Mar 30, 2017 - 1031
Kredit foto: Getty Images
Stress!!! Bayangkan ada satu hari yang paling buruk buat kamu. Bos mempercepatkan tarikh deadline, rakan sekerja yang sepatutnya membantu cuti sakit pula. Mesin fotokopi pula asyik meragam dari pagi.
Aduh! Sakitnya hati! Beban tak tertanggung dek bahu. Lagi-lagi kamu dilambak dengan lima kerja sekali gus. Tak ada masa sesi urutan melegakan tubuh atau hadirkan diri ke bengkel menguruskan tekanan.Tips cepat mengurangkan tekanan dan yang mudah kamu aplikasikan di tempat kerja perlu kamu amalkan. Usah gusar, InTrend ada teknik berkesan untuk kamu praktikkan. Selamat mencuba!
1. Talk about it! Terutama kepada rakan sekerja atau teman yang boleh dipercayai. Minta pendapat mereka bagaimana mahu menyelesaikannya. Tidak pun cari pendengar terbaik untuk kamu lepaskan segala rasa di dada. Tapi jangan terlebih-lebih pula. Lepaskan rasa negatif dan teruskan kehidupan seperti biasa. Usah panjangkan cerita dan cuba menghasut pula.
2. Guna visual pemikiran. Bayangkan kamu berada di tempat yang membahagiakan dan penuh ketenangan. Mungkin kamu sedang bercuti di lokasi kesukaan, di rumah kala mandi buih atau mendaki gunung.
Selang beberapa minit, kamu mampu menangkap keseronokan berada di situ. Atau fikirkan kamu sedang berseronok seperti yang biasa kamu lakukan selepas melangkah keluar dari pejabat. Jumpa teman atau berhenti sekejap telefon kekasih?
3. Sedang tengah bermesyuarat, berehat sebentar dan lepaskan tekanan. Katakan kamu minta diri untuk mengambil barang di meja pejabat atau di mesin fotokopi. Ini membolehkan kamu berhenti sebentar, tukar kedudukan, melihat sekeliling, mencari perspektif berbeza atau sekadar menarik nafas untuk melepas lelah.
4. Berseronok apa salahnya? Ambil seminit dua untuk bergelak- ketawa dengan rakan sekerja, menelefon teman, baca komik atau melakukan perkara menyeronokkan kamu. Relakslah sikit.
5. Selesaikan satu perkara segera. Kamu pastinya ada bakat menyelesaikan tugas sepantas 10 minit. Gunakan kebolehan itu.
Kredit foto: Google
6. Menghela nafas. Jika tertekan tarik nafas panjang-panjang dan lepaskan. Tekanan membuat kamu rasa sesak, lemas dan sebagainya. Legakan tubuh dengan menarik nafas panjang. Bertenang, rehat dan tarik nafas menerusi hidung, lepaskan melalui mulut. Bernafas lepas menerusi perut dan bahagian bawah abdomen selain dada.
7. Dapatkan urutan mini di bahu dan leher. Untuk sakit kepala, tutup mata dengan tangan selama 30 saat. Kemudian letakkan tapak tangan di sisi kepala sebelum melakukan urutan kecil secara bulatan selama 30 saat juga.
8. Cuba aromaterapi. Sesetengah salun, kedai makanan berasaskan kesihatan serta pusat menjaga tubuh kaedah semula jadi mempunyai wangian terapi yang merehatkan badan. Letakkan satu titik pada jari dan urut. Cari wangian paling menenangkan seperti sandalwood, rose atau bergamot. Wangian lilin juga mampu menenangkan.
9. Elak kafein dan gula. Apabila mengambil kafein dan gula yang banyak, sakit kepala pula menjadi-jadi. Cuba teh herba, air atau makanan lebih berkhasiat lain.
10. Rehat sepenuhnya. Mulakan pada bahagian kaki. Tegangkan dan lepaskan. Lenturkan tubuh kamu ke kiri dan ke kanan.
Kredit foto: Google
11. Dengarkan lagu instrumental yang mendamaikan tanpa drama atau emosi tidak menenangkan. Atau gunakan bunyi alam sekitar menenangkan. Cari muzik, buku kesihatan di kedai atau perpustakaan.
12. Bersenam. Lakukan sedikit regangan tubuh (kamu boleh bangun, menggeliat, luruskan tangan atau kaki) atau kamu boleh juga berjalan.
13. Cari jalan tingkatkan suasana kerja kamu. Minta kelulusan bos untuk projek baru yang kamu susulkan. Atau tanyakan jika kamu boleh agihkan kerja. Ini pasti tingkatkan sinar cahaya dan semangat di tempat kerja pabila kamu datang kerja esok hari. Selamat bekerja dengan efisyen!
Kredit foto: Google