Feb 09, 2017 - 4861

“Wanita Saiz Besar Cuma Sesuai Bawa Watak Komedi. Sedihlah dilabel Gitu" — Sherry & Zulin Aziz

Stigma wanita saiz XXL cuma sepadan dengan watak-watak komedi masih tebal dalam industri kita. Kepada kami, Sherry dan Zulin curhat isi hati yang kecewa.

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

 

 

Siapakah Zulin Aziz dan Sherry Alhadad sebelum dikenali?

ZULIN: Saya dilahirkan di Pantai Remis, Perak. Saya adalah anak kedua daripada enam adik-beradik. Saya mendapat pendidikan dalam asas seni lakon teater di Aswara. Jika zaman persekolahan, saya keliru untuk memilih, namun bidang yang saya minati adalah solekan dan bercita-cita ingin menjadi jurusolek. Malah saya juga pernah memasang angan-angan mahu bergelar pembaca berita.

 

Kata abah, “Memandangkan kau ni suka berangan, masuk sahaja Aswara. Macam-macam kau boleh jadi.” Di situlah saya mula mempelajari asas lakonan dalam teater. Selepas dua tahun tamat pengajian, saya menyertai rancangan realiti Pilih Kasih, walaupun tidak menjuarai pertandingan tersebut, tetapi saya berjaya melayakkan diri sebagai finalis.

 

Kemudian, rentetan itu bermulalah saya menerima tawaran lakonan sedikit demi sedikit hinggalah sekarang. Mulanya saya diberi watak antagonis dan serius. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini baru diberi peluang memegang watak berunsurkan komedi.

 

SHERRY:  Saya adalah anak bongsu daripada empat adik-beradik (kesemuanya perempuan). Seperti Zulin, saya juga menuntut dalam jurusan Diploma Seni Teater di Aswara bermula pada 2003 hingga 2006. Kemudian saya diberi peluang menjadi salah seorang tenaga pengajar selama setahun dan menyambung pengajian peringkat ijazah dalam bidang sama selama tiga tahun.

 

Sejak di bangku sekolah lagi saya memang minat berlakon. Kemudian, apabila mendapat tahu adanya Aswara, saya beranikan diri hadir ke uji bakat. Awalnya ibu menghalang kerana katanya, “Kau nak buat apa jadi pelakon? Tengok di TV tu, berlakon ini orang untuk cantik-cantik sahaja.” Tetapi saya bijak mengambil hati mak, buat-buat merajuk. Almaklumlah perlu guna duit mak untuk membayar yuran pengajian, hahaha... Alhamdulillah hingga sekarang saya bekerja dalam lapangan yang saya minati. 

 

 

 

 

Bagaimana kalian mengenali diri masing- masing lantas memperlihatkan keserasian apabila digandingkan bersama?

ZULIN: Ketika menuntut di Aswara lagi, kami sudah saling mengenali. Kak Sherry adalah salah seorang tenaga pengajar di Aswara ketika itu. Kami menjalin persahabatan sejak saya berusia 18 tahun lagi. Mungkin kerana sudah lama kenal dan masing-masing tahu kekuatan dan kelemahan masing-masing maka sudah timbul chemistry itu.

 

SHERRY: Sebagai tenaga pengajar dan pelajar, masih ada jurang antara kami. Selepas Zulin tamat belajar kami tidak lagi berjumpa hinggalah dipertemukan dalam telemovie Misiku Kuza. Waktu di set penggambaran Misiku Kuza, kamilah yang menjadi badut, orang tidak suruh buat lawak tetapi kami buat juga, hahaha... 

 

 

 

 

 

Bagaimana kalian dikenali dalam cabang komedi?


ZULIN: Mulanya saya hanya menggunakan aplikasi Keek untuk muat naik video-video parodi dan ia hanya dilakukan untuk rakan-rakan. Malah ketika saya muat naik video-video berunsurkan parodi, tidak ramai yang mengetahui saya boleh berlakon dan dari situlah orang mengetahui saya punya bakat dalam bidang komedi.

