Oct 12, 2016 - 50874
Oleh:
Sumber: Prof Dr Muhaya Mohamad
BOLEH Prof kongsikan, apakah persiapan harus ada untuk golongan wanita yang baru berhijab, daripada aspek psikologi dan rohani?
Yang pertama, kita hendaklah memakai sesuatu kerana Allah. Dan apabila berbicara tentang komitmen ini, itu bermakna, tauhid kita harus kuat. Apa-apa jua yang kita lakukan, harus datang bersamanya kesedaran. Kita perlu tahu KENAPA kita memilih untuk berhijab? Akidah mesti mantap. Maknanya, wanita yang berhijab ini, janganlah hijrah itu dilakukan kerana dorongan makhluk. Kerana makhluk ini benda yang sementara. Ia berubah-ubah.
Jika kita tidak berpegang kepada Allah, maka sudah tentu kita berubah berdasarkan persekitaran sekeliling. Jika tiang keyakinan terhadap Allah itu kukuh dalam diri, biar apa jua yang menjadi ribut dan taufan di luar sempadan rohani dan jasmani kita, insya-Allah, kita tidak akan terkesan kerananya.
Pandangan Prof jika ada yang merendah-rendahkan wanita yang baru berhijrah, yang sedang tercari-cari imej baru dengan hijab?
Sebenarnya jika orang cetek ilmu, mereka sibuk melabel dan berasakan dirinya lebih daripada orang lain. Selalunya mereka ini baru mendapat kesedaran, lalu kerana itu mereka teruja, ghairah, seronok bahkan berasa hairan mengapa orang lain tidak berasakan apa yang mereka rasai?
Saya fikir daripada segi ini, kita tidak boleh menghukum mereka, sebaliknya kita doakan mereka ini. Kalau boleh, nasihat saya kepada golongan yang mudah menyelar dan melabel ini, ingatlah bahawa Allah itu memandang.
Orang mukmin sejati tidak akan sekali-kali memandang rendah kepada manusia yang lain. Dan orang yang berasakan dirinya lebih daripada orang lain ini, saya bimbangi, wujud pula sifat ujub dan riak. Ujub ini bermaksud perasaan kagum terhadap diri sendiri, angkuh dan bongkak. Ini salah satu sifat yang boleh merosakkan masyarakat Islam.
Wanita berhijab memikul amanah yang berat kerana perlu selalu menjaga tertib dan tatasusila. Ekspektasi masyarakat, kalau boleh saya katakan di sini — lebih tinggi terhadap wanita berhijab berbanding ekspektasi terhadap wanita tidak berhijab. Prof setuju?
Betul. Apabila kita mengambil keputusan untuk berhijab, bererti kita taat kepada Allah. Jika kita memakainya dengan ketakwaan, insya-Allah, akhlak yang baik itu akan sama-sama terzahir lantas menjadi ‘pakaian’ kita. Jangan fikirkan sangat soal tanggungjawab atau rasa takut terhadap stigma masyarakat. Kerana harus kita ingat, tindakan yang sedang kita lakukan ini, bukan untuk meraih pandangan manusia.
Tetapi kita bertindak untuk Allah yang memandang. Apabila kita melaksanakannya dengan harapan meraih pandangan Allah, maka secara automatik, ia tidak akan menjadi satu beban yang menyakitkan bahu. Ia ikhlas, pasrah, berserah kepada Yang Esa.
Ada pula sesetengah wanita yang memakai hijab sekadar memenuhi permintaan suami atau ibu bapa. Apa pandangan Prof?
Saya rasa ini satu pendekatan yang silap kerana dorongan itu datang daripada manusia. Kalau kita buat kerana manusia, maka apabila manusia itu tiada, apakah kita akan meneruskannya lagi? Tetapi jika kita berbuat kerana Allah, ganjaran pahala itu milik kita.
Dan ingatlah, apa jua yang kita pakai ini adalah supaya berat timbangan diri kita di Padang Mahsyar nanti. Maka amat merugikan jika kita memakai semata-mata kerana arahan suami atau ibu bapa. Akan tetapi, hikmahnya masih ada. Lama-lama berhijab, dengan sendirinya kita rasa selesa memakainya. Lama-lama niat itu akan berubah kerana Allah, insya-Allah.
