Oct 25, 2017 - 60862
Oleh: Amiza A. Kadir
CINTA tidak pernah mengenal siapa si pemilik hati. Bak dongengan ‘fairy tale’, panahan cintanya menerobos tembok darjat. Biar awalnya rahsia peribadi digenggam kemas, bimbang kasihnya kepada ‘orang istana’ disalah tafsir umum, namun takdir cintanya tetap menyatukan dua hati; antara sang enggang berdarah bangsawan dengan si pipit anak seni.
Pada tanggal 30 April 2017, suatu momen paling bermakna buat Juliana Sophie Johari Evans, 28, atau lebih sinonim dengan nama pentasnya, Juliana Evans apabila sah bergelar suri hati kepada Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj, 30, yang merupakan kerabat Selangor-Johor.
Perkahwinan tersebut membawa gelaran Che Puan kepada pelakon berdarah campuran Melayu-Inggeris ini. Saat melangkah ke studio tempoh hari, Jue kelihatan amat ringkas, dengan sarungan top putih dan khaki pants, tanpa pengawal peribadi, hanya ditemani seorang pembantu peribadinya sahaja. Malah santapan paginya juga dibeli di kedai biasa beralas bungkusan plastik semata.
Tanya kami, “Mahu dipanggil apa? Che Puan atau Jue sahaja?” Sambil mengecilkan anak matanya, balas Jue, “La, panggil jelah apa-apa pun. Jue je pun tak apa.” Ternyata dia masih Juliana Evans yang sama walau kini bersemayam di istana, dikelilingi dayang dan inang bak kisah bangsawan dahulu kala.
Tanpa protokol mahupun undang-undang boleh dan tidak, InTrend berpeluang mencungkil plot kehidupannya kini setelah memikul tanggungjawab besar sebagai seorang isteri kepada kerabat diraja. Pasti ramai yang mahu tahu seindah mana kisah cintanya dan segemilang mana dia dengan gelaran baru yang menjadi impian kebanyakan wanita di luar sana. Ceritalah kepada kami wahai sang puteri...
Ceritakan detik perkenalan Jue dengan Tengku?
Ada seorang rakan yang memperkenalkan kami. Apabila rakan tersebut memberitahu ada seseorang yang meminati saya, mulanya saya tidak ambil serius. Sehinggalah saya hadir ke acara KLFW, saya bertemu dengannya. Pada awalnya, saya tidak mengenali siapa Tengku? Namun, saat terpandangkannya untuk pertama kali, saya dapat tangkap, itulah lelaki yang rakan maksudkan.
Detik itu, jantung saya tiba-tiba berdegup laju seolah menyetujui perasaan ini. Memang saya tidak menyangka bertemu dia pada pada malam itu. Saya ke acara tersebut selepas tamat penggambaran dan langsung tidak bersedia. Saya sangat nervous tetapi cuba menjadi diri sendiri. Mungkin juga pada waktu itu, saya curious kerana setelah berjumpa depan mata, wow... not bad.
Kacak dan memenuhi cita rasa saya. Bagaimanapun, selepas acara tamat, kami tidak sempat mengucapkan selamat tinggal, apatah lagi bertukar nombor telefon.
Jadi saya tidak meletakkan sebarang harapan untuk berjumpanya lagi. Beberapa hari kemudian, rakan saya memberitahu yang Tengku meminta nombor telefon saya. Saya tidak mahu beri kerana mahu Tengku berusaha mendapatkan sendiri.
Kira-kira dua minggu selepas kali pertama kami bertemu, saya menerima kiriman gambar melalui WhatsApp daripada Tengku. Ya, terkejut! Dan lebih mengejutkan apabila dia mempelawa saya untuk makan malam bersama.
Siapa Tengku di mata Jue?
My partner for life. Sejak pertama kali bertemu dan seterusnya berkahwin, bertemu setiap hari demi hari, bulan demi bulan, saya semakin mengenalinya. Begitu juga dia mendalami siapa diri saya.
Mungkin sebelum ini saya tidak tahu mengapa tindakannya sebegitu tetapi ia seperti satu proses pembelajaran untuk terus mengenalinya. Saya sendiri tidak sempurna dan kami saling membantu agar dapat memahami antara satu sama lain.
Apakah yang membuatkan Jue benar-benar jatuh hati kepada Tengku?
It is because of his personality and how we have this big chemistry. When we hang out, even for the rst few times, we have a strong chemistry. Ada banyak persamaan dan perbezaan juga antara kami. Saya percaya dalam perhubungan, jika semuanya sama sahaja pasti membosankan.
