Jan 09, 2017 - 12772
Oleh: Nurul Huda Hussain
BAHASA TUBUH (body language) iaitu alat komunikasi primitif yang digunakan oleh manusia sejak sekian lama. Gerakan tubuh yang terjadi secara spontan oleh alam bawah sedar manusia akan berlaku apabila seseorang itu dalam usaha mengekspresikan perasaan dan keinginan yang tersembunyi di dalam hati.
Sejak manusia masih bayi lagi, perubahan mimik muka/ekspresi wajah dan gerak anggota tubuh adalah alat komunikasi antara bayi dengan orang di sekitarnya. Ini kerana bayi tidak boleh bercakap maka bahasa tubuh menjadi bahasa utama dan yang terpenting sebagai alat pengungkap perasaan dan keinginannya. Malah bahasa tubuh juga boleh menunjukkan kebenaran dan kejujuran tanpa diminta. Kadangkala kita tidak tahu apakah yang dikatakan seseorang itu benar atau tidak, atau adakah orang itu menyembunyikan sesuatu. Ya, bahasa tubuh ada jawapannya. Itulah ‘kuasa’ bahasa tubuh yang perlu InTrenders ketahui.
Sumber: Endless
Apa Kaitan Otak Kiri dan Otak Kanan Dengan Bahasa Tubuh?
Bagaimana dengan individu yang gemar menggosok-gosok hidung, menggigit bibir atau mengibaskan rambut; dan kemudiannya dia mengetahui bahawa tabiat tersebut mencerminkan kelemahan diri, lantas mahu mengubah tabiat itu. Adakah ini bermakna individu itu cuba menipu kerana menyerlahkan sisi lain daripada dirinya yang sebenar?
“Jika seseorang individu itu ada habit yang negatif seperti suka menggigit kuku, mengaru hidung atau bermain-main dengan hujung rambutnya ketika bercakap, ini memberitahu bahawa individu tersebut berasa gemuruh, keliru ataupun rasa tertekan. Individu dengan very strong mind set, kebanyakannya kurang memiliki habit yang negatif (bad habit). Cuba lihat dalam kalangan ahli politik ataupun usahawan yang berjaya, mereka begitu yakin dengan setiap tindak-tanduk mereka kala berbicara dengan orang ramai. Tidak ada sedikit pun rasa tertekan ataupun gemuruh,” ujar Jessie Lee, Pengasas Soleil Trinity Resource; sebuah badan konsultan profesional dalam 'Chinese Metaphysics'.
“Kita juga dapat mengenal pasti individu yang sedang menggunakan otak untuk memikirkan strategi menerusi bahasa tubuhnya. Jika tangan kanan yang bergerak maka dia sedang mengaktifkan otak sebelah kiri. Manakala gerakan tangan kiri menunjukkan dia mengaktifkan otak sebelah kanan.”
“Otak kiri berkait dengan perkara-perkara logik. Dan kita akan menggunakan otak kiri apabila kita memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah. Orang yang menggunakan tangan kanan (right handed), lazimnya lebih banyak menggerakkan otak sebelah kiri. Jika bercakap fasal idea kreatif pula, serahkan kepada mereka yang kidal. Orang kidal menggerakkan otak kanan yang mewakili nilai kreativiti yang dimiliki.”
“Sebenarnya bad habit boleh dikawal. Misalnya anda akan mula menggigit kuku sekiranya diri rasa gemuruh. Oleh itu, cuba berlagak relaks supaya tekanan yang dialami berkurangan secara perlahan-lahan. Kawalan sebegini dapat meminimumkan bad habit yang anda amalkan dan jika usaha dilakukan secara berterusan, mungkin ia dapat menghentikan secara total bad habit tersebut. Apabila bad habit dapat ditangani, secara tidak langsung individu tersebut juga akan lebih berasa yakin. Ada tips penting di sini, jika anda rasa gemuruh, cuba tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan perlahan-lahan. Yakinlah bahawa rasa gemuruh itu akan berkurangan.”
Sumber: Shutterstock.com
4 JENIS BAHASA TUBUH SECARA UMUM
Kalau Terbuka Maknanya…
Bahasa tubuh terbuka iaitu postur menghadap depan (forward looking), posisi tubuh dan wajah menghadap lawan bicara. Bahasa tubuh ini mencerminkan kesiapsiagaan memberi perhatian dan kehangatan. Lazimnya bahasa tubuh ini mencerminkan respons positif terhadap lawan bicara.