Sumber: FB Prof Dr Muhaya Mohamad
Pandangan Prof mengenai segelintir wanita bertudung tetapi mempamer akhlak lebih buruk daripada wanita tidak bertudung? Dia berhijab tetapi tidak menghijab mulutnya sama?
Saya rasa manusia tidak sempurna (mengeluh). Janganlah kita melabel. Apabila orang dah pakai tudung, semua nak perfect, semua harus sempurna. Kita harus faham, berhijab itu adalah salah satu tindakan ke arah ketakwaan. Sedangkan orang yang bertakwa pun Allah akan cuba dan duga dan uji.
Semua daripada kita ini ada timbangan di Padang Mahsyar nanti. Masing-masing akan diadili. Semua sisi buruk dan baik kita, akan dibentangkan di sana nanti. Maka pada pendapat saya, marilah, kita hentikan membuat judgement terhadap orang. Berhentilah menjadi hakim.
Persiapan mental dan kerohanian perlu ada jika wanita berniat mahu berhijab?
Wanita itu mesti faham apa erti hijab. Hijab itu tidak bererti bertudung semata-mata. Hijab itu bererti melindungi aurat. Ia menutup kulit dan lekuk susuk badan. Ia sewajarnya menutup segala pintu keghairahan yang terpamer pada fizikal.
Jadi, kalau kita memakai tudung, tetapi tidak mengikuti saranan Surah An-Nur yang berbunyi, “Melabuhkan tudung melepasi dada...”, itu bukan berhijab namanya. Jadi, saranan saya, wanita harus mencari ilmu.
Daripada aspek fizikal pula, wanita harus teguh mengasah kesabaran. Contohnya, pada hari yang panas terik dan sebagainya, ya betul dia berasa panas kerana lapisan-lapisan tudung yang disarungnya. Tetapi bayangkanlah pula bagaimana panasnya kita apabila berada di Padang Mahsyar?
Komen Prof mengenai kenyataan ini: “Kawan-kawan saya ini ada menyuruh saya supaya terus bertudung, tetapi saya tak mahu menjadi hipokrit. Saya mahu berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan kerana disuruh. Saya tahu hari itu akan tiba. Tapi bukan sekarang...”
Saya rasa kecondongan pendirian untuk tidak mengikut-ikut kata orang itu betul. Mahu bertindak atas hati dan fikiran sendiri, ya bagus. Tetapi janganlah dok menunggu ‘satu hari nanti, satu hari nanti’.
Mengapa? Kerana kita pun tidak tahu bilakah masanya Tuhan akan menghantar Izrail untuk mencabut nyawa kita? Kita tidak tahu bilakah umur kita ini akan putus? Maka pada pendapat saya, sekiranya datang sahabat kita memberikan nasihat dan pandangan, maka ada baiknya kita cuba menerima dengan hati terbuka.
Ada juga terjadi, apabila kawan-kawan sudah menasihati tetapi kita masih tidak terpanggil untuk berubah, maka itu satu petanda kita tidak menerima hidayah. Ingatlah, Allah memilih siapa yang dibukakan mata dan mata hatinya untuk menerima cahaya hidayah-Nya. Jadi ayuh, kita renungi diri kita. Kalau orang sudah berkata-kata dan menyampaikan perkara yang baik kepada kita tetapi kita masih tidak mahu menerima, tidak dapat hidayah, bahkan kita juga bukan insan pilihan Allah... tidakkah itu menyedihkan? Ya, tidakkah anda sedih?
Jadi berdoalah, semoga Allah menghilangkan hati yang lalai dan keras. Semoga kita dijauhkan daripada menjadi manusia yang kesasar. Semoga kita dianugerahkan sifat mendengar dan keterbukaan untuk mempertimbang dan menerima nasihat orang.
Sumber: Prof Dr Muhaya Mohamad
Hikmah bagi wanita yang benar-benar memahami konsep bertudung?
