Nov 18, 2016 - 3971

"Saya Bukan Pendakwah. Tapi Al-Quran Ada Sebut, Manusia Jadi Lupa Kalau Banyak Ketawa" — Jalil Hamid

"Betul, bila berkomedi, ada waktu kita boleh 'over acting' tapi ada waktunya tak boleh," kata Jalil Hamid.

 

Oleh: Salina Ibrahim 

 

 

NAMA yang tak asing lagi dalam drama, filem, pentas teater, pernah bergelar penyanyi dan komedian. Sebelum masuk bidang seni, banyak yang dilakukan untuk mencari rezeki,seperti nelayan, penoreh getah, buruh pembinaan dan kerani pelabuhan. Ada nostalgia yang tidak dapat dilupakan tentang pekerjaan dahulu? 

Ketika bekerja sebagai kerani pelabuhan, emak suka sangat. Konon-konon jadi pegawai. Dengan gaji pertama RM225, saya beli almari baju dan kerusi makan untuk emak. Sempatlah dia merasa. Seronoklah dia. Tetapi ketika saya menjadi artis, emak sudah tiada. Hanya ada arwah ayah, alhamdulillah saya dapat berkongsi dengannya dan dapat beli rumah untuknya. 

 

 

Tokoh seni yang menjadi idola? 

Dahulu saya melihat A.R. Tompel sebagai idola. Latar belakangnya menarik, dia seorang penulis dan aktivis politik. Sebagai aktivis politik, bermakna dia seorang yang berani walaupun akhirnya dia tidak terlibat dalam politik. Di Indonesia, dia pernah ditangkap, pernah dibuang dalam laut, dia dicabar lalu dia terjun ke dalam laut. Saya pernah membaca kisahnya, menyebabkan saya sangat respect kepada dia. 

 

P. Ramlee salah seorang lagi idola saya. Karyanya bagus. Dia mengubah warna filem Melayu daripada Indian treatment kepada Malaya treatment, menjadi sangat berbeza. Bujang Lapok contohnya, apabila melihat filem itu, saya kata pada diri, “Inilah filem yag aku suka tengok.” Dari situ saya admire dia. 

 

Tetapi yang paling saya admire adalah A.R. Tompel. Dia komedian tetapi komedinya serius, tak dibuat-buat, dia selamba begitu sahaja, dengan mukanya yang begitu, dengan cara dia sampaikan komedinya yang sinikal, menyindir selamba. “Anak bapak ya...?”

 

Saya amat suka stail itu. Saya tidak terikut lawaknya tetapi bagi saya, komedi itu not over creating sampai jadi over acting. Memang ada waktu kita boleh over acting, ada waktu tak boleh. 

 

 

Mengapa setuju untuk masuk Maharaja Lawak Mega 2011?

Saya masuk kerana saya suka, kerana kawan-kawan ramai. Pada saya, itu bukan challenge. Lawak tak boleh dipertandingkan. Tetapi saya dipujuk supaya mencuba, kata mereka sebahagiannya untuk tujuan grading, siapa menyerlah dan menjadikan program meriah. Tetapi saya berpendirian, lawak tak boleh dipertandingkan. Setiap individu ada stail masing-masing. Dalam dunia lawak, bukan ada satu jenis sahaja. 

 

Sama seperti nyanyian, ada slow number, rock, reggae, banyak kategori. Lawak juga begitu. Macam mana nak adili? Komedi ini tak sama, tak ada keyword untuk memulakan perkataan. Lawak macam-macam, ada komedi bisu, komedi nyanyian, slapstick dan pelbagai. Kalau hendak bercerita asal-usul komedi, saya ada sejumlah sejarah komedi, dimulai oleh siapa, bagaimana dan pelbagai maklumat secara ilmiah. 

 

 

Hari ini, pasaran komedi sangat rancak. Lawak jenaka dibawa ke pentas pengacaraan, konti radio, malah dalam ceramah agama juga ada jenaka. Komen? 

Saya tak arif dalam agama, saya bukan pendakwah. Tetapi dalam Al-Quran ada disebutkan, terlalu banyak ketawa akan menyebabkan manusia jadi lupa. Jadi pelupa. Kalau kita menuntut ilmu, jika terlalu banyak jenaka, ketawa, tak ada faedahnya, nanti ilmu tak lekat. Kita memang belajar, tapi sekadar tahu, tidak mendalami. Itulah buruknya. 

