Apr 25, 2017 - 278823

“Saya Tak Ada Lamboghini, Ferrari. Tapi Insya-Allah Saya Cari Kancil Untuk Mudahkan Awak Kerja” — Kasih JOHAN Buat OZLYNN

Siapa tidak kenal Ozlynn, dia isteri kepada pelawak terkenal Malaysia yang paling sempoi. Perwatakannya yang bersahaja membuat dia amat disenangi semua orang. Ikuti kisah perjalannan susah senang Ozlynn bersama Johan.

 

 

 

 

Oleh: Afiza Kamarulzaman 

 

 

 

 

 

 

OZLYNN, bolehlah diangkat sebagai isteri pelawak paling popular dan menyerlah setakat ini! Selain kerana dia juga dahulunya seorang pelakon, Ozlynn juga antara isteri pelawak yang menjadi tulang belakang kepada bukan sahaja Johan, malah pasangan duo lawak, Jozan yang pernah satu masa dulu mendominasi rancangan dan pentas lawak di siaran ASTRO. Ozlynn, bukan hanya isteri dan pengurus kepada suaminya, malah dia jugalah penasihat idea dan adakala menjadi penulis plot cerita yang akan disampaikan oleh Johan untuk satu-satu rancangan atau segmen yang dijayakannya.

 

Maka, bukan sesuatu yang mengejutkanlah apabila Ozlynn juga ditawarkan menjadi salah seorang peserta rancangan Super Spontan Superstar yang lalu kerana dalam kepala Ozlynn sendiri sarat dengan idea-idea lawak yang boleh caras lawak suaminya sendiri, setuju? Sesiapa yang rajin ‘stalk’ akaun Instagramnya, pasti tahu bagaimana sibuknya rutin Ozlynn sebagai isteri, ibu, pengarah syarikat dan pengurus Johan. Dan, kini kembali aktif berlakon, Ozlynn akui jadualnya kian padat, namun ia sesuatu yang membahagiakannya apabila dapat melakukan semuanya daripada dua tapak tangannya sendiri.

 

Menurut Ozlynn lagi, selain sibuk menguruskan produksi mereka sendiri dengan pelbagai penerbitan drama, Ozylnn juga kini dilantik menjadi duta untuk baju kurung Emms and Verxa. Lebih mengujakan adalah menanti kemunculan baju kurung baby Chantiq yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Semuanya masih dalam proses perbincangan bersama designer dan mencari material kain yang sesuai. Ayuh, dengarkan kisah di sebalik coretan hidupnya sebagai isteri kepada pelawak, Johan. Suka? Bahagia? Lelah? Kelakar? Atau makan hati? 

 

 

<< Balik Tabir Sampul Hadapan InTrend Edisi April 2017>> KLIK DI SINI: 

 

 

 

 

Ceritakan sedikit detik perkenalan dan seterusnya berkata, “Ya, Johanlah suamiku.”

Saya jenisnya kalau berkawan dengan seseorang, suka bawa kawan ke rumah dan kenalkan kepada mak dan abah. Setiap kali ada kawan lelaki yang mahu ajak keluar, saya akan minta mereka ambil di rumah. Abahkan polis.

 

Setiap kali diperkenalkan, abah akan buat muka tak kisah, maklah yang selalunya jadi perisik bertanya itu dan ini. Tetapi, berbeza sekali apabila satu hari, Johan yang saya bawa ke rumah, reaksi abah terhadap Johan berbeza. Johan memang pandai ambil hati orang tua. Punyalah abah sukakan Johan sampai abah cakap, “Ozlynn, kalau kau tak kahwin dengan dia, kau bukan anak aku!” 

 

 

 

 

 

Jadi, Ozlynn bersetuju mengahwini Johan demi restu abah dan mak?

Restu mak abah memanglah penting tetapi ia bukanlah penentu kepada kebahagiaan dan kekuatan jodoh itu kekal sampai mati. Kebahagiaan dalam sebuah rumahtangga bergantung kepada ketentuan Tuhan dan diri kita sendiri dalam mengemudi rumahtangga itu. Restu mak abah tadi saya pegang sebagai tanda hormat dan taat kita sebagai anak.

