Feb 10, 2017 - 310806
Oleh: Huda Hussain
Sumber foto: Arkib InTrend Malaysia
TAHUKAH anda, apakah bulan Islam kelahiran anda? Jika anda sudah mendapat jawapannya, ayuh baca artikel ini. Kami ada panduan yang sangat berguna untuk anda.
Berikut adalah rangkuman tafsiran sifat dan keperibadian individu yang dilakukan para ilmuan berdasarkan bulan-bulan Islam. Ia dijalankan mengikut penelitian dan kajian secara terperinci malah asal usul setiap nama bulan turut dihuraikan. Sebagai insan yang beragama Islam, kita harus berpegang kepada salah satu rukun Iman yakni percaya dan yakin kepada qada’ dan qadar.
Menurut Tasawwur Islam, nasib seseorang itu boleh diubah dan nasib tidak bergantung pada bulan mana mereka dilahirkan. Hal ini dapat dibuktikan dalam Al-Quran menerusi Surah Ar-Ra'd ayat 11 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” Setiap bulan yang diturunkan mempunyai kisah tersirat, keistimewaan dan kelebihannya tersendiri.
Namun sebagai hamba-Nya yang inginkan kecemerlangan di dunia dan di akhirat, pasti kita tidak akan memilih bulan-bulan tertentu semata-mata untuk beribadat kerana bukan ganjaran yang harus dikejarkan melainkan keikhlasan dan niat hanya kepada Allah SWT.
Sebaik-baiknya adalah istiqamah dan berusaha melakukan segala suruhan serta meninggalkan larangan-Nya. Sejajar dengan permulaan Awal Muharam, supaya amal ibadat kita diberkati dan mendapat keredaan daripada Allah SWT sebagai bekalan menghadap-Nya suatu hari nanti.
MUHARAM
Bulan ini mengambil perkataan “haram” yang bermaksud terlarang. Ia rentetan tradisi masyarakat Arab yang mengharamkan peperangan pada bulan ini. Mereka yang dilahirkan dalam bulan ini mempunyai ciri-ciri seperti bersifat pendiam dan sihat fikirannya iaitu sentiasa memikirkan sesuatu yang berfaedah dan solusi dinamik dalam menangani sesuatu masalah.
Namun jika pemikiran anda tidak diasah dan dididik dengan cara yang betul, dikhuatiri akan mengalami masalah lemah akal fikiran. Walaupun begitu, jika dididik dengan baik dan betul pada caranya, anda boleh menjadi insan yang cerdik kerana mempunyai bakat dan fikiran yang pintar lagi cerdas.
Anda juga digambarkan mempunyai keinginan yang baik dan tinggi dalam melakukan sesuatu perkara malah berusaha sedaya upaya untuk menyempurnakannya sebaik mungkin.
SAFAR
Safar diambil daripada perkataan “shifr” yang bermaksud ‘sifar’ atau ‘kosong’. Menurut sejarah, rumah masyarakat Arab Badwi menjadi kosong kerana ketika itu mereka keluar dari kawasan perkampungan untuk berperang dan mencari makanan sebagai persediaan menghadapi musim panas.
Berdasarkan kajian ilmuan Islam, mereka yang lahir dalam bulan kedua kalendar Hijrah ini mempunyai tabiat yang tidak baik yakni tidak suka mengakui kesalahan sendiri. Jika anda mempunyai pasangan, sahabat atau anak yang lahir dalam bulan ini hendaklah sabar dan cekal melayani kerenah mereka.
Malah bagi ibu bapa khususnya, perlu mendidik anak mereka dengan baik ataupun boleh cuba aplikasi teknik atau pendekatan tertentu dalam mendidik anak bagi menghilangkan tabiat buruk itu. Jika tidak, dikhuatiri kehidupannya akan menjadi susah di kemudian hari.
RABIULAWAL
Rabiulawal bermaksud bulan pertama musim bunga. Lazimnya ketika ini pokok mula menghijau dan tumbuhan mengeluarkan bunga. Tafsiran karakter mereka yang lahir di dalam bulan Rabiulawal, mempunyai perwatakan yang baik. Sifatnya mudah mesra dan senang untuk didekati membuatkan orang sekeliling menyenangi kehadiran mereka.
