Oct 01, 2016 - 27510

Dato’ Aliff Syukri Terlajak Laris: Jutawan Melayu yang Bermula Dari Sekolah Pondok Pasir Tumbuh

Kisah tentang maruah seorang lelaki, kecekalan, keberanian, mimpi kekayaan yang tiba-tiba menjadi benar, juga kerinduan pada kehidupan lama yang amat menusuk.


Oleh:

 


 

CERITAKAN sejarah hidup Dato’ semasa kecil?

Saya dilahirkan pada 3 April 1987 di Felda Kechau, Kuala Lipis, Pahang. Ibu bapa saya berhijrah ke Pahang selepas menerima tawaran Felda untuk meneroka ladang getah. Saya hanyalah anak penoreh getah, dilahirkan di rumah di kampung terpencil, di keliling saya adalah banjaran gunung.

Jurai sejarah saya semasa kecil tidaklah berwarna-warni seperti kehidupan saya yang anda lihat hari ini. Sewaktu berumur tujuh tahun, ibu bapa bercerai. Lalu saya dan dua kekanda (Kak Yati dan Kak Ani) tinggal bersama nenek di Sungai Nibong, Sabak Bernam. Sewaktu saya sembilan tahun, kekanda kedua, Kak Ani, 11 tahun  (anak istimewa Sindrom Down), dijemput Allah SWT ke negeri rahmatullah kerana mati lemas. 


Lalu bayangkan, dalam tempoh dua tahun keluarga kecil kami dilambung badai. Diuji perpisahan ibu bapa, bercerai nyawa dengan saudara kandung maka urusan makan-minum-mandi-dodoi saya kala itu diambil-alih oleh Kak Yati.

Saya menjadi anak yang segera faham akan akarnya. Saya sedar, berhenti berfantasi bukan lagi satu pilihan. Saya harus menjadi anak yang bangun daripada kemiskinan. 
 

Sumber:


Darah yang mengalir dalam tubuh saya ini, adalah darah yang telah lama teruji dengan pahit-maung kehidupan. Bapa amat baik. Tiada yang salah tentangnya. Cuma kerana kemiskinan dan pendapatan bulanan kurang menjanjikan, maka dia memberi sekadar yang termampu ke tangan nenek.

Bayangkan, anak-anak sezaman saya membawa wang belanja 50 sen ke sekolah. Saya hanya membawa wang saku 20 sen setiap hari.

Bagaimana saya mengurus wang 20 sen itu? Jika sudah membeli sebiji kuih berharga 20 sen, maka saya harus bertahan jika kehausan. Jika sudah membeli air berharga 20 sen, maka saya harus bersabar menahan kelaparan. Lalu saya berazam mencari wang. Bukan semata-mata memenuhi saku sendiri, namun dengan azam mahu menyenangkan nenek. Kebetulan di rumah nenek ada banyak pokok mangga dan jambu. Maka datanglah ilham meramu jeruk mempelam untuk dijual. 

 

Sumber:

 


Tahukah anda, saya pernah menjual kacang masin, pernah menanam pokok bunga kertas untuk dijual, dan urusan berniaga kecil-kecilan ini bermula seawal darjah satu? Jika budak sekolah lain menggalas satu beg sekolah berisi buku, saya pula memikul dua beg.


Apa ada di dalam beg kedua saya? Di dalamnya terisi sebukit bungkusan jeruk yang saya jual pada harga 10 - 20 sen sebungkus. Di sekolah menengah, saya menjual kerongsang, tudung dan beberapa produk kosmetik. 
 

Sumber:

  

Sumber:

 


Untuk seorang budak kecil yang amat naif, hingusan, yang selalu berkhayalkan tidur berbantal emas, berjaga di atas ambal wang kertas — saya sangat bersyukur kepada Allah SWT, kerana hati telah dibuka sebegitu awal untuk tahu dan faham erti kemiskinan. Tuhan memberikan saya ilham. Saya anak kerdil, namun dianugerahi semangat paling besar. Tuhan memberi rahmat untuk saya bertekad, menjadi mandiri, cekal lagi kuat. Saya bersyukur, nilai itulah yang membentuk peribadi dan sahsiah saya hari ini.
 

