Dec 20, 2016 - 70808
Oleh: Onlia Mohd Dom
DEMI Tuhan yang mencipta alam, moga Allah SWT hindarkan perasaan riak waktu saya menulis cerita ini. Saya bercita-cita menjadi wartawan atau penulis majalah sejak di bangku sekolah lagi. Alhamdulillah setiap rancangan saya, Allah permudahkan urusannya. Malah temu duga jawatan ini juga mudah. Merangkak dari bawah sebagai Penulis, diangkat menjadi Penulis Kanan; seterusnya Penolong Pengarang dan pangkat terakhir, Pengarang Bersekutu, tidak pernah terbit secebis rasa kesal pun bekerja dengan syarikat penerbitan berskala kecil.
Inilah Kisah Saya
Pejabat menjadi rumah kedua. Saya tidak punya pembantu rumah, jadi perlu menyekolahkan anak dekat pejabat. Saya juga tidak mampu menggunakan perkhidmatan bas sekolah kerana kadar bayaran yang diminta keterlaluan untuk jarak 10 km di antara sekolah dengan rumah. Justeru, setiap hari saya berulang-alik mengambil anak dari sekolah, menghantar mereka ke rumah dan kembali semula menyambung kerja di pejabat. Penat? Jangan ditanya.
Sewaktu menjadi Penolong Pengarang, saya diberi bilik kerja persendirian seluas kira-kira 4 x 6 meter. Sejak itu, bilik kerja menjadi persinggahan anak-anak sebaik pulang dari sekolah sehingga melewati senja. Makan malam di gerai tepi jalan dengan anak berbaju sekolah bukan pelik.
Di sebalik timbunan majalah dan buku, anak-anak menyiapkan kerja sekolah, bergurau, bergaduh serta mencuri-curi menggunakan komputer saya untuk bermain game. Hujung minggu pun saya habiskan masa di situ terutama menjelang deadline. Begitulah rutin saya saban hari, minggu, bulan dan selama sembilan belas tahun lebih.
Saat merasakan semua perancangan berjalan lancar, pada 30 Jun 2015, saya kehilangan bilik itu bersama pekerjaan. Syarikat menamatkan pengeluaran empat majalah dan menjual bangunan atas alasan kegawatan ekonomi.
Rindu dengan pekerjaan lama; sedang menemuramah pereka perabot dari Itali.
Siapa Merancang Tidak Punya Wang?
Selepas Jun 2015, akaun bank saya kosong. Tiada lagi gaji yang masuk secara automatik. Sedikit pampasan daripada syarikat pula hanya akan dibayar secara berperingkat bermula Januari 2016. Mujurlah saya sempat membuat pinjaman peribadi daripada Pengarang Eksekutif, sebelum syarikat menutup operasi sepenuhnya. Bayaran kembali dibuat dengan menolak duit pampasan secara bulanan pada tahun 2016. Dengan duit pampasan yang sedikit itulah saya membuat persiapan menyambut Syawal. Kami raikan Aidilfitri berpada-pada, asalkan ada. Kebetulan pula, bulan itu jugalah saya perlu membayar insuran dan cukai jalan kereta.
Tapi bagaimana kami survive? Pertama, kami tidak lagi makan di kedai termasuk restoran makanan segera. Saya masak setiap hari. Mujurlah suami sudah tujuh tahun berhenti merokok. Untuk ke pejabat, suami menaiki LRT. Jimat duit minyak, tol dan parking. Saya juga memindahkan keempat-empat anak ke sekolah berdekatan rumah. Sekarang mereka berjalan kaki ke sekolah. Kami juga menghentikan penggunaan kad kredit. Tidak ber'window shopping' tetapi membeli apabila perlu. Melakukan apa juga kerja sambilan seperti mengambil upah memasak untuk mendapatkan duit dapur.
Aksi saya menghidangkan air jagung dirakam kawan yang sedang menikmat pisang goreng bersira 'cheese' di gerai kepunyaan adik. Saya bekerja sebagai pembantu gerai.
Begitupun semua usaha itu tidak mengurangkan tanggungan kami yang besar – bil, hutang kereta, hutang rumah, hutang kedai perabot, kad kredit dan macam-macam lagi. Membayar bil tidak sekali gus memanglah di luar kemampuan tetapi kami lakukan mengikut giliran. Bulan ini bayar bil air, bulan depan bayar bil elektrik.
Begitu juga dengan hutang bank. Saya menjawab semua panggilan telefon daripada pegawai bank dan jujur memberitahu mereka mengenai situasi kewangan saya yang tidak begitu baik. Saya meminta maaf kepada sesetengah bank kerana lewat membayar hutang mereka.
Paling menyedihkan, saya juga dikejar bank kerana menjadi penjamin bekas rakan sepejabat. Mujurlah adik-beradik tidak lokek menghulurkan bantuan, bukan sekali tetapi setiap bulan.