Berdasarkan penelitian, mereka juga mungkin akan memperoleh ganjaran besar daripada segi pangkat dan kedudukan dalam masyarakat malah menjadi orang yang berpengaruh. Rezeki juga hadir tanpa diduga daripada setiap sudut. Daripada perspektif kerjaya pula, ramai yang menyukai anda.
Tidak terkecuali daripada mempunyai sifat negatif, anda mempunyai sifat yang kurang sabar, keras hati dan mudah marah. Banyakkan beristighfar dan muhasabah diri untuk perbaiki kelemahan diri agar tidak menjejaskan kreadibiliti anda.
RABIULAKHIR
Rabiulakhir adalah bulan keempat dalam kalendar Hijrah. Rabiulakhir bermaksud bulan kedua musim bunga iaitu pada waktu ini pokok dan tumbuh-tumbuhan telah sampai ke kemuncak mengeluarkan bunga. Bagi anda yang lahir dalam bulan ini, kelemahannya adalah mempunyai sifat dan ciri-ciri seperti berikut.
Perwatakannya kurang baik manakala hatinya mudah berubah. Pendiriannya tidak tetap dan sifatnya berbolak-balik selain mudah dipengaruhi oleh individu lain. Daripada segi pemikiran pula, kemahuannya lemah untuk menganalisa dan mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi.
Selain daripada itu, perwatakannya yang kasar membuatkan mereka yang lahir dalam bulan ini kurang sabar. Luangkan masa dengan mendalami ilmu agama juga muhasabah diri agar anda memperoleh ketenangan dan dapat mengikis sifat kurang sabar.
JAMADILAWAL
Jamadiawal ataupun Jamada al-Awwal adalah bulan kelima dalam kalender Hijrah. “Jamada” bermaksud kering kerana menurut sejarah, bulan ini adalah musim kemarau yang bermula pada bulan Jamadilawal dan berakhir pada Jamadilakhir.
Berdasarkan penelitian, mereka yang lahir dalam bulan ini digambarkan memiliki kriteria seperti tinggi keyakinan yang tinggi dalam apa jua yang dilakukannya. Sanggup menempuh risiko dalam masa sama mereka tidak gentar sama ada untuk melakukan sesuatu yang di luar kawalan atau bahaya. Keberanian dan tekad ini akan menunjukkan hasil usaha walaupun ada kalanya menemui kegagalan.
JAMADILAKHIR
Jamadilakhir ataupun Jamada al-Akhir adalah bulan keenam dalam tahun Hijrah dan menandakan musim kemarau dan berakhir. Menurut sejarah, bulan ini juga lebih sejuk daripada bulan sebelumnya. Menyingkap personaliti individu yang lahir dalam bulan ini, mereka mempunyai perwatakan yang berani juga menghormati orang lain.
Sisi positif lain termasuk memiliki pelbagai cabang kepandaian yang berupaya membantu orang sekeliling. Mudah mengakui kelemahan dan kesalahan namun apabila mengetahui duduk benar sesuatu perkara, pendirian mereka kukuh dan tidak mahu mengalah.
Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang lahir di dalam bulan ini dinasihatkan agar mendidik dengan cara yang baik agar terserlah sifat-sifatnya yang baik itu. Jika betul didikannya, ketika dewasa anak kecil ini akan menyenangkan kedua-dua orang tuanya.
REJAB
Rejab adalah bulan ketujuh dalam tahun Hijrah bermaksud mengagungkan dan membesarkan. Bulan ini juga adalah salah satu bulan yang dihormati dan menurut sejarah Islam pintu Ka’bah juga dibuka pada bulan ini. Malah bagai masyarakat Arab, mereka turut memuliakan bulan Rejab dengan menyembelih anak unta pertama daripada induknya.
Mereka yang lahir dalam bulan ini semasa kecilnya mempunyai sikap yang degil dan nakal. Namun demikian berbekalkan asuhan dan didikan yang baik oleh ibu bapa, ketika dewasa sikapnya jauh lebih baik seperti sering merendah diri dan matang dalam segala hal. Bijak menganalisis selain tegas dalam menentukan sesuatu adalah salah satu daripada ciri-ciri positif yang ada pada diri mereka.