Sumber:

 

Kongsikan pengalaman Dato’ mengikuti pengajian di Sekolah Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan? Nilai hidup persekolahan pondok yang dapat Dato’ saring dan amalkan dalam kehidupan?

Saya dikirim keluarga untuk menimba ilmu di sekolah pondok di Pasir Tumbuh, Kelantan selama tiga tahun (tingkatan dua hingga empat). Ia hanyalah sebuah sekolah pondok terpencil dan daif. Namun ia universiti manusiawi terhebat. 
 

Sumber:

 

Sumber:

 


Ia mengajar saya begitu banyak nilai-nilai roh dan kemanusiaan. Ia mengajar saya mendalami, menghargai, menyayangi bahkan mensyukuri erti kesusahan. Di sana, segalanya harus diurus sendiri-sendiri. Membasuh pakaian? Jauh dari mesin basuh. Memasak? Tiada ibu di situ. Saya berdikari, membulatkan jati diri sambil sesekali keluar meminta derma.
 

Sumber:

 


Hati remaja saya berontak kerana dipaksa belajar di situ. Namanya pun budak remaja sedang naik, kan? Namun perlahan-lahan, ia menjadi satu perhentian hidup yang amat manis untuk dikenang. Lama-kelamaan hati menjadi suka, sehingga saya pun boleh ‘kechek Kelate’, hahaha.

 

Sumber:

 

Perkenalan dengan Datin Nur Shahida sehingga berumahtangga?

Perkenalan dengan isteri bermula atas dasar persahabatan. Tiada 'cinta-cintun'. Tiada kisah romantik. Apatah lagi berpegang tangan seperti anak muda zaman ini. Waktu itu, saya giat menambah sumber pendapatan dengan menjadi model separuh masa, keluar-masuk agensi permodelan, masuk pertandingan sana-sini, muka terpampang di surat khabar; oh semuanya sekadar suka-suka. 
 

Sumber:

 


Datin Nur Shahida juga asalnya model separuh masa. Kami berkenalan semasa dia terlibat dengan satu iklan syampu. Saya bukanlah lelaki kaya. Zaman dulu,  berapalah sangat pendapatan sebagai model? Kalau menjadi model busana pengantin, dapatlah upah RM50. Kadang-kadang RM70. Saya pernah menjadi model antaranya untuk kempen TV Secret Garden, Bank Mandiri Indonesia juga iklan pencuci baju Vanish. Cuma jual muka, tak perlu bersuara.
 

Ikhlas, saya tak pandai mengurat. Setahun setengah bersahabat, akhirnya datang seru di dalam hati lantas saya terfikir, mungkinkah dia isteri paling sempurna buat saya? Saya masih muda waktu itu, baru 19. Tetapi saya kenal ramai orang. Bermacam-macam ragam.

Sedar akan diri yang serba kekurangan, kuat bersosial bahkan tidak sealim mana (ya, betul saya bersekolah agama tetapi itu bukan lesen muktamad kita keluar sebagai tok guru, ahli agama atau insan sufi); membuat saya terfikir lagi, saya tak boleh memilih pasangan yang salah. Saya tak mampu berbuat silap memilih pasangan hidup yang menyesatkan. Intuisi dan firasat saya mengatakan, dialah orangnya, yang mampu membimbing saya, menjadi lelaki lebih hebat, suami lebih sempurna.


​Dia celik agama, senang berada di belakang tabir, tidak menggilai kemasyhuran, suka duduk di rumah, tuturnya lembut, perilakunya halus, bersifat pelindung, amat mententeramkan perasaan, bahkan membuat saya berasa lebih dekat dengan Tuhan.
 

Sumber:

 


BACA DI SINI: Kisah Kucing Ajaib yang Nilainya Menyamai Harga Kereta Pertama Anda
 

Menjadi isteri jutawan D’Herbs Terlajak Laris — sukarkah?

