Feb 19, 2017 - 5325
Oleh: Faizal Tehrani
Kredit foto: shutterstock.com
TEMAN saya itu pernah mengahwini seorang lelaki dari Kenya. Akan tetapi, jodoh mereka tidak lama. Saya percaya, warna kulit bukanlah isunya. Bibir tebal dan rambut gulung kecil juga bukan sebabnya. Mereka berpisah kerana si suami ingin bekerja di Nairobi. Sang isteri, teman saya tidak sanggup berjauhan dengan ibu yang kian tua dan menagih perhatian.
Mereka bercerai secara baik. Malah sehingga kini masih berhubung. Kedua-duanya ada anak kecil pada waktu itu. Anak itu comel sekali. Kulitnya sawo matang. Rambutnya seperti ayah, dan matanya sedikit sepet seperti ibu, teman saya. Pendek kata, penampilannya kelihatan khas sekali.
Tidak berapa lama kemudian ibu teman saya itu meninggal dunia. Terdapat ura-ura mereka kembali bertaut, tetapi itu tidak mudah lagi. Sang suami telah bertemu dengan orang lain. Teman saya itu keseorangan dan secara tidak sengaja berkenalan pula dengan seorang lelaki dari Zaire. Selepas saling jatuh hati, dan berkenal selama setahun, mereka percaya berumahtangga adalah pilihan yang munasabah. Maka kedua-duanya pun bernikah dalam satu majlis tertutup.
“Afrika?” Tanya saya dengan jegil mata. “Lagi?” Ujar saya menutup rasa tidak percaya. Dia hanya memuncung bibir. Waktu saya bertanyakan, “Mengapa lelaki Afrika?” Teman saya berseloroh, “Sekali Afrika, kekal Afrika.” Memang lucu jenaka itu. Mungkin, untuk teman saya itu sekali Afrika selamanya Afrika bukanlah sesuatu yang lucah. Ia mungkin tidak bermaksud sama sekali ke arah itu.
Saya pernah bertanya, lama dahulu, keistimewaan lelaki Afrika. Katanya Afrika bukan benua hitam seperti disangkakan. Mereka adalah benua cekal. Itu yang benar. Cekal mendepani pelbagai cabaran. Jadi lelaki Afrika, dia memberitahu saya adalah jenis tahan uji. Mereka juga memahami, atau cuba memahami. Mereka menggalakkan. Mereka juga mengujakan. Selebihnya kurang saya tahu.
Mungkin teman saya itu juga tidak berhak membezakan kerana belum pula mencuba lelaki dari bangsa lain, termasuk Melayu. Kisah perkahwinan dengan pasangan Afrika bukanlah pertama kali saya kesani. Sebelum ini, seorang teman saya, kakaknya berkahwin dengan lelaki Namibia. Memang kawasan kejiranan menarik nafas semput apabila mendapat kad jemputan mereka. Mulut orang berbuih bercerita. Ramai yang mengutarakan apa yang terbenam dalam benak; berani!
Tetapi kedua-duanya bukan berkahwin kerana terpengaruh aspek sensual. Yang menjadi lebih rasi ialah, kedua-duanya belajar di Universiti Azhar dan jatuh cinta di sana. Mereka mendalami bidang agama dan suka sama suka. Malah proses perkenalan mereka juga tertib.
Salah satu yang jarang dicuba orang kita ialah mengahwini orang luar. Kita selalu memikirkan faktor sekuriti. Dalam hal ini seorang perempuan ada rasa tidak percaya yang sangat berlebih dalam diri. Mereka gentar jika perkahwinan gagal, dan ditinggalkan. Terdapat juga mitos menjadi mangsa dera oleh lelaki luar. Prasangka ini saya kesani kurang disambut oleh individu bangsa lain. Kegentaran untuk mencuba ‘sesuatu yang baru’, atau belajar dari peradaban dan budaya berlainan menjadi penghalang.
Pernah seorang kawan saya mengahwini wanita Parsi. Saya bertanya apa rumitnya. Banyak, jawabnya ringkas. Isterinya tidak gemarkan pasar malam. Tidak gemarkan kucing. Dan anti makanan pedas. Alahai, itu kan perbezaan yang ranting. Perlukah saya mengingatkannya kepada lagu Juliana Banos satu ketika dahulu?
Saya selalu memberitahu kawan perempuan saya yang belum berkahwin walaupun usia sudah lanjut. Sukar untuk mereka menunggu lelaki tempatan. Mungkin persen lelaki di Malaysia ini memang kurang dan tidak seimbang dengan perempuan. Persen itu jika ditolak lagi lelaki yang boleh dianggap berguna dan semenggah akan menjadi lebih rendah lagi. Kemudian perlu ditolak lagi dengan persen lelaki yang sudah menjadi suami orang. Tentulah tidak ada wanita yang suka berkongsi. Walau di mulut kata tidak apa, di hati Tuhan dan malaikat sahaja yang benar-benar tahu.