Jadi bila ada perbezaan daripada segi sikap, minat dan sebagainya, tentunya lebih menyeronokkan. Kami sama-sama adventurous dan suka buat aktiviti luar seperti mendaki dan berenang. Selalu juga kami ke air terjun dan pulau kerana sukakan alam semula jadi.
Saya juga suka sikap dia yang sangat penyayang, mengambil berat saya, keluarga dan orang di sekelilingnya. Apatah lagi dia tidak lokek membantu orang. Dia sememangnya mempunyai hati yang baik. Itu yang membuatkan saya cintakan dia.
Adakah Jue langsung berkata ya kepada lamaran Tengku?
Saya ingat lagi, suami mengajak saya ke restoran Rooftop yang sama pada kali pertama kami makan malam pertama dulu. Seperti yang awak mahu dengarkan, ya Tengku melutut di depan saya saat mahu melontarkan lamarannya. Terkejut?
Tidaklah sangat, kerana keluarga suami dan saya sudah sedia maklum akan perhubungan kami malah mengharapkan ia membawa kepada ikatan yang sah. Apa pun, saya terharu dengan cara dia melamar, sangat romantik dan ya... saya menerima lamaran tersebut.
Bagaimana Jue yakin dengan keputusan untuk mengahwini Tengku? Adakah Tengku benar-benar Mr. Right untuk Jue?
Mungkin salah satu faktornya apabila jantung saya berdegup laju tatkala kali pertama bertemu. Dia membuatkan mata saya bersinar. Dia juga membuatkan saya banyak berfikir. Untuk mengetahui sama ada dia bersungguh untuk bersama saya, dia perlu berusaha dan saya nampak dia melakukannya demi mengenali saya.
Setelah beberapa bulan mengenalinya, saya sedar bahawa dia adalah Mr. Right saya. Saya juga yakin untuk dirinya sendiri dia tahu saya adalah terbaik untuknya.
Lagi pula, tiada siapa dapat meramalkan masa depan, malah saya tidak tahu apa yang boleh saya impikan apabila hidup bersamanya kelak? Namun apabila kami merancang untuk berkahwin, setelah mendapat restu ibu bapa, itu bermakna kami sudah bersedia untuk menempuh kehidupan ini bersama.
Apa reaksi keluarga Jue sebaik mengetahui hubungan kalian?
Saya hanya memberitahu ibu bapa selepas dua bulan kami bercinta. Ibu tidak menghalang sebaliknya meminta saya ber kir sebaik-baiknya kerana darjat kami berbeza. Kata ibu, kami berbeza taraf. Ibu hanya bersikap jujur demi kebahagiaan anaknya. Mendengar nasihat ibu, membuatkan saya banyak berfikir.
Adakah saya perlu meneruskan hubungan ini atau sebaliknya? Kemudian saya beritahu ibu yang kami sangat serasi, saling mencintai dan dia adalah lelaki yang tepat buat saya. Malah saya sangat bersyukur kerana waktu kami berkenalan, dia bujang dan belum pernah berkahwin, begitu juga saya. Ia seperti waktu yang tepat kami berjumpa.
Pada mulanya saya perkenalkan suami kepada bapa dan selepas itu barulah saya membawanya bertemu ibu dan abang. Kelihatannya, mereka juga selesa dan menyukai Tengku. Saya bersyukur kerana ibu bapa dapat menerima cinta kami seadanya.
Gementar saat kali pertama Jue bertemu dengan keluarga Tengku?
Apabila timbul desas-desus mengenai hubungan kami, suami memberitahu ayahanda dan bondanya mahu bertemu saya. Saya bersetuju lantaran kami sudah pun setahun berteman. Suami memperkenalkan saya kepada keluarganya pada makan malam di sebuah restoran.
Ya, sangat gementar. Saya beranggapan ibu bapanya selektif kerana Tengku anak lelaki bongsu tetapi setelah beberapa lama berbual, suasana menjadi lebih selesa dan mereka menerima kehadiran saya seadanya.
Bagaimana dengan majlis penyatuan kalian?
Apabila kedua-dua keluarga merestui hubungan kami, majlis merisik dilangsungkan secara ringkas. Saya hanya mengenakan dress putih yang sama saya gayakan ketika majlis konvokesyen Western Michigan University.
Walaupun dress tersebut biasa sahaja tetapi ia amat istimewa kerana saya memakainya pada hari-hari yang menggembirakan saya, termasuk hari saya dirisik itu. Kami bersetuju untuk tidak mengadakan majlis pertunangan, sebaliknya diteruskan dengan pernikahan sahaja. Insya- Allah majlis resepsi akan dilangsungkan pada November ini di Kuala Lumpur.
Sudah hampir 70 peratus persiapan dilakukan. Ibu saya banyak menguruskannya berbanding majlis nikah yang dilaksanakan oleh pihak keluarga suami. Pilihan tema utama ialah beach wedding.
