Nov 20, 2016 - 10193

Bagaimana Anak Kecil Ini Berdoa Supaya Bapanya yang Lumpuh Sekelip Mata Pada Malam Aidilfitri, Berjalan Kembali

Kelumpuhan bapanya sekelip mata, telah mengubah hidup 360 darjah. Bagaimana anak kecil ini belajar untuk memahaminya?

 

Oleh:

 

 

 

“PUAN nampak bintik-bintik yang banyak ini?” 

 

Saya angguk. Mata saya melotot pada jari telunjuk doktor, berkisar-kisar pada imej keratan rentas organ dalaman di hadapan kami.

 

“Diagnosis dan imbasan CT memberi petunjuk, suami Puan menghidap kanser paru-paru. Tahap tiga. Maafkan saya Puan.”

 

Pesawat Malaysia Airlines bergoncang sewaktu landasan Shanghai Pudong International Airport berpisah dengan roda pesawat, saya terjeda, beristighfar dalam hati. Seperti Tuhan memberikan satu petunjuk baru bahawa setiap kesulitan itu, akan ada jalan keluarnya. 

 

Maha Suci Allah! 

 

Hari itu hari Khamis, 14 April 2011, saya di dalam perut pesawat yang berdengung dan bergetar, mengucap selamat tinggal kepada udara Shanghai. Di tangan saya adalah pemberi harapan baru. “Paralysed, Now He Walks Again” — tajuk artikel dalam akhbar The Straits Times Singapore hari itu. 

 

Sumber: The Straits Times Singapore 

 

Beritanya berbunyi begini: John Wong dari Singapura, 31, seorang Pengurus Rantau Asia, menceritakan bagaimana pada malam Krismas Disember 2004, sewaktu dia berputar berlari-lari bermain dengan anak-anak kecil, seluruh bucu dan liku sendi-sendinya — drastik lemah — lalu menyerah kepada graviti. “I found I could not command my legs to run. I could still walk but it was like the program for running was suddenly deleted from my brain."

 

Beberapa hari selepas malam Krismas itu, John Wong kehilangan daya imbangan badan. Dia jatuh tersepuk beberapa kali. Daripada kaki, rasa kebas merayapi tangan. Lalu pada Januari 2005, John Wong bertemu pakar neurologi. Kesnya segera dirujuk ke Hospital Besar Singapura. 

 

Ujian menunjukkan dia berkemungkinan menghidapi Guillain-Barre Syndrome, kes yang sangat terpilih lagi terpencil, nisbahnya hanyalah 1 kes daripada 100,000 manusia (bayangkan), lazim menyerang lelaki 30-an dan 40-an. Asalnya dimulai bibit lemah atau kebas pada kaki dan jari-jemari, sebelum ia merebaki seluruh anggota badan. Dikatakan ia berpunca daripada chronic inflammatory demyelinating polyneuropathy, yang rupanya sudah berumah, membiak dan membinasakan cabang-cabang sarafnya, mengakibatkan kelumpuhan sepenuhnya – COMPLETE PARALYSIS. 

 

Dan kerana itu, John Wong buta. Ya, John Wong bukan sahaja lumpuh, bahkan buta. 

 

Kekasihnya yang dicintai selama dua tahun, yang bakal dikahwini, mengambil keputusan meninggalkan John Wong.

 

Saya membacanya berkali-kali, sebelum melipat semula kepingan akhbar itu, memeluknya rapat ke dada, berseru di dalam hati. Artikel ini harus dibawa pulang ke Malaysia, dan suami harus membacanya. Mungkinkah ini satu lagi petunjuk supaya kami tidak berputus asa?

 

 

Bagaimana Suami Menjadi Lumpuh Dalam Sekelip Mata?

Hari itu hari Sabtu 11 September 2010, Subuh kedua Aidilfitri. Suami mengejutkan saya. Katanya, kakinya sejuk dan kaku dan tidak merasai apa-apa. Sekonyong-konyong saya menyentuh kakinya. 

 

Sejuk.

 

Saya mencubit betisnya. Dia menggeleng. Tetap tidak merasai apa-apa.

 

Langit seperti runtuh di atas kepala saya. 

 

 

Semenjak hari itu, Sabtu 11 September 2010, titik hidup kami beralih daripada kelaziman. Rawatan sulung di Hospital Putra Melaka membawa berita mengejutkan. Suami disyaki menghidapi kanser paru-paru tahap tiga, lumpuh sekelip mata. Kes dirujuk kepada Pusat Perubatan UKM atas saranan doktor pertama, “Saya faham puan dan keluarga mahu mencuba rawatan alternatif,” ujar doktor itu, “Tapi tolong jangan ambil masa terlalu lama.”

 

Ya, titik hidup kami beralih daripada kelaziman selesa. Saya terpaksa menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pembantu rumah yang amat setia. Memohonnya membantu mengurus Rania dan seluruh rumahtangga. Kerana yang terbening di benak saya waktu itu hanyalah suami, hospital, dan kerja yang tertunggak di pejabat. 

 

Bagaimana harus saya menempuhi semua ini? Suami yang lumpuh, kian kurus dan sakit kerana berperang dengan bakteria yang telah tumbuh di dalam paru-paru kirinya, anak yang menagih cinta dan peluk cium ibunya setiap malam, dan kerja di pejabat yang menggunung dan sentiasa bersaing dengan masa — Ya Rabb, mampukah saya yang kerdil dan lemah ini melaluinya — dengan tenang, reda lagi waras? 