 

 

SHERRY: Segalanya bermula apabila saya menerima tawaran daripada produksi Anugerah Skrin 2013. Mereka mahukan saya membuat persembahan stand-up comedy untuk slot intermission. Pinta saya, “Saya tidak boleh buat jika perlu tampil seorang diri di atas pentas.

 

Kalau saya bawa kawan sekali boleh?” Dan selepas mendapat persetujuan daripada pihak produksi, di situlah kali pertama saya dan Zulin bergandingan membuat persembahan komedi. Hingga pada hari anugerah, kami barulah berbincang apa yang mahu kami persembahkan kepada penonton di dewan. Syukur kerana penonton di dewan terhibur dengan senda gurau dan lawak kami. 

 

 

 

 

Kalian agak lewat mencipta nama atau dikenali dalam industri ini. Kongsikan cerita di sebaliknya?

ZULIN: Benar, kami dikenali agak lewat biarpun sudah mengenali diri masing-masing bertahun-tahun lamanya. Kebetulan kami dipertemukan semula dalam telemovie Misiku Kuza. Selepas tamat telemovie tersebut, ketika bulan puasa Kak Sherry datang ke rumah saya dan selepas bersahur kami berbual panjang.

 

Saya bertanya kepadanya, “Kak Sherry, lepas kau shooting ada tak orang puji-puji atau orang beri komen lakonan kau macam mana?” Jawabnya, “Lepas shooting tak pernah pula orang maki hamun kutuk atau apa-apa.” Dan sama juga seperti saya walaupun ada yang menyedari bakat lakonan kami tetapi ia sekadar berakhir di situ sahaja. Tiada pula yang mengatakan, “Oh kau berlakon bagus, nanti next drama aku ambil kau lagi.” Mungkin agaknya kita berlakon hingga setakat ini sahaja.

 

Kalau tidak pun kita buat teater Dua Hati Perempuan Gemuk (ketawa) atau apa-apa, kata saya kepadanya. Beranganlah kami tak sudah-sudah. Hinggalah selepas kami membuat persembahan di pentas Anugerah Skrin 2013. Bertitik tolak daripada itu, syukur alhamdulillah tawaran demi tawaran diterima. Baik tawaran mengacarakan majlis anugerah seperti Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL), pengacara bersama Melodi, Diva dan sebagainya.

 

Beruntungnya kami melakukan persembahan selingan pada malam ASK 2013 kerana yang hadir adalah orang penting dalam industri yang mula melihat dan menyedari bakat yang kami ada. Merekalah yang bertanggungjawab mengasah bakat kami hingga hari ini.

 

Dan kemudian barulah saya ingatkan pada Kak Sherry, “Kak Sherry, kau ingat tak masa bulan puasa dulu waktu kita berangan nak itu ini, rupanya sekarang baru kita merasa.” Berlinangan air mata kami mengingat semula momen itu. Syukur sangat. 

 

 

 

SHERRY: Apa-apa jua yang dilakukan semuanya diusahakan sendiri kerana itu yang sudah diterapkan sejak saya kecil lagi. Walaupun saya mempunyai pertalian saudara dengan Sharifah Haslinda, Sharifah Shahira dan Sharifah Sakinah, tetapi saya tidak pula menggunakan pertalian tersebut sebagai batu loncatan untuk cuba membina nama dalam bidang ini.

 

Melihat Kak Lin dan Kak Shira dahulu berlakon, rasa teruja juga. Kata Kak Shira, “Bagus kau Sherry, kau mula dalam bidang ini tidak sekalipun kau susahkan saudara-mara. Kau sendiri yang usaha sendiri.” Selain itu mungkin juga saya lewat dikenali kerana banyak menghabiskan masa menumpukan kepada pelajaran dan mengajar di Aswara. Tetapi saya masih melakukan apa yang diminati. 

 

 

 

 

Jika boleh digambarkan perjalanan karier kalian dalam industri hiburan bagaimana?

ZULIN: Berdikit-dikit kami naik dan mencipta nama. Malah kami bermula dengan jalan yang sukar. Pernah kami dibayar RM150 untuk satu hari. Malah ada yang tidak membayar sekalipun kepada kami.

