Nov 20, 2016 - 20621
Oleh: Haizan Ahmad
Walau hampir sedekad saling mengenali dek hubungan erat antara famili, namun cinta itu tidak mudah bertakhta di hati. Hanya jodoh bisa menyatukan mereka.
Kisah cinta antara dan Nazirah Ayub berputik tidak sampai setahun sebelum mereka mengambil keputusan untuk diijabkabulkan. Ini kerana mereka yakin persahabatan antara kedua-dua buah keluarga bakal mengeratkan lagi hubungan.
ASAM GARAM KALA MEMBINA ‘MASJID’
“Alhamdulillah, masa nak mendirikan rumahtangga dengan Zira rezeki saya murah kerana baru menang Maharaja Lawak Mega dan dapat wang tunai RM150 ribu. Dengan duit hadiah itulah saya masuk meminang. Dan yang penting dapat beli dua buah motosikal idaman.”
“Biarpun pada awalnya dapat penajaan 100 peratus untuk majlis perkahwinan kami tapi kami tolak dengan baik. Bukan menyombong tetapi dalam bab mempersiapkan majlis yang paling penting dalam hidup saya, saya mahukan keputusan saya diambil kira. Sudah tentu saya ada pilihan untuk baju, pelamin dan sebagainya.
Kalau 100 peratus ditaja, kami tak boleh kata apa-apa, betul tak? Jadi akhirnya kami terima hanya separuh daripada penajaan itu. Biar dua-dua pihak puas hati. Manakala untuk majlis persandingan yang diadakan di iCity, kami mendapat bantuan terbaik daripada semua pihak dalam melancarkan majis tersebut. Bersyukur sangat kerana segalanya dipermudahkan ketika kami mahu diijabkabulkan,” ujar Nabil mengenai perjalanan perkahwinannya.
Manakala Nazira atau lebih mesra disapa dengan panggilan Zira pula berpendapat, perjalanan perkahwinannya bersama Nabil mendapat sokongan seluruh ahli keluarga.
“Ramai tahu keluarga kami memang saling mengenali. Nabil memang cukup rapat dengan salah seorang ahli keluarga saya. Boleh kata, kami memang kerap bertemu terutama pada hari raya. Cuma masa itu, belum terbit rasa cinta di hati. Apabila Nabil datang melamar, saya sedikit terkejut kerana dia sudah pun selebriti, bukan insan yang sama seperti dulu.”
“Mungkin sudah jodoh kami, saya terima lamarannya dengan hati terbuka. Saya yakin perkahwinan ini menjanjikan bahagia kepada saya dan keluarga kerana hubungan yang terjalin selama ini akan bertambah erat,” jelas Nazira mesra.
MENDEPANI CABARAN MENJADI ISTERI SELEBRITI
“Bagi Zira, cabaran bersuamikan seorang selebriti adalah cara kita menangani gosip terutamanya. Kita tak boleh cepat melenting kerana apa jua yang kita lakukan diperhatikan oleh masyarakat. Silap sikit sahaja pasti ada yang pantas menegur.
Apabila berkahwin dengan Nabil, Zira membuat persediaan untuk lebih berfikiran terbuka kerana suami adalah selebriti. Dia milik masyarakat. Jadi, mahu atau tidak, saya kena kongsi dia dengan peminat,” ujar Nazira mengenai dugaan bersuamikan seorang selebriti.
Tambah Nazira, “Sepanjang berkahwin belum lagi diuji dengan gosip-gosip nakal, namun Zira harap agar ini dijauhkan. Lagipun Zira kenal dengan kawan-kawan Nabil, malah sering mengikut Nabil jika ada kelapangan, jadi untuk timbul gossip misalnya hubungan Nabil dengan orang ketiga agak sukar untuk Zira percaya.”
“Nabil adalah komedian, jadi kebarangkalian untuk dia ditawarkan dengan watak-watak yang romantik adalah tipis. Jadi, Zira bersyukur sangat. Sejujurnya sebagai isteri, Zira ada perasaan cemburu jika Nabil diberikan watak yang sebegitu, maklumlah kita tengok filem yang dilakonkan oleh suami kita. Tapi kalau itu yang dikehendaki dalam kerjayanya, nak buat macam mana. Sebagai isteri, Zira kenalah sporting demi keharmonian rumahtangga.”
