Jan 30, 2017 - 2843
Oleh: Huda Hussain
Kredit foto: Ayda Jebat
BERGELAR pelakon ternyata banyak memberi kelebihan buat pelakon viral ini. Dan peluang menjalani sesi penggambaran di luar negara disifatkannya sebagai nikmat berganda. Bekerja dan peluang melihat negara orang dalam satu masa meninggalkan momen manis buat artis yang terkenal dengan tagline ‘muahciked’ ini.
Destinasi menarik yang sempat Ayda kunjungi ketika berada di sana?
Inilah yang dikatakan ibarat sambil menyelam minum air (hahaha). Sambil sibuk shooting, dalam masa sama kami bersiar-siar melihat negara orang. Sebenarnya banyak tempat-tempat menarik di Amsterdam yang boleh dimanfaatkan untuk sesi penggambaran.
Antaranya Dam Square, Beurs van Berlage, Oost-Indisch Huis dan Vondel Park. Ini pengalaman kali pertama saya menjejakkan kaki ke bumi Amsterdam dan pemandangan sekitar bandarnya cukup cantik dan unik.
Kredit foto: Ayda Jebat
Kongsikan pandangan Ayda mengenai cara hidup dan masyarakat di sana?
Oh, sememangnya amat berbeza dalam segenap segi jika mahu dibandingkan dengan masyarakat kita. Mereka lebih suka menggunakan pengangkutan awam seperti bas, trams dan metro.
Selain itu, ramai juga penduduknya menggunakan basikal. Malah, basikal umpama kereta di sana. Terlalu ramai yang menunggang basikal sehinggakan sana-sini saya lihat basikal di merata-rata tempat. Daripada segi keramahan dan kemesraan mereka untuk berbual, bagi saya biasa-biasa sahaja.
Hampir 50 peratus daripada mereka boleh diajak berbual tetapi tidaklah seperti orang kita yang terkenal dengan sifat mesra dan peramah. Pendek kata, kalau mahu minta tolong tunjukkan jalan atau bertanyakan tentang mana-mana lokasi, mereka sudi membantu apatah lagi apabila melihat pelancong asing.
Kredit foto: Ayda Jebat
Mengenai destinasi atau tempat-tempat tumpuan pelancong di sana, apa yang menariknya pada kaca mata Ayda?
Banyak tempat yang menarik dan unik daripada segi seni binanya. Bagi saya mereka amat menghargai nilai seni yang tinggi dan ia jelas terlihat pada bangunan-bangunan sekitar bandar-bandar utama. Baik bangunan dan taman, banyak yang boleh diterokai dan sesuai diabadikan kenangan. Dan saya percaya, mereka juga mencintai dan menghargai nilai sejarah yang ada pada sesuatu bangunan.
Semuanya dipelihara dengan baik bagi mengekalkan seni bina asalnya. Pendek kata di sana banyak tempat-tempat menarik untuk kita ambil gambar lebih-lebih lagi untuk sesi penggambaran. Mengenai Paris pula, apa yang menarik mengenainya adalah ia sebuah kota cinta.
Dan memang benar-benar membuatkan saya jatuh cinta! Lebih-lebih lagi buat mereka yang suka membeli-belah, inilah tempatnya untuk anda shopping sakan (ketawa).
Kredit foto: Ayda Jebat
Pengalaman dan kenangan ketika berada di negara orang, kongsikan?
Banyak pengalaman semasa shooting di Amsterdam. Biasalah, kalau shooting di luar negara mesti ada masalah. Kalau tiada masalah itu bagi saya tidaklah dapat saya dan semua krew menimba pengalaman.
Apabila ada masalah barulah lebih mencabar! Hahaha. Pengalaman kami, pernah sekali sesi penggambaran terpaksa dihentikan di salah sebuah apartmen kerana pemilik apartmen tersebut tidak memberikan kebenaran untuk kami teruskan shooting.
Jadi, apa lagi kami keluar berjalan-jalan dengan menaiki pengangkutan awam seperti teksi dan trams untuk redakan tekanan dan membiarkan pihak produksi menyelesaikannya.
Kredit foto: Ayda Jebat
Kredit foto: Ayda Jebat
Tips kembara yang ingin dikongsikan bersama pembaca InTrend?
Bagi saya mudah, bawa baju yang diperlukan sahaja kerana di sana mungkin kita akan beli baju! (ketawa) lebih-lebih lagi orang perempuan. Pergi dengan hanya satu beg tetapi balik ke KL sudah jadi empat beg.
Maka dengan itu, bagi memudahkan anda, buat senarai apa yang perlu dibawa untuk melancong ke luar negara. Dan paling penting, jangan lupa bawa universal charger.
Kredit foto: Ayda Jebat