Oct 30, 2016 - 583
Hari ini, dalam hanya beberapa minit dan dari rumah sahaja, sesiapa jua boleh menjadi popular seantero dunia! Setuju? Percaya atau tidak, inilah realiti viral teknologi alam maya yang merebak bagai demam campak. Positif atau negatif? Dipuji atau dikeji? Menaikkan produktiviti atau mengundang kontroversi? Saya kira ia persoalan subjektif. Setiap orang bebas mengunjurkan pendapat, seperti mana si viral itu bebas memuatnaik apa jua subjek tanpa undang- undang rasmi.
Lambakan ‘personaliti viral’ hari ini mewarnai satu lagi cabang baru kehidupan. Ada sesetengahnya, hanya berparodi tidak sampai tiga minit, sudah mampu meraih publisiti merentasi dunia. Jika tidak, masakan lahir penyanyi seperti Yuna dan Najwa Latiff yang kini menjadi pengaruh besar industri muzik tanah air?
Busuk-busuk pun, seperti Bobo dan Shasha yang kini disunting menjadi pelakon dan model iklan. Hasil daripada rakaman suka-suka membawa kepada cerca langsung membuahkan pula rezeki tidak disangka-sangka.
Tips Viral yang Berkesan
Tips 1
Ketahui objektif dan subjek viralmu. Ketahui juga penonton sasaran. Ramalan rambang, penonton biasanya terdiri daripada golongan usia 35 tahun ke bawah, datang daripada kategori ‘suka ambil tahu’ tentang apa jua perkembangan semasa.
Tips 2
Idea viral kebiasaannya lahir secara spontan. Seperti fungsinya yang merebakkan informasi secara pantas, ia haruslah bersifat natural tanpa kongkongan skrip mahupun protokol bahasa yang sukar ditangkap. Penonton biasanya tertarik dengan viral yang punya sifat lucu dan ‘sweet’.
Tips 3
Kebanyakan ‘personaliti viral’ mengemudi subjek yang mempunyai ciri-ciri tempatan yang dekat dengan hati penonton. Carilah trend atau isu terkini yang sedang hangat diperkatakan.
Tips 4
Jika mahu mempromosi perniagaan atau servis, lakukan dalam bentuk santai dan mesra penonton. Contohnya, untuk menjual tudung, lebih menarik jika kamu melakukan tutorial/cara pakai tudung daripada sekadar menerangkan material tudung itu. Harus tahu membezakan antara mempromosikan diri atau menjual perkhidmatan. Mungkin, memliki dua akaun dalam laman sosial boleh dipertimbangkan; akaun peribadi dan akaun perniagaan.
Tips 5
Buatlah lain daripada yang lain. Memang susah mencipta sesuatu yang baru tetapi cubalah berinovasi menduplikasi idea yang telah diteroka orang lain dengan acuan berbeza. Jangan berlebihan. Kebanyakan orang kita sukakan kesederhanaan.
Tips 6
Jadilah diri sendiri! Boleh mengikut tetapi jangan meniru. Selepas Yuna, kita punya ramai penyanyi viral lainnya. Najwa Latiff misalnya, antara yang mengikut jejak cara Yuna itu. Walau menonjolkan bakat cara Yuna, Najwa Latiff tetap menjadi dirinya. Dia tidak mengubah imej tudung bawalnya kepada turban Yuna.
Tips 7
Jangan berhenti selepas satu muat naik. Ia bukan iklan berbayar yang perlu ditonton oleh penonton secara ‘paksa’. Penonton viral tidak mungkin mengulang layan apa yang kamu lakukan saban waktu. Justeru, usahakan secara bersiri atau episod.