Dec 17, 2016 - 72699

Bagaimana Lelaki Ini Mendidik 11 Anak Syurga yang Autistik, ADHD dan Disleksia Dengan Ikhlas, Bacalah

Ini diari hidup seorang guru muda yang tidak anda kenali. Di tangannya terasuh anak-anak ajaib penghuni syurga yang sangat istimewa.

 

Oleh: Tuah Sujana

 

 

NOVEMBER 2015

Orang Menjadi Kucing

 

DR. JUMARNI memberi Alka sekeping kertas kosong dan sebatang pensel, memintanya melukis gambar orang paling cantik. Sesiapa sahaja. Boleh jadi ibu ayah, kawan-kawan di sekolah, atau puteri alam kayangan. Alka memandang tepat ke hadapan, sesekali menyorot wajahku, seolah-olah sedang berada di dunia kosong. Fikiran aku lebih menerawang waktu itu sebenarnya. 

 

Tahun 2016 nanti, 11 orang murid bakal ‘dikirimkan’ kepadaku. Aku guru pemulihan khas menerima senarai awal murid tidak mengenal huruf dan asing dengan angka. Ada antara mereka murid yang berkeperluan khas atau anak-anak istimewa, maka lebih cepat pemeriksaan dan pengesahan doktor akan lebih membantu.

    

“Alka, lukis gambar orang yang paling cantik. Ada mata, hidung, tangan, kaki. Nak buat macam Upin Ipin pun boleh.”

 

Di sudut klinik, aku mendengar lagi Dr. Jumarni memesrai muridku. Alka mula menggoreskan lakaran, perlahan-lahan membentuk kaki – daripada satu kepada dua, sehingga menjadi empat kaki comel. Dilariknya pula bahagian badan dan muka. Garisan bersatu. Bulu-bulu ditambah dan akhir sekali, ekor panjang merentang di belakang. Seekor kucing kecil siap dengan reben-rebennya! Alka meletakkan pensel, tersengih geli hati.

 

Muhammad Alka bin Md. Karab. Autisme dan Disleksia. Cop dan tandatangan daripada Dr. Jumarni mengesahkannya, selepas ujian panjang serta temu bual bersama-sama penjaga.

 

 

JANUARI 2016

ALKA = Zzz...

 

Hari pertama persekolahan, pembelajaran bermula. Aku hanya melakukan 'circle time' untuk sesi berkenalan, berkongsi peraturan kelas, jadual, dan cara belajar di Akademi IQ. Lagu-lagu 'catchy' untuk 'circle time' kudendangkan. Lagu ‘Selamat Datang’ bergema di kelas: Selamat datang, selamat datang, selamat datang kawanku. Gembira, gembira. Kita riang ria. Perkataan kawanku nantinya akan ditukar kepada nama 11 orang murid. Masing-masing galak, bertepuk tangan, cuit-mencuit, saling berkenalan. 

 

Aku lega, sesi pertamaku tampak berjaya memecah benteng malu murid seterusnya membina keyakinan diri. Kupandang satu per satu wajah muridku – dari kiri ke kanan. Satu demi satu sehingga tiba ke tempat duduk Alka.

 

Alka? Enak tangannya menopang dagu, tubuh melentok, mata terpejam rapat, malahan berdengkur halus. Ah, Alka! Sejak bila kau tidur?

 

FEBRUARI 2016

Bagai Merpati Dua Sejoli

 

Rupa-rupanya, Alka sering dalam dunianya sendiri. Dia boleh dimarahi oleh guru dengan bebelan panjang dan tidur di tengah-tengah leteran itu. Dia akan lena bila-bila masa disukainya. Dia boleh sahaja keluar dari kelas secara tiba-tiba, tegak berdiri di luar tanpa apa-apa sebab. 

 

Kata Dr. Jumarni kepadaku, Autisme Alka tidak total dan boleh dirawat melalui terapi. Hanya sebahagian elemen Autisme berada dalam dirinya. Aku sedar, murid Autistik memiliki dunia berwarna-warni tetapi terpencil di penjuru masyarakat. Aku mesti lebih bersabar.

 

 

Sabtu dan Ahad – aktiviti murid Akademi IQ, masa untuk aku mengapungkan kembali semangat 'hidden curriculum' atau pengalaman-pengalaman pembelajaran yang tiada pada sukatan pelajaran. Kugamit tenaga-tenaga luar seperti badan bukan kerajaan (NGO), guru-guru pakar, dan sesiapa sahaja berminat untuk menyertai.

