Nov 22, 2016 - 23099
Oleh:
ERRA Fazira wajar dikagumi. Bekas Ratu Cantik ini cukup gigih menapak selama lebih dua dekad untuk dikenali sebagai ratu seni, menjadi pujaan ribuan peminat dan mampu mempertahankan kedudukkannya sebagai penyanyi dan pelakon sejak usia remaja hingga usia mencecah 40-an.
Kejelitaannya tetap utuh dan paling ketara kulitmya polos gebu dan halus mengalahkan wanita muda. Tatkala berbicara, suaranya selunak kala menyanyi, namun, paling melekat di hati saya adalah kemesraan Erra Fazira itu sendiri. Erra mudah mesra dan bercerita. Tanyalah apa sahaja, dia menjawab tanpa berselindung.
Bercerita mengenai anak membuat Erra semakin ceria dan pagi Khamis terasa begitu bermakna kerana hajat InTrend merakamkan kejelitaan Erra Fazira tercapai jua. Walau bukan kali pertama menjadi wajah sampul InTrend (kerana Erra antara selebriti yang kerap dipilih menghiasi sampul hadapan InTrend), namun inilah kali pertama kami merakamkan wajah diva kesayangan Malaysia ini selepas mengenakan hijab.
Kehadiran Erra di studio pada pagi itu setia ditemani pengurusnya Firdaus Faizal yang tidak menang tangan menggalas beberapa beg kecil serta mengheret sebuah luggage bag. “Apa khabar Erra?” Tanya saya sambil menghulurkan tangan untuk berjabat salam. Erra yang sedia maklum cantik dan bergaya menjawab mesra, “Alhamdulillah, saya sihat-sihat seperti biasa.”
Hari itu, Erra sekadar menyarung kardigan hitam dan celana cerut di bawah juga tudung daripada koleksinya sendiri iaitu RARA by Erra Fazira. Sambil Bong mengoles rata bedak asas pada jelapang wajah Erra, saya merebut peluang ini dengan menemu bualnya.
Memulakan bicara, saya bertanyakan khabar tentang Aleeysa dan Erra membalasnya dengan nada gembira. Tatkala saya berkongsi cerita mengenai pemergian anak kedua saya yang dijemput pencipta-Nya membuat mata Erra kelihatan berkaca-kaca. Saya akui sebagai ibu, dia turut bersimpati dengan apa yang berlaku ke atas saya. Apabila zuriat kita pergi buat selama-lamanya dan kepulangan itu terjadi dalam sekelip mata, hati ibu mana yang tidak berduka nestapa. Namun Erra berjaya menenangkan perasaan saya dan temu bual diteruskan dengan lancar sehinggalah Bong menyudahkan tugas tatariasnya. Ayuh InTrenders, tataplah wajah diva kesayangan anda sepuas-puasnya!
Akhir-akhir ini Erra dilihat kurang aktif dalam bidang nyanyian. Bagaimana dengan perjalanan seni Erra setakat ini? Apa projek terbaru?
Alhamdulillah Erra masih berpeluang meneruskan kerjaya seni seperti biasa. Masih menyanyi jika mendapat undangan, begitu juga dengan berlakon dan mengacara. Kini Erra sedang mencari jalan untuk bina team production house milik sendiri. Di samping itu, Erra masih mengintai-intai peluang jikalau ada persembahan teater yang sesuai dan boleh disertai bagi mengisi ruang pada hujung tahun ini.
Bab menyanyi pula memang diakui Erra sudah perlahankan rentak disebabkan Erra tidak mempunyai lagu baru. Dahulu, Erra memang ada perancangan untuk ‘gugurkan’ bidang nyanyian kerana ingin memberi tumpuan pada rumahtangga dan tugas sebagai isteri dan ibu.
Kebetulan kontrak Erra bersama syarikat rakaman tamat dan Erra pun tidak bersungguh-sungguh untuk sambung kontrak, jadi perkara itu senyap begitu sahaja. Maklumlah ketika itu Erra sudah ada keluarga, sudah menjadi ibu, sibuk pula nak berlakon, jadi macam-macam benda yang Erra hendak buat, bimbang juga jika tidak terdaya melunaskan semua tugas dengan baik.
