Nov 13, 2016 - 69909

“Walau Mak Keturunan CINA, Dia Belajar Masak Melayu dan Mamak Demi Bapak” — FATIMAH ABU BAKAR

Tentang penyerahan kehidupan seorang manusia bernama ibu. Tentang korbannya yang tidak pernah disebut. Tentang jasanya yang tidak akan pernah dapat dibayar, hingga hari kiamat.

 

Oleh:

 

Sumber: Ihsan Studio H

 

BOLEH kongsikan cerita tentang ibu Puan Fatimah? 

Untuk pengetahuan anda, mak saya, Puan Rohani Tan Mooi Gee, berketurunan Cina. Datuk dan nenek merantau dari Tanah Hainan, China; lalu berhijrah ke Tanah Melayu untuk menjadi tukang masak kepada keluarga Inggeris. Mak saya ibu yang garang. Ya Allah hai... memang kontras sekali dengan arwah bapak yang amat memanjakan anak-anak. 

 

Oleh kerana bapak sudah manjakan anak-anak gila-gila, maka mak automatik masuk suis guru disiplin. Kalau kami tak pergi sekolah, siap sedialah, rotan mesti datang. 

 

 

 

Saya anak sulung, satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, maka tanggungjawab itu besar. Tetapi didikan mak menarik, kerana mak tidak membeda keupayaan atau skop kerja-kerja rumah mengikut gender. Menjadi anak lelaki tak bermakna tak boleh masuk dapur, tak boleh potong bawang, tak boleh tanak nasi. Lelaki atau perempuan, ekspektasi mak sama. 

 

Lagi satu, adalah kerajinan mak yang tak dapat kami tandingi. Kalau nak makan kari, boleh, tapi jangan mimpilah nak beli-beli rempah-ratus kari dari kedai. Kalau teringin, hah, giling sendirilah jawabnya.

 

Mak, walau berketurunan Cina, demi menjaga selera dan makan-minum bapak yang berdarah Mamak, maka mak belajar memasak masakan Melayu dan Mamak daripada ibu mentua. Selain nasi ayam Hainan dan masak masam manis ala resepi Cina, masakan Melayu air tangan mak sama enak. Kalau dia masak gulai, fuh! Memang macam anak mamilah.

 

 

 

Sekarang dia sudah 81 tahun, tapi alhamdulillah, dia masih sihat, masih cergas. Satu lagi perkara menarik tentang mak, dia sangat berdikari. Tak pernah mahu menyusahkan anak-anak. Kalau dia berhajat ke satu-satu tempat tetapi tak terlunas sebab anak-anak sibuk, dia tak memaksa, sebaliknya mak usahakan pergi sendiri. Dia naik teksi, naik bas sendiri-sendiri. 

 

Dulu, walau kami tinggal di Penang, arwah bapak ada beli rumah di Kulim. Mak, walaupun tinggal di Penang bersama kami, kalau rasa bosan, dia akan naik bas balik Kulim gitu. Jadi apabila kami akhirnya sewa rumah di Kulim, mak tak ada alasan lagi nak meronda-ronda di Kulim, hahaha. Kalau dia sebut saja nak balik Kulim, “Oh, I nak balik Kulimlah,” kami semua sepakat menegah, “No! Janganlah pergi sorang- sorang, tunggulah (cuti) kami.” 

 

Tapi yang selalu terjadi, “Hallooo, I’m on the bus now...” 

 

Bayangkanlah, macam mana tak sakit jantung kami ni, hadoi!

 

 

 

Alhamdulillah, dia masih membaca buku, suka menonton TV, bahkan menonton Ola Bola pun dia diam-diam pergi sendiri kerana tak mahu tunggu kami, maklumlah, tunggu kami lambat sangat. 

 

Yaa... she’s like that. Dulu dia bantu jaga anak saya, sekarang dia bantu untuk menjaga cicitnya — cucu saya, anak Leya. Saya sangat-sangat bersyukur.

 

 

 

 

Yang paling ayah Puan Fatimah sayang tentang isterinya?

Sense of humor mak. Dan sudah tentu masakan air tangannya. Zaman dulu, mak dan bapak macam kekasih dua sejoli. Walau pada usia senja (sekitar 60-70 tahun), mak dan bapak sangat attached, sayang tak berbahagi, akrab tak berpisah. Bapak masih kuat memandu, maka sekejap-sekejap kami akan dapat panggilan telefon, “Oh kami nak pergi berjalan, nak cuba highway baru ke Kelantan, byeee...” Tiba-tiba, ada di Terengganu pulak. Kejap-kejap lagi, dia telefon, “We are in Ipoh, byeee...” 

