Mar 30, 2017 - 5598

“Tiga Hari Lepas MAAL HIJRAH, Hati Saya Terbuka Untuk Berhijab” — AMY MASTURA

Meskipun sudah beranak dua, Amy Mastura tetap maintain dari dahulu hingga sekarang. Apakah rahsianya awet muda? Kepada kami, Amy Mastura menceritakan kisah hijab dan petua kecantikannya.

 

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

 

 

 

Amy masih aktif dalam dunia seni. Apa yang menghiasi sepanjang  2017?

Saya baru menamatkan sesi rakaman rancangan Jihan Show. Dalam masa sama, bakal muncul dalam saya bakal mengacarakan sebuah rancangan ala-ala Gegar Vaganza tetapi versi nasyid. Filem? Ada... Dalam dua adegan, itu pun mujur ada (ketawa) walaupun dua scene sahaja. 

 

 

 

Kongsikan serba-sedikit mengenai Jihan Show? 

Ia sebuah rancangan bual bicara yang turut menyelitkan sketsa dan lakonan. Saya memegang watak sebagai kakak Jihan. Daripada sketsa yang dipersembahkan, kita ulas dan bincangkannya dalam slot talk show pula. Mula disiarkan di Astro Warna dan Mustika HD sejak 23 Februari lalu. 

 

 

 

 

Selepas berhijab, bagaimana rasanya? 

Hampir dua tahun berhijab, saya selesa dan terasa lebih lengkap penampilan hingga hari ini. Mulanya saya memang tertarik melihat wanita yang bertudung. Tidak kiralah walau apa jua gaya tudung, selekeh mana sekalipun tetap suka melihatnya. Umpamanya hati ini jatuh sayang melihat wanita bertudung.

 

Niat memang sudah ada cuma tidak tahu bagaimana untuk memulakannya. Berperang juga dalaman saya dek kerana memikirkan kesan atau tanggapan orang. Adakah orang sekeliling akan terkejut atau mereka mempunyai tanggapan yang berbeza terhadap orang bertudung. Misalnya apabila memakai tudung tidak boleh melakukan kesalahan dan sebagainya.

 

Sehinggakan pernah terfikir, “Kalau aku pakai tudung apa nak jadi? Bukannya tiba- tiba pengsan atau dunia berbolak-balik (ketawa)." Nak dijadikan cerita, tiga hari selepas 1436 Maal Hijrah, saya perlu menghadiri sesi fotografi bersama keluarga untuk edisi raya. Mulanya saya memasang tekad, mahu cuba mengenakan tudung ketika berpuasa nanti dan jika selesa memakainya maka saya akan terus bertudung.

 

Saya sendiri mengusulkan, “Tak mengapalah, kita pakai sahaja tudung untuk photoshoot raya ni." Kemudian, peminat mengucapkan tahniah lantas saya terus bertudung hingga hari ini. Syukur kerana segalanya dipermudahkan biarpun suami mulanya agak terkejut tetapi lama-kelamaan dia menyambut baik. 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana pula dengan isu selebriti yang mulanya bertudung kemudian membuka tudung pula. Komen Amy? 

Itu terpulang kepada pendirian masing-masing. Siapa tahu mungkin selepas tidak bertudung, mereka atau sesiapa jua yang membuka tudung akan kembali bertudung.

 

Doa sahaja yang baik-baik kerana kita tidak tahu perancangan Allah bukan? Pengalaman sendiri sejak bertudung ini lain rasanya. Apabila tidak pakai tudung, rasa tak selesa. Malah sebelum bertudung lagi saya sudah mula memakai baju berlengan panjang dan labuh seperti kurta. 

 

 

 

Label tudung yang dimiliki Amy Mastura, ceritakan sedikit?

