Nov 05, 2016 - 62237
Oleh: Huda Hussain
DETIK perkenalan Dato' dan Datin, adakah melalui perantaraan sesiapa atau bagaimana?
DATIN HASHIMAH: Dahulunya dia tidak pandai bercakap kerana dia seorang yang pendiam. Tetapi pelik pula sejak meningkat usia, makin banyak pula cakapnya (ketawa). Mengenalinya ketika belajar mengaji dengan bapanya dahulu, dia seorang yang pendiam, tidak banyak cakap dan pada saya dia agak sombong.
DATO' JALALUDDIN: Isteri saya adalah anak murid kepada bapa saya. Mulanya, dia belajar mengaji, bernasyid dan berzanji dengan bapa saya. Memandangkan anak-anak murid bapa ramai, saya sudah tidak ambil pusing mengenai kehadiran mereka.
Mereka tinggal di rumah dan tahap pemikiran saya ketika itu, “Mengapalah mereka perlu tinggal bersama- sama kami di sini sehinggakan tiada privasi rasanya.”
Tiada sebarang bayaran dikenakan. Hinggakan apa sahaja yang ada di rumah itulah yang digunakan bersama. Makan, pakai semuanya ditanggung. Berbeza dengan pemikiran bapa saya, dia melakukannya kerana Allah SWT.
Mahu dijadikan cerita, pada suatu hari ketika hujan lebat dan kilat sabung-menyabung saya memegang pintu peti sejuk dan berlaku renjatan elektrik.
Ketika itu saya cuma memikirkan bagaimana mahu melepaskan tangan dan menjatuhkan diri ke belakang sehingga pintu peti sejuk terbuka. Peti sejuk itu hampir menghempap saya dan ditakdirkan Allah, isteri saya berada berhampiran peti sejuk dan dia yang menahan daripada peti sejuk menghempap saya. Sambil menjerit meminta tolong, dia yang memakai selipar getah menahan peti sejuk.
Kemudian saya dimasukkan ke hospital dan hanya seminggu selepas itu barulah saya bercakap dengannya.
Suatu hari saya mahu keluar dan pondok bas terletak tidak jauh dari rumah. Ketika keluar dan melintasi tingkap bilik (ketika itu dia berada di dalam bilik) saya secara spontan berkata, “Terima kasih kerana selamatkan saya.”
That was the word. Mulai hari itu saya mula memandang dan memerhatikan gerak-geri dia dari jauh. Tapi kami masih tidak bercakap. Dia seorang yang ceria dan peramah selain cepat mesra. Dan entah bagaimana, apabila melihat dia berbual mesra dengan rakan-rakannya terutama lelaki (dalam kumpulan nasyid) tiba-tiba terdetik perasaan cemburu.
Sumber Foto: Dato' Jalaluddin Hassan
DATO' JALALUDDIN: Satu perkara yang saya perasan, apabila saya mula bercakap dengannya, ahli keluarga saya yang lain pun turut sama bercakap dengannya. Pertama, dia mesra dengan mak saya dan mak saya juga jatuh sayang kepadanya.
Keduanya, adik-beradik saya sukakan dia sehingga saya terdetik, “Dia ni mesti jadi keluarga saya dan jika tidak kami akan kehilangannya,” dan caranya, kahwinlah! (ketawa).
DATIN HASHIMAH: Adik-beradiknya masing-masing buat hal sendiri. Mungkin kerana dengan kehadiran ramai anak-anak murid bapanya di rumah, membuatkan mereka tidak rapat dan mesra antara satu sama lain. Memandangkan saya dibesarkan dalam keluarga yang ramai, maka sifat mesra sudah sebati dalam diri. Saya sendiri yang mengambil inisiatif berbual dengan adik-beradiknya.
Adik-beradiknya pula cukup takut dan segan dengan Jalal. Apabila Jalal tiada di rumah, pelbagai perkara dilakukan. Buka radio itu dan ini tetapi apabila melihat dia turun bas, lintang-pukang semuanya. Kata mereka, “Abang Lang balik!” Dan keadaan kembali senyap sunyi berbeza dengan sebelumnya. Selain itu, saya sendiri yang aturkan aktiviti dalam keluarga mereka.
