Tetapi ramai yang tidak boleh memikirkannya kerana perkara itu tidak berlaku di hadapan mereka. Dan rezeki saya dapat ke sana, melihat dan bercampur dengan mereka melakukan aktiviti seharian.
Cara mereka berhibur adalah dengan membaca Al-Quran, berzikir beramai-ramai di tempat awam. Serentak dengan itu, bergegar paradigma saya, berubah segalanya. Apa yang saya fikirkan betul tidak semestinya semua betul, apa yang saya rasakan salah mungkin tidak semuanya salah.
Pulang ke Malaysia, saya sifatkan bersyukurnya kita dengan apa yang ada. Walaupun ya, saya akui hidup kita tidak mudah. Tetapi harus diingat Tuhan menduga orang yang Dia sayang kerana Dia mahu lihat kita berubah menjadi hamba yang lebih baik. Anggap dugaan dan ujian sebahagian daripada hidup.
Kredit foto: Instagram
Menariknya komedi daripada kaca mata anda?
Komedi adalah menunjuk kembali kepada masyarakat tentang kebaikan, keburukan dalam keadaan yang tidak terlalu serius. Bukan tujuan mencetuskan propaganda. Malah lebih penting, komedi adalah alat yang bukan digunakan sekadar lawak kosong. Tetapi jika ia disulamkan dengan pengalaman hidup, masalah dalam hidup dan dikomedikan, ia lebih baik.
Bukan mudah untuk membuatkan orang ketawa, setuju?
Benar kerana kita tidak tahu apakah latar belakang penonton. Kelebihan seorang pelawak adalah dapat membaca audiens. Jika kita lihat, seorang stand-up comedian akan berbual dan test audiens terlebih dahulu untuk melihat bagaimana reaksi penonton. Pada saya komedi adalah mengenai contacts.
Jika anda tidak mempunyai contacts dengan audiens, mereka tidak akan dapat memahami anda. Contohnya, jika saya buat jokes mengenai Barrack Obama tetapi penonton tidak memberi reaksi, senyap dan sepi. Tetapi jika saya buat lawak mengenai GST berkaitan dengan apa yang orang ramai lalui dan secara spontan orang akan ketawa kerana ia lebih dekat dan itu yang mereka lalui.
Sama juga keadaannya ketika zaman kegemilangan Senario dahulu. Mungkin sesetengah orang melihat lawak Senario sebagai slapstik dan sebagainya. Anda tidak faham kerana contact mereka adalah kepada kanak-kanak. Seperti Harith Iskander misalnya, orang melabelkan lawaknya sebagai lawak kelas urban dan jika dia membuat persembahan di Kuala Lumpur orang akan ketawa terbahak-bahak. Tetapi jika dia membuat persembahan dengan lawak yang sama di kampung, mungkin orang tiada contact.
Setiap pelawak punya target audiens yang tersendiri. Secara analoginya, semua orang tidak punya cita rasa yang sama dalam muzik. Ada yang meminati rock, balada, jazz, pop dan sebagainya. Begitu juga dengan komedi, setiap genre lawaknya berbeza-beza. Maka dengan itu perlu ada pemahaman mengenai komedi itu sendiri.
Gelombang lawak era kini, komen Afdlin?
Ia lebih ketara kini selepas apa yang dilakukan oleh saluran ASTRO Warna kerana itulah gelombang yang sebenar. Sebelum itu, misalnya saya dengan Harith menerbitkan rancangan AH-HA, Senario dengan lawaknya tersendiri ia tidak sebesar berbanding sekarang. Dahulu pendek kata, bukan semua pelawak boleh cari makan.
Sehinggakan gaji pelawak adalah yang paling tinggi antara semua orang seni. Lebih tinggi daripada penyanyi, pelakon dan pengacara. Pelawak punya demand yang tinggi kini berbanding zaman dahulu (10 atau 20 tahun lepas) pelawak dipandang sebagai tempelan sahaja. Contohnya, dalam AIM (Anugerah Industri Muzik) apabila tiba slot iklan, pelawak akan dibawa masuk untuk menghiburkan penonton.
Hinggakan belum habis lawak lagi sudah dihalau, tiada respect pada pelawak. Pada saya ia umpama karma, pusingan hidup. Ada kalanya berada di atas dan tiba masanya ke bawah. Namun perlu diingat, yang berada di atas pun tidak bermakna selamanya akan berada di atas.
Apabila terlalu ramai pelawak, tidakkah timbul kegusaran bahawa tiada pelawak yang benar-benar berkualiti?
