Nov 26, 2016 - 17223
Oleh: Huda Husain
Bukan mudah bintang ini mahu membuka pintu rumahnya untuk sesi fotografi malah InTrend adalah satu-satunya majalah yang berpeluang merakam sudut terbaik di kediamannya. Terletak di tengah ibu kota yang rata-ratanya dikelilingi hutan konkrit, kondominium menjadi pilihan bintang filem Perempuan, Isteri dan... Pesona Datin Sofea Jane tidak pernah padam malah jelas terpancar di wajahnya kala melihat dia bersedia untuk beraksi di hadapan lensa kamera.
"Aura karakternya sungguh kuat, " desis hati kecil saya. Auranya itu seakan memanggil untuk mata ini terus tertumpu ke arahnya tatkala memberikan posisi terbaik bagi setiap foto. Punya nama besar dalam industri seni malah dia adalah antara anak seni yang lantang memperjuangkan hala tuju seni lakon layar. Masih aktif dalam kerjaya seni baik filem dan teater, namun penglibatannya lebih selektif dalam pemilihan watak dan karakter yang ditonjolkan.
Terkini Datin Sofea Jane bakal muncul dalam filem genre sejarah, Hanyut yang antaranya menampilkan lakonan mantap barisan pelakon seperti Peter O'brien, Khalid Salleh, Adi Putra, Diana Danielle, Alex Komang dan Bront Palarae. Dalam pada itu, Datin Sofea Jane turut menyumbangkan buah fikirannya menerusi beberapa nukilan untuk penerbitan digital. Terbukti hasil tulisan dan olahannya masih meninggalkan kesan di hati sesiapa jua yang mengungguli jiwa seni empunya nama Sofea Jane.
Dan menyingkap prinsip kediamannya, Datin Sofea Jane mementingkan privasi khusus buat diri dan keluarga. Dan melihat kepada elemen privasi itu, ia disempurnakan menerusi cetusan idea dan dekorasi tersendiri dalam kondominium yang didiami sejak tiga tahun lalu. Saat kaki melangkah masuk ke kondominium berkeluasan 3,719 kaki persegi ini, saya rumuskan bintang ini punya personaliti yang ringkas.
Melihat almari dan perabot-perabot lain yang berasaskan kayu juga koleksi lukisan umpama melangkahkan kaki ke sebuah galeri kecil. “Saya bukanlah complicated orangnya jauh sekali arif dalam soal menghias rumah. Apa yang anda lihat ini itulah saya. Saya lebih menyenangi yang ringkas,” jelasnya.
Memilih kondominium sebagai kediaman sekeluarga kerana ia lebih selamat, ujar Datin Sofea Jane, “Kami sekeluarga pernah tinggal di landed property tetapi memandangkan suami saya sering keluar daerah lantas hanya saya dan anak-anak sahaja di rumah, maka kami putuskan untuk tinggal di kondominium sahaja,” ulasnya yang memilih kondominium kerana nilai privasi.
Selamat, Tenang dan Lebih Peribadi
Menurut Datin Sofea Jane lagi, dia dan suami Dato' Meor Azman Mohamed gemar meneroka dan melihat kawasan yang masih dalam proses untuk dimajukan. “Kami dapat tahu mengenai kawasan ini selepas beberapa kali mencari lokasi sesuai dan melihat beberapa rumah contoh. Dan menariknya di sini semua lokasi baik untuk membeli-belah, bank-bank dan lain-lain terletak berhampiran.
Nak ke mana-mana untuk apa-apa urusan sekadar berjalan sahaja dari rumah. Dekat dan memudahkan saya kerana tak perlu memandu. Malah saya juga jarang ke ibu kota jika tiada apa-apa urusan kerana semuanya ada di sini,” ulasnya lagi yang selesa dengan komuniti sedia ada sekitar Mont Kiara yang rata-ratanya terdiri daripada golongan expatriat.
Ketika ditanya bagaimana reaksinya jika masih ada peminat yang ingin merakam foto bersama bintang ini kala muncul di tempat awam, jawabnya, "Saya akui sebagai public figure kelibat saya di mana-mana sedikit sebanyak mencuri tumpuan. Dan saya tiada masalah mengenai hal itu terutamanya jika masih ada peminat yang mahu bergambar bersama.
Saya amat berbesar hati peminat masih mengenang saya dan masih merasai impak karya lakonan saya. Jika masih ada yang mengenali diri ini bahkan mengingati lakonan lama saya, saya rasa bersyukur dan sangat menghargainya.”
Dekorasi & Pemilihan Perabot
Menggunakan perabot berunsurkan kayu, kebanyakannya adalah perabot yang dibawa pulang dari Indonesia sewaktu menetap di sana. “Ruang yang terhad dan perabot yang besar menyukarkan saya untuk play around dan rearrange perabot yang ada. Malah ada juga perabot-perabot yang lain saya berikan kepada ibu saya kerana maklum sajalah kondo seperti ini mempunyai ruang yang sangat terhad.”
“Perabot-perabot pula saya letakkan saja dan kebanyakannya bercirikan colonial furniture,” jelasnya sambil melemparkan pandang pada ruang tamu yang sarat dengan koleksi buku. Ringkas dalam menata hias setiap sudut rumahnya, Datin Sofea Jane juga tidak cerewet dalam pemilihan perabot asalkan ia cantik, selesa dan sesuai dengan ruang yang ada. “Kalau nyonya jual rotan pun saya akan beli,” celahnya berseloroh.