Impaknya sangat besar, terutama sekali buat wanita yang cantik, muda pula. Bayangkan peer pressure yang mungkin dialami apabila teman-teman yang asalnya berhijab, tiba-tiba membuka tudung, kembali rancak berfesyen dan sebagainya.
Dan hikmahnya pula, apabila kita menutup aurat kita, maka secara automatik rahmat Allah itu akan datang, kerana lebih payah kita ingin melawan nafsu, maka lebih besar ujian, lebih banyak ‘markah’ Allah beri kepada kita. Daripada pengalaman saya sendiri, saya tidak pernah lagi bertemu dengan wanita yang asalnya tidak berhijab, kemudian berhijrah untuk berhijab — yang tidak pernah berasa tenang dan aman dalam hidupnya.
Ada yang bercerita kepada saya, apabila mereka nampak orang lain memakai hijab, mereka rasa teringin memakainya. Tetapi mereka menangis kerana hati tetap tidak terbuka dan tidak dititikkan cahaya hidayah. Allahu Akbar! Menariknya kisah ini, selepas berhijab, akui mereka, hati menjadi sangat tenang. Ini adalah kisah benar penghijrahan yang biasa terjadi di hadapan mata saya, tetapi kesannya sangat luar biasa.
Prof bersetuju jika saya katakan di sini, wanita bertudung sewajarnya mempunyai pemikiran terbuka dan tidak terlalu ekstrem dalam sesuatu hal? Misalnya, tidak menolak permintaan jika ada sesiapa yang mahu bergambar bersama asalkan menjaga batas aurat, lebih-lebih lagi seputar kehidupan artis/selebriti? Komen Prof?
Pada hemat saya, sebagai artis, tengoklah juga tujuan bergambar itu untuk apa? Saya sendiri secara peribadi, walaupun saya bukan artis, tetapi dulu-dulu, semasa muda, kalau ada lelaki nak bergambar, saya selalunya menolak. Tetapi saya berasakan, jika mengambil gambar bersama itu dapat memberikan inspirasi untuk seseorang menjadi lebih baik, ya, mengapa tidak? Jika artis itu menutup aurat, dalam konteks yang tidak membawa fitnah, misal kata tidak digosip atau berpegang tangan, asalkan kita bergambar dengan sopan, ya — jika tidak membawa fitnah, boleh.
Mahu bertudung tetapi tidak mahu merubah prinsip bergaya. Contohnya, bertudung tetapi masih berpakaian ketat memperlihat lekuk-lekuk tubuh montok. Tudung kontot tidak dilabuhkan hingga paras dada dan sebagainya. Bagaimana boleh kita sebagai wanita Muslim mendidik atau memberi teguran dengan cara hemat, tanpa mengaibkan?
Kita harus bersangka baik, bahawa dia memakai tudung itu kerana Allah. Kita jangan hukum mereka. Barangkali kerana dia masih jahil, kurang kefahaman serta ilmu. Kalau dia sudah faham, saya yakin, dia pasti akan menukar penampilannya.
Kita sebagai orang awam ini, jangan suka menghukum orang. Kita terima mereka seadanya. Setiap langkah positif yang kecil mahupun sedikit, kita harus hargai. Daripada tidak berhijab, dia bertudung. Mungkin selepas itu tudung kontot menjadi labuh sedikit. Daripada berbaju ketat, lama-lama dia beralih kepada blaus longgar. Insya-Allah, ada jalannya.
Bertudung untuk meraih populariti dan masuk ke dalam trend semasa, apa komen Prof? Apakah semua nawaitu ini harus dipandang daripada sudut positif kerana ia tetap menjurus kepada hikmah dan kebaikan?
Beginilah ya, siapalah kita untuk menghukum orang lain? Tahukah kita apa benar dia memakai hijab untuk meraih populariti? Semua ini, hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui. Kerana itu penting untuk saya tekankan di sini, apa jua langkah mulia dan perubahan baik yang diambil oleh seseorang itu, bersangka baiklah kita.
Ingatlah, salah satu ciri keimanan manusia adalah bersangka baik kepada orang lain. Jika kita tidak suka orang bersyak wasangka kepada kita, maka kita juga janganlah bersangka-sangka kepada mereka. Kita ucapkan tahniah atas perubahan dan hijrah yang baik. Walau apa jua sebab wanita mengenakan hijab, itu semua bukan persoalan yang harus kita ungkit.
