Apr 24, 2017 - 6053

Elak Tinggal Sebumbung, Selalu Sangka Baik — Petua Ini Anda MESTI BUAT Supaya Jadi Menantu yang disayang Mentua

Ada banyak perkara perlu anda jaga apabila sudah berumahtangga. Yang penting, LAYANLAH ibu dan bapa mentua sebagaimana anda melayan dan mengasihi ibu bapa sendiri.

 

 

Kredit foto: Instagram @

 

 

 

 

PETUA 1

Cari Titik Persamaan 

Cuba selidik apakah persamaan kamu dengan adik-beradiknya. Mungkin adik perempuannya suka membeli-belah. Kongsi butik kegemaran kamu yang ada menawarkan jualan murah. Ibunya pula gemar berbaju kurung. Belilah sehelai dua pada setiap hari perayaan. Orang tua lebih mudah dibeli jiwanya.

 

Sengketa ipar-duai ini takkan berlarutan kerana kelak mereka juga bakal berumahtangga dan mengalami keadaan sama dengan kamu alami. Jangan mereka fikir, mereka terlepas daripada cengkaman mertua. Dunia ini ibarat roda siapa di atas bakal berada di bawah juga suatu hari kelak. 

 

 

 

 

PETUA 2

Jarakkan Dirimu Sementara 

Ini bukan bererti kamu membuang mereka tetapi ada ketikanya kamu perlu berdiam diri. Terutama jika keluarga mertuamu memang keras hati. Tetapi ada caranya untuk melembutkan hati mereka. Sesekali hantar anak-anakmu ke rumah mereka. Beri alasan kamu ada urusan di luar daerah. Semoga anak-anak kamu itu menjadi tali pengikat hubungan lebih jernih. 

 

 

 

 

PETUA 3

Selidik Diri Mertua 

Mertua atau bakal mertua sama sahaja. Kenali sifat sebenar mereka sebelum kamu mula beramah mesra. Tanya siapa lagi kalau bukan anak lelakinyalah. Selidik apa kesukaannya dan kepantangannya. Keadaan ini lebih memudahkan kamu bergaul dan menyesuaikan diri dengan mereka terutama selepas berumahtangga.

 

Sekiranya kamu dapati dia memiliki ibu yang kaki kontrol segala-galanya, ada baiknya kamu mengundurkan diri sahaja. Sekiranya teman lelaki kamu itu benar-benar tidak boleh hidup tanpamu, setelah yakin dia boleh berenggang dengan ibunya, apalah salah beri dia peluang. 

 

 

 

 

Kredit foto: Instagram

 

 

 

PETUA 4

Ringan Tulang Membantu 

Tidak perlu menunggu kamu jadi menantu yang ringan tulang. Tunjukkan kebolehan kamu bermula dari sekarang kala menjadi kekasih anaknya dan tunangan. Sekerap mana kamu ke rumahnya, jangan tinggalkan dapur mereka. Membantu ibu mertua di dapur juga boleh mengeratkan lagi hubungan kamu berdua.

 

 

 

 

PETUA 5

Jangan Lekas Melatah 

Terutama apabila ibu bapa kekasihmu melontarkan pendapatnya. Kadangkala memanglah saranannya bertentangan dengan pendirianmu tetapi apalah salahnya kamu mengalah dan menghormati permintaan mereka. Tidak mengapa mendengar pandangan, pendapat dan nasihat diutarakan kerana mereka ibarat ibu bapa kamu juga. 

 

 

 

Sumber foto: Getty Images 

 

 

 

PETUA 6

Sayangi Mereka 

Anggap sahaja ibu bapa mertua sebagai ibu bapa sendiri. Mereka sama sahaja dengan ibu bapamu. Jika kamu boleh jatuh cinta dengan anaknya, itu bermakna kamu perlu bercinta dengan keluarganya juga. Itulah sebenarnya kunci kebahagiaan kalian. Restu adalah segala-galanya. Jika keluargasi dia menganggap kamu silap, usah melawan. Akuinya dan lekas-lekas minta maaf.