 

Begitulah cinta mereka disuburkan, berdua-duaan. Kalau bosan, mereka memandu pulang ke Kulim. Kalau rindu cucu, mereka memandu ke Kuala Lumpur. They are best friends. Sebab itulah kalau bertengkar, uiii... boleh tahan jugak, haha.

 

 

 

Bermaksud arwah bapa Puan Fatimah adalah jantung yang berdenyut dalam kalbu ibu. Ibu Puan tak terkesan dengan kehilangannya?

Mak sangat kuat. Saya tahu rindu mak kepada bapak terlalu kuat. Terlalu dalam. Tapi mak selalu menyibukkan diri, tak mahu fikirkan tentang kesunyian walaupun banyak perkara yang ditempuhi berdua-duaan, kini harus dijalani sendiri-sendiri. 

 

Dia banyak membaca, berjalan, malah bermain game boy juga. Mak sangat positif. Jiwa mak besar, sebesar seluruh kehidupannya yang telah mak dedikasikan untuk satu-satunya lelaki yang amat dia cintai. Alhamdulillah.

 

 

 

Satu sikap ibu Puan yang berbekas dalam ingatan dan Puan amalkan hingga hari ini?

Mak kan orang dulu-dulu. Dia ni pemalu, mana betah lafaz “I LOVE YOU” macam orang zaman sekarang? Tapi sekarang mak lebih terbuka. Dan terkadang walau mak tak berapa ekspresif tunjukkan kasih sayangnya, kalau saya sakit, dia akan batalkan apa saja temu janji atau pelannya hari itu demi temani saya. 

 

 

 

 

Mak sentiasa mendahulukan anak-anak. Kalau ada satu-satu hidangan yang sedap sangat tetapi kecil sangat porsinya, dia akan pura-pura kenyang dan suruh kami habiskannya. Dulu masa muda, kami bebal, tak mengerti. Dia suruh habiskan, apa lagi? Kita pun licinkanlah.

 

Tapi sekarang saya faham. Kerana kini saya juga seperti mak, saya buat perkara yang sama kepada anak-anak dan cucu-cucu. Kerana itulah saya masih tak faham logik kalau menonton filem ‘Batu Belah Batu Bertangkup’. Bagi saya, biarlah kalau anak nak sangat makan telur ikan tembakul tu? Nak merajuk sampai masuk gua tu nak buat apa, kan? (ketawa) 

 

 

 

Perkara yang tidak pernah Puan rasai semasa kecil dulu, tetapi alhamdulillah anak-anak menikmatinya hari ini?

Walaupun kita tidak kaya, alhamdulillah, kami dapat kecap yang kami mahu. Saya sewaktu kecil, ulat buku, suka membaca buku cerita. Cuma ya, yang boleh saya recall di sini, kalau buku-buku cerita import yang mahal harganya, mak dan bapak tak beli banyak. Memadai sebuah. 

 

Tapi sekarang, untuk anak-anak saya, mak mandikan dengan buku-buku cerita yang mahal-mahal, tak kira waktu, sampai melimpah-limpah. Satu lagi, ais krim atau coklat-coklat import yang enaknya mengecurkan air liur. Zaman dulu, benda-benda begini bukan saja susah nak dapat, mahal pula. Kalau bapak beli pun, mungkin cuma sebulan sekali. Sekarang, penuh peti sejuk! Ia buat saya terfikir, mungkin saya patut bawa masuk pengalaman saya waktu kecil dulu kepada kehidupan moden cucu-cucu saya hari ini. Biar mereka belajar erti susah, biar mereka lebih faham dan menaakul apa erti berjimat. Mensyukuri apa yang ada. Menghargai apa yang tiada. 

 

Satu lagi, tentang percutian. Dulu-dulu, bapak seorang saja bekerja, anak tiga, maka cuti-cuti dan makan angin cuma dalam Malaysia, paling jauh pun cuma ke Singapura. Tetapi generasi sekarang amat bertuah. Akses dan kemudahan banyak, alhamdulillah rezeki juga ada, cucu-cucu dah pun jejak ke Australia, ke London. Anak-anak sekarang sangat beruntung.

 

 

 

Perkara kecil dari ibu, tetapi maknanya sebesar gunung buat Puan?

