Apr 04, 2017 - 46144

10 Tahun Amalkan AEROBIK! Datin Maria Arshad Kekal Langsing Macam Anak Dara — Bacalah, Ini Rahsianya

Wow, siapa tak ingin miliki bentuk badan yang kurus ramping, kan? Datin Mariah Arshad kongsikan petua-petua asli yang boleh kita amalkan.

 

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

 

LAMA tak muncul di kaca televisyen, apa aktiviti atau rutin harian Datin kini?

Kadangkala saya luangkan masa menjaga cucu. Waktu pagi saya peruntukan untuk menghadiri kelas aerobik bersama kawan-kawan. Jika berkelapangan sekali-sekala keluar makan bersama kawan-kawan. 

 

 

 

Sudah lama ke kelas aerobik? 

Hampir 10 tahun saya mengikuti kelas aerobik. Jika diikutkan, kelas aerobik bermula setiap Isnin hingga Sabtu namun jika kawan-kawan mengajak berkumpul dan makan-makan, maka pontenglah kelas aerobik (ketawa).

 

Kelas bermula 10 pagi dan pada kebiasaannya. Mulanya saya mengikuti kelas ini kerana bosan duduk di rumah selepas menghantar anak ke sekolah. Lantas, kawan-kawan mengesyorkan kelas ini, maka saya ikut sahaja. 

 

 

 

Anak-anak semakin membesar, pasti lega dan puas melihat mereka membesar di hadapan mata bukan?

Sudah semestinya apatah lagi dibentuk daripada air tangan kita. Hanya doa dan ingatan menemani perjalanan hidup mereka. Syukur anak sulung kini sudah pun berusia 41 tahun manakala yang bongsu 20 tahun. 

 

 

 

 

 

Sejak bila mula amalkan rutin menjaga muka? 

Sejak muda lagi dalam lingkungan awal 20-an, ketika saya mula menceburi bidang seni. Saya praktikkan amalan membersihkan kulit wajah. Sekurang- kurangnya dua kali sehari, yakni selepas bangun tidur dan sebelum tidur. Penting untuk pastikan kulit wajah bersih terutamanya selepas bermekap. 

 

 

Punya diet khusus untuk tampil cantik seperti hari ini?

Kalau diikutkan, saya makan sahaja. Tiada diet yang khusus cuma ada sesetengahnya sekarang saya tidak boleh makan kerana faktor alahan. Dahulu boleh tetapi sekarang tidak lagi. Mungkin kerana faktor usia, sedikit demi sedikit kesannya saya rasai. Misalnya belacan, jika saya memakannya ia memberi kesan alahan pada mata saya sekali gus berasa gatal-gatal. Selain itu saya amalkan mengambil suplemen seperti  minyak ikan dan multivitamin.

 

 

Selain aerobik, apa lagi yang Datin lakukan Waktu pagi saya peruntukkan untuk menghadiri kelas untuk kekalkan bentuk tubuh?

Saya percaya rutin melalukan senaman atau apa sekali-sekala keluar makan bersama kawan-kawan. jua aktiviti kecergasan membantu seseorang supaya tampil langsing. Tidak terlalu kurus tetapi biarlah bentuk tubuh itu cantik seadanya. Benar saya akui, pada peringkat usia sebegini, cabarannya tetap ada untuk pastikan bentuk tubuh maintain. Memandangkan berat badan saya cepat naik, maka senaman itu perlu biarpun sudah berusia seperti ini. 

 

 

 

 

Aktiviti kecergasan membantu meningkatkan tahap kesihatan wanita berusia. Komen Datin? 

Tidak semestinya aerobik atau berzumba, pada saya apa jua aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh itu bagus untuk kesihatan. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan misalnya berjoging, berkebun atau paling tidak pun berjalan sehingga mengeluarkan peluh dan lain-lain. Selagi kita kuat dan paling penting minat, lakukan sahaja. Bukan sekadar baik untuk kesihatan dalam masa sama ia akan mengurangkan tekanan.

 

Apa yang penting adalah disiplin untuk memastikan ia menjadi sebahagian daripada rutin. Tubuh lebih segar, badan lebih ringan dan masa yang ada digunakan sebaik mungkin. Pada saya, peringkat usia sebegini sekurang-kurangnya kita perlu lakukan apa jua aktiviti yang dapat menggerakkan minda dan tubuh. Tidaklah duduk terperap di rumah sahaja. 

 

 

Bagaimana pula dengan amalan memakan jamu atau herba, masih teruskannya hingga kini?

Saya hanya makan jamu ketika dalam tempoh berpantang dahulu. Memandangkan jamu itu panas, saya tidak memakan atau meminumnya secara berterusan dek kerana alahan. 

 

 

Pada hemat Datin, sejauh mana petua atau amalan tradisional berkesan terhadap wanita? 

Orang dahulu memang kaya dengan petua dan pantangnya. Baik daripada segi masakan, kecantikan muka, penjagaan badan dan lain-lain lagi banyak yang sebenarnya bermanfaat jika diikuti satu persatu dan dimulakan sejak awal lagi.

