Oct 20, 2016 - 20398
Oleh: Huda Hussain
KELUARGA kecil ini tampak cukup sempurna pada saya. Melihat keletah si kecil Aaqib cukup menghiburkan setelah penat seharian mengemudi sesi fotografi bersama teman-teman seperjuangan InTrend. Tatkala jari-jemari ini menjelajah instagram & , saya simpulkan keluarga kecilnya sebagai cukup colourful. Telahan saya, hidup dan hari-hari yang dilalui Nana Mahazan, ibu beranak dua ini pasti meriah dan bersulam bahagia.
Memilih untuk mendirikan rumahtangga bersama Mohamed Raqeem Brian Abdullah, nyata membibitkan bahagia dan momen indah dengan kehadiran sepasang puteri dan putera comel; Althea, empat tahun dan Aaqib, setahun. Mengimbas kembali detik mula mengenali Brian, ujar Nana, “Waktu itu saya masih bekerja di ERA dan Brian pula Pengurus Program di Mix FM. Kami memang sudah kenal, cuma tak pernah berbual sahaja sebelum ini."
Sambungnya lagi, "Saya ingat lagi kali pertama berbual dengannya waktu dalam lif. Dan kebetulan kami berdua pakai braces, jadi dari situlah kami mula kenal hati budi masing-masing,” ujarnya merancakkan bicara. Selepas menjalin ikatan persahabatan selama lima tahun, akhirnya mereka memutuskan untuk mendirikan rumahtangga.
“Jarak usia saya dan Brian sembilan tahun. Waktu tu, saya baru 26 tahun. Mungkin jodoh dan fasa umur tu just nice kot untuk settle down. Alhamdulillah, bagi saya, kalau niat kita baik semuanya akan dipermudahkan,” jelasnya sambil mengucap syukur.
Dan apabila ditanya mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang perkahwinan campur ini, Nana tenang menjawab, “Dia banyak bergaul dan berkawan dengan orang Melayu. Jadi tiada masalah dari sudut itu. Macam Brian, dia sendiri yang ambil keputusan untuk memeluk agama Islam, saya tak pernah sekali pun memaksanya. Apa yang dia buat itu adalah atas kerelaan dia sendiri. Secara perlahan-lahan, dia belajar mendalami ilmu agama,” imbas Nana.
Nikmat dan Rahmat Bergelar Ibu
Memilih untuk menjaga anaknya secara sepenuh masa dan memutuskan untuk berhenti kerja selepas Althea menginjak lima bulan, bagi Nana, ia bukanlah satu percaturan yang mudah. “Memang sukar pada mulanya. Tapi sampai hari ini, saya tidak pernah menyesal memilih untuk berhenti kerja, semata-mata untuk menjaga anak.
Dan saya bertekad mahu membesarkan mereka dengan tangan saya sendiri kerana ingin melihat mereka membesar depan mata. Saya ingin melihat saat anak saya mula merangkak, berjalan, jatuh, bangun, bertatih lalu berlari, ya semuanya! Terlalu rugi rasanya jika terlepas semua momen itu.”
“Walaupun saya sudah bersara daripada bekerja di konti, tapi alhamdulillah, ada juga dapat job luar. Macam mengacara majlis, private functions dan lain-lain. Dan waktu saya bekerja di luar inilah, ia umpama satu percutian buat saya. Dan ‘me time’ untuk saya bangkitkan semula tenaga adalah dengan cara saya sendiri,” kongsi Nana jujur.
Menyifatkan tanggungjawab sebagai ibu tidak pernah habis, malah tiada tempoh tamat; Nana juga tidak menafikan tugasnya ada tekanan tersendiri. “Saya tak nafikan kadang-kadang ada masanya saya stress juga dengan budak-budak ni. Yalah, melayan semua kerenah mereka. Namun saya selalu tanamkan dalam minda, setiap pekerjaan dan urusan harus dimulai dengan semangat positif, inilah prinsip keibuan yang saya terapkan dalam diri.
Memang seronok, malah saya sentiasa enjoy belajar perkara-perkara baru terutamanya teknik dan kaedah terbaik untuk mengurus anak-anak,” jelasnya bersungguh. Menetapkan rutin harian mencakupi waktu tidur, makan dan bermain kepada kedua-dua anaknya; bagi Nana, ia tidaklah sesukar mana.
“Setiap hari saya tetapkan rutin spesifik untuk Althea dan Aaqib. Dan rutin itu takkan pernah berubah. Selepas melahirkan, naluri keibuan itu amat bersebati dengan jiwa. Meski tiada pembantu rumah, syukur saya masih mampu mengendali seadanya setakat ini. Disiplin dan ketepatan waktu memang penting; maka kerana itu saya harus bijak merencana banyak perkara. Memanglah terkejar-kejar, tapi selebihnya, saya rasa puas,” ujarnya lagi seraya mengukir senyum.
Bakal menerbitkan buku nukilannya sendiri; ia antara lain memuatkan tips, petua dan cara menguruskan badan selepas melahirkan anak, serta amalan pemakanan sepanjang kehamilan.
Tambah Nana, “Saya tidak rasa apa yang saya buat ini sudah sempurna dan betul. Tapi selepas saya mempraktikkannya, ia berhasil! Tidak salah kalau saya ingin kongsikan dengan peminat juga followers di Instagram yang selalu bertanya, apa yang saya makan waktu mula mengandung dan macam-macam lagi. Saya sudah siap menulisnya. Hanya menunggu masa sesuai untuk dicetak lalu dirasmikan,” ujarnya gembira.
Didik Anak Acuan Sendiri
Tiada formula atau pendekatan khusus yang dipraktikkan untuk mendidik anak-anaknya. Bagi Nana, ia tercetus spontan hasil ideanya bersama Brian. “Masing-masing ada cara tersendiri. Tak semestinya kita kena ikut template orang Amerika atau orang Jepun atau sesiapa pun. Yang penting, kita tahu cara dan pendekatan yang sesuai dengan anak kita. Jadi sebagai ibu bapa, kita perlu bijak dalam membentuk masa depan anak-anak," ujar Nana.
"Memang mak-mak sangat I ni, kan?” Gelak ketawa Nana berderai lagi. Bersyukur dikurnia cahaya mata sihat, ceria dan aktif, itu sudah cukup memaknakan hari-hari yang dilalui Nana. “Saya amat menghormati Brian, bahkan bersyukur kerana dikurniakan pasangan hidup sepertinya, yang amat memahami. Ini juga satu bentuk rahmat hidup. Terima kasih Tuhan.”