Sumber: FB Prof Dr Muhaya Mohamad
Mengapa semakin banyak anak gadis zaman sekarang yang bertudung, dilihat membuat onar dan maksiat, sehinggakan perbuatan sumbang mereka menjadi viral di laman media sosial? Apa peranan ibu bapa zaman sekarang?
Yang kita perhatikan di sini adalah banyak ibu bapa zaman sekarang menekankan amalan, TANPA menekankan aspek akidah. Ibu bapa zaman sekarang selalu memberitahu anak-anak, apa kena buat, sebaliknya bukan KENAPA kita kena buat? APA itu ialah amalan kita, KENAPA itu tauhid kita.
Jadi, apabila kita mendidik anak, harus kita suburkan juga tauhid kita, iaitu beriman kepada perkara-perkara ghaib. Kalau anak-anak kita berasakan bahawa Allah sentiasa memerhatikannya, Allah menjadikannya, Allah sayangkan dia, Allah bersama dia dan kita akan kembali kepada Allah suatu hari nanti — maka pergerakan anak-anak kita itu akan terdorong kepada mencari reda Allah.
Dan kalau mereka berhijab kerana Allah, insya-Allah mereka akan menjaga solat lima waktu, dan ingatlah, barang siapa menjaga solatnya, Allah menjaga dan memelihara mereka daripada sangkar maksiat. Maka tidak akan berlakulah perkara-perkara mungkar yang sering viral di laman sosial media hari ini.
Tiga perkara terpenting harus seorang wanita sematkan dalam hati jika dia memasang niat berhijrah (berhijab)?
Yang pertama, sebelum kita berhijab, kita hendaklah menguatkan akidah kita. Yang kedua, sempurnakan ibadah kita. Yang ketiga, lembutkanlah akhlak kita. Berhijab itu seharusnya satu perlambangan, satu manifestasi daripada ketiga-tiga perkara ini.
Maknanya di sini, kita berhijab kerana beriman kepada hari kiamat dan Allah. Kita berhijab kerana mengikut syariat menjaga aurat seorang wanita. Kita turut berhijab kerana memelihara akhlak kita sesama manusia dan Allah.
Suami tidak merestui isteri yang mahu berhijrah (memakai tudung)? Pandangan Prof?
Pertama, saya rasa kasihan kepada suami seperti ini. Kerana saya berpendapat, lelaki yang mempunyai isteri dan tidak ada niat untuk membawa isteri dan anak-anak ke syurga, alangkah sia-sia hidup mereka. Jika kita ingin mengubah suami, maka kita harus mengubah diri kita dahulu. Tunjukkan kepadanya, kita berazam menjadi Muslimah yang baik, yang menjaga solat, ibadat, perilaku dan menjaga hijab, lantas berubah menjadi seorang isteri yang jauh lebih baik.
Suami kita pasti akan nampak, “Masya-Allah, isteriku, selepas berhijab, dia menjadi isteri yang lebih baik.” Ini akan menambat hati suami. Insya-Allah dia akan berubah kepada kebaikan.
Bagaimana membersihkan hati?
Untuk membersihkan hati, kita perlu ingat, ada tiga ciri hati iaitu: Yang pertama, hati kita mesti bersih dan yakin hanya kepada Allah dan tidak ada Tuhan melainkan Allah. Yang kedua, hati yang kuat untuk melaksanakan syariat Allah. Yang ketiga, hati yang lembut, di mana ia menjadikan peribadi kita hemah apabila kita berinteraksi dengan makhluk Allah yang lain. Kalau kita memiliki ketiga-tiga ciri hati ini, insya-Allah hati akan bersih.
Cara terbaik lain adalah dengan melakukan solat taubat Nasuha, sentiasa menjadikan istighafar itu amalan kita, bahkan berusaha untuk menjadi manusia yang berendah hati. Juga, memberi maaf dan memohon maaf.
Insya-Allah, apabila kita banyak berzikir dan bertaubat, hati dicuci bersih, bergemerlapan dikilau rahmat-Nya.