Jadi, bermula dari situ, Erra kurang aktif menyanyi. Sekarang, ia ambil masa untuk Erra kembali menyanyi kerana Erra perlu ada lagu yang bagus untuk buat comeback. Bagi Erra kalau ada lagu yang bagus adalah, kalau tak ada pun tak mengapa.
Mungkinkah disebabkan kecintaan Erra yang baru terhadap dunia perniagaan membuat diri tawar hati untuk kembali menyanyi? Kongsi sedikit fasal koleksi tudung RARA by Erra Fazira?
Mungkin. Sebabnya Erra sudah menyanyi, berlakon pun iya, jadi hos pun sudah, jadi Erra nak venture benda baru terutamanya dalam bidang perniagaan yang ada kaitannya dengan diri. Sebab itu, Erra pilih perniagaan yang ada kena mengena dengan fesyen sebab Erra memang sukakan fesyen. Jadi Erra berjinak-jinak dalam perniagaan tudung RARA by Erra Fazira sementelah Erra pun sudah berhijab.
Erra mulakan perniagaan ini secara kecil-kecilan. Sebenarnya sudah lima tahun Erra berjinak-jinak dalam bidang perniagaan cuma Erra tidak gembar-gemburkan.
Penerimaan peminat terhadap RARA by Erra Fazira?
Setakat ini peminat mengatakan yang koleksi tudung yang Erra buat okey. Rekaannya simple dan mudah dipakai, selain materialnya yang selesa. Kerana faktor inilah yang membuat Erra mahu berkongsi dengan peminat. Apabila Erra berniaga, Erra tidak mahu mengejar keuntungan semata-mata tetapi ingin beri kepuasan kepada pengguna/pembeli, barulah pulangannya berbaloi kerana dapat sokongan yang benar-benar ikhlas daripada mereka.
Erra memilih perniagaan tudung kerana Erra sendiri masih tercari-cari fabrik yang sedap dipakai dan cantik dipandang sebaik mengenakan hijab. Apabila sudah ketemu dengan apa yang berkenan di hati, Erra mahu kongsi sama peminat dan alhamdulillah, mereka pun suka. Buat masa ini tudung Erra dijual secara online.
Erra juga belum punya team untuk mengendalikan sebuah butik. Kerana bagi Erra skala perniagaan itu akan berkembang seiring dengan permintaan. Kalau misal kata Erra tidak dapat kendalikan perniagaan ini dan Erra perlu menggajikan lebih ramai pekerja maka secara tidak langsung akan meningkatkan kos.
Memandangkan perniagan ini secara kecil-kecilan, justeru Erra buat mana yang penting sahaja. Tidak mahu tamak dalam soal berniaga. Sejujurnya setakat ini team yang mengendalikan pengurusan tudung RARAby Erra Fazira hanya empat orang, hahaha.
Baru-baru ini Erra ada sertai bazar untuk melihat feedback daripada pengguna yang juga peminat tudung RARA by Erra Fazira. Dari situ, Erra dapat banyak feedback kerana ada yang nak jadi stokis dan sebagainya. Kami berjaya jual stok tudung RARA by Erra Fazira yang sepatutnya dijual untuk dua hari tetapi habis pada hari pertama. Memang mengujakan! Apa pun Erra mahu buat buat peringkat demi peringkat, tidak mahu terkejar-kejar. Kalau ada rezeki alhamdulillah.
Melihat Instagram Erra, anda sedang berjinak-jinak membuat aksesori. Ada perancangan untuk mengembangkan bisnes ini?
Hahaha... Erra saja-saja seronok untuk hasilkan aksesori. Nak isi masa senggang dengan aktiviti yang bermanfaat. Setakat ini, belum lagi terniat untuk menjadikannya sebagai cabang bisnes yang baru.
Niat hendak berhijrah sudah lama. Beberapa tahun sebelum ambil keputusan muktamad untuk berhijab, Erra isi dalaman diri dengan menghadiri kelas agama, selain melunaskan tanggungjawab sebaik mungkin sebagai Muslimah.