 

Oleh itu, keseimbangan perlu ada. Ya, sekarang memang era kebangkitan pelawak. Pelawak boleh jadi kaya-raya, mengalahkan penyanyi. Pada saya, apa pun biarlah sederhana. Comedy is comedy, laughing is laughing, ketawa ya ketawa, tapi dalam ketawa, kita kena melihat sesuatu yang lain. Sebab itu pada pendapat saya, dalam ceramah agama tak sepatutnya dimasukkan gelak ketawa yang berlebihan. Kecuali cara dia begitu, orang mendengar sambil berfikir, 

 

“Ya betul juga,” tetapi kalau ketawa yang hahhahhhh, hilang begitu sahaja, tak ada makna. Dalam kelas, kalau kita buat lawak di hadapan pelajar, mereka memang suka, tetapi mereka akan jadi bodoh, tidak dapat berfikir benda lain. Kalau kita tunjuk pisau dan suruh mereka fikirkan kegunaannya, mereka tak dapat fikir, mereka hanya akan ketawa melihat pisau. Mereka ingat benda lawak pada pisau tapi tak ingat kegunaan asal. Dengan itu, mereka tak berkembang. 

 

 

Jalil Hamid salah seorang sahabat akrab Allahyarham Harun Salim Bachik. Dan mungkin ada beberapa artis komedi lain, yang sudah pergi dahulu juga. Boleh kongsikan pengalaman atau kenangan dengan mereka?

Saya dengan Harun, menjadi sebagai pengantar ketika memperkenalkan Senario. Saya serasi dengan dia di pentas kerana kami tak force orang untuk ketawa. Lawak kami selamba, sekali jalan, tak berlebihan. Kami juga terlibat bersama-sama dalam sitkom Gado Gado, tidur sebantal di Genting, Melaka, Port Dickson untuk bersama-sama mencari idea. 

 

Kalau tengok Gado Gado, ia agak berbeza dengan komedi lain. Harun is unforgettable, kami berkawan, bukan dalam arena ini sahaja, keluarga kami berkawan, anak-anak kami pun berkawan. Dialah artis yang paling akrab dengan saya. Selain itu, Allahyarham Ahmad Busu dan Mohammad Abdullah juga antara sahabat rapat dan sealiran. Artis lain yang masih ada, seperti Imuda, masih bersahabat tetapi jarang-jarang bertemu. 

 

 

Waktu bila Jalil Hamid serius? 

Waktu bekerja dan waktu serius buat joke. Kadangkala saya tak faham apabila orang kata, artis kena ada disiplin. Disiplin bermaksud suatu kehidupan yang normal, bukan abnormal. Seperkara lagi yang saya tak faham, kadangkala orang fikir dan mahu populariti sehingga buat benda yang over acting. Ya, mungkin bagus tapi sesuai atau tidak? Sejak dahulu, saya memang kurang publisiti. Saya mahu popular dengan kerja saya. Dengan hasil kerja saya. 

 

Saya tak mahu sibuk dengan publisiti di majalah. Tanyalah wartawan-wartawan majalah. Kebetulan kebanyakannya pelajar saya, saya pesan, saya bukan nak cari glamor. Kalau hendak nilai hasil kerja, saya happy. Kalau sentuh peribadi saya, saya terajang kamu. Maaf! Dahulu kalau wartawan bertanya saya berapa lama berlakon, saya suruh dia balik buat kajian dahulu, kemudian baru cari saya. 

 

Sebab itu wartawan jadi ‘musuh’ saya. Mana-mana bekas pelajar saya dahulu jadi segan hendak bertanya. Kalau mahu bercerita tentang kehebatan orang melakonkan sesuatu, boleh, tetapi bukan hendak membongkar skandal atau gosip. Saya sudah warning dahulu lagi. Saya tak minat benda bukan-bukan, bercerita hal rumahtangga dan peribadi. Saya pesan, wartawan jangan buka aib orang. 

 

 

Sepanjang pengalaman Jalil Hamid dalam industri ini, apa lagi yang mahu dilihat? Perubahan atau penambahbaikan? 