Kemungkinan juga berkonsepkan garden wedding. Sesuai dengan kecintaan saya terhadap alam semula jadi. Segar, kebiruan, kehijauan, tenang dan mendamaikan. Sebolehnya saya mahu melangsungkannya di dalam hutan tetapi agak mustahil pula.
Adakah Tengku seorang yang romantis dan perkara paling romantik yang pernah dilakukannya?
Suami adalah cuba untuk menjadi romantis. Sewaktu baru berkahwin, dia hendak selalu bersama saya ke mana sahaja dan melakukan apa sahaja aktiviti berdua. Saya melihat dia cuba melakukan apa yang saya suka dan berusaha memahami diri saya.
Dia bijak mengambil hati saya apabila menemani dan turut serta membantu membuat aksesori; yang merupakan hobi saya. Apabila dia menghadiahkan gelang daripada hasil kerja tangannya, bagi saya itu romantik. Suami juga suka membuat kejutan dengan memberi bunga dan nota tanpa perlu menunggu hari-hari istimewa.
Mengapa memilih Pulau Redang dan Perth sebagai destinasi ‘honeymoon’ tempoh hari?
Oh... itu hanya ‘mini-moon’. Kami belum sempat lagi berbulan madu kerana kami bernikah ketika hampir bulan Ramadan dan seterusnya sibuk dengan sambutan Aidilfitri. Jadi kami merancang untuk pergi berbulan madu selepas majlis resepsi nanti. Buat masa ini destinasinya masih belum kami putuskan lagi.
Apakah pemberian yang amat bermakna daripada Tengku kepada Jue?
Seutas jam tangan yang diberi sebagai kejutan. Saya bukan seorang yang gilakan handbag dan kasut. Apatah lagi untuk berhabis ribuan ringgit demi beg dan kasut, itu bukan saya. Saya lebih sukakan barang yang rare, murah dan memberi banyak pilihan. Saya suka membeli- belah sewaktu melancong ke luar negara, tetapi jangan ingat saya mengunjungi branded boutique!
Saya lebih suka meninjau gerai-gerai kecil untuk membeli barangan unik. Bali dan Bangkok paling mengujakan saya. Suami pun sudah maklum dengan minat saya itu, jadi tidak ada keperluan untuk dia memberikan sesuatu yang saya tidak gemari terutamanya barangan mewah yang bukan keutamaan saya.
Kongsikan dengan pembaca kehidupan Jue setelah bergelar isteri?
Kehidupan yang saya lalui sekarang sangat berbeza berbanding sebelum berkahwin, namun ia perjalanan yang indah. Baru beberapa bulan bergelar isteri, saya masih lagi dalam proses belajar menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri.
Kalau sebelum berkahwin, saya hanya kirkan mengenai diri sendiri tapi apabila memasuki fasa berumahtangga, segalanya berubah. Saya perlu mengutamakan suami dalam segala hal. Bergelar isteri juga memberi saya banyak pengalaman baru. Saya cuba menjadi isteri yang terbaik dengan menyediakan segala keperluan suami.
Saya belajar memasak demi dia, terutamanya sambal tumis kerana suami amat menggemari nasi lemak. Mujurlah suami tidak cerewet hal makan. Jika ada undangan ke majlis, saya menemaninya. Begitu juga sebaliknya. Namun apabila tiada sebarang urusan, saya menghabiskan masa bersama suami, keluarga dan anak-anak saudara.
Sebagai food hunter dan sememangnya saya dan suami suka makan, kami meronda menaiki motosikal mencari tempat makan yang menarik. Jika tidak pun, saya berenang untuk mengisi masa terluang.
Selain itu, apa lagi aktiviti yang lazimnya kalian lakukan bersama?
Bermain badminton. Seperti yang saya katakan tadi, kami berkongsi minat yang sama iaitu aktiviti luar. Paling tidak, kami ke gimnasium. Jangan tak tahu, walaupun masing- masing sibuk, kami masih punya masa untuk membeli groceries berdua.
Walaupun aktiviti begitu nampak seperti biasa, tetapi besar impaknya. Contohnya dari situ saya tahu rupanya suami lebih cerewet berbanding saya dan pilihannya ternyata lebih bagus berbanding saya.
Panggilan manja Jue dan suami?
Saya memanggil suami ‘sayang’, begitulah sebaliknya. Kadangkala suami menggelar saya ‘baby’.
Berkahwin dengan kerabat diraja, apakah transisi dalam hidup Jue terutamanya menyentuh soal karier?