Jenama tudung AmyMastura by Ezalha adalah usaha sama dengan pengurus saya, Ezal dan jurusolek yang sering menata rias wajah saya, Alha. Kesemua rekaan adalah hasil ilham mereka. Ada instant shawl dan shawl. Insya-Allah rekaan dan koleksi terbaru akan dikeluarkan tidak lama lagi.

 

Sebenarnya saya tidak terlalu fokus dan serius dalam perniagaan tudung ini. Mulanya sekadar suka-suka dan ingin mencuba. Tidak pernah terlintas pula mahu membuka butik kerana semuanya dilakukan secara online. 

 

 

 

 

 

Selesa menggayakan label Seth & Luna? 

Kebetulan, Seth & Luna menaja pakaian untuk sesi rakaman Jihan Show. Ini kali pertama saya memakai baju rekaan mereka. Cukup selesa dan setiap rekaannya bersesuaian dengan cita rasa saya. Ada sebahagian koleksi mereka direka khas untuk saya sarungkan dan ada juga koleksi sedia pakai (ready- to-wear). 

 

 

 

Aktif di laman sosial? 

Tidaklah aktif atau galak kemas kini semua aktiviti atau rutin harian saya. Sekadar yang perlu, sekali- sekala itu sudah mencukupi. Tidak juga seperti orang lain yang rajin merakam video tutorial mekap, tudung dan macam-macam lagilah. Apatah lagi muncul Live di Facebook atau Instagram, juga jarang saya lakukannya. 

 

 

Aktif berlakon dan Amy perlu ke sana-sini, bagaimana Amy memastikan tubuh kekal bertenaga dan segar?

Saya hanya mengambil suplemen apabila terlalu letih dan penat dengan rutin juga kerja seharian. Misalnya jadual sesi penggambaran yang padat sehingga berlarutan lewat malam, dan berterusan sehingga keesokan harinya; barulah saya mengambil suplemen.

 

Dan apabila saya merasa okey, saya tidak memakannya lagi (ketawa). Mungkin juga kerana saya belum jumpa suplemen yang sesuai, maka saya tidak menjadikannya sebagai amalan. 

 

 

 

 

Amy punya diet khusus? 

Memandangkan sudah berada pada usia 40-an, maka saya harus peka soal ini. Tetapi saya tidak mempunyai diet khusus. Cuma bersederhana dalam pengambilan makanan. Saya juga seperti orang lain, makan nasi juga (ketawa) tetapi kuantitinya sederhana. Makan sedikit tetapi saya kerap makan.

 

Berat badan pula cepat naik dan mudah juga turun. Tetapi itu bukan alasan selamat untuk saya makan sesuka hati. Saya mengawalnya mengikut keperluan tubuh. Tetapi kadang-kadang terbabas juga (ketawa). 

 

 

 

Kata orang jika sentiasa gembira dan ceria, ia sedikit sebanyak membantu agar kelihatan awet muda. Setuju? 

Setuju dan mungkin benar juga kenyataan demikian kerana apabila kita ceria dan gembira, hilang seketika tekanan dan masalah yang ada. Dan, saya pernah terbaca jika anda tertawa ia memberi manfaat kepada kesihatan jantung. Jadi, jika tidak mahu cepat tua, gelaklah! (ketawa). 

 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana pula dengan susuk tubuh; kata orang jika bertubuh genit dan kecil tidak makan tua. Komen Amy?

Pada saya, tidak kiralah sama ada anda bertubuh gempal, kurus dan sebagainya; tua tetap mengejar anda cuma bezanya lambat atau cepat sahaja. Jangan nak perasan sangat ya kalau orang yang kecil molek tu! (ketawa). Tak boleh lari ke mana, maka hadapilah proses penuaan itu. 

 

 

Perubahan ketara yang dirasai usai melangkah ke fasa 40-an?

Pada saya kalau kita menerima dan menyedari hakikat usia, ia akan lebih mudah. Contohnya, uban mula tumbuh. Jika anda benar-benar bersedia, anda sebenarnya akan lebih menghargai setiap perubahan yang mula dirasai. Jika anda menidakkannya, ia akan menyebabkan anda merasa tertekan sekali gus anda tidak akan menikmati setiap detik perubahan dalam fasa tersebut.

