Dec 08, 2016 - 102394
Oleh:
'D.I.Y'?
Tiga abjad yang semakin popular dengan masyarakat kita dewasa ini. Gedung besar dan kedai serbaneka seperti IKEA, HomePro, ‘Mr. DIY’, Daiso dan sebagainya sudah tidak asing lagi bagi kita. Tandanya, demand daripada orang ramai untuk barang-barang berkonsep ‘buat sendiri jer’ ini makin meningkat.
Kadang-kadang, berpusu-pusu orang ke sana bila saja ada tawaran harga. Tambah pula, dengan kenaikan kos barangan, servis dan cukai segala bagai sekarang ini, membuatkan dahi kita terkerut-kerut melihat tanda harga sesetengah barang keperluan (mahupun barang kehendak) bila tiba waktu berbelanja. Alternatif lain harus dicari.
'Top' meja makan yang diubah suai saiznya, sebab tak muat ruang dapur, hehehe.
Dah ubah suai, barulah muat masuk dapur, hehehe...
Segalanya bermula secara serius selepas ambo (ganti namo ‘saya’… orang Kelantan kan, hehe) memiliki rumah baru, yang dibeli sekitar dua tahun yang lalu. Ketika itu, ambo seperti juga pemilik-pemilik rumah baru yang lain, bersimpang-siur cabang idea untuk menghias rumah lagak gaya sang dekor tersohor, Dr. Eric Leong yang bold and stylish itu.
Tapi apakan daya. Bajet sekitar RM10,000 hasil daripada tabungan selama beberapa tahun, cukup sekadar untuk dibuat grill, kabinet dapur dan awning sahaja. Mujur perabot-perabot yang penting-penting itu, ambo beli sedikit-sedikit ketika menyewa di rumah lama dulu (dan mujur jugok ada satu duo perabot retro warisan ayahbonda ‘hok’ masih cantik dan boleh diguno).
Tapi apakan daya, ambo cuma insan biasa yang turut ada kehendak untuk ada itu dan ada ini supaya rumah ambo itu nampak berseri dan berseni. Nak beli baru, bajet awal-awal lagi dah pun cemburu. Lalu teringat ambo akan kata-kata Abah ambo dulu.
Ruang buku ini semua diperbuat daripada barang terpakai/terbuang (katil double decker).
Ruangan hallway ni pula, semua guna kayu pallet yang dikutip di tepi longkang.
Abah Sebagai Idola
Ambo berasal daripada keluarga yang cukup sederhana. Abah, sedari ambo kecil lagi, banyak memberi inspirasi untuk ambo menjadi ‘Encik-Buat-Sendiri-Jer’ seperti hari ini (maaf, perasan pulok ambo ado ‘title’ tu... hehe).
Dialah idola sebenar. Seringkali ambo melihat abah membaiki dan mengubah suai barang-barang yang rosak di rumah ataupun di kampung bila mana setiap kali kami pulang bercuti raya di Kota Bharu. Sebut sahaja apa yang punah, dari lampu yang tidak menyala, atap genting yang pecah, paip di bilik air yang patah, enjin kereta lama yang bersengguk-sengguk dan macam-macam lagi perkara masalah, abah setia membaiki bersama 'tools'nya.
Abah ambo yang jadi sumber inspirasi 'DIY'. Sekarang ni, gunting rambut dia pun ambo kena 'DIY' jugok, huhuuu...
"Selagi Buleh Pakaa, Kito Pakaa... Selagi Buleh Bekki, Kito Bekki..."
Barangkali, atas faktor ekonomi, abah tidak mampu sesuka hati untuk menukar sahaja barang yang rosak itu kepada yang baharu. Harga barang pula, semakin hari semakin mahal harganya. “Selagi buleh pakaa (pakai), kito pakaa… selagi buleh bekki (baiki), kito bekki…”
Mudah sahaja prinsip abah ambo. Mungkin juga faktor abah ambo ni berasal daripada keluarga yang hidup susah dan pengalaman berdikari sejak kecil hinggalah ke zaman alam ketenteraan dulu yang banyak mengajar abah erti ‘buat sendiri’. Dan ketika itu, tugas ambo adalah sekadar menjadi ‘pembantu setia’ yang sering berdengus apabila disuruh abah untuk ambil itu, hulur ini, pegang itu dan tarik ini, husssh… (maklumlah, budok-budok... kuatlah mengeluh bilo disuruh buat kejo gak, hehe).
Apabila usia semakin bertambah, kudrat abah semakin terhad dan tidak segagah seperti waktu muda. Kerja yang dahulunya ringan dipandang sebelah mata, kini terasa seperti kudrat itu telah tiada (tamboh pulok lepas abah ambo ado masaloh dengan kesihate jantung dio). Maka, ambo yang dulu kuat mengeluh inilah yang kini menjadi sang penerus usahanya.
Kaki meja ni orang 'reject', akhir sekali, ambo jadikan kerusi belajar Cik CeO ambo lerr, heheheee...