Mungkin tidak 100 peratus. Saya masih bekerja seperti biasa kerana saya sememangnya kuat bekerja dan sudah biasa berdikari. Saya tidak merancang untuk meninggalkan bidang seni kerana saya telah berada dalam industri ini semenjak 15 tahun lalu.
Lakonan dan dunia komersil adalah jiwa saya sejak kecil lagi, apatah lagi apabila saya berasakan masih perlu untuk saya mencari wang sendiri. Sebelum berkahwin, saya ada berbincang dengan Tengku tentang itu dan saya amat bersyukur kerana suami dan mentua memahami minat saya yang amat mendalam terhadap dunia lakonan, lantas mengizinkan saya untuk terus aktif dalam dunia hiburan.
Cuma ada beberapa syarat yang suami berikan. Antaranya, saya perlu ditemani pemandu dan pengawal peribadi ke mana sahaja saya pergi. Pada awalnya, saya berasa berat untuk menerima syarat itu, maklumlah kita sudah biasa lakukan semuanya sendiri, untuk apa saya diekori orang. Kata suami, itu semua dilakukan demi melindungi saya. Atas dasar itu, saya terpaksa bersetuju dan patuh dengan syaratnya itu.
Bagaimana hubungan Jue dengan keluarga Tengku terutamanya ibu mentua?
Buat masa ini saya tinggal bersama keluarga suami di Shah Alam. Bermakna hubungan kami sememangnya rapat. Walaupun masih baru mengenali keluarga Tengku dan banyak lagi yang perlu saya fahami, itu bukanlah penghalang untuk kami hidup dengan harmoni.
Layanan keluarga Tengku amat baik terhadap saya. Malah, saya sendiri boleh berbual apa sahaja sama ibu mentua termasuklah hal fesyen dan sebagainya kerana sikapnya yang mesra dan menerima saya seperti anak sendiri dan bukannya orang luar.
Berpasangan dengan kerabat diraja, bagaimana Jue menyesuaikan diri dengan cara dan kehidupan protokol istana?
Sebagai orang kebanyakan, sudah tentu banyak yang perlu saya pelajari. Namun saya beruntung kerana suami dan keluarganya banyak memberi bimbingan dalam menyesuaikan diri dengan protokol istana, walaupun pada awalnya agak kekok.
Bagaimanapun protokol yang perlu saya patuhi lazimnya dalam acara tertentu sahaja. Di rumah tidaklah begitu ditekankan, malah keluarga suami bersikap terbuka dan lebih santai.
Cuma tidak dina kan ada perbezaan daripada segi percakapan dan saya perlu lebih menjaga pertuturan. Hingga kini saya masih belajar dan membiasakan diri kerana suami ada memberitahu agar saya sentiasa bersedia untuk dibawa ke majlis rasmi yang memerlukan saya mengikut protokol.
Jue kini menyandang gelaran Che Puan. Selesa dipanggil dengan gelaran?
Selesa atau tidak dengan gelaran tersebut, sukar untuk saya luahkan. Saya tidak pernah bermimpi atau memikirkan mengenai pangkat, gelaran dan sebagainya. Saya rasa janggal. Saya masih individu yang sama, merendah diri dan menghargai kehidupan dari awal saya dilahirkan hingga kini.
Walaupun cara ibu membesarkan saya berbeza daripada apa yang saya lalui kini, itu bukan bermakna saya perlu menjadi orang lain. Cuma karakter saya yang terlalu ‘sempoi’ itu perlu diubah menjadi lebih sopan. Saya mengambilnya dari sudut positif, berubah untuk menjadi lebih baik tidak mengapa.
Adakah Tengku memanjakan Jue dengan kemewahan?
Tidak sama sekali. Saya tidak pernah meminta apatah lagi untuk dimanjakan dengan harta kemewahan. Saya cuma mahukan kebahagiaan dan kegembiraan bersamanya.
Raya pertama sebagai suami isteri?
Raya kali ini amat berbeza kerana beraya sebagai seorang isteri. Menariknya saya membawa suami beraya di kampung datuk saya di Bagan Datoh, Perak. Berhari raya di kampung, suami dapat mengenali ahli keluarga dan saudara-mara terdekat serta merasai kemeriahannya. Lagi pula saya sukakan suasana kampung.
Mulanya, ada juga terdetik rasa risau akan reaksi suami kerana dia tidak pernah menyambut hari raya di kampung. Namun, nampaknya dia seronok pula. Kami bermain mercun dan menunggang motor pusing satu kampung.
Saya mahu dia rasa pengalaman raya saya setiap tahun, apatah lagi melihat sendiri diri saya yang sememangnya ‘kampung girl’. Saya amat teruja melihat dia sangat gembira dan tidak kekok berhari raya bersama kami sekeluarga di kampung. Sampai demam suami dek sakan beraya. Hahaha...