“Awak tak perlu risaulah (sambil mengerling Zira), saya pun bukannya suka sangat nak bawakan watak-watak sebegitu. Kata orang, dah jatuh halal haram apabila pegang wanita yang bukan muhrim. Lagipun sebagai pelawak susah saya nak dapat offer untuk peranan yang sebegitu, maklumkan muka pun kelakar,” jelas Nabil pula.
Sekadar berkongsi cerita, Nabil memberitahu mereka pernah muat naik gambar Zira mencium pipinya ketika bercuti di Paris di laman Instagram dan mendapat komen-komen negatif. “Bagi saya orang yang komen tu saja nak cari populariti. Kalau dah namanya suami isteri, apa salahnya kami bergambar begitu, kan? Kalau ada yang tersentuh hati dengan kenyataan saya ini, saya minta maaf ya.”
“Nasib baik Zira bukan jenis yang cepat melenting apabila membaca komen-komen negatif. Dia muat turun gambar itu untuk berkongsi kegembiraan kami sebagai pasangan suami isteri bersama peminat. Itu sahaja.”
MENANGANI KARENAH SUAMI
“Selalunya apabila Nabil balik ke rumah selepas selesaikan tugasan, Zira sambutnya dengan senyuman, cakap baik-baik, sediakan segelas air dan bagi dia rehat sekejap.”
Selepas beberapa ketika dan lihat pada keadaannya, barulah kami bersembang dan berkongsi masalah. Masa baru kahwin, Zira teruja dan try so hard untuk menangi hati suami. Lama-kelamaan Zira perasan yang Nabil ni jenis yang relaks, jadi Zira kena sesuaikan dengan keadaan itu,” ujar Nazirah apabila ditanya mengenai karenah suaminya.
Nabil mencelah, “Di luar saya dah banyak bercakap, kadang-kadang sampai 4-5 jam bercakap, jadi apabila balik ke rumah saya nak rehat. Ini bermakna saya kena kurangkan bercakap. Kita manusia, jadi saya juga perlu simpan tenaga
untuk hari berikutnya. Kalau cakap 24 jam, pengsanlah saya. Ada juga kawan-kawan yang bertanya adakah kami di rumah sentiasa ditemani gelak ketawa. Jawapannya, tidak!!!”
“Ya, Nabil memang tak banyak cakap kalau duduk di rumah. Zira faham dengan sikapnya. Rumah kami tidaklah sentiasa dipenuhi gelak-ketawa. Kalau Zira nak gelak, Zira ikut Nabil pergi show, boleh gelak puas-puas,” kongsi Nazirah.
TAWARAN SENI UNTUK NAIRA MIKAYLA
Apabila ditanya mengenai anaknya, Naira Mikayla jika mendapat tawaran berlakon, ini kata Nabil, “Kami tak pernah terfikir pun soal itu, tetapi kalau ada tawaran apa salahnya (ketawa). Cuma saya takut saya akan jatuh kasihan pada anak saya sekiranya dibebankan dengan tugas yang tidak sepadan dengan usianya. Ini berdasarkan kepada pengalaman saya yang pernah bekerja dengan produksi yang mengendalikan kanak-kanak.”
“Tetapi jika anak sudah diajar dan dilatih sejak kecil, mungkin cara untuk mengendalikannya bertambah mudah. Untung juga kalau anak tak malu dengan lensa kamera, mudah nak buat kerja. Tapi kalau nak ‘simpan’ anak sampai harga tawaran melambung, tidaklah kot!” ujar Nabil jikalau ada pihak yang menawarkan harga yang tinggi terhadap penampilan anak sulungnya itu.
PERANCANGAN UNTUK KELUARGA DAN KERJAYA
“Daripada segi kerja, saya cukup selesa menjadi pengacara. Kini saya mengendalikan banyak benda kerana menjadi event organizer. Semua jenis majlis saya buat kecuali satu majlis sahaja iaitu majlis kahwin (ketawa),” ujarnya yang kini memiliki syarikat sendiri iaitu Nabil Ahmad Entertainment. Selain itu, Nabil juga menghasilkan kemeja-T, “Stay Solid” yang dijual menerusi laman Instagram.