Kalau Tertutup Maknanya…
Bahasa tubuh tertutup. Sikap tubuh tertarik ke belakang, tetapi bukan membelakangkan lawan bicara. Misalnya menoleh ke arah lain ketika lawan sedang bercakap. Sikap ini mencerminkan rasa malu atau bosan. Bagi lawan bicara, sikap ini seringkali diertikan sebagai dingin.
Kalau ‘Expansive’ Maknanya…
Bahasa tubuh expansive (gerak isyarat yang beria-ia). Sikap tubuh tampak dalam postur siaga, misalnya berdiri tegak dengan dagu sedikit mendongak. Ia mencerminkan rasa bangga diri dan sombong. Lazimnya, sikap ini dimiliki oleh orang yang rasa percaya dirinya cukup ‘bagus’.
Kalau Tegang Maknanya…
Bahasa tubuh tegang. Ini terlihat daripada postur tubuh yang mengejang, seolah-olah tubuh ditarik ke dalam. Misalnya wajah menunduk, tangan disilangkan, dan mata tidak berani menatap lawan bicara. Sikap ini mencerminkan rasa kecewa dan sedih, malah cuba menjauhi perbualan.
Sumber: Shutterstock.com
INI 7 RAHSIA BAHASA TUBUH YANG ANDA PERLU TAHU
BAHASA TUBUH 1 Menaik dan Menurunkan Kening
Jika sesorang itu terperanjat, keningnya akan terangkat dan berbentuk melengkung bagaikan pelangi atau bentuk U terbalik. Jika marah, kening tetap terangkat namun bentuknya sedikit berbeza yang mana kening kelihatan membentuk seperti garisan hampir menegak. Kening yang dinaikkan juga mencerminkan bahawa individu itu berada dalam kondisi ingin tahu atau tertarik dengan sesuatu. Sebaliknya jika ia menurunkan kening, bererti ia menunjukkan adanya perasaan negatif seperti sedih, murung, bingung dan takut.
BAHASA TUBUH 2 Suka Mengerutkan Dahi
Garisan melintang/mendatar (horizontal) menunjukkan individu itu banyak berfikir dan seorang yang strategik. Ini dapat dilihat pada wajah Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kwan Yew. Garisan menegak (vertical) menunjukkan individu itu suka memikirkan tentang orang lain misalnya ahli keluarganya.
Kedudukan garisan ini juga membawa makna berbeza – jika garisan terbentuk pada permulaan bulu kening kiri atau kanan, ini menunjukkan bahawa dia mengambil berat tentang orang yang berada di kelilingnya misalnya keluarga dan teman-teman. Manakala garisan yang terbentuk betul-betul di tengah dahi menunjukkan individu tersebut jenis yang cepat marah. Lagi dalam garisan itu terbentuk maka lagi serius masalah yang sedang difikirkan. Orang yang hidupnya happy go lucky cukup beruntung kerana kurang atau tiada garis ekspresi terbentuk di dahi mereka.
BAHASA TUBUH 3 Menggigit Lidah
Bagi mereka yang gemar menggigit lidah dikhabarkan adalah individu yang penuh dengan keazaman. Anda juga boleh perhatikan pada daerah tulang rahangnya. Lazimnya tulang rahang bergerak-gerak ketika kita mengunyah makanan. Namun individu yang penuh keazaman juga memiliki tulang rahang yang kerap bergerak-gerak. Manakala individu yang membiarkan mulutnya terbuka sedikit ataupun bibir bawah kelihatan jatuh walaupun tidak berbuat apa-apa, mereka ini lazimnya jenis yang kurang berdisiplin terhadap diri sendiri kerana tidak memiliki keazaman yang kuat.
BAHASA TUBUH 4 Menyilangkan Kaki
Menyilangkan kaki lebih diterima terutama dalam kalangan wanita kerana terlihat profesional kala duduk lebih-lebih lagi ketika memakai skirt. Juga lihat pada kedudukan tubuhnya, adakah ia kehilangan power pose? Power pose bermakna bidang bahu terbuka, badan berada pada kedudukan tegak dan dagu pada kondisi seimbang yang mencerminkan individu tersebut punya keyakinan diri yang tinggi. Non-power pose pula menjelaskan bahawa individu tersebut kurang keyakinan diri yang mana kedudukan badannya sedikit bengkok, sekali gus menunjukkan sikap yang tidak profesional.
