Sep 12, 2016 - 271

Kisah Orang Kuat Mengintip Coli, Kerusi dan Ilahi (dan Dia Mungkin Kawan Anda)

Pernahkah dalam hidup, anda berdepan dengan MANUSIA PENGINTIP, yang suka melihat kejatuhan orang lain? Oh, please... get a life!


Oleh: Dr. Mohd Faizal Musa 

 

 

 

ADA suatu watak yang sering kami bualkan. Namanya Surina (kalau nama awak Surina — bukan awak tentunya; ini orang lain!). Si Surina mungkin kurang pekerjaan selain daripada hangat menjual pelbagai jenama tudung secara atas talian. Di celah tawar menawar harga Fareeda, al Hajra, Ariani dan segala macam jenis hijab lain, Surina mempunyai satu kegiatan tersembunyi. Ya, tanpa ronyeh sirih dan buah pinang pun Surina masih aktif mengomel — mengomol ‘perihal-perihal’ orang lain.

 

Malah, tanpa sirih pinanglah kegiatan mengintip darihal orang boleh bertambah giat.

 

Kerana sekarang untuk duduk sejenak mengumpat, awak hanya memerlukan iPad dan sekejap sahaja tweet itu akan menjalar merata dan orang lain akan mengetahui misalnya warna apakah coli pesaing awak (kebetulan ia terampai di perkarangan rumah), mengetahui juga kerusi sofa yang terbenam di atas permaidani di ruang tamu itu (berapa harganya) di mana ia dibeli; dan begitulah kisah-kisah orang boleh ditebar- disebar sehingga ke segenap ceruk planet bumi.
 


 


Si Surina, ejen pengintip ini satu watak. Surina ada di mana-mana, maksud saya watak persis Surina ini. Ia boleh menjelma memakai nama Suzana, Suriani, Suhaini, Suliza, Sumisya, Sumitra (sekali lagi bukan awak tentunya; ini orang lain!).
 

Awak pernah berdepan dengan insan seperti Surina?


Ada seorang teman saya, pensyarah di sebuah universiti tempatan di sebelah utara. Dalam usia hujung 30-an, dia masih kacak. Betul perutnya tidak leper berketak lagi dan tiada bulu dada merumbui. Memang tidak seperti di usia muda. Namun, kalau dibenar ia melaram akan terpaut juga ramai pelajar pada senyuman sakti dan kedalaman lesung pipitnya yang tampak mengasyikkan itu.

 

Hati-hati, awak mesti berhati-hati meniti. Teman saya itu suaminya orang.


 


Begini, sewaktu kami sama di kampus dahulu, teman saya ini bercinta bagaikan tiada bulan dan bintang untuk dijangkau. Teman cintanya adalah juga teman sekuliah saya. Kira-kira ketiga-tiga mereka kawan sepengajian. 

 

Di tahun akhir kuliah, teman saya itu pun bernikah. Kecil-kecilan memandangkan mereka masih belajar. Kemudian oleh kesibukan urusan dan banyaknya duduk letak hidup yang perlu diatur secara rapi, kami pun terputus hubungan. Tatkala itu facebook belum ada, jadi mencari manusia tidak semudah di hujung jari jemari seperti kini.

 

>>>[KLIK DI SINI] Bagaimana Anak Kecil Ini Berdoa Supaya Bapanya yang Lumpuh Sekelip Mata Pada Malam Aidilfitri, Berjalan Kembali<<<

 

Awak bayangkan, baru tahun lalu saya kembali bertemu dengannya. Mungkin setelah 12 tahun. Pertemuan itu lebih asyik bukanlah di Lembah Kelang. Kami berbual-bual khusyuk di sebuah kafe di Osaka. Saya yang bertakung kenaifan ini pun bertanyakan satu soalan (yang sepatutnya biasa-biasa) berbunyi; “Berapa anak dah? Bagaimana Norimah (bukan nama sebenar)?”

 

Dengan selamba teman saya itu menjawab, “Aku dan Norimah sudah berpisah. Kami ada empat orang anak lelaki.”

 

Kira-kira tiada darah di muka saya seketika. 

 

Kemudian, saya abaikan persoalan itu lalu melanjut ke topik lain. Banyaknya seputar dunia akademik yang kami sama-sama geluti. Teman saya itu pulang sehari lebih awal dari saya ke Kuala Lumpur. Pesawatnya sudah ditempah begitu. Saya pula ingin mengalir seharian di Hiroshima. Kami berpisah di lobi hotel.


 

 

Beberapa bulan sesudahnya, teman saya tersebut menjelma lagi di sebuah universiti di tengah pusat kota. Kami bertemu lagi, berbual-bersembang rancak sekali. Kemudian, tiba-tiba di celah perbualan itu, teman saya bersuara; “Tidakkah kau mahu tahu kenapa aku dan Norimah berpisah?”

 

Saya mengangkat bahu. “Tidak perlu. Kalau mahu berkongsi boleh sahaja aku jadi pendengar macam selalu. Tapi kalau rasa tidak perlu, memang tiada keperluan untuk aku tahu…”

 

Teman saya kemudian melanjutkan, “Aku hormati engkau. Tiadakah pada kau rasa keterujaan langsung untuk mengetahui apa yang berlaku?”

 

Sekali lagi saya mengangkat bahu, isyarat bahawa saya memang tidak berminat. Pun, teman saya itu menceritakan tentang isteri baharunya tanpa membangkitkan apa-apa pun darihal isteri lamanya yang merupakan kawan sekuliah saya masa lampau. 

 

>>>[KLIK DI SINI] Lelaki Ini Buat ‘DIY’ di Rumah, Jimat Beribu. Hasilnya Setanding Gedung Perabot Ternama!<<<

 

Saya tahu dia sengaja memilih untuk menyingkap halaman baharu. Isteri lama adalah buku lama. Sudah ditutup dan diganti.