 

Memang waktu itu, saya kenal begitu ramai lelaki. Ada yang kaya; terlalu kaya sehingga apa saja saya mahu saya boleh dapat begitu saja. Berbeza pula dengan Johan waktu itu yang memang tidak ada apa-apa. Kata orang kosonglah. Tetapi waktu itu, saya yakin dengan pegangan agama yang ada padanya. Sesetengah lelaki yang saya kenal, bacaan solat pun tidak tahu.

 

Saya terfikir bagaimanalah saya mahu hidup dibimbing oleh lelaki sebegini, sedangkan diri saya sendiri pun belum cukup sempurna? ‘Johan punya agama’, itulah jawapan kenapa saya pilih dia dan mak abah juga mahukan dia sebagai menantu walaupun waktu itu Johan tidak mampu menjanjikan apa-apa untuk masa depan kami berdua. 

 

 

 

 

 

Apabila Johan melamar pada waktu dia tiada apa-apa, berapa pula hantaran yang dia beri dan bagaimana perkahwinan kalian waktu itu?

Apabila Johan bertanyakan abah berapa wang hantaran yang mereka letak? Abah terus cakap, “Kau ingat aku jual anak?” Abah tidak mahukan duit hantaran, cukup dengan mas kahwin sahaja. Malah, majlis kahwin kami hanya dihadiri sekitar 100 orang sahaja terdiri daripada saudara terdekat.

 

Selain tidak mampu waktu itu, mak dan abah juga tidak mahu kami berhutang selepas majlis. Sebab itulah, setiap kali buat majlis cukur jambul anak, kami akan buat meriah ala-ala majlis kahwin. Waktu itulah, baru kami nak feeling macam majlis kami yang dirai. Hahaha... 

 

 

 

 

 

Tidak ramai perempuan seperti Ozlynn (yang punya rupa dan nama), sanggup menggadaikan masa depan mengahwini lelaki yang tidak punya pendapatan tetap seperti Johan, bagaimana Ozlynn mematangkan fikiran bahawa agama yang ada pada Johan itulah jaminan dunia akhirat Ozlynn? 

Dari dulu lagi, saya selalu berdoa, “Ya Allah kau jodohkanlah aku dengan lelaki yang dapat membimbing aku dan beriman kepada-Mu.”

 

Saya sudah kenal begitu banyak jenis lelaki. Ada yang sudah berusia lebih 35 tahun pun masih ke club, bagi saya kalau masih begitu pada usia itu, sampai bila-bila pun dia tidak akan berubah. Memang ada lelaki kaya yang dapat menjamin masa depan saya, tetapi tiada kematangan dan diri sendiri pun tidak mampu dibimbing.

 

Saya tidak nafikan, Johan juga nakal; sangat nakal! Tapi kalau dalam jiwa ada pegangan agama, akarnya pasti kuat, apa juga yang dilakukan pasti balik kepada pegangan yang benar. Ya, saya berfikir sematang itu mungkin disebabkan faktor keluarga yang membesarkan saya dalam kesederhanaan. Saya pernah bantu mak berniaga, biasa hidup susah. Saya mula berlakon seawal usia 12 tahun, saya bercampur dan dikelilingi dengan pelbagai jenis manusia.

 

Saya paling suka bergaul dengan orang tua, mungkin kerana itu buat saya dewasa sebelum usia. Saya suka berfikir dari sudut positif. Sebagai contoh, kalau kawan saya itu seorang GRO. Saya tidak akan meletakkan hukum ‘jahat’ kepada dia. Saya tidak akan hentam dia dengan menganggap dia perempuan tidak baik atau nerakalah tempatnya. Alhamdulillah, ada kawan saya sudah berjaya tinggalkan pekerjaan itu setelah perlahan-lahan saya mendekatinya. Cara saya mudah, saya tidak berkhutbah. Saya ajaklah dia teman saya pergi shooting ke futsal ke.

 

Saya bawa dia keluar seketika daripada dunianya itu. Saya mahu dia tahu ada dunia lain yang lebih indah yang berhak dia lalui sama seperti kita. Kemudian, kita dengarlah apa yang mahu dia luahkan. Kawan saya itu pernah mengeluh, kerja GRO, gaji boleh sampai RM30,000 sebulan, pakai kereta mewah tetapi akhirnya tetap tak dapat apa? Barulah, saya buka mulut dan kata... Itulah pentingnya keberkatan duit yang kita kerjakan. 