Bukan senang untuk berada di sebelah saya, percayalah. Berkali saya menegaskan kepadanya, jika berkahwin dengan saya atas dasar duit atau rupa, maaf, saya takkan sekali-kali mampu membahagiakannya. Kerana saya bukan siapa-siapa. Tetapi saya manusia paling cerewet, kepala angin, serba kekurangan, banyak kelemahan, penuh kekhilafan. Tetapi syukur, dia menjadi dirinya yang serba sederhana. Dia amat berdikari, memahami, bukan wanita gedik, tak punya selera besar apabila membeli-belah sedangkan kini dia mampu, tidak taasub mengumpul tas tangan, tidak juga meminta-minta.
 

Sumber:
 

Perubahan dalam hidup yang dibawa pasangan Dato’?

Saya telah melalui dugaan yang begitu sengit dan hebat. Jujur dari nurani, terkadang saya berasakan, seperti tidak termampu lagi meneruskan kehidupan ini.

Jalan yang telah saya pilih ini, adalah permaidani merah yang terbentang luas, publisiti berlimpahan, orang menunggu saya tersenyum dan ketawa, menjual kosmetik sambil menghibur, namun tekanan amat tinggi. Banyak perkara harus dikorbankan. Terlalu banyak waktu untuk perniagaan. Terlalu sedikit waktu untuk diri sendiri dan insan disayangi.

Yang menyukai kita, menyanjung tinggi. Yang membenci kita, mencerca mengeji.

Pakaian kemasyhuran yang saya pakai ini, adalah semata-mata demi pekerjaan yang saya gelumangi dan perniagaan yang saya terajui. Tetapi jauh di sudut hati, saya amat merindui kehidupan lalu yang serba sederhana, simple, tidak rumit, tidak kompleks.
 

Sumber:
 


Terima kasih buat isteri, dia adalah tulang belakang memikul sebegitu banyak urusan rumahtangga dengan tabah dan setia. Pengorbanan isteri memberi laluan untuk saya terus mara mengendali cawangan-cawangan D'Herbs Terlajak Laris di seluruh Malaysia, sehingga berjaya menembusi pasaran Felda, farmasi serta hospital kerajaan dan Pusrawi. Kini saya mempunyai 20,000 ejen di seluruh Malaysia.
 

Pendekatan yang Dato’ dan isteri gunakan untuk membina keluarga yang sakinah dan mawaddah?

Jika ada urusan jauh di luar negara, anak-anak pasti dibawa. Biar mereka selalu rasa dekat dengan kita. Saya juga mengatur kelas mengaji dan agama untuk anak-anak di rumah. Ada ustaz dan ustazah datang mengajar dua kali seminggu. Kerana asas didikan agama yang saya terima juga, maka saya menghantar mereka ke sekolah agama persendirian. Biar ilmu akhirat terimbang sempurna dengan dunia yang kita kejar ini.
 

Sumber:
 

Apakah kekayaan mengubah persepsi, prinsip dan visi Dato’ melihat kehidupan dan dunia, antara dulu dan sekarang? 

Dahulu miskin melarat, kini alhamdulillah dapat merasa senang dan nikmat. Saya sentiasa merenung kembali, akar tempat saya bermula. Tanah asal tempat saya berpijak dan belajar menjadi manusia. 

Kekayaan, tidak pernah membutakan mata dan nurani. Mengapa kita harus memandang sebelah mata, jika orang itu kurang berharta? Mengapa kita harus berpura dan bermuka, apabila yang pernah kita jengkel-jengkelkan itu, tiba-tiba di puncak, kaya-raya?

Mengapa orang kita suka membeda, apabila seseorang itu memegang stereng Ferrari, mendiami rumah 20 juta, maka layanan buruk yang pernah diterimanya dahulu bertukar serta-merta menjadi sanjungan luar biasa, diagung dipuja?

