Oct 16, 2016 - 34008
Oleh: Huda Hussain
HADIAH kejutan buat isteri tercinta sempena meraikan percutian bulan madu pasangan suami isteri selebriti Hairul Azrin dan Hanis Zalikha hanya dimaklumkan Hairul beberapa minggu sebelum mereka bercuti.
Bagi Hairul, “Sudah semestinya ia cukup istimewa kerana sudah lama saya memasang angan-angan untuk ke Bora Bora. Dan apabila berpeluang ke sini bersama insan tercinta, ia umpama bonus berganda!"
"Saya betul-betul menikmati percutian ini dan syukur kerana apa yang dirancang selama ini berjalan dengan baik. Biarpun ramai yang bertanya ke mana destinasi bulan madu kami, saya lebih selesa mendiamkan diri untuk memberi kejutan kepada isteri. Selebihnya adalah kepuasan selepas penat lelah bekerja dan ingin meluangkan masa bersama insan tersayang,” ujarnya kala ditemu bual.
Mengapa memilih Bora Bora sebagai destinasi bulan madu kalian?
Sejak kecil lagi saya memang berangan mahu ke sana. Saya masih ingat lagi, dulu wallpaper laptop saya adalah gambar latar belakang pemandangan laut Bora Bora. Entah kenapa, bagi saya ia salah sebuah pulau yang cantik, tenang dan menyamankan.
Sudah lama merancang mahu ke sana?
Kami berangkat ke Bora Bora Ogos tahun lalu. Tetapi sekitar Februari saya sudah mula research dan lakukan persiapan apa yang patut. Tetapi sengaja saya rahsiakan daripada Hanis, mahu beri kejutan istimewa kepadanya. Hinggalah hampir dua ke tiga minggu sebelum ke sana, barulah saya beritahu Hanis.
Apakah keistimewaan Bora Bora pada pandangan mata Hairul?
Ia adalah sebuah kepulauan kecil di Lautan Pasifik yang terletak di utara barat Tahiti, French Polynesia. Antara lain, keunikannnya yang terletak di tengah-tengah Laut Pasifik dan kedudukannya sekitar kawah gunung berapi, cukup menakjubkan.
Pendek kata, keluar hotel saja, anda sudah berada di tengah-tengah laut dalam. Pemandangan dari villa pula melihat panorama laut yang berlatarbelakangkan gunung berapi cukup memukau. Masya-Allah, cantiknya ciptaan Allah. Air laut yang jernih umpama kristal cukup mengujakan kami untuk bercuti ke sini lagi.
Berapa lama masa yang diambil untuk ke pulau tersebut?
Dari Kuala Lumpur kami menaiki tiga pesawat untuk sampai ke Bora Bora. Tiba di lapangan terbang, kami menaiki bot untuk ke Bora Bora.
Perjalanan dari lapangan terbang Bora Bora mengambil masa lebih kurang dua jam. Kemudian kami perlu menaiki bot untuk Bora Bora. Memandangkan ia terletak di tengah-tengah laut, memang tiada pengangkutan lain kecuali menaiki bot untuk sampai ke hotel. Tetapi sepanjang perjalanan, kami menikmati pemandangan yang terbentang luas. Cukup mengasyikkan.
Antara aktiviti yang dilakukan di sana, kongsikan?
Saya memang obses dengan pulau. Jadi apabila sudah tiba di sana, saya tidak melepaskan peluang melakukan aktiviti seperti snorkeling, berkayak, menyelam, memancing, menunggang jet ski dan sudah tentunya terjun ke laut dan berenang! Kami bercuti di Bora Bora sekitar dua minggu kemudian barulah ke Auckland, New Zealand.
Persiapan awal yang Hairul lakukan sebelum ke sana?
Untuk kelengkapan pakaian saya serahkan semuanya kepada isteri kerana orang perempuan lebih arif soal packing baju ini, hahaha. Tetapi saya lebih pentingkan persiapan teknikal seperti kamera dan video. Malah sebelum pergi, saya banyak bertanya dan belajar dengan rakan-rakan jurufoto profesional untuk kenal pasti apakah peralatan yang sesuai untuk saya kendalikan.
Pendek kata, daripada foto hinggalah rakaman video semuanya saya sediakan lebih awal. Inilah percutian dan kali pertama saya menggunakan Dron untuk mengambil gambar dari pemandangan atas. Ia agak mencabar kerana Dron yang saya gunakan agak ringan dan mudah terbang jauh jika ditiup angin. Ramai yang ingat saya membawa jurufoto tetapi sebenarnya gambar-gambar yang diambil menggunakan kamera DSLR, Go Pro, Dron selain menggunakan telefon bimbit.
Bagaimana pula soal makanan, sukar atau tidak mendapatkan makanan halal sepanjang berada di sana?
Tidaklah susah mana pun. Kebanyakan makanan yang dihidangkan berasaskan makanan laut seperti burger ikan, lobster club sandwich, sushi dan banyak lagi. Oh, lagi satu keunikan di sini, setiap pagi kami menunggang basikal dari villa ke hotel untuk bersarapan kerana jaraknya agak jauh.
Tetapi melihat panorama sekeliling memang indah, boleh tahan sekejap kalau lapar (hahaha).
Komen Hairul, mengapa kita perlu mengembara dan melihat dunia luar?
Bercuti dan mengembara sebenarnya mendidik kita untuk belajar banyak perkara selain menghargai dan mensyukuri ciptaan Yang Esa. Tidak kiralah apa jua profesyen anda sama ada pereka fesyen, komposer muzik, ahli perniagaan dan lain-lain; dengan bercuti membolehkan anda melihat sesuatu perkara daripada dimensi yang berbeza. Belajar untuk terokai peluang, mencari ilham dan sudah tentunya mengenal budaya masyarakat luar yang pelbagai ragam.