 

 

 

 

 

Dalam hidup berumahtangga, kita biasanya melalui beberapa fasa; fasa naik, jatuh, diuji, bahagia. Bagi Ozlynn dan Johan sendiri, bilakah waktunya duji teruk dan kemudian mampu tidur lena diulit mimpi? 

Betul. Fasa anak pertama, kami akui diuji begitu hebat sekali. Waktu itu, Johan belum stabil lagi, masih berniaga, jual otak-otak, jual keretalah. Gaji tidak tetap. Saya sendiri, job berlakon tak banyak, ada juga produser yang bertangguh bayar payment sehinggakan nak beli susu anak pun tertahan-tahan. Tetapi, anak itulah penguat kami. Tuhan beri ujian dan Tuhan juga beri anak sebagai pembakar semangat. Selepas ujian ekonomi, dapat anak kedua, ujian lain pula Tuhan turunkan, lebih dahsyat.

 

Namun, kata Johan kita harus reda, apabila kita reda, maka lihatlah nanti rahmat lain yang akan Tuhan beri. Memang betul, daripada semua ujian demi ujian yang ditimpakan, kerjaya Johan naik sedikit demi sedikit selepas itu. Johan tidak naik mendadak. Dia melangkah setapak ke setapak. Saya suka begitu. Seperkara juga yang buat saya kuat apabila Johan pernah kata kepada saya dulu di atas tilam, baru-baru kahwin dulu, katil pun tak ada ya.

 

Kata Johan yang sampai sekarang saya ingat, “Saya minta maaf, sepatutnya awak dapat lebih baik daripada ini. Allah sedang uji awak. Saya berjanji, saya akan usaha cari duit untuk sara kehidupan keluarga kita. Paling tidak, saya mampu suap awak makan dan beri tempat berteduh untuk awak dan anak-anak. Awak tolong doakan saya.”

 

Setiap malam itulah yang akan Johan katakan kepada saya, yang buat saya menangis. Dia pun pernah cakap dulu, “Saya tak mampu beli awak beg LV, tapi nanti saya belikan awak beg Guess. Saya tak ada Lamboghini atau Ferrari tapi insya-Allah saya akan cuba cari Kancil untuk mudahkan awak bekerja.” Sebagai isteri, mendengar suami kata begitu, apa lagi yang ingin kita cakap? 

 

 

 

 

Apa perkara-perkara kecil yang akan buat kalian berkelahi?

Peliknya kami, dulu bila tak ada duit tak pernah gaduh tapi apabila dah ada duit lagi kuat pula bergaduh. Hahaha... Just a joke! Johan seorang yang pemurah, pantang kawan mahu meminjam pasti akan diberi walaupun dia tahu yang dia tidak akan dapat balik wang itu. Kalau yang diberi itu betul-betul memerlukan tak apa, tetapi kalau sekadar yang ambil kesempatan, itu yang kadang- kadang buat saya naik hantu, hahaha... Tetapi Johan pula, kalau saya marah dia akan pujuk dan cakap, “Papa kan ada monthly income yang kita tak usik.

 

Nanti dapat gaji dari ERA, papa bagi pada mama ya. Ganti balik duit yang orang tu pinjam.” Hish, kita bukan marah sebab duit itu, tetapi sikap Johan yang suka bagi muka tu. Bagi saya, lebih baiknya duit itu diberikan kepada yang lebih memerlukan, anak yatim ke? Tapi itulah Johan. Dia akan kata, bila kita kuat pegangan agama, maka banyaklah ujian yang Tuhan berikan. Kalau saya membebel-bebel lagi, dia akan cakap apa tau, “Ya Allah, kuatkan hati aku. Sesungguhnya, syaitan sedang menghasutku...” Dia syaitankan kita! Hahaha... Terus tak jadi gaduh. 

 

 

 

 

 

Apa lagi yang menarik hidup bersama lelaki bernama Johan?