 

Sumber:

 

Saya selalu berdoa, moga saya dijauhkan daripada segala kejahatan perasaan, dipelihara daripada sifat angkuh dan takbur. Terigaukan jenama Louis Vuitton? Prada? Saya sudah merasa semuanya, tetapi sekadar merasa, bukan untuk menunjuk atau bermegah.

Saya masih membeli pakaian di down town, di pasar malam. Malah ada antaranya saya pakai apabila membuat kemunculan di kaca TV. Jika pakaian RM20 kelihatan seperti baju berharga RM200, saya gembira.

Pesan saya buat anak muda di luar sana, jangan ghairah memburu gelar jutawan. Isi dulu dada dengan ilmu dan pengalaman hidup. Ingatlah, jika kalian sekadar punya dua-tiga juta di tangan, kalian belum layak digelar jutawan.
 

Sumber:
 

Dato’ memang impikan kehidupan sebagai jutawan?

Saya percaya, semua orang yang hidup pasti mahu kesenangan, rezeki berlimpahan. Apabila D’Herbs Healthy Sdn Bhd ditubuhkan pada September 2010, kami hanya beroperasi di lot kedai aras dua. Kerana belum mampu menggaji hatta seorang pekerja pun, saya melakukan semuanya. Hari ini, kami berkembang dengan 100 rangkaian produk. Dan dengan izin Allah, saya dapat membangunkan Wisma D’Herbs, bangunan tiga tingkat milik sendiri yang bernilai RM24 juta di atas sebidang tanah seluas satu ekar di Kota Damansara.

Semua ini dapat saya capai pada usia 27 tahun.

 

Sumber:
 
Sumber:
 


Saya tak mahu menjadi jutawan duniawi sahaja. Saya mahu menjadi jutawan akhirat juga. Kerana apabila tiba suatu tahap, saya tertanya-tanya kepada diri: Apa lagi yang aku mahu dan cari dalam hidup ini? Apa lagi yang aku buru?

Setiap bulan saya memperuntukkan hampir 1.5 juta untuk pengiklanan. Kos ini mencecah 15 juta setahun. Wang ringgit seperti hilang nilai. Mengalir seperti air tak berkesudahan. Ya, apabila kita mengejarnya, kita teruja dan seronok. Apabila ia jatuh dalam genggaman, keseronokan itu hilang. Benarlah, terkadang saya harus setuju, duit bukanlah segala-galanya. Sebelum menutup mata, saya teringin sekali melihat sebuah rumah anak yatim dan surau dibangunkan atas setiap rintik peluh saya ini.



 

Dato' macam tak gembira dengan jalan yang Dato' pilih ini?

Apabila hidup dalam lautan harta, tanggungjawab yang datang bersamanya besar tak terduga. Cukai pendapatan, orang berhutang tetapi tidak membayar, sakit hati, cemburu, sabotaj, jatuh menjatuhkan, aduhai berbagai lagi. Isteri pernah meluah perasaan, andai diberi pilihan, dia mahukan kehidupan kami yang lama.

“Kalau Abi boleh ulangi sejarah hidup kita, saya mahu Abi berniaga
 di kedai jamu dan kosmetik di pasaraya. Macam dulu-dulu. Cukuplah. Biarlah pendapatan Abi sebulan RM5 ribu sahaja, saya gembira dan reda.” Begitulah bisik hati isteri, diam dan terpendam. 

Tetapi saya tak boleh menarik diri dari jalan ini. Inilah kehidupan yang telah kami pilih. Saya menggalas harapan dan kepercayaan seluruh kakitangan saya (100 pekerja). Sebagaimana mereka menjadi tulang belakang saya, sebegitu jualah saya menjadi denyut jantung mereka.
 


 
Sumber:
 

Insan yang memberi impak paling besar dalam hidup?

Nenek saya. Saya masih tidur di bawah ketiak nenek walaupun sudah kahwin, haha.

 

Pernahkah perniagaan Dato’ jatuh merudum? Boleh kongsikan kisah kebangkitan Dato’ daripada musibah itu? 