 

Mungkin minggu ini diajar kemahiran memasak, minggu hadapan kemahiran kraf seperti membuat origami pula misalnya. Minggu hadapan lagi, tayangan filem berkualiti untuk kanak-kanak, contohnya Kungfu Panda. Begitulah seterusnya, pendedahan berbeza setiap hujung minggu.

 

>>>[KLIK DI SINI] “Ma, Memen Minta Maaf Sebab Buat Mama Sedih...” — Bagaimana Anak Linda Rafar Melawan Kanser Tahap 4<<<

 

 

Suatu Sabtu, aku tiba awal ke sekolah untuk persiapan. 10 minit berselang, kudengar bunyi ketawa halus. Derap kaki berjalan menuju ke kelas. Tidak lama, kelihatan Alka menjengul muka di pintu. Tidak berseorangan, turut bersamanya Syakira. Masa yang masih tersedia, aku biarkan mereka berdua bermain terlebih dahulu.

 

Ternyata, mereka membawa permainan – mainan kanak-kanak perempuan; patung-patung, perkakas memasak, dan sejumlah alat solek palsu. Mereka bermain, aku sesekali menjeling. Alka ralit, seakan-akan obses dengan alatan tersebut. Menggayakan diri seperti chef, seperti jurusolek. Bercakap-cakap seorang diri di hadapan cermin. 

 

Aku mencuri dengar monolog luarannya. Mimpi dan impiannya, kata Alka, untuk menjadi puteri raja (bukan putera), membikin mahligai, dan berkahwin dengan Syakira! Aku masih ingat, masa itu aku cuma menggeleng-geleng. Ada-ada sahaja kau, Alka.

 

 

Masa berlalu. Alka tenggelam dalam khayalannya. Kawan-kawan lain sudah memenuhi ruang kelas, aneh melihat perwatakan Alka. Salah seorang daripadanya – kulupa siapa, barangkali Nasaruddin – melaungkan: “Alka bantut. Alka bantut.” Bantut (dialek Sabah bermaksud pondan) mungkin kerana melihatkan Alka larut dalam imaginasi menjadi Anna dalam animasi Frozen.

 

Saat itulah, terkocoh-kocoh aku mendengar tapak kaki tergesa-gesa melangkah tangga kelas dan suara memberi salam. Ibu Alka di hadapanku, cemas bertanyakan di mana anaknya. Aku menunjukkan anaknya yang sedang bermain, kehairanan mengapa dia sebegitu gelisah. Dengan nada tinggi rendah, ibunya menceritakan:

 

“Saya sedang memasak untuk sarapan keluarga. Masak awal kerana tahu Alka mahu ke sekolah hari ini. Apabila siap, saya panggil Alka untuk makan tetapi tiada sahutan. Saya cemas dan keluar rumah. Ada jiran beritahu, Alka lama menunggu di bawah pokok sampailah Syakira tiba. Kemudian, Alka tahan kereta – entah kereta siapa – dan mereka berdua beriringan masuk, menuju ke sekolah. Saya datang sebab risaukan Alka. Bimbang tidak sampai ke sini.”

 

Saya menarik nafas lega. Dalam hati, terasa digeletek. Terbayangkan bagaimana ‘puteri’ menunggu ‘puteri’ yang lain di bawah pokok, sama-sama berjalan, masuk ke dalam ‘kereta kuda’ dan meluncur ke ‘istana kayangan’ seperti diangan-angankan. Tentu bagai merpati dua sejoli. Haha. Sweet Alka!

 

>>>[KLIK DI SINI] Pengalaman Menyayat Hati Zarina Zainuddin Mengasuh Anak Kembar Autistik Buka Mata Rakyat Malaysia<<<

 

 

On Ku Ali (Nama Saya Ali)

Nama: Muhammad Ali Akbar

Tahun: 2 Bijak

Masalah: Attention Deficit Hyperactivity disorder (ADHD)

AKU: Ali, mahu jadi apa besar nanti?

ALI: Jadi burung!

AKU: Hah, kenapa nak jadi burung?

ALI: Sebab burung ada sayap. Terbang tinggi. Lepas tu, burung masuk ke laut, lalu muncul seekor beruang, beruang pun bertukar naga. Naga makan burung tu. Burung pun mati dan masuk ke dalam hutan, terjumpa seorang polis... dan seterusnya... seterusnya...