“Kalau dalam industri hiburan, saya menjadi ‘produk’, jadi saya perlu pasarkan diri sendiri. Itu sudah memadai. Justeru, saya mahu eksplorasi benda lain selain daripada dunia hiburan. Sebab itu, saya ada perniagaan yang menyediakan kanopi, PA system dan sebagainya.”
“Perancangan untuk keluarga pula, semua bergantung kepada rezeki. Kami merancang untuk memiliki tiga cahaya mata. Melihat kepada gaya hidup zaman sekarang terutama di Kuala Lumpur maka perancangan itu penting. Takut ada ramai anak tapi kita tak mampu nak membesarkan dan menyekolahkan mereka dalam keadaan yang selesa.”
“Dalam hal pendidikan, saya bercadang nak hantar anak saya ke sekolah antarabangsa. Bukan saya tidak percaya dengan sekolah kebangsaan, tetapi saya mahukan yang terbaik untuk anak-anak saya. Saya banyak kendalikan rancangan kanak-kanak. Saya boleh bezakan budak yang sekolah kebangsaan,sekolah anak yatim ataupun sekolah antarabangsa. Mereka yang kurang pendedahan terhadap cara bersosial akan bersikap terlalu reserve iaitu malu tak bertempat, kalau orang tanya macam ada emas dalam mulut untuk menjawab,” jelas Nabil panjang lebar.
SUSAH SENANG MEMBINA NAMA
“Nasib saya baik sebab kesusahan yang orang lain rasai bagi mereka yang berminat dalam industri hiburan, saya tidak rasa. Contohnya apa yang berlaku dari saya kecil sampai sekarang tak pernah masuk kelas seni misalnya seperti Aswara namun rezeki saya memihak dalam industri seni.
Saya katakan perjalanan seni saya dipermudahkan kerana sekali pergi audition Raja Lawak terus dapat masuk. Kemudian menjuarai rancangan itu. Lepas itu menang Anugerah Bintang Popular, Pelawak Paling Popular, Artis Paling Popular, dan semenjak itu nama saya semakin ‘kuat’.”
“Tetapi daripada situ saya terfikir kita tak boleh nak jual diri kita dengan harga yang tinggi. Saya dah melabur dari awal untuk tetapkan harga yang berpatutan supaya dapat bertahan lama. Saya tak letak harga tinggi misalnya RM40 ribu atau sebagainya. Sebaliknya saya lebih suka tanya kepada pihak penganjur berapa bajet mereka. Alhamdulillah apabila saya terima mengikut bajet mereka, saya selalu dapat repeat sale, maksud di sini mereka akan panggil saya lagi pada masa akan datang.
Benda ini akan beri kesan apabila kita dah 10 tahun dalam industri. Kalau dulu masa kita popular kita letak harga RM30 ribu, selepas 10 tahun dalam industri dan nama kita dah tenggelam tak kan kita nak letak harga RM5 ribu, betul tak? Mestilah kita rasa malu,” ujar Nabil apabila ditanya mengenai perjalanan seninya.
Tambahnya, “Saya sedar saya bukan Datuk Siti Nurhaliza atau Anuar Zain yang boleh tetapkan harga untuk setiap persembahan saya. Melawak ini subjektif, belum tentu jadi atau tak. Kalau letak harga tinggi tetapi tak kelakar, macam mana?”
“Kesukaran yang saya hadapi sekarang kerana nama saya naik sebab menjadi pelawak solo
sekitar 2008. Saya satu-satunya peserta lawak solo dalam Maharaja Lawak Mega. Bezanya pelawak berkumpulan dan pelawak solo bukan diadili kerana populariti tetapi diadili kerana kreativiti.
Kalau nak buat lawak pun, saya tak mahu buat lawak bodoh semata-mata, saya mahu penonton fikir apa yang saya sampaikan. Tetapi kalau nak didik penonton di negara ini memang saya tak mampu apatah lagi saya tampil sebagai pelawak solo. Jika berkumpulan, mereka boleh buat lawak untuk menghiburkan orang. Itulah kelebihan jika tampil sebagai pelawak berkumpulan,” kongsi Nabil mengenai sukarnya meneruskan karier sebagai pelawak solo.