Feb 16, 2017 - 21313

"Setiap Dua Jam, Kami Ber‘SMS’, WhatsApp atau Tweet. Seronok, Macam Zaman Bercinta” — Dato’ Fazley Yaakob & Datin Azrene Soraya

Panggilan ‘adik sayang’ dan ‘abang’ menjadi sesi pujukan begitu berkesan buat Juara MasterChef Selebriti Malaysia dan pasangannya ketika hadapi kemelut rumahtangga. Oh, romantiknya!

 

 

 

Oleh: Norhaizan Ahmad

 

 

 

 

 

 

 

MENJADI adat hidup berumahtangga, ada pasang ada surutnya. Hari ini baik, esok lusa bermasam muka. Tetapi, itulah sebenarnya yang memberi warna kepada kehidupan selepas bergelar suami-isteri. Jikalau tidak, pasti suasana rumahtangga monotone sepanjang masa. Boringlah kalau macam tu! Bagi pasangan Dato’ Fazley Yaakob dan Datin Azrene Soraya, mereka juga tidak terkecuali. 

 

 

Tetapi yang istimewanya buat pasangan ini kerana mereka menggunakan nama panggilan manja – adik sayang dan abang– kala sesi pujuk-memujuk hati pasangan. Dan ada kalanya masalah yang dihadapi tak sebesar mana, tetapi itulah rencah masam manis dan situasi tenang taufan kasih yang mungkin ada hikmatnya untuk mengeratkan lagi hubungan mereka berdua. 

 

 

 

 

“Peraturan kami, kalau dah buat silap tidak boleh bawa masalah ini sampai ke kamar tidur. Apa pun, kami akan cuba selesaikan sebelum tidur. Maknanya kami tidak simpan lama-lama masalah, buat pening kepala je,” ujar Fazley tegas. 

 

“Kerana bagi diri saya, makna cinta dan kebahagiaan itu berpandukan kepada dua konsep yang saya pegang selama ini iaitu: Pertama, pengorbanan untuk keluarga tanpa berbelah bahagi; dan kedua adalah biar miskin harta tetapi kaya kasih sayang.” 

 

 

 

 

 

“Justeru, kalau nak menegur kesilapan pasangan, kami lakukan secara diplomasi. Cakap baik-baik dan ketika hati sudah ‘sejuk’ supaya fikiran lebih terbuka untuk dibawa berbincang. Dan akhirnya kemelut yang dihadapi dapat dirungkai dengan mudah dan lancar.” 

 

“Biarpun latar pendidikan kami berbeza kerana saya mengambil jurusan perakaunan dan Azrene ilmu perundangan, namun kami berkongsi minat yang sama; kesenian. Saya suka menyanyi dan khalayak pun tahu tentang itu kan? Manakala isteri pula pandai menarikan tarian tradisional. Dan itulah antara faktor yang mengeratkan lagi hubungan kami.” 

 

“Meski sudah bergelar juara MasterChef Selebriti, sebenarnya saya lebih suka jikalau isteri saya yang masak sekiranya menjamu selera di rumah. Dalam bab memasak, kami sama-sama hebat! Masing- masing ada kelebihan. Isteri saya pakar dalam membuat pelbagai jenis kek dan masakan tradisional, manakala kepakaran saya menjurus kepada hidangan Barat dan fine cuisine.” 

 

 

 

 

“Ketika Azrene berpantang, sayalah yang menjadi tukang masak khas buat dia, sekarang dah pandai bab masak makanan orang berpantang! Makanan kegemaran isteri? Oh, sudah pasti spaghetti.”  Pun begitu, kedua-duanya yang berasal dari Negeri Sembilan ini sememangnya menyukai makanan tradisional setempat. “Cuma isteri saya lebih suka masakan pedas berbanding saya. Kalau saya masak, saya cuba untuk kurangkan penggunaan cili. Pedas, tak tahanlah!” 

 

“Kerjaya saya bukan sahaja tertumpu kepada memasak sahaja selepas dinobatkan sebagai juara MasterChef Selebriti Malaysia musim pertama. Malah kini, saya buat kerja ‘3-in-1’ dengan menawarkan pakej demonstrasi masakan, ceramah motivasi dan diakhiri dengan nyanyian. Dan untuk mempertingkatkan kemahiran dalam bidang masakan, saya mengikuti kelas pastri di Le Cordon Bleu.” 

 

 

 

 

“Sesekali ada juga kejutan yang saya buat untuk keluarga. Bukan dalam rancangan Chef Surprise saja saya buat kejutan ya! Saya akan mencuba menu baru kerana keluarga dan isteri saya adalah penyokong dan pengkritik utama saya. Daripada kritikan mereka, saya tahu di mana kelemahan dan perbaikinya.” 

 

“Saya ni seorang bapa yang terlalu sayangkan anak. Saya lebih risaukan anak berbanding isteri. Sayang, sayang juga tetapi tidak berlebih, bimbang terlebih manja nanti rosakkan diri mereka. Mengurus anak-anak, Fazley dan isteri saling bekerjasama. “Kami bergilir-gilir akan memandikan ketiga-tiga ‘anak bujang’ kami setiap hari.” 

 

 

 

 

“Biar sudah enam tahun mendirikan rumahtangga, kami masih meneruskan aktiviti sama seperti waktu bercinta dahulu. Setiap dua jam, kami akan menghantar pesanan ringkas (SMS), WhatsApp atau Tweet. Seronok, rasa macam baru bercinta.” 

 

“Azrene orangnya simple, kalau saya bagi bunga dua tiga kuntum pun dia dah happy. Tetapi yang saya pasti, dia paling suka kalau dibawa bercuti. Tak payah susah sampai kena bawa bercuti hingga ke luar negara, di Port Dickson atau Pulau Pinang pun okey asalkan dapat luangkan masa semalam dua bersama keluarga dalam suasana santai. Itu yang saya suka tentang dia, tak berkira.” 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Hospital Terkejut, Saya dilahirkan Dengan 2 Alat Sulit” — NUR SAJAT Pasrah dicipta Sebagai KHUNSA

  • Seterus →

    "Saya Tak Minta dilahirkan Begini" — Bagaimana TRANSGENDER Ini Mencari Takdir Hidupnya