Nov 22, 2016 - 131963

Lelaki Ini Tinggalkan Gaji 5 Angka Untuk Jadi 'Suri Rumah', Rupanya Allah Ganti Benda Lebih Baik

Apakah dia kesal mengundurkan diri dari kerjaya yang sedang memuncak hebat?

 

Oleh:

 

 

 

 

 

APABILA ditanya apa yang telah aku lakukan 16 bulan yang lalu, ramai yang bertanya sama ada aku kesal atau hampa dengan keputusan ini. Aku melupakan segala cita-cita besarku untuk mendaki tangga korporat dan menyandang jawatan tertinggi di salah sebuah institusi kewangan terbesar negara. 

 

Ada yang bertanya, adakah aku tidak yakin dengan diri sendiri? 

 

Tidak. Aku yakin dengan potensi dan kemampuanku. Dek kerana penat dengan kerenah politik kerja dalam kalangan segelintir rakan sekerja serta Ketua Unit yang tidak cukup matang dan bijak menangani isu kerjaku, maka aku akhirnya tekad meninggalkan apa yang telah aku usahakan selama 15 tahun ini. Ya, pengalaman bekerja selama 15 tahun itu aku korbankan jua akhirnya. 

 

 

 

 

Kerja, Kerja dan Kerja Sampai Pagi

Ini ditambah lagi dengan dugaan yang melanda keluargaku. Segalanya datang serentak. Seakan dipalu-palu menyeru aku berhenti seketika dan memandang prioriti dalam diri dan keluarga. Isteri, telah menerima ujian maha hebat. Tindakan murni beliau menangani isu salah laku dalam pengurusan tertinggi syarikat beliau bekerja, telah membawa kepada kesudahan yang amat memeranjatkan. Isteriku dikenakan tindakan disiplin. Jawatannya telah dibekukan selama enam bulan. 

 

Ya, Allah. Kegilaan apakah yang sedang membusung dan bernanah dalam etika dan moral masyarakat kita hari ini?

 

Sebagai suami, aku hanya mampu memberikan sokongan moral kepada isteri. Dengan keadaan beliau menghamilkan anakku yang ketiga, dan aku pula terikat dengan komitmen kerja yang ketat, yang memaksa aku bekerja hingga santak pagi. Dialah yang mengambilku dari pejabat setiap pagi. Aku kagum dengan isteriku. Tidak mungkin aku akan cari yang lain.

 

 

 

 

Sikap Anak Berubah, Sudah Mula Berbohong 

Anak sulung perempuan, mula melangkah ke alam persekolahan. Ternyata peralihan zaman taman asuhan ke alam persekolahan, memberi kesan kepada anak kecil sepertinya. Tingkah lakunya berubah 360 darjah. Daripada seorang yang periang dan aktif dalam apa jua aktiviti, kini dia menjadi anak kecil yang sangat pendiam dan mula berbohong. 

 

Perubahan ini menguji kesabaranku. Bayangkanlah, dengan bebanan kerja, isu isteri di pejabat masih berpanjangan dan ditambahi pula anakku yang kerap menghabiskan duit belanja untuk barang-barang yang tidak berfaedah bahkan mulai bercakap bohong; maka aku tiada pilihan lain – selain menghukumnya. 

 

Tidak kira tali pinggang, tangan hatta kata-kata ugutanku. Harapan aku, mahu si kecil berubah namun sangkaanku meleset semata-mata. Tiada perubahan malah makin menjadi-jadi perilakunya. Aku nekad membuat intipan ke sekolah dengan mengambil cuti kecemasan – walaupun pada waktu itu aku disindir sinis oleh Ketua Unitku sendiri. Ahh pedulikan, aku ingin ekori apa yang anak aku lakukan. 