Ia akan berlaku dengan sendirinya. Misalnya dahulu ketika zaman kegemilangan penyanyi, banyak syarikat rakaman yang berebut- rebut mahu memayungi artis. Tetapi kini tidak lagi. Pelawak pun sama, yang mana tidak berkualiti, tidak menunjukkan penambahbaikan, tidak dipelihara dengan baik, ia dengan sendiri akan berkubur.
Apa yang diperlukan untuk bergelar genius komedi?
Kerajinan memperbaharui isi kandungan dan bahan yang ingin dipersembahkan. Selain itu, ia bergantung kepada sejauh mana rajinnya seorang pelawak itu membaca, mengumpul fakta untuk mencipta dan mengukuhkan kandungan baru.
Lihat sahaja pelawak stand-up comedian, mereka tidak berhenti menulis jokes yang ingin dipersembahkan kerana itu adalah cara untuk seorang pelawak kekal bagus. Komedi yang dipersembahkan memerlukan penelitian. Ia perlu ditulis, dikaji dan banyak lagi yang perlu disiapkan. Namun tidak saya nafikan, ramai yang berhenti lawak kerana tidak punya daya ketahanan.
Saya ambil contoh Nabil, dia seorang pelawak yang bagus. Tetapi apabila saban minggu perlu tampil dengan jenaka baru misalnya dalam MLM, ia sudah cukup mencetuskan tekanan sehinggakan lawak itu tidak lagi menghiburkan. Lantas dia memilih untuk mengacara kerana dia boleh berlawak dalam mengacara.
Pengalaman Afdlin bergelar peserta musim pertama MLM, kongsikan momen ketika itu?
Pada saya musim pertama cukup menyeronokkan, tidak berpuak-puak dan kami baik dengan semua peserta. Osbon dan Boboi sering berada di antara tiga tangga teratas.
Mengapa kita seronok melakukannya kerana ia dilakukan bersama- sama. Dan pada hemat saya, apa yang tidak sihat mengenai lawak adalah apabila ia dipertandingkan. Seperti yang saya nyatakan tadi, faham mengenai contacts.
Contacts untuk kumpulan penonton saluran Warna ini umpamanya lebih menggemari lawak sketsa, atau lawak yang berunsurkan Melayu, ada masanya lawak bertepuk- tampar dan sebagainya.
Dan apabila pelawak-pelawak stand-up comedy cuba untuk menembusi kelompok itu ia akan sukar. Lebih-lebih lagi jika ada yang berpuak-puak, "Oh, kau punya lawak aku takkan gelak. Walaupun kelakar, aku takkan tepuk sebab aku sokong team ni.
Walaupun team ni tak kelakar, aku akan gelak." Dan apabila ada juri yang tidak memahami lawak Malaysia kerana dia datang dari negara lain; dia akan dipengaruhi oleh audiens. Apabila audiens gelak, firasatnya, "Oh, ini mesti bagus." Sedangkan dia sendiri tidak memahami lawak yang disampaikan.
Jadi, pertandingan lawak harus diteruskan atau bagaimana?
Saya tidak pasti tetapi pada saya lebih baik jika ia dipertontonkan sebagai sebuah persembahan. Showcase lebih baik. Namun masih ada lagi yang menyokong. Tetapi pastikan anda sokong siapa yang bagus dan bukannya siapa yang anda suka.
Sisi lain Afdlin Shauki?
Saya adalah seorang yang susah untuk berhenti berfikir. Otak saya sentiasa bekerja. Misalnya jika siang hari saya ternampak sesuatu, sebelah malamnya saya akan berfikir bagaimana agaknya benda itu berlaku.
Otak saya umpamanya mahu bercerita, dan jika ada sesuatu yang berlaku saya sering berfikir bagaimana untuk memperbaikinya. Ada ketikanya susah mahu tidur dan otak saya susah untuk berehat.
Saya juga seorang yang suka menganalisa dan itulah masalah bagi pelawak. Kerana setiap yang berlaku di sekeliling perlu dianalisa untuk dijadikan bahan persembahan.
Apabila orang sanggup membayar walaupun untuk ketawa, di situ terletak tanggungjawab seorang pelawak. Komen?
Jangan pernah ambil mudah dan anggap murah. Orang sudah mula bayar untuk komedi sejak bertahun-tahun lagi apabila ada pihak yang membayar untuk corporate event dan corporate show.