Sebelum memiliki cawangan menjual jamu, saya berniaga skala kecil-kecilan, dari rumah ke rumah, pintu ke pintu. Saya panjat tangga pejabat. Saya redah masuk untuk jual jamu, produk kesihatan dan kecantikan. Kerana sesuap nasi, saya tebalkan muka walaupun terpampang papan tanda ‘JURUJUAL DILARANG MASUK'. 

Saya biasa berniaga di pasar malam dan pasar tani. Pernah berniaga di Pasar Tani Seksyen 13 Shah Alam, dua tahun lamanya. Dengan modal RM450, saya buka meja berniaga barangan Indonesia dan Thailand. Tidak, saya tak malu. Kita mencari rezeki yang halal, mengapa harus malu?

 

Sumber:
 


Lesen perniagaan saya pernah ditarik Majlis Bandaran. Saya pernah dihalau orang, kerana orang menyampah melihat wajah saya dengan jamu-jamu yang saya usung ke sana ke mari. Saya pernah dimaki diludah, kerana suara saya dikatakan nyaring, bising, bingit dan menjengkelkan. Ya, saya tidak akan melupakan setiap satu daripada peristiwa ini. Ia sentiasa basah dalam ingatan. Ia sentiasa membuat lidah saya basah dengan lafaz zikrullah dan syukur kepada Allah. Pengalaman itu adalah dekan, adalah fakulti universiti. Di situ ada ilmu perakaunan, sumber manusia, peniagaan, perhubungan awam, ekonomi, oh segalanya.
 


Dari mana tagline “Terlajaaaak Laris!” terilham?

Saya sudah keluar-masuk TV, tujuh tahun yang lalu. Namun baru dua-tiga tahun ini orang menyedari kehadiran saya. Sepadan latar pendidikan saya, pernah menjadi wakil pidato, pertandingan syair, deklamasi puisi; maka begitu jualah saya membawa imej D’Herbs Terlajak Laris di kaca TV zaman dulu. Saya berbicara formal, bagai watak lelaki korporat. Tetapi hampa. Mengapa impak masih tiada?

Sampai satu ketika, cuma tertinggal RM25 ribu lagi dalam akaun ASB. Itulah duit terakhir saya untuk keluar TV (harga pengiklanan tujuh tahun dulu). Saya diberi laluan enam minit sahaja untuk pelaburan sebanyak itu, mak oii... sangka saya untuk setahun!


Pengurus Jualan memberi kata dua terus ke muka saya, "You can take it or leave it." 
 


 

Lalu saya cabar diri. Jika orang lain boleh melakukannya, mengapa tidak saya? Maka saya nekad, saya harus memberikan efek "Wow!" Di situlah bermulanya fenomena “Terlajaaaak Laris!” Selepas enam minit itu, Ketua Pemasaran TV terpana, berlari turun ke studio lalu berkata, “Mana dia budak lelaki yang hebat tadi? Saya mahu berjumpa dia!”

Selepas enam minit ke udara itu, produk D’Herbs licin terjual! Dalam masa seminggu, saya berjaya mendapat pulangan 60 kali lipat daripada jumlah yang telah dilaburkan. Itulah ganjaran kepada formula yang telah saya cipta sendiri, hasil penelitian dan pembacaan berbagai buku perniagaan dan pemasaran. 
 

Sumber:
 


Ya, dulu saya dihina kerana dikatakan saya tidak akan berjaya, kerana saya bodoh, saya tiada pelajaran tinggi. Saya bukan genius perniagaan. Saya bukan cendekiawan pemasaran. Pengajian A-Level saya di Kolej Taylor pun terkandas separuh jalan. Saya pernah dicemuh kerana dikata hanya ada paras yang lawa, tetapi tiada otak yang bijak. Saya dilabel menumpang kesenangan orang terdekat. Saya diketawakan kerana tidak pandai berbahasa Inggeris. Begitu sekali saya ditekan, diinjak, direndah-rendahkan.