Sekarang sudah bagus, kerana komedian sudah diletakkan pada tahap tertentu. Tapi yang lebih penting adalah penjagaan kerana hendak kekal memang payah. Bimbang suatu hari nanti, orang hilang percaya pada komedian kerana beberapa perkara yang kita buat sekarang. 

 

Cara orang menilai, juga harus ada penambahbaikan. Sebenarnya komedi adalah perbuatan sekali imbas yang tak perlu diingati. Meniru ya, tapi bukan sesuatu yang jadi bahan rujukan. Tak payah nak ingat dan bawa balik ke rumah. Ia hanya hiburan sekali lalu, memadai begitu, bukan hiburan kekal. Jika filem ya, sebab itulah komedi dalam filem-filem karya P. Ramlee relevan hingga sekarang kerana kena pada masyarakat. 

 

Sebenarnya komedi kita adalah komedi yang dirangka oleh orang lain, untuk dilihat oleh masyarakat lain. Contohnya, penerbit TV yang hidup dengan gaji besar, dengan stres kerja yang bukan-bukan, yang memikirkan rating dan commercial, tapi sebenarnya yang hendak dihiburkan adalah manusia dari kelas buruh hinggalah golongan yang tak mahu fikir masalah, merekalah yang hendak menonton. 

 

Itulah yang P. Ramlee lakukan, lawaknya macam-macam, Sudin lain, Aziz lain, Ahmad C lain, malah A.Rahim yang orang kata jahat juga boleh berlawak, begitu juga Ahmad Mahmud dan Mahmud Jun. Mereka buat sesuatu yang tidak dipaksa-paksa. 

 

 

Sekatan itu menggugat kreativiti? 

Itulah suatu halangan yang membunuh kreativiti. Pelawak buat dengan perasaan penuh kebimbangan, bukan keikhlasan. Apabila kamu tidak boleh buat dengan keikhlasan, orang yang menerima juga tak dapat apa-apa, akhirnya orang give up. 

 

Maharaja Lawak yang mula-mula dengan yang sekarang, apa bezanya? Sebenarnya orang sudah tidak ingat Maharaja Lawak. Saya sendiri, dan anggota keluarga juga sudah tidak menonton lagi. Inilah akibatnya. Saya pernah sebut hal ini dahulu, tapi.... Apa pun, terserahlah! 

 

 

Mungkin hari ini terlalu banyak program lawak, sehingga kita terlalu kenyang dan tak berdaya lagi menelan….

Saya berlakon dalam teater Raja Lawak karya Zakaria Ariffin. Kisahnya tentang pelawak tua yang terpaksa berlawak untuk meneruskan hidup. Suatu pesanan dalam kata-katanya, “Kamu berhentilah berlawak, sebelum orang tak suka.”

 

Hal itu sebenarnya berlaku dalam semua bidang, umpamanya dalam bidang politik, berhentilah berpolitik sebelum orang tak suka. 

 

Dunia lawak ada limit sebenarnya. Lagi satu, “Berhentilah kamu berlakon kalau dah sampai waktu, kamu rasa, kamu berlakon.” Maksudnya, apabila sampai tahap lakonan itu sudah mula dibuat-buat. Waktu untuk kamu berlakon sudah habis, kamu bukan pelakon lagi. 

 

Samalah dengan berlawak. Berhentilah berlawak, kalau kamu rasa lawak kamu terpaksa... terpaksa teruskan kerana tuntutan hendak cari makan. Tak ada ikhlas, tiada nilai lagi kerana dibuat ikut skrip lama, copy sahaja apa-apa yang ada. Kita tak fikir lagi hubungan dengan audiens. Kita kena pertimbangkan semula praktikal atau tidak. Katakan, kalau tiba-tiba orang diam ketika kita berlawak, kenapa? Komedi sesungguhnya memang suatu perkara yang susah sebenarnya. 

 

 

Maknanya, bukan calang-calang orang yang boleh jadi pelawak?

Kalau diikutkan sebenarnya, pelawak yang betul adalah orang yang betu-betul sampai tahap best acting, baru boleh jadi best comedian

 

Sudah berpuas hati apa yang dicapai?