 

 

Allah Memberi Kita Ujian Kerana Kita Boleh Memikulnya

“Tuhan tidak akan memberi ujian sebegini hebat jika kamu tidak mampu memikulnya,” seorang sahabat baik menenangkan. 

 

Hampir setiap malam saya melawan bisa kesejukan tidur di hospital. Di atas kerusi malas, di sisi katil suami, hanya berhello-hello sayang dengan Rania di corong telefon, memintanya bersabar menunggu saya dan abahnya pulang. Dan nyanyian comelnya di corong telefon selalu membuat saya tertidur sambil air mata mengalir senyap, dan perlahan. 

 

 

 

Bagaimana Anak Saya Menerima Hakikat Bapanya Lumpuh Sekelip Mata Pada Malam Aidilfitri?

Rania anak yang baik. Tidak pernah sekali dia mempersoal, mengapa abah tidak pernah menemaninya pada hari pertama dia menghadiri persekolahan tadika. Tidak pernah sekali dia merungut, mengapa abah tidak seperti bapa orang lain yang boleh membawanya berjoging pada setiap petang atau berenang bersamanya pada hujung minggu, seperti selalu. 

 

 

Dia sedar, keterbatasan telah menyempadankan begitu banyak limitasi. Terlalu banyak perkara dan aktiviti tidak boleh dilakukan bersama. Terlalu banyak lokasi tidak boleh dikunjungi berteman abahnya, kerana prasarana dan sistem sokongan untuk OKU di Malaysia masih lemah. Seni bina premis yang tidak mesra OKU misalannya, antara kekecewaan yang terpaksa kami hadam pada kebanyakan waktu. 

 

Tetapi anak saya tidak berhenti berdoa. “Ya Allah ya Tuhanku,” ucapnya selalu, “Kembalikanlah kaki abahku... supaya dia boleh berjalan semula... supaya dia boleh menghantarku ke sekolah... dan boleh mengambilku balik dari sekolah…” 

 

 

Doanya itu selalu membuat saya sebak. Demikianlah sepotong doa seorang budak kecil yang dihantar ke pendengaran Allah SWT, semenjak enam tahun yang lalu. Dan dia masih tidak berhenti berdoa. 

 

 

Namun saya terhidu sesuatu. Kesunyian dan kehampaan yang disembunyikan. Sekeping kertas putih menjadi tempatnya melimpahkan seluruh perasaan. Ya, Rania melukis dan terus melukis untuk mengubat hatinya yang rawan, kerana budak sekecilnya tidak tahu bagaimanakah caranya untuk melafaz isi hati. Budak sekecilnya tidak tahu bagaimanakah caranya untuk meluahkan taufan yang terpendam. 

 

Dan Budak Kecil Ini Mula Melukis Dengan Kerap Apabila Dia Berumur 8 Tahun

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Pada saat itu, saya tersedar, barangkali itulah pintu keluar (sementara) yang membuatnya gembira. Di atas kertas lukisan, fantasi anak kecil ini merubah dirinya menjadi biri-biri, ikan duyung, unikorn, puteri raja, burung hantu, kuda laut — ya — apa saja. Lalu saya mengambil keputusan, menemani Rania melukis selalu.  

 

Saya Tidak Mahu Rania Melukis Keseorangan, Kini 'Doodle' Budak Kecil Itu Sudah Punya Teman 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana Kami Meneruskan Kehidupan Selepas Peristiwa Kelumpuhan?

Kerana saya harus kuat, saya tidak mahu suami melihat saya kecewa dan menangis. Kerana saya harus kuat, saya mahu suami tahu bahawa kami juga berjuang melawan penyakitnya bersama-sama. Selepas perubatan di hospital, kami mencuba urut tradisional, bekam, akupuntur, fisioterapi, chiropractic, terapi kuasa minda dan sentuhan, homeopati — ya segalanya.

 

Bukankah Tuhan telah berjanji tidak akan mengubah nasib hamba-Nya, jika kita sendiri tidak berusaha merubahnya?

 

 

Saya menulis ini bukan kerana mahu membuktikan siapa-siapa, atau apa-apa. Saya menulis ini bukan kerana mahu menyalahkan nasib, atau menuding kepada takdir yang telah dijungkirbalikkan. Saya menulis ini kerana saya terpanggil untuk berkongsi kisah ini dengan semua wanita di luar sana, yang pernah buntu kerana diamuk ujian maha dahsyat, yang barangkali telah memilih untuk berputus asa dan menangisi takdir.

 

Percayalah, ini adalah harinya untuk kita bangun dan terus memacu kehidupan. Bagaimana kita harus menjadi lebih kekar dan bersemangat daripada mana-mana hari sekalipun, kerana Allah SWT tidak semestinya memberi kita peluang kedua dan ketiga pada bila-bila masa.

 

Apabila suami mampu berlari kembali selepas ini, saya mahu dia menoleh dan mengenangnya semula, bahawa dunia ini terlalu benar adalah pinjaman Tuhan. Maka menjadi tanggungjawab saya dan dia membantu dan membalas jasa sesiapa jua yang pernah terlibat — para wira dan wirawati peristiwa kejatuhan dan kebangkitan hidup kami ini.

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    SPM 9A: Nourul Wahab Buktikan Anak Artis Juga Cemerlang, Ini Rahsia Didikan Nourul

  • Seterus →

    Lelaki Ini Tinggalkan Gaji 5 Angka Untuk Jadi 'Suri Rumah', Rupanya Allah Ganti Benda Lebih Baik