 

Kemudian, masalah penglihatan atau rabun dekat mula dialami pada peringkat ini. Kemudian, kedutan perlahan-lahan akan menghiasi wajah anda. Dan ketiga-tiga tanda inilah yang telah pun saya rasai. Saya sama sekali tidak berusaha untuk menghalang atau mencegah, sebaliknya lebih terbuka dan bersedia sahaja kerana proses penuaan adalah satu peringkat yang lazim dan akan dilalui oleh semua orang.

 

Seperti peringkat awal kelahiran kita, ketika bayi tidak semua Allah berikan serentak. Semuanya berlaku secara berperingkat. Begitu juga dengan proses penuaan, semakin meningkat usia kita perlahan-lahan Allah akan tarik satu persatu nikmat yang kita rasai selama ini. Maka, bersedia dan tenang sahaja menghadapinya. 

 

 

 

 

Bagaimana pula ingin melangkah ke usia separuh abad, sejauh mana Amy bersedia? 

Bersedia ke klinik gigi untuk tempah gigi, hahaha. Siapa tahu mungkin ketika berusia 50 nanti saya bakal menerima tajaan daripada Polident atau jenama susu untuk menguatkan tulang (ketawa). Tiada persediaan secara khusus atau terperinci mengenainya.

 

Apa jua perubahan saya laluinya dengan berlapang dada. Jika ada kekurangan atau perlu ditambah baik, akan saya fikirkan. Teknologi yang canggih dan pelbagai peralatan moden boleh membantu meningkatkan tahap kesihatan kita bukan? Jadi, gunakan sahaja apa yang ada. 

 

 

 

Kebersihan juga sebahagian daripada kecantikan. Setuju?

Setuju kerana walaupun seseorang itu mempunyai rupa paras yang cantik tetapi jika dia seorang yang pengotor tetap terlihat hodoh penampilannya. Berbeza dengan seseorang yang memiliki raut wajah biasa-biasa sahaja tetapi jika dia seorang yang pembersih, tetap kelihatan cantik dan suci. 

 

 

 

 

 

 

Suka bersenam? 

Sebenarnya jika diikutkan malas (ketawa) tetapi memandangkan faktor usia kini, saya masih berusaha untuk mencari jalan agar cuba berjinak-jinak dengan dunia senaman dan kecergasan. 

 

 

 

Rutin harian jika tidak terikat dengan apa jua aktiviti seni dan hiburan?

Jika hari bekerja, rutin saya tidak ubah seperti suri rumah yang lain. Sejak awal pagi, saya sudah sibuk dengan tugasan seperti memasak untuk sarapan anak-anak kemudian menghantar mereka ke sekolah. Pulang ke rumah, siap sedia mengemas rumah, membasuh baju dan memasak. Tengah hari pula mengambil mereka pulang dari sekolah.

 

Di sebelah petang, sambung dengan tugasan kerja rumah lain atau membawa anak-anak membeli keperluan untuk aktiviti sekolah. Berehat seketika kemudian siap sedia untuk masak makan malam. Malam pula hantar anak- anak ke tuisyen atau meluangkan masa menonton televisyen.Tetapijikasayabekerja,terbalikpula.Anak sulung yang ambil alih tugas memasak.

 

Mudahnya zaman sekarang, lihat sahaja YouTube. Daripada medium itu dia belajar, dan saya pula yang merasa hasil masakannya. Jika saya berkelapangan pada hari minggu misalnya, lazimnya saya akan mengemas rumah dan outing bersama keluarga. Memandangkan anak-anak kini di alam remaja, maka banyak perancangan dan aktiviti yang mereka rangka. Saya cuma ikut sahaja rentak mereka. 