 

 

 

 

Aku Terpana Melihat Peristiwa di Sekolah Anak

Nah, segalanya memang telah dirancang oleh Allah SWT. Apa yang aku saksikan dengan mata kepalaku memang meluluhkan perasaanku sebagai bapa. Kenapa aku begitu kejam kepada anak kecil yang hanya berusia tujuh tahun? Tidak pernahkah aku perasan, daripada lirikan pandangan anakku itu, tersimpan 1001 persoalan yang mengharapkan aku sebagai bapanya, agar tangkas berdiri dan segera membantu dirinya? 

 

Ya Allah, anak aku rupa-rupanya dibuli selama ini! 

 

 

 

 

Inilah Sebabnya Dia Mula Berbohong

Di sebalik bangunan sekolah, aku meratapi kebodohanku sebagai bapa. Mengapa aku sanggup membiarkan anakku menjadi mangsa keadaan untuk tempoh yang panjang selama ini? Kenapa tidak aku menjadi manusia yang mendengar dan memahaminya? Dan bukannya menghukumnya?

 

Ya Allah, apa telah aku lakukan kepada anak kecil ini? 

 

Aku melangkah ke arah anakku yang sendirian di kantin lalu bertanya; “Mana bekalan kakak?” Anakku tergumam dan menjawab perlahan, kawannya ambil, dan duitnya diambil sekali. Aku bertanya lagi, “Setiap hari ke macam ni kakak?”

 

Anakku mengangguk lesu, lalu memelukku seraya berkata, “Kakak takut, nanti kakak tak ada kawan…” 

 

 

Aku terbungkam dengan apa yang terjadi hari itu. Berat langkahku untuk pulang ke rumah dan meninggalkan dia sebegitu. Apa dosa anakku? Bagaimana boleh aku perbaiki situasi ini?

 

 

 

 

Apabila dikenang semua itu, aku benar-benar bertekad, aku mahu segera memulihkan keluarga. Aku mahukan semuanya kembali sempurna. Surat perletakan jawatan aku serahkan kepada Ketua Unit yang baru. Walaupun dia jauh lebih muda, namun beliau lebih prihatin. Keputusan telah dibuat dan tidak mungkin ditarik semula. Dalam masa yang sama, aku juga menerima tawaran yang jauh lebih baik daripada salah sebuah syarikat MNC terkemuka dunia, tetapi aku sudah memutuskan dalam hati, bahawa tawaran itu juga akan kutolak. 

 

Mengapa Aku Tergamak Meninggalkan Kerjaya Dengan Gaji 5 Angka?

Bagiku, keluarga ini, sedang memerlukan aku. Insya-Allah, duit boleh dicari. Maka fasa hidup sebagai bapa di rumah pun bermula.

 

Semenjak aku mula duduk di rumah menjaga anak-anak, aku mula mengikuti beberapa program dan kerja sambilan seperti menjadi agen insurans dan Unit Amanah. Tetapi semuanya bagai tidak kena dengan matlamatku. Komitmen yang sangat tinggi dan pada masa yang sama aku perlu memperbaiki keadaan anak-anak dan perhubungan suami isteri yang mulai tegang.  

 

 

 

 

Sedihnya, Kereta Kami Kena Tarik Waktu Sedang Bertemu Klien

Kesempitan kewangan menjadi cabaran besar kami. Kereta kami ditarik sewaktu kami bertemu dengan klien. Segala barang-barang hobiku terpaksa aku jual demi menampung keperluan hidup kami. Tetapi ia tidak sedikit pun menggoyahkan hubungan kami suami isteri. Alhamdulilah, aku diberikan ahli keluarga yang amat memahami dan tidak putus-putus menyokong dan membantu daripada segi kewangan mahupun makan minum kami anak beranak.

 

Pernah suatu ketika, aku pergi berjumpa klien bersama anak kecil yang berusia satu tahun dan anak lelaki yang masih berbaju sekolah asuhan. Bersama stroller dan dokumen-dokumen klien, aku gagahi juga demi memastikan periuk kami terus berasap. Alangkah benar, untuk setiap apa yang berlaku dalam jalur hidup kita ini, Allah SWT sudah menjanjikan kadar dan masa, juga rezeki buat setiap hamba-Nya. Allah Maha Besar!