 

Tetapi selepas bertemu dengan Mummy Aina, dia bertanggungjawab menguruskan perjalanan karier kami dengan lebih tersusun dan terancang. Sudah masuk tahun ketiga dia menguruskan kerjaya kami. 

 

 

 

 

Siapa yang bertanggungjawab membawa kalian dalam industri?

ZULIN: Bagi saya, pengurus kami iaitu Mummy Aina adalah individu bertanggungjawab yang banyak membantu dan mengubah imej kami. Daripada biasa- biasa hinggalah seperti hari ini. Latar belakang pengalamannya menguruskan selebriti sebelum ini seperti Afdlin Shauki dan pengalamannya bekerjasama erat dengan stesen-stesen televisyen membuatkan saya secara peribadi amat menghormatinya.

 


SHERRY: Saya rasa tanggungjawab itu bergantung kepada diri sendiri (ketawa) kerana jika kita tidak berusaha semua benda tidak menjadi. Rezeki juga mungkin bermula rentetan persembahan slot selingan di ASK 2013 kerana selepas itu barulah kami dikenali dan ada yang sudi menawarkan watak-watak atau projek untuk kami berdua mengendalikannya. 

 

 

 

 

Bagaimana tercetusnya idea untuk memuat naik video parodi yang mengajuk Bahasa Korea?

ZULIN: Mulanya saya menonton drama Korea, The Heirs. Tiba-tiba saya terdengar ada perkataan seiras Bahasa Melayu dalam Bahasa Korea. Contohnya ‘Kau cuba tanya’ kemudian selepas mengikuti siri tersebut rupanya saya mula sedar oh banyak rupanya perkataan Melayu seperti nanas, nangka dalam Bahasa Korea. Dari situlah saya react dan cuba membuat parodi. Sebenarnya saya tidak pernah sekalipun mengikuti kelas bahasa Korea, asalkan bunyi sebutan lebih kurang atau mempunyai mirip atau kedengaran seperti Bahasa Korea, saya tiru dan belasah saja, hahaha... 

 

 

 

 

Pengalaman menyertai Juara Parodi, adakah ia kali pertama kalian bergandingan bersama di pentas pertandingan? Kongsikan?

ZULIN: Ya, itulah kali pertama kami beradu tenaga di atas pentas. Mulanya kami berdua tidak bersedia dan meragui kebolehan masing-masing untuk menyertainya kerana jika dibandingkan dengan kumpulan lain mereka sudah punya latar belakang dalam pertandingan. Hanya berdasarkan pengalaman menyertai Super Spontan di Singapura dan Komediri saya gunakan ia sebagai rujukan.

 

Bagi saya ia memberi tekanan yang kuat kerana kami perlu tampil dengan idea yang mengikut tema berbeza saban minggu. Malah sukar dan mencabar kerana bagi saya bukan mudah bagi dua orang wanita untuk tampil dengan lawak jenaka di dalam lagu. Almaklum sajalah pergerakan kami sebagai wanita agak terhad. Tidak boleh keterlaluan dan sebagainya.

 

Namun kami harus mempunyai mental yang kuat jika dikecam dan daripada situ kami belajar untuk mengasah bakat dan memperbaiki mutu persembahan saban minggu. Sejujurnya kami akui bukan ini masanya untuk bertanding kerana ia terlalu baru dan sukar untuk kami adapt. Walaupun kami menerima tawaran untuk menyertai Maharaja Lawak Mega (MLM 2016) tetapi kami menolak kerana masih belum bersedia dan baru sahaja tamat Juara Parodi.

 

Tetapi untuk bertanding bagi saya agak sukar kerana kami lebih selesa membuat persembahan. Tetapi apabila sudah tamat, rindu juga pada suasana, momen-momen yang kami lalui sepanjang program tersebut.

 

 

SHERRY: Jika diikutkan memang sukar untuk mengendalikan persembahan dalam format pertandingan. Bagi saya ia cukup mencabar dan seolah-olah saya tidak enjoy melakukannya. Tetapi sekurang-kurangnya itulah pengalaman pertama saya menyertai pertandingan. 