 

 

 

 

Bahagian muka dan badan yang mana sering diberi tumpuan?

Kedua-duanya seiring kerana saya bukanlah orang yang terlalu fokuskan pada satu- satu bahagian. Jika muka boleh disolek dan badan pula bergantung kepada apa yang dimakan. Secara asasnya kedua-duanya saya beri perhatian sama rata. 

 

 

 

Kulit wajah Amy sensitif? 

Hanya jika saya makan kacang, jerawat akan timbul. Selebihnya, syukur kerana sehingga hari ini saya tidak mempunyai masalah kulit yang serius. Oleskan sahaja apa jua produk dan jenama, kulit saya masih sama. Tetapi kulit wajah saya tidaklah flawless, biasa- biasa sahaja. 

 

 

 

Antara wangian, alat solek dan produk penjagaan kulit; yang mana lebih penting?

Alat solek sebab dalam kerjaya ini perlu mekap (ketawa). Penjagaan kulit pula saya tidak terlalu fokus, biasa-biasa sahaja asalkan kulit wajah bersih. Begitu juga dengan wangian, apa jua wangian bisa serasi dengan saya. 

 

 

 

 

Penampilan Amy jika keluar rumah?

Cukup sekadar berbedak dan secalit gincu agar wajah tidak terlalu pucat dan kelihatan sedikit berseri (ketawa). 

 

 

 

Definisi cantik pada Amy? 

Kecantikan itu subjektif dan luas definisinya. Tiada limitasi untuk mentakrifkan kecantikan dan saya percaya semua orang mempunyai pandangan yang tersendiri. Tetapi saya masih berpegang kepada konsep sederhana dan ringkas itu tetap kelihatan cantik.

 

Misalnya wanita yang cantik adalah seorang yang ringkas, mempunyai personaliti yang sederhana tanpa mengenakan mekap yang tebal dan punya luhur peribadi yang sentiasa menyenangkan. 

 

 

 

Tokoh atau personaliti yang cantik pada pandangan Amy Mastura?

Semua orang yang cantik pada pandangan mata saya (ketawa). Tetapi saya mengagumi mendiang Lady Diana. Pada saya, beliau mempunyai pakej lengkap cantik luaran dan dalaman.

 

Jika dilihat penampilannya di khalayak umum sewaktu hayatnya masih ada dahulu, sentiasa ringkas tetapi ada sesuatu tarikan yang membuatkan mata ini terus mahu melihatnya. Aura dan pesonanya sebagai puteri yang berjiwa rakyat, berpekerti mulia, hati yang bersih cukup menawan semua yang menyayanginya. 

 

 

 

 

Amy juga antara barisan selebriti yangbanyak menerima tajaan daripada pelbagai jenama baik kecantikan mahupun gaya hidup. Ada pengalaman yang mungkin tidak dapat dilupakan?

Oh ada! Masih segar dalam ingatan, sebuah jenama penjagaan gigi menawarkan RM10,000 kepada saya untuk menjadi duta. Dan pada saya siapa yang tidak melonjak gembira bukan? Sudah pasti saya teruja dan umpama jutawan jika saya dilantik menjadi duta.

 

Namun tidak mendapat persetujuan daripada pihak syarikat rakaman Pony Canyon. Ralat juga tetapi mungkin rezeki tidak berpihak kepada saya ketika itu. Itu antara pengalaman dan kenangan yang takkan saya lupakan – endorsement tak jadi! (ketawa) 

 

 

 

Mempunyai dua anak gadis, sejauh mana Amy titik beratkan penjagaan wajah pada mereka? 

Tidak seperti ibu-ibu lain. Pendekatan saya biasa sahaja dan tidak terlalu serius atau fokuskan setiap perincian. Sebaliknya saya cuma menerapkan perkara asas dalam soal penjagaan wajah. Misalnya rutin membersihkan kulit wajah sekurang-kurangnya dua kali sehari.

