Nov 19, 2016 - 4603
Oleh: Huda Hussain
Kredit foto: Ihsan Nourul Wahab Depp
BAGAIMANA perasaan dan pengalaman keibuan yang anda lalui?
Saya berumur 21 tahun ketika mengandungkan Ayu. Ketika itu saya cukup teruja untuk hamil. Apatah lagi apabila disahkan hamil, saya seakan tidak percaya adakah benar saya hamil. Memandangkan sebelum mengandungkan Ayu, saya pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali. Dan selepas hamilkan Ayu, saya lebih peka dan menjaga diri. Makan pula boleh tahan banyak kuantiti, hahaha... sehingga berat badan naik 27 kilogram sepanjang saya hamil.
Pengalaman melahirkan Ayu, Zachary dan Raphael; pasti setiap anak ada bezanya bukan?
Sewaktu melahirkan Ayu dan Zachary, alhamdulillah saya melalui proses kelahiran secara normal. Cuma Raphael sahaja terpaksa melalui proses pembedahan.
Jarak usia kehamilan antara Ayu dan Zachary jauh. Bagaimana Nurul melaluinya?
Saya seolah-olah pertama kali hamil ketika mengandungkan Zachary kerana terlupa banyak perkara. Jarak usia Ayu dan Zachary 15 tahun, jadi bayangkanlah saya terlupa rutin biasa jika mempunyai anak kecil. Terlupa untuk bangun malam, anak mahu menyusu dan lain-lain.
Kekok juga ketika kali pertama mahu uruskan anak kecil. Maklum sajalah sudah berbelas tahun tiada baby (ketawa). Dan apabila melahirkan Raphael, saya tidak mempunyai masalah sementelahan jarak usianya dengan Zachary cuma 15 bulan.
Zachary dan Raphael lebih banyak mewarisi sifat siapa?
Mungkin kedua-duanya. Zachary lebih emosional dan sensitif malah dalam masa sama dia meminati muzik. Dia juga seorang anak yang full of love dan dia menzahirkannya dengan memberikan pelukan dan kucupan. Raphael pula walaupun dia masih kecil (14 bulan) tetapi dia seorang yang berdisiplin.
Dia seorang anak yang mengikut aturan masa misalnya jika sudah sampai waktunya untuk tidur, dia akan tidur. Zachary lebih banyak mewarisi sifat-sifat kemelayuan manakala Raphael pula lebih banyak terikut dengan karakteristik sebelah bapanya.
Antara Nourul dan suami, siapa lebih tegas dan dominan dalam mendisiplinkan anak-anak?
Suami (Eric Daniel Depp) berasal dari Perancis. Ia banyak berkait rapat dengan cara mereka dibesarkan, didikan, asuhan, budaya dan persekitaran yang membentuk diri mereka. Seperti suami saya, dia telah banyak dan boleh menerima budaya dan cara orang kita. Tetapi masih kekal dengan budaya dan pegangannya yang mementingkan disiplin dan peraturan.
Pengalaman bergelar ibu, kongsikan?
Seronok dan sentiasa mengujakan. Kehidupan juga terasa lebih bermakna. Apatah lagi menjadi seorang ibu, ia sebenarnya menuntut tanggungjawab dan komitmen sekali gus membuatkan hidup saya lebih teratur dan tahu fokus hidup dan setiap apa yang dilakukan demi keluarga dan anak-anak.
Jika marah dengan anak-anak, apa yang Nourul buat?
Kalau Ayu, dia tidak pernah dirotan, dicubit atau dipukul sama sekali. Cuma sekarang jika dia melakukan kesalahan adalah juga saya membebel. Zachary pula ada ketikanya jika dia enggan mendengar kata, saya tampar pinggulnya.
Bukanlah memukul sehingga meninggalkan kesan lebam dan sebagainya tetapi biar dia rasa sakit sedikit. Selebihnya jika saya menjegilkan mata, mereka sudah takut.
Masakan air tangan Nurul yang Ayu sukai?
Ayu suka kalau saya masakkan asam pedas dan ayam masak merah.
Nurul beri sebarang hadiah kepada Ayu untuk rai kejayaan 9A dalam SPM?
Kami bawa Ayu bercuti ke Perancis dan bawa dia pusing-pusing kota Paris selama dua hari. Ada teringat juga nak berikan saja kereta Ford saya kepada Ayu. Tapi tak pasti lagi kerana papanya kata mahu belikan kereta untuk Ayu. Tengoklah nanti.
Ayu punya 'boyfriend'kah? Pernahkah Ayu berkongsi 'her love crush' dengan Nurul?
Oh tidak, Ayu tak pernah lagi berteman lelaki atau berboyfriend. Ayu jadi tak yakin kerana pernah lihat saya frust beberapa kali. Ya, crush itu memang ada sepertimana yang dialami gadis-gadis remaja lain. Masa itu umur Ayu tujuh tahun, dia crush dengan anak seorang personaliti TV3.