 

Bagi saya sendiri, amalan meminum air suam banyak membantu. Misalnya tidak minum ais atau minuman sejuk. Saya tidak amalkan minum air sejuk atau minuman manis selepas makan. Sebaliknya hanya makan yang manis untuk sajian pemanis mulut. 

 

 

 

 

Penjagaan tubuh dan kesihatan dalaman ketika berpantang, sejauh mana ia membantu dan berkesan untuk wanita dalam jangka masa panjang?

Ini menarik dan soal inilah yang saya pegang dan pelihara sejak melahirkan anak sulung. Dahulu ketika melahirkan anak sulung, saya dijaga oleh ibu mentua. Ibu mentua orang Jawa, maka setiap pantang larang baik daripada penjagaan bayi hinggalah amalan bertungku dan makan minum saya dijaga dan dipantau sepenuhnya. Apa yang dihidang, itulah yang saya makan.

 

Banyak mana yang diceduk ke pinggan, itu sahaja yang boleh dimakan. Tidak pernah meminta yang lebih atau jika berselera sekalipun tidak dibenarkan tambah nasi. Lauk-pauknya pula kering, tiada yang berkuah. Menu sarapan cuma minum kopi dicicah biskut atau roti. Buah-buahan pula tidak dibenarkan, katanya nanti sejuk.

 

Saya pun tidak pasti sejauh mana kebenarannya maka saya ikutkan sahaja. Masuk hari ketiga berpantang, diberinya saya makan sup sayur lobak putih sebagai sajian makan tengah hari untuk menambahkan susu badan. Halia goreng yang dicampur dengan lada hitam pula dijadikan sebagai ulam, juga untuk sajian tengah hari.

 

Almaklumlah, ibu mentua agak tegas dalam soal menjaga makan minum dan perihal lain ketika tempoh berpantang. Selepas melahirkan anak keempat, walaupun ibu mentua tidak menjaga; secara tidak langsung saya sudah terbiasa dengan segala aturan dan pantang-larang sebelumnya. Semua yang pernah dilakukan saya turuti.

 

Saya percaya amalan berpantang yang betul memberi kesan untuk jangka masa panjang. Sementelahan kita orang perempuan, badan kita nak pakai lama. Justeru serba-serbi perlu dijaga. Jika pada mulanya dahulu, saya terfikir juga mengapa itu dan ini tidak boleh dimakan dan sebagainya. Tetapi hakikatnya ia berkesan apabila usia kita semakin meningkat. Ibu mentua sering ingatkan saya bahawa setiap pantang-larang itu sebenarnya untuk kebaikan diri saya sendiri. 

 

 

 

Sumber makanan yang disifatkan terbaik untuk kecantikan kulit?

Saya tidak mempunyai diet atau menjadikan sesuatu sumber makanan itu sebagai menu wajib dalam setiap sajian saban hari. Kata orang makan buah- buahan itu bagus untuk kulit, saya makan tetapi tidak konsisten. Kalau ada makan, kalau tiada tidaklah pula rajin membelinya atau memastikan stok buah- buahan sentiasa ada dalam peti sejuk.

 

Begitu juga dengan ulam- ulaman. Kata orang makan ulam bagus untuk awet muda selain baik untuk sistem pencernaan dan sebagainya. Maka dengan itu tiada yang spesifik atau makanan khusus yang saya ambil untuk kelihatan seperti ini hari ini. Selebihnya syukur. Alhamdulillah saya masih lagi dipinjamkan kudrat dan tenaga pada peringkat usia ini. Syukur juga kerana tiada penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan sebagainya. 

 

 

 

 

 

Antara kulit wajah dengan badan, yang mana lebih Datin fokuskan  penjagaannya? 

Hahaha... Tidaklah terlalu fokus atau membelek sangat. Sebaliknya bergantung kepada mood. Jika kawan-kawan mengajak ke pusat rawatan atau spa untuk sesi urut badan, saya akan turut serta. Facial pula kadangkala tengok pada mood juga (ketawa). Ada kalanya sebulan sekali atau dua bulan sekali saya akan melakukan facial. 

 

 

Pernah mencuba rawatan moden seperti inject filler, suntikan Vitamin C dan sebagainya?

Pernah, sewaktu zaman muda-muda dahulu, saya mencuba suntikan vitamin C. Tetapi saya tidak mengulanginya untuk sesi kedua kerana takut melihat jarum (ketawa). Sehingga anak berkata, “Mama tak payahlah cucuk Vitamin C lagi selepas ni. Belum masuk jarum pun muka dah pucat.” 

 

 

Cara artis dulu dan artis sekarang ‘pasang’ badan, kongsikan perbezaannya?