 

Dahulunya saya pernah mencuba suntikan Vitamin C untuk memperoleh kulit yang lebih cantik, glowing dan sebagainya. Tetapi selepas tidak melakukannya, kulit kembali seperti keadaan asal. Maka saya cuba teori sendiri. Beli sahaja Vitamin C dan terus makan. Hasilnya pada saya tetap sama. 

 

 

 

 

Amy juga dilihat tidak terlalu mendedahkan perihal keluarga, selesa begitu?

Jika ada yang bertanya, saya akan bercerita. Jika tidak, diamkan sahaja. Pada saya tiada apa yang mahu disorok atau meletakkan sesuatu pendirian. Dan dalam masa sama, tidak pula mahu menunjuk-nunjuk.

 

Apa yang ada semuanya serba-serbi sederhana. Perjalanan hidup saya juga seperti wanita dan ibu- ibu lain. Biasa sahaja. 

 

 

 

Cara Amy mengawal dan memantau anak, jika boleh dikongsikan?

Saya beri kebebasan untuk mereka membuka akaun di laman sosial. Daripada segi pemantauan, saya kawal secara biasa sahaja. Tidak terlalu mengongkong dan tidak pula memberi kebebasan secara mutlak di tangan mereka. Saya sering mengingatkan, jika mereka mempunyai niat untuk melakukan sesuatu yang tidak baik; sehebat mana sekalipun mereka cuba sembunyikan pasti saya akan tahu juga.

 

Justeru lebih baik berterus-terang dengan saya terlebih dahulu. Daripada perspektif berbeza, mereka menerima hakikat bahawa ibu mereka adalah public figure. Maka secara tidak langsung gerak-geri atau apa yang mereka lakukan diperhatikan orang.

 

Mahu atau tidak mereka harus lebih berhati-hati dan bijak dalam setiap tindak-tanduk. Dan saya berterima kasih kepada masyarakat sekeliling yang turut sama mengambil perhatian dan membantu saya memantau anak- anak (ketawa). 

 

 

 

 

 

Kata orang membesarkan anak perempuan lebih sukar berbanding anak lelaki, setuju?

Tidak pasti pula kerana saya hanya memiliki anak perempuan. Adriana dan Adalia mempunyai perwatakan yang berbeza dan cara saya membesarkan mereka mengikut peringkat usia dan peredaran zaman. Misalnya Adriana, saya tidak lagi mempraktikkan apa yang lazimnya ibu-ibu kita lakukan dahulu.

 

Sesuaikan dengan keperluan dan zaman ini. Apa jua yang tidak saya benarkan, dihuraikan mengapa dan sebab-musababnya. Contohnya, jangan keluar tetapi saya huraikan sebabnya. Jangan keluar bahaya dengan penjenayah dan peragut di luar. Itu antara pendekatan yang saya praktikkan. Kemudian, saya imbas kembali ketika zaman saya remaja dahulu.

 

Seboleh mungkin saya pastikan berada dengan mereka saat diperlukan. mahupun luar negara kedua-duanya punya minat yang berbeza. Anak bongsu (Adriana), semua artis di Malaysia dia minat! (ketawa). Anak sulung (Adalia) minat dalam bidang muzik. Adalia pula lebih meminati bidang lakonan, malah dia juga pernah berlakon dalam teater. 

 

 

 

Sementelahan anak-anak meminati bidang ini, apa pendirian Amy?

Tak fahamlah saya mengapa perlu dihalang (ketawa). Malah saya seronok jika mereka ditakdirkan turut sama mewarnai dunia seni. Bolehlah sama-sama pergi shooting (ketawa). Saya tidak menghalang sama sekali malah akan memberi galakan kepada mereka biar apa jua minat dan bidang yang mereka minati. 

 

 

 

 

 

Cabaran mendidik anak remaja pula bagaimana, apa persiapan yang perlu ada?