Saya tak boleh beritahu siapa. Nanti Ayu marah, hahaha. Yang saya tahu, dia sekarang tengah “jatuh cinta” dengan Xiu Min, ahli Kumpulan EXO. Ayu suka lelaki Korea. Lelaki yang berwajah Oriental gitu.
Kalau Ayu rasa kecewa kerana sesuatu isu, bagaimana Nurul naikkan semula semangatnya sambil beri motivasi?
Kalau Ayu kecewa atau marah, atau apa isunya sekalipun, dia akan telefon saya. Sebagai ibu, saya akan bicara dengan Ayu. Bercakap dan menimbangkan masalah Ayu daripada segi logik dan positif. Memang semenjak Ayu kecil, saya ambil pendekatan menggunakan psikologi.
Saya suka perhalusi satu-satu isu itu daripada sudut logik supaya mudah Ayu memahami dan menerimanya. Ayu punya emosi yang mendalam. Jadi saya fikir kaedah itu yang terbaik buatnya.
Perancangan melanjutkan pengajian ke peringkat universiti? Dalam Malaysia atau luar negara?
Ayu berminat untuk ke New Zealand untuk dalami bidang zoologi. Tapi namanya pun perancangan, kan? Saya ada berbincang dengan papa Ayu. Katanya, risau juga kalau anak perempuan jauh dari mata. Tengoklah juga, kalau ada rezeki biasiswa. Semoga Tuhan permudahkan urusan Ayu.
Memori Ayu sewaktu kecil yang tidak akan Nurul lupakan sampai bila-bila?
Banyak memorinya. Semenjak dia baby lagi, saya menjaganya sendiri tanpa pembantu rumah selama dua tahun. Ayu baby yang amat menyenangkan, amat baik. Kalau jatuh sakit, tak banyak ragam. Petah bercakap, bijak dan kuat bertanya. Contohnya, sewaktu dia berumur tiga tahun, dia tengok papanya bermain piano. Saya menerangkan kepada Ayu apa yang dilihatnya itu.
Rupa-rupanya sepanjang malam itu dia tak tidur memikirkan tentang piano dan bagaimana papanya mencipta irama dengan ‘benda’ itu. Bangun pagi esoknya, katanya, Ayu mahu jadi seperti papa! Kami terkejut! Lalu kami dapatkan seorang guru piano untuk membimbing sampai umurnya enam tahun. Dia suka melihat, mengamati.
Banyak juga memori indah sewaktu bercuti bersama ke Disneyland, Hong Kong. Dia agak terkesan dengan perpisahan kami. Namun syukur kami semua sudah move on dan bahagia dengan pilihan masing-masing.
Barangan yang kalian kongsi?
Baju dan alat solek! Ayu suka juga bergaya dan mengenakan make-up.
Boleh perincikan di sini bagaimana Ayu belajar sehingga memperolehi keputusan 9A dalam SPM?
Ayu seorang yang perfectionist. Kalau dia mahukan sesuatu, dia akan melakukannya sehabis baik. Dia juga fokus orangnya. Ayu amalkan bangun awal pagi untuk belajar. Ada masanya berjaga malam juga untuk menelaah. Kalau otaknya tepu atau rasa stress, dia selalu kata, otaknya jammed! Haha. Jadi untuk relakskan otak yang ‘jammed’, Ayu selalu rakam video di IG atau mendengar lagu.
Kemahiran yang Nourul pelajari atau kuasai setelah bergelar ibu?
Secara automatik anda akan rasai dan kuasai apabila menjadi ibu. Tetapi bagi saya pada awalnya (sewaktu melahirkan Ayu) tidak mempunyai masalah kerana saya dibesarkan dalam keluarga yang ramai. Ada adik-adik di bawah saya yang saya bantu untuk menjaga mereka. Maka, sudah terbiasa dengan selok-belok kerja dan urusan keluarga di rumah.
Cabaran ibu zaman kini, sukar atau takut untuk Nourul laluinya?
Pada hemat saya, ia terpulang kepada pemikiran dan pegangan kita. Usah fikirkan sesuatu yang buruk sebaliknya cuba tanamkan fikiran yang positif. Jika kita berfikiran positif, insya-Allah secara tidak langsung elemen dan aura positif yang akan diterima. Maka dengan itu fikirlah perkara yang baik-baik demi kesejahteraan anak-anak.
Menarik tentang dunia hari ini berbanding waktu anda dibesarkan dahulu?
Terlalu banyak perbezaannya. Zachary (tiga tahun) sudah pandai tonton YouTube di telefon bimbit. Kita dahulu dengan usia seawal tiga tahun sibuk bermain parit, terjun longkang, panjat pokok, hahaha...
Pendekatan yang Nourul guna dan terapkan kepada anak-anak?
Eric adalah seorang lelaki yang berfikiran positif dan kami sematkan pemikiran logik kepada mereka. Sejak anak kecil lagi, tanamkan dalam fikiran mereka apa yang perlu dilakukan dalam hidup serta nilai-nilai lain yang penting untuk hidup. Be nice to people, sentiasa rasa bersyukur, sentiasa ceria dan hormat-menghormati.