 

 

 

 

 

Drama atau filem pertama yang mengenengahkan kalian dalam watak komedi?

ZULIN: Ramadan Yang Hilang, mungkin kerana ia banyak kali diulang siar juga Misiku Kuza.

 

SHERRY: Saya mula memegang watak pembantu (komedi) dalam telemovie Sutun 2 dan seterusnya telemovie Misiku Kuza. 

 

 

 

 

Di Malaysia malah dalam industri khususnya cabang komedi, kita masih kekurangan penghibur/pelawak wanita. Pada pandangan kalian, mengapa situasi ini berlaku? Adakah ia bermakna lelaki lebih terkenal dengan sifat humor berbanding wanita atau bagaimana?

ZULIN: Pada saya mungkin juga kerana faktor limitasi. Pergerakan dan tingkah laku wanita agak terbatas. Misalnya jika lelaki berpakaian perempuan, sudah pasti orang akan gelak. Tetapi jika perempuan memakai misai, kelakar atau tidak? Macam biasa- biasa sahaja bukan? Dan faktor seterusnya mungkin juga kerana tidak ramai yang boleh membawakan watak komedi dan rentetan itu, hanya segelintir sahaja yang menyerlah dan ia terbukti memberi kelebihan kepada kami untuk dikenali.

 

Daripada perspektif lain, pelakon yang membawakan watak komedi dicop sebagai pelawak, itu yang agak sukar difahami dan dalam masa sama mudah sekali masyarakat kita meletakkan kategori tertentu kepada seseorang pelakon. Adakah itu tafsiran pelakon komedi? Mungkin kerana kita sudah biasa dihidangkan sebegitu. 

 

 

SHERRY: Sebenarnya kita mempunyai pelakon komedi wanita yang ramai tetapi mungkin kerana ada kekangan yang wanita ini tidak boleh mempamerkan sisi kelakarnya yang sebenar. Mungkin juga kerana kita terikat dengan budaya ketimuran yang memperlihatkan imej wanita sopan santun.

 

Malah bagi pelakon komedi wanita juga, faktor terhad itu menghalang kita untuk turut sama tampil beraksi seperti pelawak lelaki. Kita tidak boleh berlawak seperti memperlihatkan tingkah laku yang ekstrem sehingga terkangkang misalnya semata-mata mahukan penonton tergelak kerana ia tidak sesuai dengan DNA seorang wanita.  

 

 

 

 

 

Pandangan anda, adakah masyarakat kita masih terperangkap dengan susuk tubuh yang gempal lebih cenderung atau mempunyai potensi yang menyerlah untuk diterima dalam arus komedi misalnya Allahyarhamah Yusni Jaafar, Syanie, Adibah Noor, Enot, Dotty dan lain-lain?

ZULIN: Kita sebenarnya kekurangan keberanian penulis naskhah. Naskhah yang sering kita lihat sudah sedia menggambarkan seorang wanita cantik, rambut yang panjang hitam bertubuh tinggi lampai dan sebagainya. Berbanding dengan karya luar negara yang menggambarkan watak heroin adalah seorang wanita gempal, yang tidak yakin dengan diri sendiri, mempunyai karakter yang buruk dan paling penting ia bukan dalam kategori komedi. Tetapi kita kekurangan naskhah sedemikian.

 

Maka, bagaimana harus kami meletakkan diri jika acuannya sudah dibentuk sebegitu rupa? Benar rezeki itu ketentuan Allah, tetapi mereka yang sudah mencorakkan identiti yang sedemikian. Mungkin ada naskhah seumpama ini tetapi masih terlalu sedikit. Atau juga mungkin jika naskhah seumpama ini ditulis walaupun bukan dalam bentuk komedi, pasti akan kami lakukan yang terbaik.

 

Faktor kekurangan peluang juga turut sama menyumbang kerana jika diberi pilihan, saya juga mahu sahut cabaran dengan memikul watak yang lebih berat. Kerana sampai bila kita ingin membiarkan bentuk fizikal kita sebagai bahan ketawa atau subjek untuk kelakar? Kerana kita menjadi inspirasi kepada orang di luar. Bagaimana rasanya menjadi perempuan gemuk tetapi masih belum bertemu jodoh misalnya?