Oh... artis sekarang pada saya semuanya cantik. Daripada segi penjagaan, saya fikir artis zaman sekarang lebih menjaga berbanding artis dahulu. Mungkin kerana faktor kemudahan dan kecanggihan teknologi moden lebih memberi keselesaan kepada generasi artis kini. Semuanya ada, berbeza dengan era saya dahulu.

 

Jika dilihat daripada segi cara pula, zaman dahulu artis lama hanya mengamalkan petua tradisional. Ikut petua-petua warisan nenek moyang. Artis zaman sekarang mempunyai banyak kemudahan misalnya boleh ke spa, salun, gimnasium dan sebagainya. Selain itu banyak peralatan yang serba-serbi canggih, lihat sahaja contohnya mesin treadmill, kerusi urut elektronik dan bermacam-macam lagi.

 

Semua itu memberi kelebihan. Namun apa yang membezakan adalah sejauh mana kita mahu gunakan apa yang ada untuk kecantikan dan kesihatan. Juga antara rajin dan malas sahaja bukan? 

 

 

 

 

 

Daripada segi cara kerja artis dulu dan kini, banyak cabarannya bukan?

Sudah tentu. Era hujung 80-an hingga 90-an dahulu sewaktu saya mula menceburi bidang seni ketika itu teknologi dan apa yang terkini baru bermula. Contoh paling ketara adalah daripada segi bayaran yang diterima. Sekarang bayarannya jauh lebih lumayan berbanding dahulu. Begitu juga dengan stesen televisyen, yang ada hanya RTM dan kemudian barulah lahir TV3 hinggalah era Astro.

 

Slot dan rancangan juga tidak banyak seperti hari ini. Daripada perspektif lain, pada hemat saya artis dahulu lebih berdikari. Tiada khidmat pengurus atau pembantu peribadi apatah lagi jurusolek. Mekap dan baju juga cari sendiri. Persembahan juga tidak seperti hari ini yang mempunyai tajaan daripada mana-mana pihak. Jika mahu cari duit lebih, rajinkan diri mencari show sehingga masuk ke kawasan pedalaman, kampung.

 

Walaupun bayaran yang diterima dalam lingkungan RM400 untuk satu malam tetapi kalau setiap minggu sekurang-kurangnya menerima dua atau tiga tawaran; ia disifatkan banyak dan lumayan. Kerana nilai RM400 dahulu hampir sama dengan RM4,000 zaman sekarang. 

 

 

 

Jika ada yang bertanyakan apakah rahsia awet muda Datin Maria Arshad?

Hahaha... Syukur alhamdulillah kalau ada yang berfikiran sebegitu. Perkara-perkara yang remeh-temeh dan tidak menyusahkan saya tidak mahu fikirkan atau ambil pusing. Pendek kata, soal yang tidak penting tak perlulah fikirkan sangat. Apabila ada masa terluang, kawan-kawan ajak berjumpa pergi sahaja.

 

Berkumpul sambil makan-makan, berkongsi cerita dan aktiviti masing-masing, gelak ketawa dan hiburkan hati sudah memadai bagi saya. Dalam berkawan pun kena tengok juga. Bukannya apa, ada kawan yang hanya mahu bersama kita saat mereka gembira atau sekadar mahu hu-ha-hu-ha. Tidak ramai kawan yang pertaliannya seperti sahabat, susah dan senang bersama-sama.

 

Jika ada sekalipun mungkin hanya dua, tiga orang sahaja. Pada saya, jika kawan-kawan punya masalah; saya hiburkan mereka. Luangkan masa mendengar masalah mereka dan dalam masa sama ceriakan mereka. Jangan pula menjadi nasi tambah, tokok atau campur aduk itu dan ini. Juga jangan pula jadi batu api, sibuk mencanang cerita, mengadu domba atau melaga- lagakan antara satu sama lain. 

 

 

 

Pendapat Datin jika ada yang menyalahgunakan kecantikan demi kepentingan diri sendiri?

Pada saya ia perbuatan yang tidak bermoral. Tidak manis dipandang orang jika anda menggunakan kelebihan atau kecantikan yang ada untuk memperoleh sesuatu. Sebaliknya belajarlah menghargai dan menghormati hak orang lain.

 

Beringatlah dalam setiap tindak-tanduk. Kecantikan luaran itu hanya bersifat sementara sahaja. Apa yang kekal adalah dalaman dan peribadi kita. Peliharalah ia. 

 

 

 

Nasihat Datin kepada generasi muda agar peka dan mula memelihara kecantikan juga kesihatan? 

Bersenam itu bagus untuk kesihatan juga jangan lupa ambil makanan tambahan untuk kesihatan. Jaga pemakanan kerana apa yang anda makan sekarang itulah yang menentukan tahap kesihatan di masa tua nanti. 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Tiga Hari Lepas MAAL HIJRAH, Hati Saya Terbuka Untuk Berhijab” — AMY MASTURA

  • Seterus →

    Kisah Cinta TERHEBAT, Dua Hati Terikat — Balik Tabir Perkahwinan Dato’ Siti & Dato’ Khalid