'D.I.Y' + Seni Kraf Kayu
Di samping membuat sendiri kerja baik pulih barangan (mano hok termampu sajo lah), ambo rupanya minat juga dalam kerjaseni ketukangan kayu (bunyi serupo di luar sedar pulok, huhu). Kerja-kerja bertukang ini bermula ketika ambo jerih mencari idea untuk mengecilkan saiz meja makan lama supaya sesuai dengan keluasan terhad ruang makan di bahagian dapur rumah baru tersebut.
Nak dicari yang baru, kaki meja itu masih utuh berdiri dan kuat sendinya. Sayang pula kalau hendak dicampak buang begitu sahaja.
Ambo pun mulalah ‘menelaah’ laman web yang berkaitan dengan 'D.I.Y' dan Art & Craft. Dengan berbekalkan kayu yang dihadiahkan oleh seorang kenalan Instagram (kebetulan pula beliau seorang tukang kayu yang kreatif, terima kasih Saudara Nuar, ) dan mesin gergaji yang dipinjam dari rakan sepejabat (terhutey budi jugok ko Cikgu Wahyu ambo tu), ambo bertatih-tatih pula dalam bidang kemahiran baru ini.
Ruang garaj kereta yang diubah suai menjadi tempat ambo mencurah idea.
Timbul Idea Menjenamakan Hasil Kerja Sebagai "Cik CeO Creations"
Sudut garaj kereta di luar itu ambo ubah suai menjadi ‘mini bengkel’ sebagai tempat menterjemah idea dan usaha. Dan bermula dari situ, lama-kelamaan minat itu semakin memekar dan sarat dengan bermacam idea yang ambo peroleh daripada pelbagai sumber. Satu persatu ‘projek’ baru ambo usahakan. Kebanyakan ‘projek-projek’ tersebut adalah untuk kegunaan di rumah ambo sendiri sahaja. Tak sangka pula, gambar-gambar hasil kerja yang ambo upload ke dalam Facebook dan Instagram peribadi, mendapat perhatian rakan maya. Kebanyakannya memberi kata perangsang dan ada juga yang mula memesan.
Dari situ, terlahir pula idea untuk ambo hasilkan produk dengan menggunakan jenama sendiri, ambo namakan ‘CikCeOCreations’ (kononnya, jenamo tu di‘C.E.O’kan oleh anok ambo hok umur tiga tahun tu, dengan harapan dio pulok akan menjadi penerus usaho sebagaimano ambo dengan datuknyo dulu, hehe… tak saloh dok kita mencubo?)
Mulakanlah Dengan yang Mudah Dahulu
Nasihat ambo kepada anda yang ingin memula kerja ‘D.I.Y’ ini, mulakanlah dahulu dengan kerja yang senang dan simple-simple sahaja. Banyak bertanya pada mereka yang lebih arif dalam kerja-kerja tersebut seperti tukang kayu, tukang paip, tukang pomen, tukang wiring (dan segalo jenis tukey nukey lagi lah).
Dalam zaman teknologi serba pintar kini, sumber dari internet juga sangat-sangat membantu. Taip sahaja di enjin carian internet masing-masing, berjuta maklumat boleh diperoleh. Tidak semestinya perlu pada bakat kreatif semata, apa yang penting adalah usaha kita. Kepuasan melihat hasil kerja tangan sediri sangat berbeza dan unik. Dan yang paling penting, kita dapat berjimat tanpa perlu berbelanja mewah untuk hasil yang tak mustahil boleh membuat orang lain terpukau (wow, ambo terperasan lagi untuk kesekian kalinyo, hehe). Janji poket selamat, hati pun tenang, haha.
Kayu terpakai ini ambo gunakan untuk hasilkan key/mail holder.
Bermodalkan RM10, ambo buat sendiri backlight untuk TV ni.
Setiap Kenyataan Bermula Dari Impian Kosong
Sebenarnya, ada masa-masa tertentu ambo suka duduk, termenung jauh memasang impian percuma… kosong (ado ko impian berbayar dan terus penuh?). Ambo impikan satu masa nanti, akan lahir satu gedung besar ‘D.I.Y’ ala-ala IKEA yang menjual hasil-hasil kerja tangan anak-anak tempatan setanding dengan jenama dunia yang terkenal. Mereka itu ramai di luar sana, penuh jiwa seni dan tinggi kemahirannya. Ambo yakin, hasil kerja anak bangsa kita memang cukup kreatif dan ada kualiti untuk diketengahkan ke industri dunia.
Dan tak mustahil, satu hari nanti, anak kecil tiga tahun ambo itulah yang akan menjadi ‘Cik C.E.O’ gedung besar tersebut... (aduh laa, berangan tok sudoh, hehe).
Yang pasti, setiap kenyataan itu bermula dari impian yang kosong. Moga Allah SWT memberi keizinan dan keberkatan-Nya. Amin.
=