Misalnya saya dan Harith mula melakukan stand-up comedy. Dan dengan itulah kami ‘hidup’. Hanya berbekalkan mikrofon dan air liur sahaja kami buat duit tetapi air liur yang keluar itu ada fakta, cerita dan komedi. Itu memerlukan research, pembacaan buku, mengambil tahu apa yang berlaku, isu semasa dan perbaharui pengisian dan bahan yang ingin disampaikan.
Itu semua tidak murah dan jika benar murah dan mudah mengapa tidak ramai yang melakukannya? Jika anda menganggapnya murah, seorang pelawak profesional Jepun datang ke Kuala Lumpur dan harga tiket persembahannya paling murah tidak silap saya RM200 dan paling mahal RM800. Penuh dewan dan tiket habis dijual. Apa yang dia ada? Kerana anda menghargai keseniannya berjaya membuatkan anda tertawa selama satu jam.
Dan anda perlu faham bahawa lawak itu adalah seni. Bukan semua orang boleh berlawak dengan bijak. Jika hanya bersandarkan pada fizikal – kau gemuk, kemudian berkejar sana sini dengan selipar; itu semua adalah lawak kosong.Lawak yang menterjemahkan pelbagai karakter rakyat Malaysia misalnya mungkin orang akan bayar kerana mahu lihat apakah jalan ceritanya.
Harith Iskander sudah memahat sejarah stand-up comedy pertama negara di mata dunia. Apakah kerana genre lawak bahasa Inggeris sahaja yang bisa membawa pelawak ke peringkat antarabangsa?
Majoriti masyarakat dunia bertutur dalam Bahasa Inggeris dan ia juga sebahagian daripada bahasa antarabangsa. Maka dengan itu anda perlu menyampaikan lawak dalam Bahasa Inggeris untuk diangkat ke peringkat global.
Momen terindah yang tidak akan dilupakan bersama Allahyarham Din Beramboi, Harun Salim Bachik, Yus Jambu?
Perjalanan sepanjang MLM 2011 bersama Allahyarham Abang Harun sebenarnya cukup menyeronokkan kerana kami tidak menyangka akan melangkah ke peringkat akhir.
Apatah lagi bergelar naib juara, semua itu memerlukan komitmen dan usaha yang konsisten dan itulah yang kami lakukan. Kerana sejak awal lagi kami melakukannya untuk menghiburkan peminat. Kami sangat gembira dan bersyukur. Secara peribadi saya memang meminatinya dan dia juga banyak berlakon dalam filem saya.
Sewaktu dengan arwah Din pula, kami telah lama berkawan. Seperkara mengenai arwah Din, saya tidak tahu bila masa dia susah atau senang kerana sama sahaja pembawaan dirinya.
Biarpun saya dan rakan-rakan lain terlebih dahulu membina nama dan dia masih perlahan-lahan mengerjakan itu ini, tahu-tahu aje dia sudah muncul di radio dan pelbagai lagi pekerjaan yang dilakukan. Arwah juga suka masuk hutan mencari kayu. Ada pemberian kayu berbentuk seperti pendayung sampan dan sejenis kayu lagi pula seperti seluar pendek dihadiahkan kepada saya.
Mengenai arwah Yus, saya tidak mengenalinya secara rapat. Walaupun dia menang Raja Lawak tetapi sayang bintangnya tidak menyerlah ketika itu. Bakatnya sangat hebat. Dan saya sering memanggilnya jika ada projek, program atau apa jua yang bersesuaian dengannya dan dia tidak pernah menolak. Arwah seorang yang sangat baik, sayangkan rakan-rakan dan mempunyai sifat saling membantu sesama rakan.
Perancangan Afdlin Shauki?
Insya-Allah jika punya rezeki, saya mahu membuka stesen televisyen sendiri dan membuka panggung wayang (cinema chain) sendiri hasil ilham dan dikerjakan oleh anak Melayu kerana ia adalah salah satu cita-cita Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang tidak tercapai iaitu panggung yang dibina oleh orang Melayu dan jika ia boleh menaikkan nama filem Melayu.
Afdlin Shauki mahu dikenang sebagai?
Saya serahkan segalanya kepada Allah SWT. Pada saya, dalam hidup ini lakukan yang terbaik dalam apa jua kerja. Tidak perlu mengharapkan apa-apa dan cuba perbaiki apa yang kurang, berikan dan sumbangkan bantuan sedaya mana yang mampu, membuka paradigma orang untuk menjadi lebih baik.
Legasi itu terpulang kepada orang yang menilainya. Jika ada, adalah. Jika tidak sekalipun tidak mengapa. Apa yang lebih penting apabila sudah tiada, kita memikirkan apa yang akan berlaku dan bukannya perkara yang sudah berlaku.