Walaupun dia cuma goreng ikan, goreng telur untuk saya, rasanya memang lain. Aneh, kan? Dulu apabila dengar orang lain cerita, emaknya goreng telur sedap tak ingat, tak macam telur goreng orang lain, bagi saya, eleh... dia exaggerate la tu. 

Tapi memang betul, air tangan mak sangat ajaib. Sampai sekarang pun, kadang-kadang apabila nak bermanja dengan mak, saya sengaja minta dia gorengkan telur untuk saya, dan apabila makan, saya akan teriak, “Bestnya!”

 

 

 

Apa yang ibu wariskan kepada Puan?

Ketinggian saya, sebab saya pendek macam dia, haha. Tapi kalau nak kata saya warisi kegarangannya, tak mungkin, sebab sikap saya terlalu kontras dengan mak. Saya manjakan anak dan cucu berlebih-lebih. Tapi mungkin satu yang patut saya sebut di sini adalah sikap mak yang tak suka membazir, khususnya pada makanan. Memang itu saya betul-betul warisi daripada pekerti dan hemah mak. Juga, kecintaan terhadap buku dan sifat suka membaca. 

 

Satu lagi, perangai emak yang tak suka beramai-ramai atau banyak tangan di dapur. Saya seperti mak, meski ada pembantu, saya kurang senang kalau bahan-bahan memasak orang lain sediakan. Biarlah saya yang menyiang ikan sendiri, mayangkan bawang sendiri, menumbuk cili sendiri, ahh... baru rasa puas memasak.

 

Aspek kebersihan pun, ya juga. Contohnya, kain pelikat, kalau sudah dilorotkan dari badan, janganlah ditinggalkan nun... bulat di lantai! Tuala basah, janganlah disepuk ke katil atau kerusi. Gantunglah elok-elok biar kering. Ini semua habit-habit mak yang saya warisi secara tidak sedar.

 

 

 

Pengalaman hamil anak pertama?

Masa itu umur saya 27. Suami menjaga sempurna. “Jangan keluar kerap sangat,” pesannya, “Jangan jalan pantas sangat,” tegurnya lagi. Tapi dalam masa sama, suami tetap mengingatkan, kecergasan perlu dijaga tetapi jangan sampai jadi lembik.

 

 

 

 

Susah menjadi ibu zaman TV hitam-putih, atau susah lagi menjadi ibu era ‘Apple’?

Dulu susah, kerana support system kurang. Tapi sekarang juga tak mudah, sebab kebanyakan ibu zaman sekarang bekerja. Nak dapatkan nursery yang elok, susah. Nak dapatkan pembantu rumah yang baik, lagilah susah. 

 

Nenek-nenek zaman dulu tak kisah menjaga cucu, tapi saya fikir nenek-nenek moden zaman sekarang mungkin berpendirian, “Aku dulu dah puas jaga anak, so tak payahlah. Sekarang dah sampai masanya rehat dan rawat diri.”

 

 

 

Prinsip dalam membesarkan anak-anak?

Saya selalu berpesan kepada anak-anak, “Don’t hurt other people. Never ever hurt other people’s feelings." Jangan. Macam mana you mahu orang layan you, maka begitu juga yang harus you buat kepada orang lain. Be kind, be polite, jangan bergaduh, jangan menyakitkan hati orang. Apabila berbuat satu-satu perkara, berikanlah yang terbaik.

 

 

 

 

Terlihat jelas dalam keluarga Puan Fatimah, bersemarak semangat kekitaan, bersatu-padu, sayang-menyayang dan sangat ekspresif dalam meluahkan pendapat dan perasaan. Siapa mulakan budaya ini? 

Kami sangat ekspresif. Tapi mak dan bapak kan orang dulu-dulu? Ada konservatifnya. Namun ada juga sikap demonstratifnya. Di dalam rumah, bapak sangat loving. Sayangnya terpancar jelas. Tapi kalau di luar, di depan orang, ia tak terlihat – atau lebih tepat – sengaja tak diperlihat.

 

Mungkin ia datang daripada bapak. Daripada sebelah suami pun ya juga, kerana suami saya contohnya, tak sembunyikan perasaan. Kalau dia suka, kita tahu dia suka. Kalau dia marah, jangan cerita banyaklah. Lagi baik kita cabut angkat kaki (ketawa). 

 

Kadang-kadang, kami cuba juga supaya tak terlalu ekspresif. Tapi kami tak mampu berdusta. Kami tiada isu untuk berekspresi, menunjukkan kepada orang luar betapa kami saling menyayangi dan teramat selesa mengepompongi kehidupan satu sama lain.

