Sep 20, 2016 - 40244
Oleh:
Sumber foto: Ziana Zain
PERKAHWINAN sensasi paling ramai menerima undangan hingga 10,000 hadirin membanjiri majlisnya! Penyatuan hidup penyanyi kesayangan ramai, dan pasangannya, Armin Zaharin telah memahat sejarah besar.
Dua buah lori tambahan yang membawa nasi minyak dan lauk-pauk ditambah untuk menjamu tetamu yang hadir. Memilih rumah sendiri sebagai lokasi mengadakan majlis perkahwinan kerana ia disifatkan sebagai mahu merasai kemeriahan suasana. Terbukti kemeriahan lautan manusia yang membanjiri majlis perkahwinan ini turut sama mendoakan kesejahteraan perkahwinan Ziana dan Armin yang kini masuk 17 tahun. Utuhnya jodoh mereka!
Majlis Perkahwinan
Busana Pernikahan & Perkahwinan Rekaan:
Solekan & Dandanan:
Wang Hantaran: RM10,000
Mas Kahwin: RM80
Kongsikan bersama kami, apakah konsep majlis perkahwinan Ziana?
Jujurnya, daripada segi konsep, tiada yang benar- benar khusus, malah ketika itu trend konsep atau tema perkahwinan belum popular. Cuma tema warna yang saya tekankan. Pilihan rona hijau zamrud adalah warna kegemaran saya. Boleh dikatakan semuanya serba hijau, baik daripada baju, bunga telur, hiasan di dalam kamar pengantin semuanya bertemakan dua hingga tiga ton hijau warna senada.
Kenangan yang Ziana tidak dapat lupakan sepanjang majlis berlangsung? Masih ingat?
Selepas selesai majlis persandingan, selama tiga hari tiga malam saya dan suami tidak keluar rumah. Makan di tingkat atas dan kalau mahu keluar sekalipun, saya dan suami hanya mengambil angin di balkoni dan perlu menutup lampu. Jika tidak, peminat akan datang dan meminta saya turun hanya semata-mata mahu mengambil gambar.
Selain itu, kenangan yang saya tidak boleh lupakan adalah tidak berpeluang makan beradab pada hari persandingan kerana terlalu ramai yang bersesak-sesak mahu mengambil gambar, hahaha.
Baik yang berdiri di hadapan, mahupun di belakang meja makan beradab, semuanya berpusu-pusu dan berasak-asak. Kerlipan cahaya kamera melatari pemandangan saya dengan lautan manusia. Peminat yang datang di luar jangkaan, sehinggakan spiral curl dandanan Zulfazli kembali jadi lurus dek kerana ramai yang bertolak-tolak mahu mengambil gambar, haha.
Suami berkata kepada saya, “Peminat awak ni gila ek?” Hahaha... Malah secara peribadi saya tidak menjangkakan akan menerima kunjungan peminat yang terlalu ramai sehingga trafik sesak dan orang tidak berhenti datang. Umpama mahu menonton konsertlah! Pihak MBSA bermurah hati menaja air minuman untuk tetamu. Pihak polis juga menjaga laluan trafik yang saya anggarkan kesesakannya cukup luar biasa.
Sumber foto: Ziana Zain — 10,000 peminat Ziana Zain membajiri perkarangan rumah keluarganya di Seksyen 19, Shah Alam.
Bukan setakat itu sahaja, katil di bilik adik saya, Anuar Zain pun roboh! Hahaha... Entah siapalah agaknya yang punya angkara, hihi. Cawan-cawan dari caterer juga banyak yang hilang sehingga pening Abah mahu menjawab dengan caterer. Selain itu, gelas-gelas kristal yang saya beli sewaktu bekerja dengan MAS di London juga hilang. Ada yang mengambilnya sebagai tanda kenang-kenangan menghadiri majlis perkahwinan saya agaknya... hahaha.
Dek kerana terlalu ramai peminat yang datang, ada juga rakan-rakan saya tidak dapat makan kerana nasi dan lauk-pauk sudah habis. Mereka datang dan melihat saya dari jauh lantas pulang dan makan KFC sahaja. Geli hati juga apabila dikenang-kenang kembali kisah itu.
