Feb 26, 2017 - 5143
Oleh: Huda Hussain
Kredit foto: Getty Images
RAMBUT umpama mahkota buat kaum Hawa. Apatah lagi kedudukannya di tempat teratas dalam anggota tubuh, pasti menjadi tumpuan sesiapa yang memandang. Jika tidak dipelihara dan dirawat sewajarnya, maka pincanglah kecantikan seorang wanita. Istimewa edisi khas Rambut Pujaan bulan ini, Back to Basics merungkai permasalahan lazim rambut dan sudah tentu hanya yang asli untuk mengatasinya!
Lebatkan Rambutmu dengan Serai dan Santan
Rambut saya alah kepada penggunaan bahan campuran. Teringin juga nak cuba cara tradisional untuk dapatkan rambut yang lebat.Ada sebarang petua?
CUBA INI:
1) Ambil beberapa batang serai dan tumbuk sehingga pecah. Rebus serai sampai mendidih dan apabila air rebusan sejuk, sapu rata pada rambut. Seeloknya ramas pada bahagian kulit kepala. Kemudian, biarkan selama dua jam dan bilas seperti biasa. Amalkan sekurang kurangnya dua kali seminggu.
2) Pilih kelapa tua dan perah santannya pekat- pekat. Biarkan selama satu jam agar patinya naik. Kemudian sapukan pada rambut. Gunakan jari atau sikat bergigi jarang untuk menyapukan santan. Balut dengan tuala bersih dan perap selama setengah jam. Selepas itu bilas dengan air bersih. Insya-Allah rambut kamu akan kelihatan lebat.
Kredit foto: Google
Resepi Asli Atasi Rambut Gugur
Saya mengalami masalah keguguran rambut yang menyebabkan rambut saya makin menipis. Apa petua nak atasinya ya?
CUBA INI:
Ambil beberapa biji buah keras dan bakar sehingga ia berwarna kekuningan. Tumbuk buah tadi sampai hancur dan campurkan dengan sedikit minyak kelapa. Sebelum mandi setiap pagi, sapukan ramuan tadi pada rambut dan biarkan selama 30 minit. Kemudian cuci rambut seperti biasa. Amalkan dua kali seminggu. Insya-Allah kamu akan nampak perubahannya.
Minyak Kelapa, Lendir Daun Lidah Buaya dan Air Limau Nipis Atasi Rambut Cepat Beruban
Mungkin kerana faktor genetik, rambut saya cepat beruban walaupun baru berusia 25 tahun. Ada cara nak atasi masalah ini?
CUBA INI:
Bancuh sedikit minyak kelapa dan lendir daripada daun lidah buaya bersama air limau nipis. Kacau sehingga sebati dan lumurkan bahan tadi sebelum mandi. Biarkan selama setengah jam. Kemudian basuh bersih- bersih menggunakan syampu yang sesuai dengan jenis rambut kamu.
Kredit foto: Google
Khasiat Minyak Bijan Kembalikan Tekstur Rambut Agar Licin dan Lembut
Dah lama saya impikan rambut yang lembut dan mudah disikat. Tapi belum jumpa lagi petuanya. Ada sebarang petua yang boleh dicuba?
CUBA INI:
Jika kamu bercadang untuk membasuh rambut pada keesokan hari, apa kata lurutkan rambut dengan minyak bijan terlebih dahulu sebelum tidur. Biarkan ia menyerap pada rambut semalaman. Keesokan harinya, syampulah rambut kamu dan bilas sehingga bersih. Lap rambut sehingga hampir kering dan lapisinya dengan mengambil sedikit minyak bayi atau minyak zaitun.
Gunakannya sebagai perapi rambut. Jika kamu berambut lurus, bolehlah disikat terus. Tetapi jika kamu berambut kerinting, seeloknya biarkan seketika dan kemudian barulah disikat. Ini bertujuan mengelakkan rambut khususnya bahagian hujung rambut daripada putus-putus dan bercabang.
Cantikkan Rambut dengan Daun Limau Purut
Saya pernah dengar daun limau purut boleh cantikkan rambut. Betulkah? Bagaimana pula cara untuk gunakannya supaya rambut kelihatan cantik?
CUBA INI:
Benar, daun limau purut digunakan oleh nenek moyang dan dipercayai boleh mencantikkan rambut. Caranya mudah sahaja. Ambil beberapa helai daun limau purut yang dicampur dengan sedikit air dan bunga raya. Ramas kesemua bahan tadi sehingga sebati. Apabila sebati, tapis airnya dan lumurkan pada seluruh rambut. Selain mengharumkan rambut, ia juga dapat menyejukkan kulit kepala kamu.
Kredit foto: Google
Minyak Kelapa Rawati Segera Rambutmu yang Kering
Saya mempunyai masalah rambut kering dan hujungnya putus-putus. Ada petua semula jadi nak elakkan daripada ia terus berlaku?
CUBA INI:
Minyak kelapa yang dibuat sendiri amat berkesan untuk merawat rambut kering, pecah pada hujungnya serta mudah gugur. Caranya, perahkan santan yang diambil daripada dua atau tiga biji kelapa tua. Perlu diingat, ambil yang pekat sahaja (dua kali perahan). Kemudian jerang di dalam kuali yang besar dan tebal.