 

Anggaplah teguran mereka itu ibaratnya datang daripada kedua-dua ibu bapa kamu sendiri
yang menegur untuk kebaikanmu juga. Kalau bakal mertua sudah suka, mudahlah kamu nanti. Silap hari bulan, mereka terus melamar kamu tanpa perlu menunggu persetujuan si anak. Bersedia atau tidak yang pentingnya ibunya sudah bersetuju. Kan senang! 

 

 

 

 

 

PETUA 7

Elak Konflik 

Memang kadangkala orang tua banyak ragamnya. Mereka ini sinonim mengundang konflik dalam rumah tangga. Sedang kamu memerlukan suami, mereka terlebih dahulu mencuri perhatiannya.

 

Sesekali beralah apalah salahnya. Mungkin bukan sekarang tetapi manalah tahu suatu hari kelak mereka juga yang akan membantu dalam konflik rumah tangga kamu pula. Ibu mertua mungkin menjadi sahabat paling baik dan benar-benar membantu. 

 

 

 

 

Kredit foto: Instagram

 

 

 

 

 

PETUA 8

Elak Tinggal Bersama 

Memang ramai mengelak tinggal sebumbung dengan mertua takut timbul konflik. Banyak terjadinya hubungan berakhir dengan saling tidak berbicara dan bermasam muka. Jika kamu tiada pilihan untuk tinggal berasingan, lakukan perkara-perkara yang menyenangkan hatinya.

 

Moga- moga dia mula menyukai kamu. Tetapi ada juga yang berjaya mengatasi jurang antara mereka hanya selepas tinggal bersama. Lama-kelamaan persefahaman semakin jelas. 

 

 

 

 

 

PETUA 9

Tiada Perbezaan Kasih Sayang 

Ambil berat ibu bapa mertua dan seisi keluarganya tanpa berbelah-bahagi. Mereka juga dambakan kasih sayang sama rata daripada kamu. Kalau ada masanya kamu pulang ke pangkuan keluarga, peruntukkan untuk bersama mereka pula. Seperti juga ketika menyambut perayaan.

 

Sering orang bergilir-gilir pulang ke kampung halaman masing-masing. Tidak perlu ada istilah pentingkan diri sendiri asyik mahu pulang ke rumah kamu sahaja pada setiap tahun. 

 

 

 

Sumber foto: Irma Hasmie & Redza Syah Azmeer Radzuan

 

 

 

 

PETUA 10

Hindar Kebencian Mereka 

Jika kamu sudah merasakan aura kebencian pada peringkat awal pertemuan, pupuklah ikatan baik antara kamu dan keluarganya. Bertanggungjawablah pada masalah yang timbul. Jangan lekas berputus asa jika masih gagal memupuk hubungan baik. Yakinlah suatu hari kelak hubungan kamu dengan mereka bertambah baik. Tambat hati bapa mertua dulu kerana dia boleh memujuk yang lain sukakan kamu. 

 

 

 

 

 

PETUA 11

Tutup Kecacatan 

Latar belakang berbeza pastinya membuka ruang keretakan hubungan. Perbezaan itu dari tahap pendidikan, status dan keluarga serta persekitaran. Perbezaan-perbezaan itu boleh meretakkan hubungan kekeluargaan. Lebih parah kalau suami turut menyebelahi mereka. Jadi carilah titik persefahaman dalam memahami erti dan maksud perkahwinan itu sendiri. 

 

 

 

 

 

PETUA 12

Penuhi Kriteria Mereka 

Sekiranya mereka mahu bermenantukan orang kaya, kamu berusahalah meningkatkan taraf kehidupan. Jika mereka mahu menantu soleh, jadi berusahalah ke arah itu. Rajin-rajinlah menemaninya berjemaah di surau. Tiba waktunya jangan tunggu dia ajak, kamu bentangkan dahulu sejadah. 

