Apr 12, 2017 - 2724
Kredit foto: Getty Images
PERNAHKAH kamu terfikir, dari mana datangnya kerukunan rumahtangga masyarakat dahulu yang utuh bertahan berpuluh-puluh tahun lamanya — Bahagia membesarkan zuriat sehingga usia melewat senja, saling bersama sehingga tua? Barangkali juga amalan tradisional kaedah asli yang digauli dan dipelajari daripada nenek-moyang mengikat kasih sayang mereka. Jika benar, mengapa kamu tidak mencubanya juga?
Kredit foto: Google
MANDI SUSU
Mandi susu dipercayai ‘meringankan’ badan. Namun khasiatnya yang tidak dapat ditandingi, tentu sekali kebolehannya yang bersifat melembapkan kulit kering atau bersisik, malah melembut dan memutihkan kulit. Mandi susu lazimnya diiringi ramuan campuran susu soya, susu kambing, madu asli, minyak zaitun juga minyak aromaterapi.
Kredit foto: Google
MANDI BUNGA
Mandi bunga lazim diasosiasi dengan kehendak mencari jodoh. Namun dalam rukun penyediaan diri menjelang hari berumahtangga, mandi bunga dipercayai bukan saja berperanan menyerikan wajah, mewangikan kulit, meredakan tekanan (amat bagus untuk bakal mempelai yang mudah penat dan stress sepanjang menangani urusan perkahwinannya), menyucikan dalaman, menghilangkan bau badan, menolak bala; malah dengan mandi bunga, aura warna-warna bunga dikatakan mampu menyalurkan tenaga dalaman kepada tubuh bakal pengantin yang lemah lesu.
Jika kamu bercadang melakukan mandi bunga sendiri di rumah, lakukanlah dengan betul. Jauhi bunga yang banyak hama seperti bunga matahari. Sebaliknya, pilihlah bunga-bunga harum seperti mawar merah (dipercayai menjadikan si pengantin lebih berani dan berkeyakinan), mawar putih (menyegar dan menyucikan badan), cempaka putih (diyakini melembut dan mewangikan kulit), cempaka kuning (menyerikan kulit dan menambah cahaya pada muka), melur putih (menyucikan dalaman), juga bunga kenanga (dikata menaikkan seri pengantin, menjadikan mempelai mudah didekati suami).
Perahan limau purut boleh dilarutkan bersama-sama air mandian demi memperhebatkan lagi aromanya. Limau purut juga berperanan membersihkan kulit daripada selaputan daki, memurnikan liang pori-pori, membolehkan aroma bunga memesrai kulit sepenuhnya
Mandi Limau
Apa manfaatnya? Mandi limau berfungsi membersihkan daki terkumpul pada permukaan kulit, memurnikan bukaan liang pori- pori, bagus untuk membuang biasa-bisa badan, menghilangkan lenguh sendi, memulih tenaga, menghindar migrain, malah bagus juga diamalkan mempelai lelaki kerana dikatakan boleh memperkasa tenaga batin.
Kredit foto: Google
LULUR
Putus asa memerangi masalah kulit kurang cantik kerana masalah parut, kudis atau panau, malah kulit suram kerana dilitup sel-sel kulit mati yang sudah lama bersebati? Usah berserah saja. Masanya untuk kamu bakal pengantin menjalani rawatan lulur.
Lulur berupaya meminima kemunculan parut yang terlalu menonjol pada kulit, menghilangkan bau badan kurang enak, menguning sambil mencerahkan kompleksi kulit supaya lebih berseri, juga melicinkan kulit. Lulur lazimnya diramu daripada parutan kunyit hidup, beras (yang sudah ditumbuk halus menjadi tepung), daun pandan dan temu giring.
Kredit foto: Google
BERURUT
Berurut adalah satu kaedah tradisional yang amat mujarab untuk memecahkan angin dalam badan, mengendur urat tegang, melegakan lenguh-lenguh dan sengal badan, memulih tenaga yang lesu, juga melancarkan aliran darah. Usah pandang sepi amalan berurut kerana hasilnya dapat dirasai selepas berhubungan kelamin.
Demi menenangkan fikiran, berurutlah dengan minyak lavender, atau jika kamu sering mengadu sakit kepala, pening-pening atau kembung perut, makan berurutlah dengan minyak halia yang berupaya memecah dan membuang angin dalam badan.