Tetapi sejahil-jahil saya yang tak berasap-asap berbahasa Inggeris ini, alhamdulillah, saya sudah lepas terbang ke serata ceruk dunia Allah ini. Ke London, ke Paris, ke Zurich, ke mana sahaja. Kepada pembaca semua, ingatlah, jika kalian mahu berjaya, jangan ambil penghinaan itu sebagai lawan, tetapi ambillah ia sebagai cabaran. Jangan sekali-kali kita menangis atas penghinaan.
 

Sumber:
 

Anak-anak bumiputera hari ini giat melancarkan bisnes, bermacam-macam cabang. Apa komen Dato'?

Bagus namun sayang sekali, banyak bumiputera kita suka meniru. Tidak ada originality. Orang jual kek cawan, kita pun nak jual kek cawan. Orang jual tudung dan jubah, kita pun buat juga. Mengapa harus meniru? Mengapa tidak cabar akal kita untuk cipta idealogi baru?

 

Dato’ dilihat sangat agresif menjadi wajah hadapan D’Herbs Terlajak Laris. Bagaimana Dato’ dapat idea ini kerana banyak jenama kecantikan menggunakan selebriti untuk memandu kempen. Pendirian Dato’ berbeza?

Banyak orang kata saya ini gila glamor. Tetapi saya ada alasan tersendiri mengapa saya berani mempertaruhkan wajah sendiri sebagai wajah produk D’Herbs. Tahukah anda, tujuh tahun lalu saya telah meletakkan model kacukan Pakistan selama dua tahun sebagai model produk? Tetapi jualan tidak naik. Saya pernah bayar artis, hasilnya sama. Jualan tetap statik.

Dan maaf jika saya sebut ini, tidak semua tetapi ada segelintir artis, apabila sudah naik pentas ambil anugerah, yurannya tiba-tiba mahal bukan-bukan. Jadi bagaimana? Biar saya sahaja menjadi wajah hadapan produk. Kerananya juga, konsumer D’Herbs rasa lebih dekat dengan saya.
 

Cabaran terbesar dalam arena bisnes? 

Pada peringkat awal, ramai tidak boleh menerima hakikat lelaki sebagai pengasas produk kecantikan. Saya dikutuk dengan dahsyatnya di laman media sosial. Sekali lagi, keluarlah cerita tentang saya yang tidak berpelajaran ini. Saya diperlekehkan lagi. Tapi tak mengapa. Tuhan itu sentiasa memimpin hati yang sabar.


 

Ada perancangan menembusi pasaran antarabangsa? Ke rantau China, Timur Tengah atau Eropah?

Itu antara impian saya.Saya menjadikan AVON sebagai inspirasi. Produk AVON tidak mahal, harganya mesra pengguna, malah boleh dipakai semua golongan, ada wisma sendiri yang gah pula. Setakat ini, sudah memiliki lesen perniagaan di Brunei. Nantilah, perlahan-lahan, biar saya pecahkan ruyung di Malaysia dulu.
 

Sumber:
 
 
Sumber:

 

Pada saat banyak jenama kecantikan antarabangsa menyekat belanjawan pengiklanan, Dato’ terus memecut, mencipta fenomena apabila menaja rancangan TV berskala mega seperti Akademi Fantasia. Komen? 

D’Herbs jenama kecantikan tempatan yang merintis jalan sebagai penaja utama program TV berskala mega. Saya bangga melakar sejarah gemilang rancangan Akademi Fantasia. Saya memadam persepsi bahawa produk kecantikan/kesihatan buatan Malaysia bertaraf picisan atau produk kelas kedua.


Maafkan saya, tapi ke mana perginya jenama-jenama import yang orang kita bangga-banggakan? Saya ambil pendirian ‘menjerit’ semasa orang lain senyap. Saya tinggalkan kaedah passive marketing. Lihat strategi McDonald’s. Hampir setiap hari ada saja iklannya walau seisi rakyat Malaysia sudah maklum jenama itu. Saya boleh simpulkan buat masa ini, orang kita sukakan sesuatu yang glamor dan menonjol. Nah, jika itu yang mereka suka, maka itu jugalah yang D’Herbs hidangkan. Syukur, formula ini mendatangkan keberhasilan luar biasa.
 