Sebaik-baiknya gunakan dapur kayu kerana tempoh memasak minyak kelapa ini sangat lama (hampir sehari). Selepas itu biarkan ia sejuk dan baru dijaram pada kepala. Insya-Allah ia dapat membantu mengatasi masalah rambut yang kering dan memperbaiki tekstur rambut yang putus-putus.
Kangkung dan Daun Bunga Raya Lembutkan Rambut Secara Semula Jadi
Ada petua mudah untuk lembutkan rambut yang kusut?
CUBA INI:
1) Ambil secekak kangkung dan basuh sehingga bersih. Masukkan enam sudu air suam dan ramas kangkung sehingga ia mengeluarkan lendir. Sapukan lendir tersebut pada seluruh rambut dan biarkan seketika. Kemudian, bilas rambut dengan air bersih. Lakukan selama dua minggu untuk dapatkan rambut yang lebih lembut.
2) Ambil 10 helai daun bunga raya dan bersihkan. Ramaskan ia dengan sukatan dua gelas air sehingga keluar lendir. Selepas itu sapukan pada rambut hingga ke akarnya. Biarkan selama 15 minit dan kamu akan terasa kulit kepala sejuk dan nyaman. Selepas itu barulah bilas dengan air yang bersih. Keringkan rambut dengan tuala dan amalkan tiga kali seminggu.
Kredit foto: Google
Pelbagai Bahan Asli Rawati Masalah Keguguran Rambut
Melihatkan rambut yang terkumpul pada sikat setiap kali menyikat rambut membuatkan saya risau. Ada penyakitkah? Banyak betul helaian rambut yang gugur. Ada cara bagaimana nak atasinya?
CUBA INI:
1) Masukkan tiga sudu besar serbuk teh ke dalam secawan air yang mendidih. Kemudian tapiskan. Bancuh air teh bersama sedikit serbuk inai dan sebiji putih telur lalu kacau sehingga sebati. Apabila sebati, sapukan pada kulit kepala dan biarkan selama tiga jam. Amalkan dua minggu sekali.
2) Tumbuk sedikit arang sampai lumat. Kemudian campurkan dengan minyak kelapa. Sapukan ramuan ini pada seluruh rambut dan biarkan selama dua jam. Selepas itu, bolehlah kamu basuh rambut dengan syampu dan keringkan seperti biasa. Lakukan seminggu sekali untuk elakkan rambut gugur.
3) Campurkan sedikit air asam jawa bersama santan ke dalam satu bekas. Masukkan beberapa kuntum bunga kenanga atau bunga-bunga yang wangi baunya. Lalu basuh rambut seperti biasa dengan menggunakan campuran tersebut. Rambut akan berbau harum tanpa disyampu malah dapat atasi rambut gugur.
4) Ambil beberapa helai daun bunga raya dan lidah buaya. Basuh sehingga bersih dan kisar sampai lumat. Perap ramuan di atas kepala selama sejam. Amalkan dua kali seminggu. Insya- Allah kamu akan memperolehi rambut yang lebat dan berkilat.
5) Rendamkan kacang hijau semalaman. Tapis dan gunakan airnya untuk disapukan pada kulit kepala lalu picitlah perlahan- lahan. Lakukan sehingga rambut baru tumbuh. Di samping itu, elakkan mengikat rambut menggunakan getah.
6) Sapukan minyak bijan pada akar rambut atau kulit kepala sebelum tidur. Keesokan paginya bilas rambut seperti biasa. Insya-Allah petua yang ringkas ini dapat mengatasi masalah keguguran rambut.
7) Sapukan lendir daun bunga raya atau gel lidah buaya pada kulit kepala. Ia mampu menyejukkan kulit kepala serta mengelakkan rambut daripada gugur. Dalam masa sama ia juga bertindak sebagai perapi semula jadi untuk merawat rambut.
Kredit foto: Getty Images
Bahan Asli Dari Dapur Bantu Kamu Atasi Kelemumur!
Dah puas gunakan syampu dan perapi untuk hilangkan kelemumur. Tapi sampai sekarang, tiada perubahan. Teringin pula beralih angin nak cuba petua tradisional. Bagaimana caranya ya?
CUBA INI:
1) Selepas rambut dibasuh, lumurkan dengan beberapa potong limau nipis. Biarkan selama 15 minit. Kemudian basuh dengan air sehingga bersih. Kelemumur bukan sahaja dapat diatasi, malah rambut akan menjadi lebih lembut dan bersinar semula jadi.
2) Kisar tiga batang serai bersama dua biji limau nipis sampai lumat. Kemudian tapis dan ambil patinya. Sapukan ke seluruh rambut seperti menggunakan syampu. Gosok rata-rata dan biarkan selama 15 minit. Bilas dengan air hingga bersih. Amalkan dua kali seminggu untuk hindari kelemumur.
3) Rendam halba dan kacang hijau selama setengah jam. Selepas itu tumbuk sehingga ia hancur. Campurkan ramuan tersebut ke dalam secawan santan pekat lalu sapukan pada rambut. Biarkan selama 15 minit sebelum dibilas dengan air bersih. Amalkan dua kali seminggu.
4) Campurkan air perahan limau nipsi dengan sedikit air lalu gosokkan pada kulit kepala. Embun yang dikumpulkan pada awal pagi lalu diusap pada pangkal rambut dipercayai mampu mempercepatkan pertumbuhan rambut serta mengelakkan sakit kepala.