Pencinta Ilmu
Hampir setiap almari dan kabinet yang terdapat di sekitar ruang tamu turut menempatkan koleksi foto keluarganya. “A picture tells a story malah saya lebih suka letak gambar-gambar keluarga saya dan apabila anak-anak lihat mereka akan bertanya tentang kisah di sebalik setiap gambar tersebut,” ulasnya lagi.
Malah saya dan rakan-rakan teruja dapat melihat foto perkahwinan ibu Datin Sofea Jane yang masih rapi dibingkai dan diletakkan pada kabinet berhampiran ruang makan. Gemar meluangkan masa dengan membaca, rata-rata pelbagai koleksi buku dapat dilihat sekitar ruang tamu.
“I love reading and this is my favourite spot selain sofa di hadapan dan di bilik. Rasa tenang dan nyaman sambil mendengar bunyi-bunyi dari luar,”ujarnya sambil menghirup kopi di ruang balkoni yang hanya menempatkan meja kecil lengkap dengan empat buah kerusi. Mendidik anak-anaknya membaca sejak kecil lagi, membaca juga adalah satu rutin dalam keluarga Datin Sofea Jane.
“Apabila saya dapati buku-buku tertentu tiada di almari, saya tahu anak- anak saya yang mengambil dan membacanya. Sekurang-kurangnya apabila berada di meja makan, ada sesuatu perkara yang akan kami bualkan dan bincang bersama,” jelasnya lagi.
Menggemari koleksi buku berkisarkan biografi, sejarah, seni dan budaya juga tekstil bagi Datin Sofea Jane membaca adalah salah satu cara untuk mengasah minda selain menambah pengetahuan dalam pelbagai cabang ilmu.
Syurga Kehidupan Sofea Jane
Ketika melangkah masuk ke kediamannya, Datin Sofea sedang ralit disolek Fendi Sani. Kami tercari-cari kelibat anak-anak daranya, Arissa, Khadeja dan Soraya. Ya, tentunya saya kepingin sekali melihat wajah-wajah cantik yang diwarisi mereka.
"Anak-anak ada di bilik," kata Datin Sofea. Tidak lama selepas itu, anak sulungnya Arissa keluar mohon diri untuk ke kelas. Sempat mencium ibunya, buat saya tertanya bagaimana didikan Datin Sofea kepada anak- anaknya yang sedang meningkat remaja itu.
"Saya masih amalkan cara didikan ketimuran. Kebebasan itu perlu ada limitasinya. Walau mereka dibenarkan keluar tanpa pengawasan, saya pastikan mereka mesti ada di rumah sebelum Maghrib. Itu cara saya mendisiplinkan mereka," kongsi Datin Sofea yang menitikberatkan didikan bermula dari rumah. Melihatkan potret seni yang mendominasi dinding-dinding utama rumahnya juga menarik minat saya untuk mengetahui sama ada ia miliknya sendiri atau dikongsi minat sama suami?
"Oh, suami tidak minat. Apa yang saya beli dan pilih, dia ikutkan sahaja," ujarnya ketawa sambil menunjukkan salah sebuah lukisan yang menjadi kesayangannya yang dihasilkan oleh Jalaini Abu Hassan. "Ini antara yang satu, masih ada dua sirinya yang belum bergantung," terang Datin Sofea sambil menunjukkan dua potret yang mungkin menunggu masa dan 'singgahsana' paling serasi (barangkali) untuk diletakkan.
Dan, ya ternyata jiwanya sungguh 'hidup' tatkala berbicara perihal seni. Malah, jangan terkejut jika saya katakan bahawa Datin Sofea Jane sangat meminati dan mengagumi pelukis dan pengkarya tempatan. Kerana itu, kata Datin Sofea, dia amat sedih kalau ada generasi baru terutamanya dalam industri ini, tidak mengenali nama-nama besar seperti Alex Komang, Ahmad Yatim, U-Wei, Hassan Mutalib dan lain-lainnya.
Ternyata, walaupun mendekatinya untuk beberapa jam sahaja, jiwa dan roh seninya berjaya menembusi ke sanubari malah berjaya diterjemahkan menerusi setiap ruang kediamannya. Ia tidak hanya tentang lukisan tetapi penceritaan. Ia tidak hanya sebuah gambar tetapi kenangan. Ia tidak hanya sebuah rumah tetapi syurga yang tercipta dan dicipta oleh penghuninya bersama insan-insan yang disayangi.
Seperti katanya yang masih terngiang-ngiang, "Kita adalah apa yang kita fikirkan. Kita perlu menjadi diri kita sendiri dan berani untuk melontarkan apa sahaja yang terbuku di dalam hati. Bersedialah mendepani apa pula kesannya kepada setiap tindakan yang telah kita ambil."
Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Datin Sofea Jane:
- Seorang yang sukakan sesuatu yang bersifat semula jadi. Justeru, tidak hairanlah dia lebih menggemari bunga segar seperti lili dan orkid (untuk penggambaran tempoh hari, dia sanggup berlari ke kedai membeli bunga segar untuk dijambangkan di dalam pasu sebagai hiasan rumahnya).
- Berjiwa seni dan sukakan sesuatu yang bersifat klasik lagi artistik. Walaupun menjalani gaya hidup harian cara moden, jangan terkejut Sofea mempunyai koleksi fabrik lama seperti songket dan batik selain menyimpan ajnas lukisan pelbagai motif.
- Jangan terpedaya! Walaupun memelihara kucing bernama Hazel yang gebu dan comel, Sofea sebenarnya alah pada kucing. Ia dibela pun atas desakan anak-anak. Juga gayat walaupun duduk di kondominium tingkat enam!
- Menggemari warna hitam, putih dan kelabu. Dan, ia dapat dilihat menerusi dominasi ketiga-tiga warna ini pada tatarias rumahnya.