Misalnya pada hujung minggu kami akan pergi beramai-ramai ke Templer Park berkelah atau menonton wayang. Dari situ, tercetusnya kemesraan dalam kalangan adik-beradik mereka. Dan apa yang saya perhatikan, apabila saya mula rapat dan mesra dengan adik-beradiknya, dia mula cemburu (ketawa). Makanya, saya pula yang perlu memujuk. Mengenali insan bernama Jalaluddin Hassan, dia seorang yang kuat merajuk dan cemburu! (ketawa).
Sumber Foto: Dato' Jalaluddin Hassan
Saat melamar Datin pula bagaimana ceritanya?
DATO' JALALUDDIN: Pada suatu hari dia memberitahu saya ada seorang ustaz mahu masuk meminang. Entahkan betul atau dia mahu kelentong saya (ketawa), saya tidak pasti.
DATIN HASHIMAH: Saya sendiri tidak tahu menahu soal itu sehingga mak saya dari kampung yang memberitahu ada orang mahu masuk meminang.
DATO' JALALUDDIN: Mendengarkan perkhabaran itu, saya menaiki bas seorang diri ke kampungnya (berhampiran Tanjung Karang). Dari perhentian bas, saya berjalan kaki sejauh tiga kilometer ke rumahnya kerana tiada kenderaan ketika itu melainkan berjalan kaki sahaja. Melihat cuaca petang itu pula sudah hampir hujan. Saya berjalan laju lantas berlari menuju ke rumahnya.
Orang kampung hairan melihat entah dari mana datangnya budak lelaki berlari dalam hujan. Setiba di rumahnya, mak dia menyambut kedatangan saya dengan penuh hairan. Kata emaknya, “Ha Jalal, naik. Shima mana?” Jawab saya, “Shima ada di rumah, makcik.”
Lantas saya terus menyatakan hajat di hati, “Saya ada hajat ni. Saya suka anak makcik. Saya nak pinang anak makcik.” Dan mak dia hanya memandang saya. Selepas itu dia berkata, “Terima kasihlah sukakan anak makcik. Makcik nak tanya satu perkara aje, Jalal ni dah tiada orang tua ke? Seeloknya ikutlah adat.”
Padan muka aku, kena sound dengan mak dia (ketawa).
Dan selepas itu saya pulang ke rumah. Selesai satu perkara, seterusnya saya memikirkan bagaimana mahu memberitahu bapa saya kerana saya dengan bapa juga kurang bercakap. Ia rentetan daripada insiden saya tidak mahu menyambung pengajian sekali gus saya telah mengecewakannya.
Tidak seperti abang-abang saya ketika itu. Abang Musa mahu ke London belajar jurusan undang-undang, arwah Abang Fuad pula sudah masuk ke universiti. Dan saya anak ketiga, sudah pasti bapa mengharapkan sesuatu daripada saya. Katanya, “Kau mahu buat apa lepas ini?”
“Tak mahu buat apa-apa,” jawab saya. Dia terkejut. “Nak jadi apa?” Soalnya lagi. “Nak jadi P. Ramlee,” jawab saya.
Mulai detik itu saya membawa diri bukan kerana bapa memarahi saya tetapi saya tahu kerana telah mengecewakannya.
Umpamanya saya adalah anak yang tidak berguna. Saya masih ingat, ketika mahu membuat persiapan hari raya dahulu, mak saya bertanyakan kepada saya apa pakaian yang mahu dibeli. Tetapi saya menolak kerana saya beranggapan saya tidak layak menerima apa jua pemberian daripada bapa kerana telah mengecewakannya. Saya berdikari dan melakukan pelbagai pekerjaan.
Perkara penting dan perlu dipelihara dalam rumahtangga?