 

 

Imaginasinya setinggi langit, seluas lautan. Katak boleh sahaja bertukar itik tiba-tiba. Entah khayalan apa. Ali tidak boleh duduk diam. Tangan sentiasa dihayun-hayunkan ke atas ke bawah, ke depan ke belakang. Kaki dihentak-hentak. Berlari-lari mengelilingi kelas dengan hingus tidak henti-henti mengalir di hidung.

 

Ali – kawan Alka – seorang hiperaktif tetapi berbakat besar. Kerja warna-mewarna amat digemarinya. Teliti dan cermat sekali.

 

Pernah tenaga pengajar luar datang pada hari Sabtu untuk mengendalikan sesi membuat origami. Ali pada mulanya enggan melibatkan diri, namun selepas dipujuk bersedia melakukannya. Kertas di tangan, tidak sampai 10 saat Ali berjaya menyiapkan origami perahu yang cantik, kemas, kreatif. Tenaga pengajar bertepuk tangan, tidak menyangka sepantas dan sesempurna itu dia mampu menyelesaikan tugasan – ketika teman-temannya yang lain masih teragak-agak untuk melipat kertas di langkah pertama.

 

 

Pernah aku bersama-sama NGO daripada Zarraz Medicare membawa murid Akademi IQ seramai 11 orang ini menjengah dunia luar. Kami ke Pulau Sibuan dan Bohey Dulang – melawan arus pembelajaran yang statik dan terkongkong di dalam kelas sahaja. 

 

Di sana, antaranya kami melaksanakan terapi pasir. Aktiviti yang mudah, menyiapkan istana pasir tercantik. Kulihat Ali berseorangan, tidak mahu campur dengan urusan kawan-kawan lain. Begitu selalu aku difahamkan bahawa murid Autistik atau ADHD adakalanya – bahkan sering – mahu bersendirian, tidak gemar interaksi sesama teman.

 

 

Kulihat Ali dengan ‘senjata-senjatanya’ – sudip pasir, acuan, baldi kecil, dll – di sudut agak jauh berbanding rakan-rakannya mula merancang-rancang sesuatu. Sekejap dia berdiri, sekejap terlentang, sekejap lagi berlari-lari ke sekitar. Pening kepala melihat muridku yang ADHD ini. Tangannya menggenggam pasir, menyukat-nyukat acuan, mengambil air laut. Istana dibina agam, tetapi entah bagaimana, dia seolah-olah tidak berpuas hati, sedangkan kawan-kawannya yang lain sudah hampir selesai membina istana pasir. Ali merobohkan mahligainya.

 

 

Hingga suatu saat, kulihat keningnya berkerut-kerut. Pasir dibentuk kembali, tetapi tidak seperti biasa. Mahligainya kini tidak semacam istana-istana purba klise tetapi pasir dibentuknya menjadi sangkar burung berjeriji, seterusnya dia berkejar-kejar ke gigi air – mencari kayu-kayu reput, kulit siput, bunga-bungaan liar, ranting, daun; entah apa lagi – sebagai aksesori ‘sangkarnya’ itu. 

 

 

Istana sudah menjadi sangkar. Sangkar hikmat terhias elok dengan ‘mekap’ dan ‘sobekan’. Hairan aku dengan imaginasi Ali. Jika mengikut peraturan biasa, tentu murid ini akan diejek, atau dikesampingkan – yalah, arahan asal membina istana pasir tetapi lain pula jadinya. Sisi yang amat berbeza untuk aku renung-renungkan, ibrah tulen daripada anak-anak ajaib ini.

 

 

Ini Pengajaran daripada Anak-anak Syurga yang Sempat Saya Akrabi 

 

Pejam celik, sudah hampir dua tahun aku ‘diterbangkan’ jauh ke timur – bumi Semporna, Sabah. Menguliti anak-anak pemulihan khas yang masih merangkak-rangkak mengenal huruf dan angka. Daripada 11 orang muridku, empat orang daripadanya disahkan mempunyai masalah pembelajaran – Autisme, Disleksia, kurang upaya intelektual dan ADHD. 

 

Meladeni mereka seperti melayari glob mini bercabang arah – sekejap aku perlu ke utara, sebentar lagi ke timur, barat, dan selatan. Tangis, rajuk, ketawa, lelucon; semuanya melodi indah kemanusiaan anak-anak syurga.