Berbaloi menjadi suri rumah sepenuh masa apabila melihat Damia menerima anugerah cemerlang untuk pelajar tahun 1.
Teman Ketawa Ramai, Teman Menangis?
Sedih mengenangkan tiada persiapan sekolah untuk anak bongsu yang bakal memasuki darjah satu, saya luahkan perasaan walang dalam Facebook. Subhanallah, Allah Maha Besar, menderu-deru bantuan saya terima daripada rakan Komunikasi Massa UiTM, batch Julai 91. Saya juga disapa beberapa insan mulia, antaranya pengamal homeopati dan pemilik Klinik Zarraz Medicare, Dr Suraya Ariffin yang mesra dipanggil Kak Aya. Di klinik Kak Aya, kami berbual seperti kawan lama, walhal itulah kali pertama berjumpa.
Perkongsian cerita dengan Kak Aya seolah-olah menguak awan kelam yang menyeliputi hati dan minda. Selama ini saya menyangka sudah tabah dan bersikap positif mengharung ujian. Rupa-rupanya tanpa sedar, saya sedang bergelut dan hampir tenggelam dalam emosi serta tekanan perasaan. Kak Aya ‘menarik’ saya supaya melihat sisi positif setiap kejadian yang terjadi.
Bersama Lina, satu-satunya teman kala duka yang kerap berkunjung di gerai adik ipar membeli hasil jualan kami.
Ujian Tanda Tuhan Sayang
Duka kehilangan kerja memang sangat terasa. Dalam usia 44 tahun, perasaan sedih kehilangan pekerjaan itu sama seperti kehilangan orang tercinta! Sebelum sedih bertukar menjadi kecewa, saya cepat-cepat mengingatkan diri bahawa semua ini adalah ujian bukan hukuman Tuhan.
Namanya pun ujian, mana ada ujian yang mudah? Ujian bukan tester tapi test. Tester menyeronokkan, boleh cuba minyak wangi, cuba merasa makanan dan banyak lagi. Tapi ujian tidak begitu. Memang tidak best. Hendak buat macam mana? Reda sajalah, terima hakikat, tabahkan hati dan paling utama submit diri kepada Allah. Mengadu, merintih dan meratap ‘depan’ Allah SWT. Saya tergolek-golek di atas sejadah sambil meluahkan terperinci satu persatu apa yang saya rasa. Allah Maha Mendengar, malam itu saya tidur lena dengan perasaan tenang dan meniti hidup pada hari-hari berikutnya dengan perasaan lapang.
Peluang Kedua yang ditolak
Kak Aya mengajak saya menjadi penulis blog klinik tetapi saya tolak kerana tidak merasa berupaya menjadi penulis baik untuk bidang itu. Saya juga didekati ibu muda yang memperjuangkan penyusuan badan eksklusif, Asiah Maharam. Dia meminta saya membantu menerbitkan buku berkaitan penyusuan badan tanpa suplemen.
Alhamdulillah selepas lebih sebulan bertungkus-lumus, akhirnya buku itu berjaya diterbitkan. Saya dipelawa bekerja dengannya. Entah mengapa saya juga menolak pelawaan itu. Penghujung Oktober, saya ditawarkan pekerjaan secara kontrak dengan Institute Marketing of Malaysia (IMM) oleh Presidennya, Datuk Sharifah Mohd Ismail. Malangnya tidak sampai dua bulan di IMM, saya terpaksa mengundurkan diri kerana menjaga anak-anak dan suami yang bergilir-gilir demam.
Saya dan anak-anak ikut sibuk dalam majlis makan malam terakhir syarikat suami sebelum mendapat tahu beliau akan kehilangan kerja.
Antan Patah Lesung Hilang
Kerap diserang demam, menjelang Januari 2016, suami betul-betul jatuh sakit. Tidak seperti tiga anak sebelum ini, saya dan suami bersama-sama menghantar, si bongsu ke sekolah pada hari pertama hanya ditemani saya. Berlinang air matanya kala memeluknya. Belahan jiwa saya terkedang di atas tilam dek diserang sakit batu karang. Serik dengan dua pengalaman lepas di hospital, suami bertangguh berjumpa doktor kerana ingin berusaha menggunakan pelbagai ubatan herba.
Selepas sebulan lebih merana, akhirnya barulah suami menyerah diri ke hospital. Saya menyangka suami akan kembali sihat selepas pembedahan, rupa-rupanya satu persatu sakit lain menyerang.
Selesai dibuang batu karang, tekak suami diserang radang menyebabkan dia muntah setiap kali makan. Sekali lagi berminggu-minggu saya bertunggu-tangga di hospital. Keadaan fizikalnya yang lemah, suami tidak sengaja terpelecok waktu berjalan balik menyebabkan kakinya bengkak besar juga berminggu-minggu. Sepanjang tempoh itu, sebelah bahu saya menjadi tongkatnya.