DATIN HASHIMAH: Perlu jujur, ikhlas, hormat-menghormati dan percaya antara satu sama lain. Jika suami keluar bekerja, janganlah pula mengesyaki apa-apa dan tekadkan dalam hati, “Ya Allah, suami aku keluar mencari rezeki kerana Allah Taala.” Doakan yang baik-baik untuk suami kita. Pengalaman saya sendiri, banyak dan ramai yang menyampaikan cerita itu ini mengenai suami saya.
Tetapi saya memilih untuk percayakannya. Tidak pernah sekalipun saya memeriksa telefon dan dia juga tidak pernah menunjukkan perubahan. Kasih sayang dan layanannya terhadap saya dan anak-anak tidak berubah. Tetapi saya tidak menafikan, ada pasangan suami isteri di luar sana; walau macam mana baik si isteri, si suami tetap berdegil dan tidak menghargai kebaikan isterinya. Itu adalah ujian masing-masing.
Kongsikan petua dan amalan yang dilakukan yang mungkin secara tidak langsung mengeratkan hubungan suami isteri, lalu mengekalkan rumahtangga hingga kini?
DATIN HASHIMAH: Pertamanya adalah kewajipan kita sebagai umat Islam yakni peliharalah solat. Ia adalah tunggak segalanya. Kemudian, sebagai isteri, biarlah air tangan kita yang menyuapkan suami kita. Ikhlaskan hati kita, kita masak, kita suapkan dia makan dan insya-Allah ke mana juga suami kita pergi, dia pasti akan ingat pada kita.
Memandangkan dia seorang suami yang manja, makan pun masih saya suapkan (ketawa) sehinggakan saya perlu menyuapnya terlebih dahulu barulah saya akan makan. Namun dek kerana keadaan kesihatan yang tidak menentu, sejak kebelakangan ini rutin itu sudah tidak dilakukan.
Sumber Foto: Dato' Jalaluddin Hassan
Bagaimana pula Dato' memberitahu bapa yang Dato' mahu mengahwini anak muridnya?
DATO' JALALUDDIN: Pada suatu petang, saat dia sedang membaca kitab dan melihat gerak-geri saya dari jauh, saya duduk menghampirinya. Sambil memberanikan diri, saya memberitahu, “Abuya, sudah tiba masa Jalal dirikan rumahtangga.”
“Kau nak kahwin dengan siapa?” Soalnya dalam nada yang tegas. “Hashimah,” jawab saya singkat.
Dia bertanya lagi, “Hashimah? Shimah mana? Anak murid aku tu?”
Saya mengangguk. Dia bertanya lagi, “Mak kau macam mana?” “Mak suka,” jawab saya. “Okey, nanti aku panggil pakcik-pakcik kau kita uruskan peminangan,” katanya.
Dan selepas itu?
DATIN HASHIMAH: Saya bergaduh dengannya kerana tidak mahu mengahwininya. Dia lebih muda daripada saya. Jarak usia saya setahun lebih dengannya. Mulanya saya dipaksa agar berkahwin dengannya.
Dia jenis yang kuat memaksa (ketawa). Macam-macam perkara yang dia buat. Ambil pisaulah, mahu bunuh dirilah. Hebat drama dia waktu itu, hahaha... Tetapi selepas itu mak dia memujuk saya agar menerima lamarannya. Dek kerana malas mahu berfikir panjang, apatah lagi mak di kampung mula bersuara, “Kau nak apa lagi. Dulu ada orang nak kau tolak. Takkan ini pun nak tolak juga?”
Hadiah sepanjang perkahwinan yang masih dikenang atau masih disimpan hingga kini?
DATO' JALALUDDIN: Apa sahaja yang diinginkannya akan saya beri.
DATIN HASHIMAH: Saya tidak dididik untuk menerima apa jua pemberian kerana saya tidak suka meminta-minta. Baik hari lahir atau ulang tahun perkahwinan, kami bukanlah sering bertukar-tukar hadiah atau meraikannya.
Sebagai isteri kita harus bertimbang rasa, jika suami tidak mampu misalnya usahlah membebankannya sehingga membuatkan dia rasa bersalah kerana gagal menunaikan permintaan kita. Sebelum meminta apa-apa fikir terlebih dahulu boleh atau tidak, apakah suami mampu dan sebagainya.