 

 

SHERRY: Memang terhad kerana kita sudah terbiasa dengan format, "Oh! Wanita bersaiz besar hanya sesuai membawakan watak komedi sahaja. Jika watak serius tidak sesuai." Tetapi pada saya, biar apa jua watak yang diberi kita harus mengambilnya daripada sudut positif dan melakukannya dengan penuh tanggungjawab serta menyempurnakan dengan sebaik mungkin. 

 

 

 

 

Pendekatan yang anda ambil apabila dikecam oleh netizen hanya kerana bentuk fizikal anda yang dikatakan tidak sesuai sebagai pelakon?

SHERRY: Itu antara masalah yang saya hadapi sejak kecil lagi apabila diejek gemuk oleh rakan-rakan. Sejak dahulu hingga sekarang saya tidak pernah ambil pusing dan tidak menghiraukannya. Tidak seperti kakak saya, dahulu dia pernah diejek gemuk, “Eee, gemuk, gemuk. Nanti katil patah.” Sehingga membuatkan dia bersedih dan boleh kurus! Berbeza dengan saya, dari dulu hingga sekarang saya tidak pedulikan kata-kata orang.

 

Walaupun teruk dihentam terutamanya sejak menjadi pengacara bersama Melodi, tetapi saya buat bodoh sahaja (ketawa). Jika anda menegur saya kerana karakter, tingkah laku yang sombong atau perbuatan saya yang keterlaluan misalnya, ya saya boleh terima dan cuba untuk berubah. Tetapi andainya anda memberikan komen, “Eee, gemuklah kau ni,” bukannya saya boleh bertukar menjadi kurus sekelip mata! Hahaha... 

 

 

 

Sambutan daripada peminat apabila kalian muncul bersama baik dalam lakonan ataupun pengacaraan?

SHERRY: Biasalah ke mana atau apa jua yang dilakukan ada yang menyukai dan begitu juga sebaliknya. Tidak kurang juga yang berkata, “Ala, asyik-asyik dua perempuan gemuk ini.” Tetapi kami sentiasa positif.

 

Tidak kira waima kita baik macam mana sekalipun akan tetap ada yang orang yang tidak suka. Saya cuma berpegang kepada penerimaan individu dalam industri yang percaya pada bakat kami dan tugas kami adalah menyempurnakannya dengan sehabis baik. 

 

 

 

 

Kongsikan kesukaran dan cabaran dalam usaha memastikan perjalanan sepanjang majlis anugerah tidak hambar atau bosan dengan ‘lawak bodoh’ dan sebagainya?

ZULIN: Pada pandangan saya rata- ratanya masyarakat kita sudah terbiasa dengan jenaka atau lawak yang tidak memerlukan mereka berfikir. Ia mungkin juga berlaku kerana mereka sudah penat dengan rutin seharian atau penat bekerja misalnya. Audiens sentiasa memberikan maklum balas.

 

Jika senyap sahaja, maka sebagai pengacara kita harus pantas berfikir dan cerna idea-idea segar. Bukan mudah untuk kendalikan kumpulan penonton yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

 

Begitu juga dengan pementasan teater. Jika pada hari pertama majoriti penonton adalah dalam lingkungan usia 18 hingga 30, pastilah gelaknya boleh bikin dewan gegak gempita. Berbeza dengan penonton daripada kalangan veteran, ketawanya pastilah tidak sama. Maka, setiap maklum balas itulah yang menggerakkan saya untuk tampil dengan jenaka yang lebih kreatif agar penonton terhibur.

 

 

SHERRY: Apa jua personaliti kita adalah bergantung pada persekitaran kita. Jangan mudah menjatuhkan hukum kepada seseorang pelawak hanya kerana jenaka yang disampaikan adalah lawak kampung sedangkan memang sebenarnya dia tinggal di kampung misalnya. Apa yang boleh dilakukan adalah berfikiran terbuka dan mempelajari bahawasanya lawak itu terdiri daripada pelbagai kategori dan luas ruang lingkupnya. 