Memang tak puas hati, tapi kadangkala waktu mengalahkan kita. Saya sendiri rasa masih boleh berlawak, tapi apabila berlawak, saya terfikir pula, ini zaman orang muda. Kalau nak bernasihat sangat, orang kata, “Takkan hal agama pun hendak bawa masuk dalam lawak?” Kita tak mahu dengar kritikan begitu, nanti jadi berdosa, kerana kita bangkitkan kemarahan orang. 

 

Orang mungkin kata, “Nak berlawak atau nasihat orang?” Nanti audiens jadi musuh, tak seronok. Sedangkan hasrat kita mahu buat perubahan. Perubahan yang baik dan masih kekal relevan dengan tafsiran masyarakat hari ini. 

 

 

Selepas tiada lagi, bagaimana Jalil Hamid mahu dikenang?

Terserah pada masyarakat. Saya tiada kuasa menentukan apa-apa. Malah seminit lagi pun saya tak tahu apa-apa akan berlalu. Bismillahi tawakkaltu alallah. La haula wala quwwata illa billahi aliyil azim. Saya tidak harap orang kenang saya. Kalau ada orang ingat, terima kasih. Kalau tak ada, itu perkara normal. 

 

Dalam dunia hiburan yang saya lalui selama ini, sebenarnya nilainya tiada. Kita tak menilai. Apa yang kita nilai? P. Ramlee mungkin terus diingati, kerana dia luar biasa sedikit. Nama-nama lain seperti S. Roomai Noor dan Siput Sarawak contohnya, satu generasi ingat, tetapi generasi kemudiannya tak tahu. Allahyarham Sudirman pun sama. 

 

P. Ramlee masih diingat kerana filemnya selalu diulang. Tetapi penyanyi seperti Allahyarham Sharifah Aini, lagunya tak lagi dimainkan. Orang pun sudah tak ingat. Tandanya pun tak ada. Kita di sini bukan seperti Hollywood, orang pergi ke sana hanya untuk melihat dan melawat 'tanda' John Wayne dan sebagainya. 

 

 

Pesanan pada pelawak generasi pelapis?

Keikhlasan berlawak itu penting. Sebagai pelawak, biarlah kita bawa orang pada sesuatu yang baik. Memang ada komedi yang kekal seperti lawak mencarut – yang difikirkan hanya seks. Malah sebenarnya unsur komedi yang paling kuat adalah seks, senang cakap mencarut. Itu akan jadi bahan ketawa orang. Tapi budaya kita tak sama seperti di Barat, sebab itu dalam lakonan, ada aspek yang perlu dijaga.

 

Orang mungkin berfikir, “Nak peluk, peluklah. Ini sekadar lawak, peduli apa, boleh lompat, tumbuk, hempap, itu kan berlawak?” Sebab itu dalam filem Barat, mereka bebas buat apa sahaja, kata mereka method acting. 

 

Tapi dalam masyarakat kita, kita ada limit. Begitu juga ketika berlawak, kadangkala terlalu over, sampai lelaki perempuan tak ada limit. Memanglah berlawak, orang itu peluk orang ini, langgar orang itu. Tapi sedar atau tidak, di mana ruang kita? Kalau kita hendak create juga, masuklah kategori animated. Untuk lakonan, kita harus fikir environment juga. Kalau nak buat juga, serahkan watak pada orang bukan Islam untuk lakonkan. Kalau tak, sanggupkah kita keluar agama sekejap semata-mata untuk berlakon? 

 

Fikirlah sendiri. Sebab itu, ada disebutkan dalam Al-Quran, apabila nilai estetika atau perasaan mengatasi metafizik, maka manusia akan jadi haiwan, maksudnya akan hilang budaya, adab sopan dan tata susila. Oleh itu, apabila kita berada dalam bidang ini, kita kena ingat, bahawa kita ada lingkungan, budaya, stail hidup dan pemikiran kita sendiri. 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Kehidupan dan Pengorbanan Hanez Suraya Sebelum Dia Ambil Keputusan Memfailkan Perceraian

  • Seterus →

    "Kalau Zira Nak Gelak, Zira Ikut Nabil Pergi Show, Boleh Gelak Puas-puas” — Nazira Ayub