 

 

 

 

 

PETUA 13

Acara Luar Rumah 

Jangan keterlaluan sebaiknya jadi diri kamu sendiri. Apa kata jadi tuan rumah menjamu makan malam di luar bersama keluarga si dia, tidak pun ajak mereka keluar menonton wayang atau makan ais krim bersama-sama. Fikirkan perkara positif sahaja tetapi memang benar bukan semua orang akan menyenangi kita. 

 

 

 

 

 

PETUA 14

Susun Strategi 

Sekiranya usaha kamu berdamai selama ini gagal, ketepikan dahulu segala persengketaan terutama di hari perkahwinanmu. Usah biarkan mereka merosakkan hari bahagia kamu. Kamu fikirkan caranya selepas segala- galanya selamat. Manalah tahu sejuk hatinya setelah rasmi kamu bergelar menantu.

 

Tunjukkan kasih sayang tidak berbelah bahagi kepada mereka. Berlakon pun tidak mengapa. Selepas mereka benar-benar jatuh cinta dengan kamu, belajarlah mencintai ipar-duai kamu itu. 

 

 

 

 

Sumber foto: Getty Images 

 

 

 

 

PETUA 15

Kurangkan Persaingan 

Kebanyakan kamu suka mendesak teman lelaki memilih antara dua: Kamu atau keluarga. Terutama di saat dia diperlukan keluarga. Biar kamu sangat memerlukan si dia menemani, usah diganggu jika ada aktiviti keluarganya. Jadilah bakal menantu yang sangat memahami. Persaingan hanya memburukkan keadaan. Kamu sendiri jika diperlukan keluarga akan meninggalkan si dia. Jadi cubalah memahami. 

 

 

 

 

 

PETUA 16

Bersangka Baik 

Penting sekali, kamu perlu membuang tanggapan negatif terhadap mereka. Sangkaan kamu mereka itu tidak menyenangkan (memang benar) tetapi apalah salahnya bersangka baik. Semoga aura kebaikan kamu dambakan itu sampai ke sekeliling mereka serta memulihkan keadaan. 

 

 

 

 

 

PETUA 17

Biarkan Sahaja 

Jangan simpan dalam hati. Apatah lagi hubungan kamu dengan kekasih atau suami masih utuh. Itu lebih penting daripada memikirkan ia. Ada orang mengambil masa bertahun- tahun memenangi hati keluarga mertua. Jadi segala yang remeh-temeh biarkan sahaja berlalu dan jangan disimpan dalam hati sehingga jadi terlalu peribadi. 

 

 

 

 

 

PETUA 18

Lekas Beranak 

Percayalah orang tua bila melihat mata cucu akan sejuklah hati mereka. Selalunya ibu mertua sangat bimbang anak lelaki mereka tidak lagi mempedulikan mereka. Jadi sebaik sahaja berkahwin, tunggu apa lagi. Lekaslah merancang mendapatkan anak sulung. 

 

 

 

 

 

PETUA 19

Siapa Sebelah Siapa? 

Apa-apa juga keadaan, pastikan suami mestilah menyebelahi kamu. Biar dia yang berbincang dengan ibu bapa serta adik-beradiknya. Jika dia juga asyik mendengar mereka susahlah. Jika belum berkahwin, layangkan bendera merah.

 

Bagi yang telah terikat, carilah jalan untuk membincangkan isu-isu terpinggir yang mungkin dirasakan remeh-temeh. Padahal perkara itulah menjadi pokok utama hubungan semakin retak. 

 

 

Sumber foto: Lisa Surihani dan Yusry

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Orang LEO Pantang Menyerah, TAURUS Bijak dan Serasi SCORPIO — Anda Kena Baca, Baru Capai Titik Bahagia

  • Seterus →

    DIARI CIK CANTIK: Biarlah Berlakikan ‘The Beast’, Jangan Isteri Jadi ‘Banker’ Sampai Tua!