 

Alhamdulillah, semua itu tidak menjadi penghalang melaksanakan kerja. Hal ini berlarutan selama beberapa bulan sehingga aku memilih untuk memandu UBER. Ternyata, ia memberikan pulangan yang baik pada suatu ketika. Fokus dan matlamatku tidak pernah lari daripada membentuk sahsiah dan pencapaian akademik buat anak-anak.

 

 

 

 

Isteri ke Pejabat, Aku Ambil Alih Tugas Suri Rumah 

Kehidupan kami kembali sedikit selesa setelah isteriku memperolehi pekerjaan yang baik. Dalam masa yang sama, aku di rumah mengatur dan mengurus anak-anak. Setiap pagi selepas menghantar isteri ke tempat kerja dan anak-anak ke sekolah, tinggal aku bersama anak kecilku di rumah. Mengapa si kecil di rumah? Kerana kami tidak mampu menghantar ke sekolah asuhan lantaran kekangan kewangan. Maka masaku lebih terikat dengan jadual bersama anak kecil dan mengambil anak lelakiku pulang dari sekolah. 

 

Aktiviti UBER terpaksa dikurangkan, ekoran beberapa insiden bersama pemandu teksi yang lain. Aku faham, mereka juga seperti aku, mencari rezeki dan kerana seringgit dua mereka sanggup pertahankan bagi memastikan periuk nasi mereka terus berasap. Aku yakin, rezeki ada dan Allah SWT sudah menentukan jumlah dan kadarnya, serta masa dan tempatnya. Kita hanya perlu berusaha dan bertawakal. 

 

Mengisi masa yang terluang, aku banyak membuat pembacaan dan penyelidikan mengenai pendidikan awal kanak-kanak. Justeru, aku banyak menghabiskan masa dengan membaca dan mengumpul seberapa banyak maklumat untuk keperluan pelajaran anak-anak. Hubungan aku dengan anak-anak semakin rapat, kami sering bermain catur dan Saidina. Adakala, kami bermain ala-ala pidato. Aku latih anakku agar lebih kritis dan kreatif dalam berfikir.

 

Aku percaya pada konsep “Less Is More”. Aku tidak percaya kepada belajar teknik menghafal, sebaliknya aku lebih menggalakkan mereka memahami dan mengadaptasi setiap apa mereka pelajari. Paling lama, ulang kaji yang aku aturkan untuk mereka antara 30 hingga 45 minit. Selebihnya, kami akan bersembang dan bercerita tentang apa sahaja yang telah kami pelajari. Antaranya, untuk pelajaran Sains, aku sediakan satu ruang yang kami namakan “Our Little Garden”. Di situ, aku menerangkan bagaimana tumbuhan itu mula hidup semenjak anak benih. Aku tanamkan dalam pemikiran mereka, apakah keperluan untuk hidup iaitu AIR, UDARA dan CAHAYA MATAHARI. 

 

 

 

 

Manisnya Nikmat yang Allah Beri Kepada Keluarga yang Tenang dan Tidak Terkejar-kejar

Alhamdulillah, anak-anak mula selesa dengan pendekatan ini, bahkan soalan-soalan mereka lebih produktif dan komprehensif. Ternyata semenjak wujudnya ilham “Our Little Garden” ini, subjek Sains, Matematik, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan kemahiran lain dapat digabung bersama. Mereka semakin seronok meneroka ilmu-ilmu baru. 

 

Pendidikan agama juga diberikan penekanan. Solat lima waktu berjemaah menjadi kewajipan untuk kami sekeluarga. Sepanjang lapan tahun berkeluarga, inilah tahun pertama kami berjemaah bersama. Manisnya saat apabila anak dengan pasrah menjadi muazzin dan aku sebagai imamnya, dan isteri dan anak-anak sebagai makmumnya. Alangkah indah, masya-Allah!

 

 

 

 

Apakah Aku Menyesal Meninggalkan Gaji 5 Angka?