Erra mahu tanamkan kecintaan yang tinggi dalam diri untuk mendekatkan diri dengan Allah. Mana yang tidak balance sebelum ini Erra seimbangkan, mana yang berlubang Erra kambuskan, dari situ Erra jadi lebih serius untuk bertudung.
Pada masa sama, untuk tanamkan lagi keinginan untuk bertudung (bukan sekadar berkata ya), Erra membuat sedikit pelaburan dengan mengumpulkan helaian tudung yang disukai. Kalau membeli baju pun Erra sudah mula fikirkan kalau pakai tudung nanti baju ini boleh dipakai ataupun tidak.
‘Signature look’ Erra selepas berhijab?
Erra sukakan gaya tudung yang simple dan senang dipakai. Kalau ada bunga-bunga besar di tepi telinga, it’s not me!
Apa kata Aleesya apabila Erra berhijab?
Sejujurnya Aleesya sangat suka apabila melihat ibunya mengenakan hijab. Lagipun kami pergi mengaji bersama-sama, jadi dia tidak kekok melihat Erra mengenakan tudung.
Erra pernah bersembang dengan dia, “Macam mana kalau mommy bertudung?” Aleeysa jawab, “Okey. Mommy mesti pretty macam princess kalau pakai tudung.” Itulah jawapan polos yang menguatkan lagi semangat Erra untuk berhijrah.
Erra pernah dikaitkan menjalin hubungan cinta sama Shahir. Komen?
Beginilah, bagi Erra, tanggungjawab Erra sebagai seorang insan adalah berkawan dan mengenali mereka yang mahu berkawan dengan Erra. Sebelum jump into any further relationship, Erra kenalah mengenali seseorang itu terlebih dulu.
Pendapat Erra mengenai penerbitan semula foto-foto lama sebelum bertudung?
Itu di luar kuasa Erra. Benda yang lepas biarlah lepas. Semua orang melalui zaman masing-masing. Khalayak pun tahu, Erra buka buku baru dan tutup buku lama.
Jika ada pihak yang hendak membeza-bezakan kehidupan Erra dahulu dan sekarang, itu masalah mereka. Bagi Erra, penghijrahan Erra tidak menyusahkan orang lain. Sekiranya ada pihak yang perlu menerbitkan semula gambar-gambar lama Erra sebelum berhijab, terpulanglah. Tetapi mereka juga harus tahu akan keperluan dalam menerbitkan semula foto-foto tersebut.
Erra cukup dikenali dengan pemakaian rambut-rambut palsu suatu ketika dahulu. Sebaik berhijab, di manakah rambut-rambut palsu Erra ya?
Erra simpan elok-elok semua rambut palsu di dalam kotak (ketawa). Mula-mula tak tahu apa nak buat dengan rambut-rambut palsu tu! Pernah juga terfikir untuk menjualnya sebagai ‘pre-love item’.
Jika ada yang minta, Erra berikan. Almaklumlah jumlah rambut palsu Erra mencecah ratusan, ambil ruang untuk disimpan. Hendak dibuang sayang, hendak diberi kepada orang lain, entahlah! Erra bukannya apa cuma sudah mula memikirkan baik buruknya jika rambut-rambut palsu ini bertukar tangan.
Erra sekarang dilihat lebih banyak mengacara berbanding menyanyi ataupun berlakon?
Kalau tanya Erra tentang fokus sekarang ini sememangnya Erra tidak tahu nak jawab apa, hahaha... Kalau orang panggil menyanyi, Erra menyanyi. Begitu juga dengan yang lain. Cuma kali ini apa yang Erra betul-betul mahukan adalah mengendalikan bisnes sendiri dengan jayanya. Diri Erra yang sebenar adalah sebagai artis – menyanyi dan berlakon.
Namun cabang bisnes Erra baru nak tanam minat. Dan mula belajar dari bawah untuk kendalikan bisnes secara kecil-kecilan berbanding terus bermula dengan skala besar. Bukan apa, kalau bisnes tidak menjadi, melopong Erra! Maklumlah bisnes ini Erra mulakan dengan duit daripada hasil titik peluh Erra selama bergelumang dalam bidang seni. Jadi, biarlah ia bermula secara kecil-kecilan kerana dari situ Erra dapat belajar menyaksikan perkembangan yang dicapai dari masa ke masa. Barulah rasa nikmatnya.