 

 

 

Amalan mencium dahi, tangan atau pipi dalam keluarga — berapa kali sehari?

Ohhh yess... kami adalah famili yang suka berpeluk, berdakap, rangkul ketat-ketat. We love our hugs. Walau baru 20 minit berpisah, apabila berjumpa balik sesama sendiri, kami berpeluk sayang. Kadang-kadang for no reason, kami tangkap sesama sendiri, kami peluk kami cium.

 

Maaf, kami tiada niat nak menunjuk-nunjuk. Tapi kemesraan itu tak dibuat-buat. Sayang itu mengalir bagaikan air sungai yang tak putus.

 

 

 

Kalau puan marah, ributkah?

Oh my God, macam yang saya sebut tadi, famili saya ini penuh dengan drama queens. Kami bersuara. Kami menjerit, haha. I am a screamer. Kalau saya sayang, saya sayang sangat-sangat. Kalau saya marah, saya jerit dan saya tunjukkan saya marah. Masa anak-anak kecil dulu, mereka tahu, kalau dengar suara saya mula meninggi, mereka lari. Kalau tak tangan saya pasti naik. Mesti ada yang kena cubit. 

 

Tapi sekarang kalau saya marah dengan anak-anak, saya diam. Saya buat silence treatment, mereka tahu saya kecil hati. Entahlah, dah tua-tua begini rasa malas pulak nak menjerit-jerit.

 

 

 

Puan percaya pada amalan ibu yang diktatorial, yang memegang kuasa veto famili? Pandangan Puan?

Semakin saya berusia, semakin matang anak-anak, saya sedar, mereka sebenarnya lebih selesa (dan lebih baik) buat keputusan sendiri. Sebagai ibu, saya hanya lorongkan jalan. Beri panduan. Cuit sikit dengan tekanan, berfungsi untuk mengingatkan, hulurkan sokongan.

 

Namun keputusan paling akhir sentiasa di tangan mereka. Saya tahu anak-anak zaman sekarang tak gentar mencuba, tapi saya percaya timbang-tara mereka. Insya-Allah, tugas saya adalah mengimbangkan keputusan-keputusan dalam hidup mereka.

 

 

 

Ragam anak-anak tentu berencam?

Leya adalah ‘abang’. Sangat melindungi, sangat menyayangi, mengambil berat dan pada kebanyakan masa, tindakannya lebih garang daripada saya. Walau garang, hatinya lembut sangat. Amani juga kuat sikap penyayangnya seperti Leya, seorang dreamer, sangat determined. Apa yang dia mahukan, dia akan capai sehingga dapat. 

 

Alesya paling berat mulut berbanding semua. Kalau kami bising bercakap tak henti-henti, dia akan diam sampai kami bertanya: “Why are you so quiet?” Jawabnya cukup senang: “But you all cakap already?”

 

Dia akan bersuara hanya apabila dirasakannya perlu. Orangnya juga dalam diam, sangat determined. Yana pula, our little cuppy, happy go lucky orangnya, suka memasak untuk semua orang seperti Leya.

 

 

 

Satu perkara yang Puan tidak sempat buat semasa muda dahulu?

Ohh, banyak, I want to play music, I want to dance ballet, I wish I could play an instrument... haha.

 

Daya tahan ibu-ibu zaman sekarang, pada pengamatan Puan Fatimah? 

Kadang-kadang apabila saya lihat ibu-ibu zaman sekarang, saya sedar skop cabaran mereka bukan calang-calang. Melihat mereka saja pun saya rasa letih. Saya kagum. Leya misalnya, dia bekerja, dalam masa sama dia perlu hantar anak ke kelas tuisyen, hantar anak ke kelas KAFA, berkejar ke sana, berlari ke sini. 

 

Saya boleh bayangkan kerana suatu masa dulu, saya juga hantar Leya dan Nani ke kelas muzik. Tetapi waktu itu saya makan gaji, kerja waktu pejabat. Lelah rasanya apabila terkejar-kejar bersaing dengan masa. Menghantar, menjemput. Sampai lama-lama Leya dan Nani rasa kasihan lihat saya, terus minta diberhentikan saja. 