Anak lelakiku melahirkan minatnya untuk mendalami ilmu Al-Quran. Syukur, dalam tempoh sepantas tiga bulan mempelajari Iqra’, beliau kini sudah mula membaca Al-Quran. Kami bertuah kerana ditemukan dengan seorang guru yang yakin boleh melatih anakku membaca dan menghafaz Al-Quran. Harapan kami semoga apa yang kami usahakan ini menjadi bekalan selepas kami suami isteri meninggalkan alam ini.

 

Segala usaha dan pengorbananan selama setahun ini bersama isteri, ternyata dengan izin Allah SWT, mulai membuahkan hasil. Anak sulungku kini mula menunjukkan peningkatan luar biasa. Dia terpilih untuk menerima anugerah kecemerlangan di sekolah. Daripada seorang yang sangat pasif, pendiam, tidak yakin diri dan negatif; anakku kini sudah menjadi seorang yang periang, jauh lebih yakin dan setiap butir bicara beliau lebih tersusun dan penuh makna. Alhamdulillah, terkesan daripada didikan ini, dia kini lebih petah dan pintar dalam berbicara. Beliau tahu menggunakan teknik APA, KENAPA dan BAGAIMANA dalam pertuturan dan penulisannya. 

 

Walaupun masih di peringkat awal, aku sentiasa meletakkan tanda aras kepada anak-anakku agar tidak terlalu selesa dengan pencapaian mereka. Aku terus mendedahkan mereka kepada pembacaan ilmiah dan permainan yang lebih banyak menggunakan daya kritis dan kreatif. 

 

 

 

 

Ya, memang waktu ini, aku tidak mampu menyediakan mereka percutian mewah, bermandi kolam renang yang saujana biru terbentang seluas padang bola. Atau duduk di hotel tinggi melangit lima bintang seperti dulu. Atau makan makanan yang enak-enak dan mahal-mahal. 

 

Namun, kami gantikan dengan aktiviti yang lebih mengeratkan hubungan kekeluargaan. Mencuci kereta, mengemas rumah, memasak bersama dan menjaga antara satu sama lain, dengan penuh kasih sayang. Paling utama, anak-anakku kini lebih bertanggungjawab dalam menjaga hubungan mereka dengan Allah SWT. Setiap kali datangnya LIMA WAKTU itu, tanpa disuruh, mereka tahu apa yang perlu mereka lakukan. 

 

 

 

 

Ya Rabbi Ya Tuhan kami, yang Maha Mendengar Lagi Maha Mengasihani! Alhamdulillah kerana memberikan aku peluang untuk membentuk keluargaku kembali. Ini baru langkah pertamaku dalam perjalanan yang masih jauh dan penuh ranjau ini. Semoga Allah SWT terus bersama kami.

 

Perjalanan masih lagi jauh, apa yang aku pilih ini tidak pernah sesekali aku kesali. Malah aku berasa amat bertuah kerana Allah SWT menyedarkan aku sebelum terlewat. Hikmahnya amat tidak kuduga, kebahagiaan keluarga tidak hanya diukur dengan wang ringgit semata-mata, tetapi memahami antara satu sama lain. Buang segala sifat ego, amarah dan comfort zone. 

 

 

 

 

Pesanku kepada ibu bapa di luar sana, utamakanlah keluarga. Wang adalah keperluan, tetapi yakin dan berserahlah kepada Allah SWT. Jika kita mengejar dunia, dunia akan meninggalkan kita. Jika kita mengejar akhirat, dunia akan mengejar kita. Aku mohon para pembaca agar sudi berdoa untuk kami sekeluarga dan doaku juga kepada pembaca semua, semoga Allah SWT memelihara kita semua di dunia dan akhirat. Amin. 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Bagaimana Anak Kecil Ini Berdoa Supaya Bapanya yang Lumpuh Sekelip Mata Pada Malam Aidilfitri, Berjalan Kembali

  • Seterus →

    Tak Sangka! Lelaki Kelantan Ini 'Invest" Beli Kuda Dari RM1000 Kini Cecah Ratusan Ribu