Bergambar kenangan berhari raya puasa di Nitar 2, tanpa suami pada tahun 2015.
Sebaik saja suami sihat dan saya pula berasa kurang sihat. Berkuat badan sepanjang dia sakit, menjelang April 2016, saya terpaksa akur dengan keadaan diri yang uzur. Dimulai dengan demam, selepas kebah saya diserang alergi menyebabkan mata bengkak sebelah. Berhari-hari mengusung mata bengkak menghantar anak ke sekolah sambil hati menahan malu. Saban malam pula saya tidur berteman tungku kerana bahagian perut terasa sengal dan ngilu.
Berulang-alik ke hospital dan rumah tukang urut di Senawang menyebabkan dompet suami semakin berlubang. Suami tidak mengeluh sedikit pun. Malah sanggup menyisihkan sedikit gaji yang tidak bersisa untuk membeli makanan suplemen dan sunnah bagi menguatkan badan saya.
“Duit boleh saya cari, tapi isteri tiada ganti,” katanya.
Mendengarkan itu, saya kuatkan semangat untuk pulih. Alhamdulillah menjelang Ramadan, saya kembali cergas.
Tinggal beberapa hari sebelum menyambut Aidiladha, suami mengajak kami sekeluarga pulang ke rumah ibunya di Senawang. Seronoknya bukan kepalang sebab kami jarang-jarang dapat berjalan. Duit minyak dan tol semua mesti dikira. Tanggal 9 September, sedang saya dan suami berbual-bual di dalam kereta dalam perjalanan menuju ke Senawang, tiba-tiba suami yang memandu brek mengejut serentak dengan jeritan kami.
Allahu Akbar! Dalam sekelip mata, saya melihat bahagian belakang kereta di hadapan betul-betul di tepi tingkap sebelah saya!
Keadaan kenderaan saya sejurus selepas kemalangan pada 9 September, 2016.
Terkaku sekejap, suara anak-anak menangis kesakitan mula kedengaran. Rasa mahu pecah jantung tapi cepat-cepat saya tenangkan diri. Saya panggil satu-persatu nama anak. Kami masih di dalam kereta yang kemek depan dan belakang dihentam kereta lain.
Tiba-tiba saya teringat perihal anak bongsu yang duduk di bahagian paling belakang kereta, tempat berkumpul beg pakaian. Saya memanggil namanya bagai orang gila. Damia Maisarah menyahut. Mendengarkan suara Damia menangis, barulah saya rasa bernyawa.
Saya pujuk semua anak agar berhenti menangis. Saya WhatsApp lokasi kemalangan kepada ahli keluarga dan kawan-kawan. Suami, saya biarkan dia berbincang dengan pemilik kenderaan lain yang turut terbabit dalam kemalangan.
Empat kereta kesemuanya, kami kereta yang kedua. Kereta pertama tiba-tiba brek dan berhenti di lorong paling kanan. Mujurlah suami sempat brek dan melencongkan kereta ke arah pemidang jalan. Bagaimanapun kereta kami masih dihentam dua kereta di belakang. Alhamdulillah kami selamat. Itu yang penting.
Remuk depan belakang, begitulah rupanya satu-satunya kenderaan kami selepas kemalangan pada malam 9 September.
Bibir saya dan suami tidak putus mengucap syukur. Ya, kami disaman, begitu juga dua kereta di belakang, semuanya disaman polis kecuali kereta pertama yang menjadi punca kemalangan ini.
“Sabarlah, semua ini ada hikmah. Allah nak gantikan dengan sesuatu yang baik,” pujuk suami.
Kereta kami langsung tidak boleh bergerak dan terpaksa dihantar ke bengkel. Itulah kali pertama kami sekeluarga terbabit dalam kemalangan. Banyak pengajaran yang kami peroleh. Kami sangat terhutang budi kepada adik lelaki saya, Mohd Salleh Mohd Dom yang sudi menemani kami mengharungi detik mencabar selepas kemalangan.
Minggu pertama selepas kemalangan kami tiada kenderaan. Hendak ke mana-mana, kami berjalan kaki atau menaiki LRT. Masuk minggu kedua, adik perempuan saya, Yente Unista Mohd Dom meminjamkan keretanya sehinggalah kami mendapat balik kereta kami. Betul kata suami, kereta yang dibaiki itu nampak lebih baru daripada kereta lama.
Bersama suami, Idrus Abd Hamid dan si bongsu, Damia Maisarah di rumah ibu saya pada pagi Aidilfitri lalu.
