Nov 28, 2016 - 1844
Oleh: Asiah Mion
SIAPA lahir sebelum tahun 1985? Kenapa? Sebab kitalah generasi terakhir yang bebas bermain di luar tanpa takut diganggu, dicabul atau diculik. Kitalah yang boleh keluar pagi balik petang semata-mata untuk bermain di ceruk kampung. Satu kampung menjaga kita, satu kampung menjadi ‘reporter’ untuk emak bapak kita dan satu kampung juga yang menegur kita, melaporkan gerak-geri kita, ke mana kita pergi, apa kita buat sehingga kita dipiat telinga, digetu paha dan disebat. Namun kita tidak serik sebab kebebasan bermain bersama anak-anak jiran sungguh menyeronokkan.
Apa kita buat? Kita merayau satu kampung cari ranting kayu buat senapang dan lastik. Kita berkeliaran satu kampung cari buah gatal untuk jadi peluru. Kita ‘mandi-manda’ di parit, di sungai, kita main galah panjang, kita main konda kondi, kita main polis sentri (police and thief) kita main sepicit-sepicit (spirit oh spirit). Apa lagi? Apabila hendak main lawan spider kita menyelinap cari spider. Apabila hendak main congkak, kita korek tanah buat lubang sebesar mangkuk kecil dan kutip batu-batu kecil di sungai atau tepi jalan. Habis hitam kuku-kuku kita kerana mencengkau tanah.
Ya, semuanya perlu dicari dan dibuat sendiri. Kita sungguh kreatif. Apa juga permainan yang kita hendak main; strategi pertama pergi beramai-ramai cari bahan-bahannya, kedua mengenal pasti tempat untuk bermain, ketiga pastikan cukup kumpulan, kemudian barulah main. Dari kecil kita sudah tahu mengurus dan bergaul; belajar bertolak ansur, belajar berkongsi kerja, belajar menjadi ketua dan belajar menjadi pengikut. Kita bergasak kelahi tapi esok berbaik kembali. Kita jadi kaki sibuk kalangan kawan tetapi simpan rahsia kawan daripada emak bapak.
Budak-budak Zaman Dulu Tak Kemaruk Dengan Gajet
Itulah antara rentetan nostalgia kita sewaktu kecil. Kenangan indah ini buat kita tersengih senyum sendiri apabila mengimbas kembali waktu kecil sebelum baligh. Saya hargai kenangan ini kerana kehidupan sekarang sungguh jauh berbeza. Kanak-kanak zaman ini tidak boleh sewenang-wenangnya bermain tanpa pengawasan. Hendak pergi ke taman permainan pun perlu ada ‘pengawas’. Mereka tiada kawasan luas untuk berlari berkejaran. Adakala mereka tiada kawan untuk bermain. Anak jiran sebelah rumah belum tentu kenal. Kalau ditegur pun tidak menjawab.
Permainan anak-anak sekarang adalah gajet ciptaan manusia. Mereka tidak keluar rumah mencari gajet alam ciptaan Allah. Mereka hebat di papan kunci tetapi kurang pandai membuat kawan. Kawan-kawan mereka adalah kawan sebilik darjah atau sekuliah. Hebatnya kita, satu sekolah kita berkawan. Murid sekolah petang boleh kenal murid sekolah pagi dan sebaliknya. Kawan sekolah belum tentu kawan sekampung. Dan kita berjalan atau berbasikal berbatu-batu pergi balik sekolah.
Dulu Kita Kuat Basuh Pinggan, Menyapu dan Mengemop Lantai Satu Rumah!
Seperkara yang pasti, sebelum keluar bermain, kita anak perempuan akan pastikan semua kerja rumah (bukan kerja sekolah) beres supaya emak tidak mencari-cari kita dan tidak menyimpan marah apabila kita balik. Walaupun nakal kita pandai mencuci pinggan mangkuk, walaupun ‘pantang terlepa hilang’ kita masih tahu menanak nasi. Hujung minggu kita ligat menolong emak. Bangun tidur kita kemas tempat tidur, lipat selimut, sidai baju, lipat baju dan gosok baju. Kita menyapu rumah, menjolok buang sawang. Semuanya kita buat walaupun badan masih kecil.
Apabila memasuki sekolah menengah waktu bermain menjadi kurang. Kita lebih banyak bersukan di sekolah daripada bermain di rumah. Sebab semakin hari kita membesar, semakin hari kerja rumah semakin banyak. Kita mulai menjadi ‘pembantu chef‘. Yang bersekolah asrama balik rumah kerja sudah menanti. Tetapi kerja-kerja ini hanya dipindahkan kepada anak-anak perempuan manakala kebanyakan anak-anak lelaki masih bebas merayau bermain di luar rumah tanpa ada tugas khusus diberi.
Kelangsungan daripada tugasan ini menjadikan kebanyakan generasi kita boleh melakukan pelbagai kerja (multi tasking). Mata kita tidak boleh melihat pakaian kotor menimbun, rimas melihat sinki penuh dan tangan kita laju melipat pakaian-pakaian yang diangkat dari jemuran. Biarpun meja pejabat dikuasai timbunan fail dan buku, mata kita sakit, hati kita geram melihat kole-kole cantik bersisa minuman ditinggal kering tidak bercuci di sinki pantry. Paling kita tidak faham apabila pejabat kita 95 peratus perempuan.