Khalayak tahu Erra pernah gagal dalam dua perkahwinan terdahulu. Namun ini bukan bermakna Erra tidak boleh mencari bahagia untuk diri sendiri sekali gus tertutup pintu hati untuk berkahwin semula. Kini sudah sedia dinikahi?
Pengalaman mengajar tetapi itu tidak menamatkan keinginan untuk berumahtangga. Sebab sebagai insan, Erra layak untuk menyayangi dan disayangi. Siapa yang tidak mahu keluarga bahagia? Siapa yang tidak mahu menamatkan zaman bujang? Jika ada rezeki untuk berumahtangga lagi, Erra tidak menolak.
Ketika perkahwinan pertama yakni pada fasa 30-an, Erra berasa panik jika belum bertemu jodoh. Justeru perkahwinan berlangsung kerana keterujaan untuk berumahtangga sekali gus tidak mahu digelar anak dara tua. Manakala perkahwinan kedua, Erra teruja disebabkan belum lagi memiliki zuriat.
Pun begitu, apabila perkahwinan ini kecundang juga, Erra bukan tidak mahu berumahtangga, malah tidak juga menaruh harapan setinggi gunung seperti mana dulu.
Kali ini Erra lebih berserah kepada takdir. Kalau ada jodoh, alhamdulillah.
Mungkin selepas ini Erra lebih memilih calon suami?
Erra tidak berani nak kata Erra jenis yang suka memilih. Bagi mereka yang mengenali Erra, Erra ni jenis yang sukakan komitmen. Suka berpasangan. Kalau solo pun sekurang-kurangnya ada berteman. Bagi Erra, pengalaman mengajar tetapi tidak menjadikan Erra sebagai seorang yang memilih tetapi lebih bersikap terbuka untuk memahami pasangan dan terima pasangan seadanya. Kerana jika kita terlalu memilih, pilihan akan jadi terhad.
Erra pula jenis yang akan ‘scan’ seseorang yang disukai, jika Erra berkenan dengan sikapnya yang berhemah, maka segala kekurangannya Erra terima.
Pun begitu, si dia juga perlu terima segala kekurangan Erra. Jangan sesekali berfikiran yang kita sahaja betul kerana dalam setiap perhubungan kita kena fikir apa yang kita boleh sumbangkan dalam perhubungan itu agar kemesraan dan persefahaman terjalin.
Pada usia 40, apa nasihat yang Erra beri kepada diri sendiri pada 10 tahun lepas?
Pesan Erra adalah take thing easy! Jika 10 tahun lepas (ambang 30-an), tahap kesabaran Erra kurang. Yalah, kita dah biasa berdikari jadi sifat give and take tu kurang. Apa pun Erra tidak pernah rasa regret dengan prinsip sendiri yang menjadikan diri tidak fleksibel. Jika dahulu Erra lebih tegas dan straight forward, sekarang cool sikit!
Dalam menjalani kehidupan ini, apa yang Erra cari?
Dalam hidup ini Erra mahu mencari ketenangan diri dan kebahagiaan dunia akhirat. Dunia akhirat bermaksud hubungan kita sesama manusia terjaga, tanggungjawab kita terlaksana, urusan kita dengan Sang Pencipta terjaga.
Apabila semua ini dipenuhi, insya-Allah kita akan berasa tenang dan tidak rasa berhutang.
Erra juga mahu bersikap sederhana. Belajar menerima kehidupan ini seadanya. Ya, kita ada bahagian masing-masing but how do you enjoy your life? Mungkin ada sesetengah individu, dengan memiliki RM1 juta dirasakan itu jumlah duit yang banyak. Tetapi ada juga individu yang merasakan RM1 juta itu terlalu sedikit buat mereka. Hakikat dalam kehidupan ini, sebagai manusia kita kenalah belajar menerima apa yang kita ada. Kerana segalanya sudah ditentukan oleh Yang Maha Kuasa.