 

Teman saya tersebut pun berkisah tentang seorang pensyarah di fakulti yang sama tempat ia mengajar. Pensyarah itu perempuan ujarnya, katakanlah namanya Surina. O Surina lagi? Kata teman saya lagi, “Aku memang tidak mengenalnya, tidak pernah sekali pun bertegur dengannya. Bukan kerana sombong tetapi bidang kajian kami berbeza dan dia juga belum berkahwin, nanti tidak manis dilihat orang.”

 

Tup tip tup top sehari itu, pensyarah Surina ini mengetuk pintu kamarnya dan masuk setelah memberi salam. Teman saya memang gamam, maklumlah merekakan tidak pernah bersapaan. Pantas Surina duduk di hadapan tanpa silu segan dan tanpa basa basi yang wajar lantas bertanya satu soalan yang tidak dijangkakan; “Kenapa Dr bercerai? Betul ke Doktor sudah bercerai dengan isteri? Apa puncanya? Boleh saya tahu?”

 

O Surina!

 

Teman saya itu dalam kejutan hanya menjawab, “Sudah tiada jodoh.” 

 

>>>[KLIK DI SINI] 6 Tahun Berkorban, Dr. Soo Wincci Dedahkan Mengapa Ijazah PhD Memburaikan Tangisan Pilunya<<<

 

Aduh sopan sungguh jawapan teman saya tersebut. Mujur tidak dihamun dan dihamput kerana kepoci sekali aduhai sang Surina. Kemudian pensyarah Surina ini pun mengakui bahawa dia mendapat tahu tentang perceraian teman saya itu daripada seorang teman pensyarah yang lain. Bukan calang orang, teman pensyarah yang menjaja cerita perceraian teman pensyarah saya itu adalah seorang pendakwah terkenal. Dia menyangka kisah cerai nikah orang boleh memberi manfaat untuknya membela diri ekoran rekod prestasi kerjanya yang amat buruk (ya, di luar dia pendakwah terkenal, tetapi di universiti semua pelajar mengenal buruk lakunya).

 

Demikian, Surina juga boleh berjantina lelaki. Surina tidak mesti perempuan. Kalau mahu jadi Surina, gender bukan pra syarat utama.
 

Sumber: www.phonesspy.com


Berbalik kepada Surina yang benar-benar kami hadapi setiap hari, Surina ini bukan sahaja kegiatannya mengintip coli dan kerusi tetapi juga masuk ke akaun FB orang dan mengetik butang Like untuk semua foto yang dipapar. 

 

Mungkin dia berdepan ‘mid life crisis’, mungkin tudung jualannya tidak berapa laku, atau mungkin dia memang seorang Surina, kaki intai dan intip orang. Punyalah dia sibuk menjadi Surina, dia malah mengambil tahu urusan keluarga orang seperti benarkah adik si polan ini bertunang tidak jadi, atau betulkah si polan ini kekeringan bajet kerana keruduman ekonomi, atau menyempit-menyempil ingin mengambil tahu kisah lara kehidupan seorang isteri yang suaminya bergaji kecil. 

 

O Surina please, get a life!

 

Sesungguhnya, ketika Surina (dan ramai lagi) mengintip hal-hal orang. Tuhan, Ilahi, Lord sedang mengintai darihal kita. Sebetulnya, awak menjadi seorang kaki intai coli dan kerusi wahai Surina bukan kerana itu kegiatan utama dalam kehidupan yang fana ini. Ia berlaku kerana awak Surina berasa kurang akan kasih sayang Allah. Sehingga awak rasa perlu untuk meninjau-ninjau pasal manusia lain. 

 

Ringkas kata, awak menjadi Surina kerana awak kekurangan tauhid. Awak lekas mencemburui manusia lain, terutama jika mereka mendapat kelebihan dan keistimewaan. Awak juga pantas mendengkikan makhluk lain, terutama jika mereka mendapat keberuntungan dan kebajikan. Awak juga seronok dan puas jika manusia lain (kalau-kalau ia pesaing lebih baik) itu mengalami kemusibahan dan kejatuhan. 

 

Ini kerana awak merasa terciptanya kekuatan dalam diri oleh kelemahan orang. Itu semua petanda-petanda jahat awak sedang kehilangan Tuhan dalam diri. Sedangkan Tuhan, seharusnya serapat helaan nafas dengan diri.

 

Sudah masanya Surina diintai Ilahi, dan dia — duhai perlu sedar yang ia sedang diintip supaya ia dapat diberi kegemparan nyata; bahawa singgah kejap di dunia bukan sahaja untuk menjual tudung dan merisik peribadi orang, tetapi juga supaya meninjau semula dalam diri, membasmi lalang kejahatan dan menumbuhkan kembali benih kasih sayang kepada Tuhan. Gejala Surina adalah gejala kepupusan tauhid. Eloklah kembali mengupayakan keimanan.

 

Kalau awak pernah bertemu Surina, hari ini, esok atau lusa; katakan kepadanya kalau ia mengorek-ngorek rahsia rumahtangga awak ya katakan begini; “Surina, kau memang kekurangan tauhid. Tidakkah kau tahu Tuhan sedang mengintai kamu ketika engkau mengintai coli dan kerusiku?”

 

Awak lihat apa kata Surina nanti! 






 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    "Adikku Safiey, Abang Takkan Lupa Janjimu untuk Memandikan, Mengkapan dan Mengimamkan Jasad Ibu Bapamu Ketika Mereka dijemput Ilahi Kelak..."

  • Seterus →

    Imbas Kembali Saat Suka dan Duka Harimau Malaya di Sukan Olimpik Moscow 1980