Sejak upacara akad nikah lagi, memandangkan ramai yang datang sehingga suasana jadi terlalu bising dan saya tidak dengar apa kata tuk kadi, rupa-rupanya saya sudah sah menjadi isteri orang! Tahu-tahu sahaja mahu sarung cincin dan menjalankan adat membatalkan air sembahyang juga bersalaman dengan suami. Lucu dik!
Berapa lama Ziana melakukan persiapan?
Kami bertunang tanggal 14.12.1997. Pihak lelaki memberi masa kepada keluarga saya selama empat bulan untuk melakukan persiapan. Sepanjang tempoh itulah saya bersama adik-beradik dan yang lain-lain, membeli itu dan ini. Ketika itu tiada perancang perkahwinan yang khusus, sekadar saya bersama ibu bapa yang melakukan persiapan.
Lucunya, sehari sebelum majlis akad nikah, pada sebelah petangnya saya ditemani adik ke Jalan TAR membeli karpet dek kerana tidak berkenan dengan warna dan corak karpet yang dibeli Abah. Berkongsi cerita mengenai soal beli bunga pula, mahu dijadikan cerita, selepas saya membeli bunga telur rona hijau lembut, ia tiba-tiba menjadi satu trend. Khabarnya bunga telur warna hijau lembut habis licin di semua kedai-kedai bunga, haha.
Sumber foto: Ziana Zain — Disebabkan baju perkahwinan Zaina Zain rona hijau zamrud ia menjadi akar tradisi pada ketika dahulu.
Pernah berselisih faham dengan Armin menjelang majlis? Ada berlaku dramakah?
Kami cuma berjumpa sekali sebulan. Itu pun Armin yang datang ke rumah dan Abah tidak mengizinkan kami keluar berdua kerana walaupun sudah bertunang, ia bukan dianggap ‘lesen’ untuk membawa anak dara orang ke sana sini. Malah suami juga sentiasa mendengar pesanan neneknya. Tidak manis membawa anak dara orang tanpa ikatan yang sah di sisi agama. Maka, tidak timbul isu bergaduh atau salah faham sepanjang tempoh itu.
Sumber foto: Ziana Zain
Jika Ziana diberi pilihan untuk mengubah satu perkara dalam majlis perkahwinan, apakah agaknya perkara tersebut?
Pada pandangan saya, jika boleh ditukar sekalipun pasti suasana dan lautan manusia itu akan sama keadaannya... hahaha. Dan jika boleh sekalipun, saya ingin merasa kemanisan makan beradab kerana tidak berpeluang menikmatinya. Makan pun sedikit sahaja, kemudian ibu saudara dan ahli keluarga yang lain meminta saya masuk ke rumah dan naik ke tingkat atas.
Waktu itu feeling seperti Princess Diana pula, melambai peminat sambil memberi ucapan dari jauh... keh keh. Lucu apabila dikenang semula momen itu.
Sumber foto: Ziana Zain — Tampil anggun dengan menggayakan busana moden di acara memotong kek.
Sejauh mana Ziana mengikut atau mengamalkan petua dan pantang-larang orang tua-tua sebelum berkahwin?
Segala ritual dan petua orang tua-tua saya ikut, baik daripada segi penjagaan kecantikan diri dan pantang-larang. Sebulan sebelum majlis, saya amalkan mandi lulur untuk naikkan seri selain bercukur dan sebagainya. Daripada segi pantang- larang pula, saya dan suami berjumpa sebulan sekali sahaja. Itu pun Abah tetapkan syarat jika mahu berjumpa, harus datang ke rumah.
Begitu juga dengan nenek suami yang selalu berpesan jangan sesuka hati bawa anak dara orang ke hulu ke hilir, selalu beringat menjaga maruah. Malah saya melihat daripada satu sudut lain, hmm, ada kemanisannya. Ia membangkitkan keterujaan kepada pasangan pengantin. Rasa berdebar-debar menanti detik bakal disatukan. Itulah relevannya pantang-larang orang tua-tua. Ternyata di sebalik ketegasan, terserlah kemanisannya.
Tips Ziana kekalkan keharmonian rumahtangga hingga kini?
Hidup dalam alam rumahtangga banyak cabarannya. Baik suami mahupun isteri, masing-masing perlu bertolak-ansur. Malah kita juga perlu faham, antara suami dan isteri kita dibesarkan dalam keadaan serta budaya yang berbeza. Banyakkan bersabar dan harus sering berkomunikasi dengan pasangan. Insya-Allah, jodoh kita pasti diberkati.