 

Aku pernah menulis sajak bertajuk 'Anak-anak Syurga', dedikasi buat mereka:

 

"Matanya cahaya matahari pagi, bersinar jatuh ke hati

Tangannya lembut mengusap permukaan hari kami

tangisannya menghiasi dunia, tawanya jujur bermakna

mereka anak-anak syurga, izinkan kami membawanya ke

kota huruf dan angka, menyantuni ibu dan bapa

mengenalkan mereka erti sejahtera; betapa inilah

anugerah terindah, semanis puisi dan madah"

 

 

Alka dan Ali hanya dua orang watak daripada keseluruhan teman mereka yang mempunyai masalah sama. Daripada insan-insan ini, aku ‘diajar’ banyak perkara. Bahawa dunia ini tidak boleh dipandang hanya secara parallel, bahkan wujud penjuru-penjuru lain yang masih kosong belum diisi. Daripada mereka, terlalu banyak yang aku ketahui.

 

Siapa Mereka? Bagaimana Mereka? Dan Apa yang Kita Ada Untuk Mereka?

 

Aku rumuskan dalam tiga inti pertanyaan yang mudah:

 

PERTAMA: Siapa Mereka Sebenarnya?

Ternyata, kita belum mengenal sepenuhnya dunia anak-anak istimewa. 'Traits' dan personaliti yang dibawa tidak boleh disamakan dengan anak-anak biasa. Anak biasa mungkin melihat sebiji buah epal sebagai buah epal itulah, yang berwarna merah atau hijau, enak dimakan; ironinya anak ajaib ini mungkin memandangnya sebiji buah epal seperti mata seekor naga yang baru sahaja dicungkil oleh pahlawan rimba. Berbeza bukan 'view' mereka?

 

KEDUA: Bagaimana yang Kita Harapkan?

Pertama dan yang utama, hak pendidikan. Hak pendidikan ini bermaksud memberikan pelajaran kepada mereka mengikut cara mereka, kemampuan mereka, bukan mengikut persepsi kita sendiri atau ‘perlumbaan akademik’ dengan rakan-rakan sebaya. Hentikan kezaliman ini. Ini hanya suatu 'torture' kepada anak-anak istimewa. Mereka sebenarnya sangat berbakat – biasanya anak istimewa mempunyai satu bakat 'particular' yang mengatasi kemampuan rakan sebaya mereka. Sebut apa sahaja; bakat muzik, sukan, teknikal dan lain-lain. 

 

KETIGA: Apa Cabaran Paling Besar?

Aku terpaksa berkata jujur. Cabaran terbesar tentunya prasarana pendidikan. Sewaktu 'posting' ke sini, aku diberikan sebuah kelas kosong. Aku mencari jalan untuk melengkapkan keperluan asas terlebih dahulu – meja, kerusi, pensel, pemadam, pensel warna, buku latihan. Belum lagi soal-soal alat bantu mengajar (ABM). 

 

Di kelas, berpuluh-puluh murid bersesakan. Bangku dan meja patah. Anak-anak istimewa diinklusifkan, diletakkan di dalam kelas bersama dengan teman sebaya. Apa yang boleh kita harapkan? Hanya sekolah satu-satunya tempat mereka belajar. 

 

>>>[KLIK DI SINI] “Dulu Kami Bebal. Mak Suruh Makan, Kami Habiskan. Rupanya Mak Masih Lapar” — Fatimah Abu Bakar<<<

 

 

Di rumah, ah air mata mampu mengalir laju. Aku pernah berkunjung ke rumah-rumah muridku. Rumah di atas air, dengan tiang-tiang yang hampir ranap. Tiada bilik. Sekadar tempat untuk melindung diri daripada panas dan hujan. Itu sahaja.

 

Bagaimana dengan perkembangan diri anak-anak istimewa dalam keadaan terperosok ini? Sedangkan bukan semua ibu bapa murid istimewa ini mengabaikan anak-anak mereka. 

 

Aku pernah bertanya kepada salah seorang penjaga tentang sokongan pembelajaran di rumah, katanya: “Cikgu saya boleh tipu, dengan Tuhan tidak. Tengoklah buku-buku yang saya beli untuk ajar anak-anak ABC. Tapi, mereka susah nak ingat.”

 

Kulihat ‘kit’ pembelajaran berharga RM50 di sudut rumah yang hampir roboh itu dengan ‘tamparan’ yang hebat sekali.

 

 

NOVEMBER 2016

Melodi Akan Tetap Indah

 

Bulan terakhir aku bersama-sama muridku sebelum cuti semester penghujung tahun. Cepat sungguh masa berlaku. Setahun lamanya, tidak puas aku mengenal, memahami karenah 11 orang muridku ini. Tahun hadapan mungkin aku tidak mengajar mereka lagi. Murid baharu pula akan menjalani pembelajaran di Akademi IQ.