 

 

 

 

Sejauh mana media sosial kini (FB, IG, Twitter,Tumblr) dan sebagainya membantu kalian membina nama?

ZULIN: Ia menggambarkan perbezaan pelakon generasi dahulu dan sekarang. Jika anda menegur saya kerana karakter, tingkah yang sombong atau perbuatan saya yang keterlaluan, ya saya boleh terima dan cuba berubah. Tetapi jika anda memberikan komen, "Eee, gemuklah kau ni!" Maaf! Saya bukan boleh ubah jadi kurus sekelip mata.

 

Dahulu, kalau kita mahu mengenali artis, perlu menonton di pawagam atau membaca surat khabar. Tetapi berbeza dengan dunia hari ini, jika artis minum di kedai kopi sekalipun sesiapa yang melihat boleh merakam gambar dan muat naik di media sosial. Dari setiap sudut dan segala gerak-geri sentiasa jadi perhatian.

 

Kebaikannya adalah ia mendekatkan kita dengan peminat tetapi daripada sudut lain pula, jika artis tersalah laku ia mengundang bahana. Kelebihan lain yang ada pada media sosial pula adalah sambutan dan maklum balas penonton atau peminat boleh diterima dengan pantas. Jika ada yang tidak berpuas hati dengan mutu lakonan kita, respons daripada peminat akan kita ketahui dengan segera. Maka kita perlu bersedia baik mental dan fizikal untuk menerima kecaman daripada masyarakat.

 

 

SHERRY: Ia sangat membantu dalam perkembangan kerjaya malah ia adalah salah satu cara untuk mempromosikan apa jua aktiviti secara percuma dan pantas. Ia juga medium yang terbaik untuk kita mengetahui maklum balas. Tetapi saya tidak nafikan ada masanya saya agak down apabila membaca komen-komen negatif di awal kemunculan.

 

Lama-kelamaan saya sudah lali dan hanya membacanya sekali pandang. Apa yang terbaik dan jika ia komen yang membina saya akan beri pertimbangan dan mengambilnya daripada sudut yang positif. 

 

 

 

 

Apa lagi yang mahu diraih atau cuba dibuktikan dalam industri lakonan khususnya bidang komedi?

ZULIN: Jika boleh saya tidak mahu dikenali sekadar pelakon ataupun terikat dengan satu skop sahaja tetapi mahu dikenali sebagai penghibur yang mencakupi segala segi. Jika terhad kepada komedi sahaja, nanti sukar untuk saya berdikari tambahan pula jika komedi ini bermusim seperti sekarang.

 

Rata-ratanya mahu mengambil comedian dalam pelbagai bidang. Dan apakah yang akan terjadi jika musim ini akan berakhir? Biarlah saya boleh adapt dengan pelbagai perubahan musim. Bukan saya memaksa diri tetapi belajar untuk memperbaiki kualiti diri. 

 

 

 

 

Figura atau tokoh yang menjadi idola kalian dalam bidang ini?

ZULIN: Jujurnya tiada yang spesifik. Jika seseorang itu saya lihat bagus, saya akan menyanjungi bakatnya. Tetapi above all that, saya mengagumi bakat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Dia bukan sahaja seorang pengarah, malah dia jugalah pelakon, komposer, penyanyi dan pelawak.

 

SHERRY: Setiap orang yang saya jumpa sebenarnya saya jadikan idola kerana berkecimpung dalam bidang ini sebenarnya memberi banyak kelebihan untuk saya mengenali dan mempelajari sesuatu yang mungkin saya tidak ketahui. Dan ia dimanfaatkan untuk memperbaiki mutu lakonan atau pengacaraan saya.

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Dapat A+ SPM Subjek Matematik Tambahan — Miss Universe Malaysia 2016 Bakal Jadi Doktor Gigi!

  • Seterus →

    “Hospital Terkejut, Saya dilahirkan Dengan 2 Alat Sulit” — NUR SAJAT Pasrah dicipta Sebagai KHUNSA