Budak Sekarang Tekak Nak Sedap, Tapi Liat Basuh Pinggan Sendiri
Hari ini anak Cina, India, Melayu mahupun anak campur semuanya sama perangai. Kalau bab makan semuanya mesti sedap di tekak tetapi bab mencuci pinggan, membasuh kole, mahupun mencuci sudu dan garfu sebatang yang menyuap mulut sendiri, mereka teramat-amat liat. Daripada atasan hingga ke bawahan perangainya sepesen; malas mencuci pinggan/kole minuman sendiri. Mereka rela pinggan/kole itu kering berbau di pantry daripada meluang hanya seminit untuk membasuhnya.
Hari ini, negara kita berdepan dengan kes perceraian yang tinggi terutama kalangan orang Islam. Usia perkahwinan kebanyakan yang bercerai di bawah lima tahun. Peratusannya meningkat setiap tahun. Berkenalan, berdating bertahun-tahun, majlis kahwin berlangsung penuh megah, beria-ia malangnya belum melewati lima tahun, sudah retak menanti belah. Menurut JAKIM, purata tiga kes perceraian berlaku bagi setiap jam dalam kalangan Muslim di negara ini. Ironinya, sesetengah alasan perceraian tidak pernah terlintas di fikiran seperti isteri pemalas, pengotor dan suami terlebih rajin.
Tahun lalu emak saya menyoal marah kepada anak saudaranya yang bercerai tidak sampai setahun usia kahwin, “Mengapa kau menganiayai anak orang? Kalau tidak suka mengapa kau kahwini dia? Kau tak kasihankan dia, tak sampai sembilan bulan kahwin dah jadi janda.”
Sepupu saya (lelaki) orangnya pandai memasak rajin mengemas rumah. Perangainya mewarisi bapa saudara saya yang ringan tulang membantu kerja-kerja rumah dan tidak kekok berada di dapur. Kalau bertandang ke rumah pak cik, emak selalu kata, “Cuba duduk sini berbual,” jika tidak dia akan sibuk di dapur untuk buat itu ini untuk kami tetamunya.
Anak Perempuan Lepasan Universiti Pun Tak Tahu Cara Menanak Nasi
Setelah lama dicungkil akhirnya, sepupu saya membuka mulut. Katanya, “Isteri saya malas mengurus rumahtangga. Rumah sentiasa bersepah. Pakaiannya, barangnya merata tempat di rumah. Pinggan mangkuk tidak bercuci. Setiap hari, setiap kali balik rumah saya terpaksa kemas rumah, cuci pinggan mangkuk, lipat baju, susun baju di almari. Kami sama-sama bekerja, kami masih belum ada anak. Kalau dia balik kerja, yang dibuatnya menghadap TV dan berFacebook saja. Masak tidak, pinggan makannya dan gelas minumannya dilonggokkan saja dalam sinki tidak berbasuh hingga berhari-hari.
Katanya, semua orang tidak percaya ceritanya, “Sehingga saya terpaksa tunjukkan bukti (gambar) kepada hakim, baru mereka faham.”
Pelajarannya, kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak membesar, sama ada anak lelaki atau perempuan, ajarlah mereka mengurus rumahtangga. Tunjukkan cara mengemas katil, melipat selimut, menyusun pakaian.
Kalau mereka enggan menyapu rumah tunjukkan cara vacuum dan jangan lupa ajar mereka cara menjerang air dan memasak nasi walaupun menggunakan periuk elektrik. Tahukah anda ramai anak perempuan lepasan universiti dan bekerja tidak tahu memasak nasi?
Saya pernah ditanya macam mana hendak masak air? Awalnya saya ingat dia tidak boleh jerang air kerana tiada cerek rupa-rupanya dia memang tidak tahu macam mana hendak masak air sebab di rumahnya menggunakan kemudahan ‘water dispenser.’ Apabila hendak buat minuman panas dia hanya tekan dan air panas pun keluar. Macam di pantry pejabat tu! Rasa takjub akan jawapannya lalu saya pun berkata, “Wahai girl, ambil cerek, masukkan air takat ini, hidupkan api dan tenggek cerek. Bila cerek berasap keluar wap, itu tandanya air sudah mendidih dan boleh tutup api.”
Pastikan anak-anak anda sama ada lelaki atau perempuan tidak membuli pasangannya. Kita faham sara hidup masa kini tinggi. Kita faham hari ini suami isteri perlu bekerja kerana faktor ekonomi keluarga. Kita juga faham dari hari ke hari tugas di pejabat semakin banyak, sukar dan mencabar. Kita juga faham tuntutan tanggungjawab sebagai suami, isteri, anak, ibu, bapa dan pekerja menjadikan kita perlu memikul banyak peranan dan perlu cekap lagi pantas melunasinya dan tidak boleh buang masa buat kerja sia-sia.
Semua itu tidak bermakna kita perlu bergantung harap kepada pelajaran di sekolah saja dan mencuci tangan daripada mengajar anak-anak pelajaran kehidupan di rumah. Kita perlu akui, setinggi mana pun kita belajar walau ada bergulung-gulung PhD dan fellowship, kita tetap perlu ke dapur. Jadi didiklah anak dan diri sendiri tentang kebersihan.
Tahukah anda apa jadi jika kita biarkan pinggan mangkuk kotor semalaman tidak berbasuh? Tahukah anda mengapa ibu bapa dahulu takut sawang beraja di rumah? Jelas bapa saya, pinggan mangkuk yang tidak bercuci akan dijilat jin di malam hari. Perbuatan membiarkan pinggan mangkuk tidak bercuci dan rumah bersawang menggalakkan kepapaan. Begitu jugalah kata guru agama saya.
Justeru, jangan tanya mengapa ekonomi anda sukar berubah bertambah baik, kalau kita sendiri setiap hari mengundang kepapaan datang bertandang di rumah!