Moto hidup Johan, dalam hidup kita setiap hari, selain beribadah, tugas kita juga adalah menyelesaikan masalah. Kita akan sering dihidangkan dengan pelbagai masalah. Reda dan percayalah bahawasanya akan ada jalan penyelesaiannya. Nak tahu kehebatan seseorang, lihat secepat mana dia boleh menyelesaikan sesuatu masalah itu. Sebab itulah, kalau kami ada masalah, ia tidak akan berpanjangan lama. Katakanlah kalau saya tengah marah, Johan akan umpan anak untuk pujuk.

 

Dia akan suruh anak panggil mama ajak solat berjemaah. Kalau saya kata, nanti mama solat sendiri, dia akan suruh anak cakap, semua orang sedang tunggu mama untuk solat jemaah. Dah anak cakap begitu, tak akanlah kita masih nak berkeras, kan? Habis solat dan berdoa, sesi bersalaman pula. Dah anak- anak semua bersalaman, tak akanlah saya mahu terus bangun tanpa salam dengan Johan, kan? Jadi, saya akan salam dan terus bangun. Waktu itu, mulalah Johan tarik telekung kita dan minta maaf. Kita dah dengar suami minta maaf, sejuklah hati.

 

Kadang-kadang, waktu salam itu juga, dia tonyoh muka kita kat tangannya. Teruslah berbaik semula. Mudah sahaja cara dia memujuk. Minta maaf dan masing-masing akui kesilapan masing-masing. Oh, saya baru teringat! Sebulan selepas kami diijab kabul, saya pernah tanyakan kepada Johan. Saya kata kepada Johan, sewaktu akad nikah tempoh hari, saya tak nampak Johan nervous tetapi saya nampak ada sesuatu yang berat pada wajahnya.

 

Saya tanya apa yang dia kirkan waktu itu? Jawab Johan, “Saya tak boleh nak beritahu apa yang saya rasa sewaktu melafazkan akad nikah itu. Hanya Tuhan yang tahu, kerana waktu itu saya sedang berjanji dengan Tuhan untuk menjaga awak sebagai amanah saya.” Sebaik mendengarkan itu, hati saya terus berkata, tidak salah pilihan abah ini. 

 

 

 

 

 

 

Dan, apabila masih ada haters yang terus menghentam kehidupan kalian berdua, bagaimana? 

Saya tahu, ada yang membangkitkan isu saya masih tidak bertudung sebagai kegagalan Johan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami. Johan akan pujuk saya dan kata, “Papa percaya mama akan jadi isteri solehah satu hari nanti. Tuhan sedang menguji kita. Orang luar tidak tahu apa yang kita lalui.

 

Kalau mereka buat mama sakit hati, delete sahaja. Kita tidak perlukan followers yang ramai. Kita tak tanggung dosa dan mereka pun tak terus membuat dosa dengan berkata yang menyakitkan hati mama. Johan sentiasa positif, dia selalu suruh kita maafkan sahaja supaya urusan kita dan dia menjadi mudah di akhirat nanti. Mereka tak perlu cari kita, kita pun tak perlu tunggu mereka. 

 

 

<< Temu Bual Eksklusif Bersama Ozlynn l InTrend Edisi April 2017>> KLIK DI SINI: 

 

 

 

 

Susahkah menjadi isteri kepada seorang pelawak? 

Tidak susah menjaga Johan. Yang susahnya apabila orang tidak faham yang kita ini isteri dan merangkap pengurusnya juga. Johan jenisnya di depan orang tidak pandai berkata tidak.

 

Misalan, orang beri dia job itu, depan orang itu dia kata ya, balik nanti, dia cakap dengan kita tak mahu. Habis tu, apabila kita tolak nanti kitalah nampak jahat, kan? Hahaha... Sebab itulah, kadang-kadang ada yang akan kata, “Alah Johan tu okey je, Ozlynn yang lebih-lebih.” Aduh, kita juga yang kena. 

 

 

 

Bolehlah saya katakan, kejayaan kalian hari ini adalah kombinasi seimbang antara kebijakan pengurusan Ozlynn dan kehebatan bakat Johan? 

Betul. Dulu lagi, saya tanyakan kepada Johan percaya tak kepada saya? Selepas, dia tidak lagi menjadi artis ASTRO, terus saya bertindak sebagai pengurusnya. Bagi saya yang penting, doa, usaha dan percayalah rezeki daripada-Nya.