Sudah Jatuh ditimpa Tangga
Disember 2016. Masa hilang pekerjaan, saya rasa sangat yakin akan mendapat pekerjaan yang sesuai dengan pengalaman dalam tempoh terdekat. Bagaimanapun, sehingga kini saya masih menyemak peluang kerja dalam JobStreet. Cari kerja, isi borang secara online dan menghadiri temuduga sudah beberapa kali. Sudah muak sebenarnya. Saya dah malas menjenguk Jobstreet.
Suami bercerita dia pun dipanggil ke pejabat HR (Sumber Manusia). Tiga bulan sudah 12 rakan sepejabat dipilih untuk VSS. Nampaknya suami pun bakal tersenarai untuk ditamatkan perkhidmatan. Jadi, berkemungkinan pada 2017, ada dua penganggur dalam rumah kami.
Malam itu saya bercerita lagi dalam Facebook.
Setiap malam, saya menunggu suami di parkir LRT. Kadang-kadang pulang awal tapi biasanya pulang malam. Malam ini suami balik kerja dengan senyuman. Tidak seperti malam-malam sudah yang wajahnya lesu. Saya mengusik, "Amboi... happy abang, macam baru balik dating."
"Alhamdulillah Yang, abang memang confirm kena VSS.”
"Alhamdulillah," balas saya. Pandangan kami bersatu seketika sebelum saya tegak kepala memandu pulang. Dalam hati bergaul-gaul perasaan, dalam fikiran bermacam-macam bayangan. "Kita serah kepada Allah, Allah ada," suara suami mematikan semua perasaan dan bayangan.
Saya kerling sebelah, suami masih tersenyum. Biarpun 19 tahun tidur sekatil sebantal dan satu selimut, saya masih belum dapat menebak fikiran suami. Kental sungguh hatinya. Saya sendiri dulu berjujur air mata… berjejer hingus depan suami, cuma tak tunjuk depan kawan-kawan.
Di meja makan, khabar duka disebar kepada anak-anak. Kerut dahi masing-masing apabila si ayah mengusik, "Mulai tahun depan, kita terpaksa catu apa kita makan, seekor ikan kita hiris lima bagian hatta sebiji telur pun kita potong lima bagian. Pizza, KFC, Nandos… kita makan dalam mimpi."
Bertabahlah anak-anak, jangan risau, yakin dengan janji Allah. Setiap anak itu sudah ada rezeki yang berdamping... tak perlu bimbang. Ayahmu hanya bergurau... mungkin hendak menutup hati yang walang. Malam ini panjang sujud kami.... kepada siapa hendak mengadu jika tidak kepada Allah yang satu.
Bersama teman baik suami isteri, Saly dan Kodet yang sudi membeli kuih kapit jualan saya.
'BE POSITIVE!'
Itu yang saya tanam kukuh dalam minda dan jiwa. Memang ada masa tiba-tiba saya dilanda perasaan sedih, membandingkan nasib diri dengan orang lain. Tapi saya tidak pernah membiarkan perasaan itu singgah lama. Saya buang cepat-cepat dan keraskan hati untuk terus bersikap positif. Itu juga yang diajar suami. “Sayang, dunia ini bukan kita punya, jangan dibimbangkan sangat hal berkaitan dunia,” katanya.
Jika saya membaca WhatsApp atau Facebook, saya kikis habis perasaan cemburu melihat kegembiraan keluarga lain membeli-belah, melancong atau makan hidangan enak di restoran. Saya jadikan ia sebagai satu keseronokan. Seronok melihat tempat cantik yang dikunjungi kawan-kawan, dapat mengenal ahli keluarga mereka, dapat ilham memasak dengan menatap gambar makanan. Semuanya best! Secara tidak langsung menyuntik aura manis dan baik-baik kepada saya.
Alhamdulillah, syukur syukur syukur… kami punya Allah SWT. Dunia tidak kekal selama-lamanya. Begitu juga penderitaan dan kesusahan. Setiap duka dan sengsara pasti berakhir. Paling penting jangan putus asa!
Langkah Saya yang Seterusnya
Banyak yang perlu dikurangkan selepas ini, antaranya tidak lagi melanggan Unifi dan tiada lagilah bercanda dalam Facebook. Ukur baju di badan sendiri.
Kami akan hidup seadanya, malah sederhana pun tidak. Rumah yang menjadi tempat kami berlindung pun, mungkin terpaksa dilepaskan kerana kami sudah tidak mampu membayar kepada bank. Menjual kereta pun antara yang kami fikirkan.
Buat masa ini, kami bakal menjual satu persatu barang di rumah. Alhamdulillah, kami tidak sedih apatah lagi berasa risau. Dunia ini sementara, ujian yang kami hadapi inipun bersifat sementara juga. Bersyukur sangat-sangat kerana kami ada Allah SWT. Tiada setitik kesal pun dalam hati kami dengan putaran hidup. Untuk apa kesal atau sedih? Bukankah kita ini hamba kepada Allah SWT yang Maha Kaya lagi Maha Berkuasa?