 

Hari ini, apabila saya melihat semula ke belakang, saya rasa terkilan. Alangkah bagus jika waktu itu hati saya lebih teguh, minda dan fizikal saya lebih kuat untuk menanggung kepenatan-kepenatan itu dan berkata TIDAK kepada anak-anak yang mengalah. Saya tahu, banyak ibu zaman sekarang ligat mengurus rumahtangga dari A hingga Z tanpa dimudah cara pembantu rumah, wow! Saya angkat topi kepada ibu-ibu zaman sekarang.

 

 

 

Apa yang lebih dan kurang tentang sikap generasi sekarang − Generasi Net/Generasi Z? Komen Puan?

Fikir saya, mungkin kerana faktor gaya hidup, maka banyak daripada mereka ambil mudah terhadap eksistensi ibu bapa. Seperti saya hari ini, hampir setiap hari, jika saya tak berjumpa dengan mak, saya akan menelefoninya. Mendengar suaranya pun jadilah. 

 

Dan yang terindah, di setiap hujung perbualan dia akan selalu berkata, “Thank you for calling.” 

 

 

 

Saya bukan cuba mengatakan bahawa anak-anak zaman sekarang tak sayangkan ibu bapa mereka, tapi ia terjadi kerana pecutan hidup terlalu pantas, rutin yang tak berhenti. Seperti anak-anak saya sendiri, kadang-kadang, berhari-hari kami tak berjumpa, dan anak-anak pun terlupa untuk telefon sebab terlalu sibuk. 

 

Saya selalu ingatkan mereka, saya ini sudah tua, sudah 60 tahun. Tapi saya masih menelefon ibu saya yang sudah 81 tahun. Saya juga sibuk. Apa bezanya saya dengan anda? Juga, anak-anak zaman sekarang, ada waktu cepat melatah, terlalu defensif. Kadang-kadang yang ditegur hanya sebagai peringatan, tapi mereka kadang-kadang fikir, kita sudah simpulkan satu persepsi dan jatuhkan hukuman.

 

 

 

Pesan Puan kepada orang muda di luar sana yang mahu jadi ibu sempurna? 

Saya tidak ada hand guide untuk anda. Bermakna, tidak ada satu panduan bertulis solid yang mesti anda patuhi – you must do this, you must do that – untuk menjadi ibu yang sempurna, tidak, tidak.

 

Saya sangat realistik. Saya juga praktikal. Bagi saya, anda harus bersiap sedia, tuntas – emotionally, financially. Kalau kemampuan ekonomi terlingkung untuk satu atau dua anak saja misal kata, maka harunglah hidup berkeluarga itu dalam ruang lingkup keupayaan anda. Janganlah beranak ramai, contohnyalah. 

 

Orang kita selalu kata, anak itu rezeki. Betul, saya setuju. Tapi anak itu amanah Allah SWT. Kalau ibu bapa tak mampu sediakan asas wajar untuk anak-anak yang bergerabak macam keretapi, apalah ertinya beranak ramai? Berkeluarga besar?

 

 

 

Apakah ibu-ibu zaman sekarang terlalu mengejar hal-hal dunia sampai terlalaikan anak?

 

Saya mengambil pendirian untuk tidak cepat menghukum. Ibu tunggal misal kata, terpaksa mengunci anaknya di dalam rumah kerana tiada pembantu. Tetapi kita harus letakkan diri kita dalam situasi mereka, kerana mereka tiada support system, maka itu saja solusi yang mereka ada. 

 

Saya bersimpati dengan mereka. Mereka keluar mencari rezeki, maka mereka terpaksa mengambil risiko itu. What to do? She has to earn a living. Tetapi lainlah ceritanya jika dia seorang sosialit, keluar sana-sini, dan menyerahkan tanggungjawab urus tadbir anak kepada pembantu, kepada pemandu keluarga, hmm… yang itu saya tak faham.

 

 

 

Menjaga maruah dan adab — dua perkara yang banyak budak zaman sekarang terlepas pandang. Nasihat Puan kepada ibu-ibu zaman sekarang? 

Anak-anak saya sendiri tahu, setiap kali mereka keluar, mereka membawa sama nama baik dan maruah ibu bapa. Apa yang mereka buat, yang dinilaikan di mata orang, adalah siapa emak bapaknya? Maruah adalah your own self-dignity. Ia harus dijagai.

 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Saya Masih Lelaki, Kalau Nak Tengok Saya Sebegini, You Have To Pay For It” — Dee

  • Seterus →

    Kehidupan dan Pengorbanan Hanez Suraya Sebelum Dia Ambil Keputusan Memfailkan Perceraian