Mungkin kewangan adalah elemen utama kerana dalam keadaan dan situasi semasa yang serba-serbi semakin meningkat kosnya, pada saya persediaan kewangan perlu dilakukan lebih awal. Daripada segi mental pula perlu sentiasa bersiap sedia untuk berhadapan dengan pelbagai ragam.

 

Selebihnya jadilah teman kepada mereka, pendengar setia dan ada masanya cuba mainkan peranan seperti kawan mereka. Mungkin itu serba sedikit dapat menyingkap apa jua permasalahan mereka dari dekat sebelum mereka bercerita dengan orang lain. 

 

 

 

Penerimaan anak-anak terhadap Amy yang mempunyai ibu berstatus selebriti, bagaimana? 

Jika dulu ketika masih kecil, mereka masih tidak faham lagi status saya sebagai public figure. Manakan tidak, apabila kami sekeluarga keluar, pergerakan mereka seakan tersekat. Ada sahaja peminat yang datang menyapa saya mahu bergambar. Dan apabila memikirkan peminat, kadangkala saya tidak sampai hati mahu menolak. Tetapi apabila semakin meningkat remaja dan mula memahami, segalanya berubah.

 

Selain itu saya berikan contoh dan penerangan kepada mereka, “Kalau tiba-tiba tengok artis yang you all minat kemudian you all nak ambil gambar dengan artis itu. Tapi artis tu tak dapat nak bergambar sebab anak dia tarik tangan, merengek atau apa-apa. You rasa apa? Mesti you rasa kecewa kan?” Dan menerusi penerangan serta huraian seperti itu mereka mendapat gambaran yang jelas akan situasi yang sama jika ada peminat mahu bergambar bersama saya. Malah peminat saya turut sama bergambar dengan mereka, maka kita beramai-ramai bergambar bersama (ketawa). 

 

 

 

 

 

Kecenderungan dan minat anak-anak lebih kepada apa?

Kedua-duanya mempunyai minat tersendiri tetapi jika bertanyakan tentang artis, baik dalam negara 

 

 

 

Amy punya sasaran mahu pastikan hala tuju dan masa depan anak-anak?

Pada saya, biarlah jika tidak pandai dalam soal akademik tetapi pandai untuk hidup kerana survival skill lebih penting dalam dunia hari ini. Bagaimana untuk hidup, apa yang diperlukan untuk hidup – kemahiran sebeginilah yang perlu ada. Jika mereka cemerlang dalam akademik dan boleh hidup dengan kejayaan dalam pelajaran, teruskan.

 

Sebagai ibu saya akan terus menyokong selain memberikan semangat dan dorongan. Misalnya jika tidak cemerlang dalam akademik, ada banyak lagi cabang dan bidang yang boleh dicuba dan diterokai misalnya bidang kemahiran atau hobi yang boleh dijana sebagai sumber pendapatan, perniagaan dalam talian (online business) sukan dan macam- macam lagi.

 

Dunia hari ini serba mencabar, maka jika anak kita tidak berupaya menguasai ilmu akademik sepenuhnya galakkan mereka menceburi bidang lain kerana potensi dan bakat anak-anak berbeza. 

 

 

 

Pesanan Amy buat pembaca InTrend? 

Saya percaya kepada konsep bersederhana dalam segala hal. Baik pertuturan, kecantikan, pemakanan, perbuatan dan lain-lain kerana pada hemat saya apa jua yang berlebihan itu sentiasa memudaratkan dan pasti mendatangkan kesan yang tidak baik. Kesederhanaan juga akan membawa kepada titik keseimbangan jika kita bijak mengatur perjalanan hidup ini. 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Scan Pertama 1 Janin, Scan Kedua Nampak 2 Janin! — Doktor Terkelu, Allah Beri DIANA NASIR Kembar, Masya-Allah!

  • Seterus →

    10 Tahun Amalkan AEROBIK! Datin Maria Arshad Kekal Langsing Macam Anak Dara — Bacalah, Ini Rahsianya