Maka mereka, wanita, kekurangan pilihan. Terdapat pula pesanan supaya tidak menjadi perigi. Biarlah timba yang datang menggali. Faktor-faktor ini menjurus kepada kaum perempuan kita menunggal dan membujang ke satu usia yang mereka sendiri sudah putus asa untuk berkasih. Hal ini sangat menyedihkan kerana sebagai wanita tunggal, mereka akan mengalami kejutan sosial daripada masyarakat.Malang sekali tanggapan terhadap perempuan tidak berkahwin adalah buruk berbanding lelaki yang tidak berkahwin. Padahal mungkin ada wanita yang memilih untuk bersendiri kerana rasa lebih mudah membawa diri.
Untuk mendapat zuriat yang pintar dan rupawan, perkahwinan kacuk memang menyediakan acuan yang sangat baik sekali bagi memenuhi keinginan tersebut. Anak kacuk selalunya anak yang perlu mengimbangi dua budaya. Untuk itu ia juga harus belajar menyikapi bahasa, adab dan cara berfikir. Hasil yang selalu tersedia untuk anak-anak ini adalah mereka akan menjadi seorang peribadi yang ke hadapan selangkah. Hal ini juga dituntut agama. Setiap orang mempunyai kekuatan latar yang datang dari bangsa, negara dan budayanya. Kekuatan ini antara lain ialah kekuatan cara berfikir. Anak yang mewarisi kekuatan cara berfikir daripada kedua-dua ibu bapanya akan tahu menyelesaikan masalah apabila dewasa. Mereka belajar menjadi pintar dan bukan pintar secara semula jadi sahaja.
Kredit foto: Arkib InTrend Malaysia
Kita juga mungkin ada tanggapan apabila pasangan itu adalah dariAfrika maka perkahwinan tersebut akan menempa kegagalan. Seolah-olah perkahwinan dengan lelaki dari Eropah akan berakhir dengan kejayaan. Mentang-mentanglah pasangan dari Barat kulitnya lebih cerah dan dikaitkan dengan kekacakan atau kejelitaan.
Seorang kawan ofis saya gagal bercinta berkali-kali. Muda tua, pelbagai latar sosial keluarga menjadi silih ganti. Saya menyarankan supaya dia bercinta dengan lelaki asing. ‘Choi’ katanya. Kemudian dia berbla-bla-bla, bagaimanakah ibunya akan menerima, nanti apa yang dapat dibualkan dengan ayahnya dan sebagainya. Padahal yang akan menempuh hidup kelak ialah dia, bukan ibu dan bapanya.
Kemudian dia bertunang dengan lelaki Melayu. Ternyata lelaki itu pelesit. Pertunangan berpenghujung begitu sahaja. Tanpa perkahwinan. Kemudian, dia datang menemui saya. ‘Bang, kiranya siapakah lelaki bangsa asing yang boleh saya buatkan kawan?’ Saya sahut dengan ketawa. Saranan saya itu memang ikhlas. Tetapi ia tidak akan menjadi apabila keterdesakan menjadi pencetus utama. Teman- teman saya yang menikahi lelaki asing membiar dan melakukannya dengan alami. Mereka tidak memaksa ke arah itu.
Apa yang saya ingin utarakan adalah supaya kita membuka fikiran dan benak. Supaya tidak terlalu menskop kepada satu pilihan yang ada. Allah mencipta manusia pelbagai warna, budaya dan bahasa dan selepas bah Nabi Nuh mereka bertaburan di pelusuk dunia. Kita tentu sahaja dituntut saling mengenal kerana kita sama-sama penumpang di dunia fana ini. Yang lain, menurut saya, tidak penting. Yang lain, asal baik, lebih penting.
Apa yang signifikan apabila memasuki perkahwinan antarabangsa ialah seseorang mesti yakin. Jangan memfokus kepada kegagalan. Jangan mencari salah dan segala yang remeh-temeh untuk dibesarkan. Kalau pun ada jangan mengomel dalam hati. Kalau pun ada, seeloknya berinteraksi. Ini kerana terdapat banyak contoh perkahwinan internasional yang berjaya. Di luar, masyarakat selain Melayu (atau Asia) sangat berani berkahwin campur kerana keterbukaan kepada cara berfikir dan budaya yang pesat. Depangkan tangan. Sambut dengan penuh ghairah perbezaan. Terlalu menumpukan kegagalan membuatkan perkahwinan antarabangsa menjadi sesuatu yang ditakuti.