SYAABAN
Syaaban berasal daripada perkataan “sya’bun” bermaksud kelompok atau golongan manakala “syu’ba” bererti berpecah, menyimpan dan berselerak. Menurut sejarah, masyarakat Arab keluar dan berpecah secara berkelompok selepas terpaksa berkurung di rumah ketika bulan Rejab yang kering. Daripada perspektif keperibadian, mereka yang lahir bulan ini memiliki perwatakan yang baik dan rezekinya juga tidak putus-putus.
Memiliki perilaku yang baik dan berbudi bahasa membuatkan semua orang di sekelilingnya menyenangi kehadirannya malah menyanyangi insan mulia ini. Berbekalkan perilaku dan akhlak yang baik, mereka juga berjaya dalam apa jua kerjaya yang diceburi selain mudah mendapat rezeki.
RAMADAN
Diperoleh daripada perkataan “ramda” bererti batu panas. Ia juga bermaksud terik atau terbakar kerana ini menceritakan keadaan panas ketika nama tersebut diberikan. Menurut sejarah, kebiasaannya pada bulan ini cuaca sangat terik di Semenanjung Arab ketika itu.
Selepas kemunculan Nabi Muhammad S.A.W bulan ini merupakan bulan puasa bagi umat Islam. Membongkar kriteria individu yang lahir dalam bulan ini, mereka disifatkan mempunyai keperibadian yang tinggi, baik akhlaknya, pendiam dan suka merendah diri.
Walaupun dikurniakan kelebihan, mereka tidak gemar menunjukkan kebolehan yang ada. Selain itu, sisi positif yang ada pada mereka termasuk tidak sombong kepada rakan yang dikenalinya malah tidak suka menonjolkan dirinya.
SYAWAL
Dalam Bahasa Arab, perkataan Syawal berasal daripada kata “syalat” bererti mengangkat dan daripada kata kerja “Tasyawwala’ bermaksud sedikit atau berkurangan. Selepas kedatangan Islam, Syawal adalah bulan untuk meneruskan amal kebajikan selepas melewati pelbagai ujian yang menduga kesabaran pada bulan Ramadan.
Menyingkap ciri-ciri mereka yang lahir dalam bulan ini, mereka memiliki perwatakan yang keras. Didikan dengan pendekatan yang betul daripada ibu bapa perlu sejak anak mereka kecil bagi menangani kelemahan ini.
Jika tidak, bimbang kelak masa hadapan mereka sukar kerana sifat keras hati yang ada membuatkan individu yang lahir dalam bulan ini sering bertelingkah terutamanya dalam soal mencari rezeki.
ZULKAEDAH
Zulkaedah adalah bulan ke-11 dalam kalendar Hijrah. Perkataannya diambil daripada kata ‘Qa‘ada’ atau ‘al-qa’du’ yang bermaksud duduk. Menurut sejarah Islam, Zulkaedah adalah ulan suci ketiga yang diharamkan sebarang pertempuran. Kebanyakan orang juga mula menghentikan aktiviti perniagaan sebagai persediaan menunaikan Haji.
Perwatakan mereka yang lahir dalam bulan ini, disifatkan sebagai pendiam. Mereka juga banyak berfikir dan kesannya, suatu hari nanti mereka akan mendapat hasil yang memanfaatkan kehidupan. Sifat mereka yang banyak berfikir mempengaruhi tingkah laku yang kadangkala mengelirukan. Mereka disarankan agar bertindak tanpa terlalu banyak berfikir untuk mendapatkan hasil yang diingini.
ZULHIJAH
Zulhijah adalah bulan ke-12 dan terakhir dalam kalender Hijarh. Disebut Zulhijah (Az Zu al-Hijjah) bermaksud yang empunya haji. Perkataan ini diambil daripada perkataan haji sebagai rujukan nama bagi bulan haji yakni waktu masyarakat Arab sibuk mengerjakan ibadah haji ke Baitullah.
Berbicara mengenai sifat individu yang lahir dalam bulan ini, mereka sukar mengawal perasaan yang kadangkala terlalu berlebih-lebihan atau sebaliknya. Oleh kerana mereka tidak dapat memberikan garis pemisah, sukar bagi mereka untuk mempertimbangkan sesuatu perkara sama ada mendatangkan kebaikan atau keburukan. Mereka juga sering menyesal kerana sifat cuai dan tidak berhati-hati selain kurang pertimbangan.