Sumber:
 

Rutin harian Dato’?

Setiap hari, Pembantu Peribadi datang ke rumah untuk menyelia jadual. Saya juga ke pejabat menandatangani cek, membuat lawatan ke cawangan-cawangan D’Herbs, melawat spa, mengemas kini status Facebook dan Instagram saya sendiri, menghafal skrip (jika ada), bermacam lagi. Tetapi hati sentiasa lekat di rumah. Tahukah anda, saya memasak sendiri untuk anak-anak? Saya tidak mengharapkan makanan yang dimasak pembantu rumah.


Amalan menjaga kulit dan penampilan?

Saya hanya makan beras perang, juga makanan yang direbus atau dibakar sahaja. Kegemaran setiap hari, empat ekor ikan bakar. Saya jauhi minuman manis.
 

Menjadi seorang ayah – apa yang paling Dato’ suka?

Saya amat teliti tentang aspek pemakaian. Tetapi dalam ketelitian dan kecerewetan itu, saya tetap berprinsip, zuriat harus diajar agar kenal makna susah. Saya mampu membalut mereka dengan jenama-jenama mahal, tetapi saya memilih untuk bersederhana. Buat anak-anak, Seed atau Padini sudah memadai. Telefon bimbit? Maaf. Belum masanya. Saya juga sangat pembersih orangnya, tak tahan habuk, tak suka kotor, haha.
 

Suka sangat Dato' menyanyi, ada kebolehan istimewa lain?

Kalau orang menaruh niat tak baik terhadap saya, tak tahu mengapa, saya dapat menghidunya. Kalau ada geruh mahu berlaku kepada keluarga, hati ini seakan dapat merasainya… Allahu Akbar! Intuisi istimewa ini sungguh tajam. Tidak dapat saya jelaskan di sini. Inilah deria ke-6 anugerah Allah SWT. Inilah mata hati pemberian-Nya yang akan saya gunakan sebaik-baik cara untuk memperhebat amal, menjadi insan lebih kamil.
 

Sumber:
 

Dato’ mahu ketiga-tiga anak Dato' membesar sebagai...

Dengan izin Allah, saya mahu mereka menjadi seorang doktor, usatazah dan akauntan. Moga kami dimurahi rezeki, kerana saya mahu 10 cahaya mata! Anak-anak inilah penyeri hidup saya dan isteri. Tetapi walau apa jua yang terjadi di kemudian hari, saya tetap memberi kebebasan untuk mereka membuat pilihan kerjaya sendiri. Jangan sekali-kali memandang rendah pada punca pendapatan orang lain. Kerana saya sendiri bermula dari bawah, pernah diludah, namun kini saya mengukir sejarah legasi saya sendiri.
 

Sumber:
 

Pesanan Dato’ untuk pembaca InTrend?

Saya teruja sekali dapat muncul dan bekerjasama buat kali pertama dengan majalah InTrend. Saya berharap apa jua yang telah saya kongsi bersama anda di atas lembar ini, ingatlah, ia datang dari nurani paling ikhlas, bukan riak, jauh sekali menunjuk-nunjuk. Semoga kisah saya ini diambil sebagai teladan dan iktibar. Sekiranya kalian ingin menjadi usahawan berjaya, betulkan niat, luruskan hasrat, utamakan keluarga dan sahabat, dan jangan lupa bermunajat. Percayalah, restu Allah itu hebat.

 
 
 
 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “PEMINAT AWAK NI 'GILA' EK?” — 10,000 Lautan Manusia Berkumpul di Hadapan Rumahnya!

  • Seterus →

    Momen Perkahwinan ‘FAIRYTALE’ Dato’ Siti Nurhaliza Cipta Rekod, ditonton 6.3 JUTA RAKYAT MALAYSIA