Buat lelaki, anda masih boleh menyilangkan kaki tetapi bukan seperti gaya perempuan menyilangkan kaki ya! Anda boleh duduk dengan keadaan kaki sedikit terbuka namun elakkan kaki terbuka luas kerana ini menunjukkan anda kurang adab dan rasa rendah diri.
Lelaki yang berlagak dirinya bagus (selalunya dengan mengembangkan dadanya luas-luas), mungkin terdiri daripada mereka yang rendah keyakinan diri. Oleh sebab itu ego mengambil tempat, lantas individu itu cuba memperlihatkan dirinya yang gagah. Bagi individu yang lebih berkeyakinan, mereka hanya membuka kaki hingga ke paras paha sahaja. Jika lelaki itu terlalu mengepit kakinya, itu juga membawa maksud yang dirinya berasa tidak yakin.
BAHASA TUBUH 5 Melihat ke Arah Lain Ketika Berbicara Dengan Orang
Biasanya apabila kita bercakap, kita mahu melihat mata orang tersebut, ya perlu ada eye contact. Orang yang suka memandang ke arah lain ketika bercakap juga tergolong dalam kategori kurang keyakinan diri. Ada dua jenis orang yang berkelakuan sebegini; pertama – kurang keyakinan diri dan kedua – ada perkara yang ditakuti oleh mereka. Ini berlaku apabila mereka melakukan kesalahan dan dia berasa orang mahu menyoal siasat dia, maka dia mengelak untuk memandang tepat ke mata orang yang bercakap dengannya. Kita mengelakkan eye contact apabila kita berasa tidak selesa ataupun resah. Ini lazimnya berlaku apabila kita menghadiri seminar dan hos mula bertanyakan soalan kepada hadirin. Ya, ketika itu ramai yang cuba mengelakkan berlakunya eye contact kerana tidak mahu ditanyakan soalan.
BAHASA TUBUH 6 Bermain-main Dengan Rambut
Wanita yang suka mengelus-elus rambut ketika ber'dating' sebenarnya cuba menyerlahkan sisi feminin. Jika dia berbuat begitu bermakna wanita itu mahu lebih perhatian daripada jejaka lawan bicaranya. Pabila wanita menyentuh dadanya ketika berbicara dengan jejaka, ini menunjukkan tanda bahawa dia mahu didekati ataupun mahu berbica dengan lebih mendalam.
BAHASA TUBUH 7 Anak Mata Berkerdip
Jika anak mata kerap berkerdip atau bergerak-gerak, ini menunjukkan individu itu berada dalam keadaan resah. Pandangan mata kita juga perlu seimbang. Gerakan yang terlalu pantas atau lambat juga tidak bagus. Misalnya, jika mata memandang ke arah yang betul yakni wajah orang yang bercakap dengannya namun biji matanya tiada reaksi (tidak bergerak), itu juga tidak digalakkan. Ini serupa dengan orang yang sedang berangan pada siang hari – keadaan matanya juga tidak bergerak.
Sumber: Shutterstock.com
BELAJAR MENGENAL BAHASA TUBUH SECARA PANTAS
KALAU DIA BERBOHONG…
1) Menutup mulut dan terbatuk.
2) Menyentuh hidung.
3) Memalingkan wajah.
4) Mata lebih kerap mengerdip.
5) Menggaru leher.
6) Nada suara berubah.
KALAU DIA BERASA TERTARIK…
1) Meletakkan tangan di dada.
2) Mendekat kepada lawan bicara.
3) Kakinya mengarah ke orang yang dia suka.
4) Pandangan mendalam.
5) Pupil mata membesar.
KALAU DIA MARAH…
1) Menyilangkan tangan di dada.
2) Meramas-ramas kedua-dua tangan.
3) Berpura-pura membersihkan pakaian sambil mengalihkan pandangan.
KALAU DIA KECEWA, SEDIH ATAU STRESS…
1) Sering menunduk.
2) Pandangan kosong atau agak takut-takut.
3) Mata merah berair seperti mahu menangis.
4) Senyum bergetar atau senyum seperti tertahan-tahan.
KALAU DIA MENUNJUK KUASA…
1) Tangan disilang ke belakang.
2) Meletakkan kaki di atas meja/kerusi.
3) Asap rokok dihembuskan ke atas (bagi perokok).