 

Alka nampaknya sudah tidak tidur di dalam kelas lagi. Susah juga untuk dia mengubah rutin yang satu ini. Puas kupujuk. Alka sekali-sekala masih lagi berkomunikasi dengan caranya – tiada 'eye contact' dan menyebut perkataan berulang-ulang, kerap bermain sendiri-sendiri dengan khayalan ‘puteri’. Tetapi, lebih terkawal. Nasib baik Autismenya tidak total, tantrumnya juga stabil. Belum pernah kulihat dia mencederakan diri sendiri. Cuma, fokus pembelajarannya sangat terhad. 

 

Aku dianggap sangat berjaya jika dia mampu menyelesaikan bacaannya sebanyak dua halaman kecil dan dua halaman latih tubi menulis dengan arahan ringkas. 

 

>>>[KLIK DI SINI] Tahukah Anda Siapa Wanita Pertama diangkat Sebagai Sasterawan Negara? Ini Sejarah Untuk 100 Tahun Lagi, Bacalah<<<

 

Di penghujung tahun, Alka sudah mampu menyebut suku kata mudah seperti ba bi bu, ca ci cu, da di du. Sangat jauh, terlalu terkebelakang berbanding rakannya di Tahun 3, namun bagiku pencapaian itu sudah besar sekaligus bermakna. Seperti dia sudah berada di tengah-tengah balapan, hanya perlu terus berlari – tidak kira perlahan atau pantas – untuk dia tiba ke garisan penamat.


 

Ali. Muridku yang satu ini paling membuatkan aku terharu. Perangainya masih sama, tidak menunjukkan tanda berkurangan – tetapi dia akan menunggu kehadiranku ke sekolah di tangga  kelas setiap hari. Sama ada berseorangan atau mengajak kawan-kawannya yang lain. Menunggu sehingga aku membuka kunci pintu. 

 

Terdapat lapan buku bacaan perlu dihabiskan sepanjang tahun. Dan, dia satu-satunya murid pemegang kad OKU yang berjaya menghabiskan kelapan-lapan buku tersebut. Buku latihan bagi mata pelajaran bahasa Melayu dan Matematik – kuanggarkan keseluruhan berjumlah 400 halaman, tinggal beberapa helai lagi untuk dikhatamkannya. 

 

Begitulah setiap hari dia akan ke kelasku termasuk waktu rehat untuk menyelesaikan bacaan serta buku latihan. “Nanti siap, mahu tunjuk buku ini kepada ibuku,” kata Ali berulang-ulang kali.

 

>>>[KLIK DI SINI] RIZALMAN IBRAHIM: “Mereka Makan Malam di Marini’s on 57 Sambil Teguk Champagne, Saya Makan Nasi Putih Ikan Kembung. I Don’t Care…”<<<

 

 

Mengajar Mereka Adalah Momen Penuh Warna dan Sangat Menyedarkan

 

Mengajar anak-anak istimewa ini penuh warna suka dan duka. Menjadi kenangan terindah buat kehidupanku. Mengenalkan aku erti manusia sebenar. Di sini, pelbagai etnik bersatu di bawah satu bumbung; Bajau, Suluk, Bugis, dan lain-lain. 

 

Aku mengerti pendidikanlah yang memecahkan benteng bangsa, agama, warna kulit, keturunan ini. Pendidikan juga mengajar kita untuk tidak membeza-bezakan anak-anak istimewa dengan anak-anak normal. Tahun 2015, malah, aku pernah mengajar murid yang pekak. Rasa kemanusiaanku ternyata semakin bertambah, di sini.

 

Kenangan bersama-sama 11 orang muridku kekal terpahat untuk memori 2016. Kenangan di pulau, berenang bersama-sama sewaktu terapi air, tangisan dan rajuk, jenaka dan olok; semua meninggalkan kesan abadi. Nasaruddin, Ali Akbar, Rayhan, Joe, Nazrin, Norsira, Syakira, Jep, Alka, Misa Anah, dan Norsidah – sentiasa dalam doaku yang berpanjangan.

 

Semoga mereka akan memberi wangi kepada agama dan nusa, amin.

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Berkat Usaha Gigih, Peniaga Burger Tepi Jalan Kini Pemilik Sebuah Kedai Emas

  • Seterus →

    Bagaimana Wanita Ini Mengajar Anaknya Ikhtiar Hidup Selepas Dia dan Suami Hilang Pekerjaan