 

Tidak ketinggalan, terima kasih kami kepada keluarga dan peminat- peminat kami, terutamanya Jozheart yang sentiasa bersama kami saat susah dan senang kami. 

 

 

 

 

 

 

Ozlynn dilihat kembali aktif dalam industri seni sejak kebelakangan ini, kenapa?

Anak-anak pun dah besar, saya kini punya banyak masa terluang. Tetapi tidak semua tawaran berlakon saya terima, tengoklah pada naskhah dan team yang bekerjasama. Johan pun tidak kisah asalkan katanya jangan balik mengadu penat, sakit badan sudahlah. 

 

 

Rahsia cantik Ozlynn? Ramai kata makin lama, makin cantik, mungkin sebab dah ada duit berbanding dulu?

Saya masih amalkan minum Gaia Inner Beauty. Dan, sekarang Gaia pun sudah keluarkan pencuci wanita. Bagus untuk para isteri. Satu lagi petua penting saya adalah bertangas setiap hari untuk mendapatkan kulit yang pinkish dan mengeluarkan air berlebihan dalam badan. Saya beli bahan-bahan bertangas itu di Chow Kit dan bertangas sendiri di rumah.

 

Kalau orang kata dulu tak cantik. Ya lah, dulu mana ada masa nak jaga muka, sibuk cari duit. Asyik shooting berjemur tengah panas, muka pun kusamlah. Kalau tak punya duit pun, masih boleh cantik dengan amalan gaya hidup yang betul. Minum banyak air masak, tidur yang cukup itu semua penyumbang kepada kecantikan diri juga. 

 

 

 

 

 

Apakah tips yang boleh Ozlynn kongsikan dengan wanita yang rasa tidak bahagia sebagai isteri? 

Kehidupan kami penuh dengan gurau-senda dan usik-mengusik. Walaupun dengan anak-anak Johan agak tegas, tetapi sebagai suami, dia sebenarnya sangat happening dan suka menyakat. Kadang-kadang, kalau saya keluar shooting, mulalah dia akan hantar WhatsApp, usik kita kononnya nak berkenalanlah, nak ajak keluarlah.

 

Perkara-perkara macam itulah yang buat kami bagaikan bercinta semula. Nasihat saya juga kepada isteri, walau anak sudah berderet, mesti luangkan masa untuk keluar berdua dengan suami. Waktu berdua itulah, nak buat apa pun gasaklah. Ingat, berdua dengan suami ya, bukan dengan kawan-kawan! Kita perlu menjadi lebih daripada pasangan kelamin. Kita perlu mampu menjadi kakak kepada suami, teman, penasihat dan apa sahaja yang diperlukan suami. 

 

 

 

Apa yang akan Ozlynn lakukan sekiranya Johan dalam keadaan ‘down’?

Seperti yang saya katakan tadilah, Johan seorang yang positif. Dia sendiri akan nasihatkan dirinya sendiri untuk pulihkan kekecewaan yang dihadapinya. Tak perlu orang lain. Namun, sebagai isteri tidaklah saya buat bodoh saja. Saya tetaplah kena ambil berat. Johan pula jenis yang kalau terasa hati, dia tidak akan cakap direct pada waktu itu. Pernah berlaku, sewaktu kami keluar lepak-lepak dengan kawan-kawan, apabila balik ke rumah, Johan nampak lain.

 

Saya tanyakan kepada dia, ada apa-apa yang tak kena ke? Rupanya, dia ada terasa dengan gurauan saya tadi. Tapi, Johan tidak akan melenting. Dia akan cakap elok-elok, “Papa terasa dengan apa mama cakap tadi...” Ya lah, kita ni kalau dah jumpa kawan-kawan tak ingat dunia. Teruslah saya minta maaf kerana terlepas pandang. Selesai. Komunikasi itu penting. 

 

 

 

 

Perkara paling sweet pernah Johan buat? 

Dia pernah curi-curi keluar dengan anak beli kek untuk buat birthday’s surprise saya. Balik dari beli kek, saya dalam tandas sedang ‘melepas hajat’. Boleh pula anak suruh keluar waktu itu juga, katanya adik menangis, mahukan mama juga.

 

Kita ni terpaksalah tangguhkan hajat, keluar dengan keadaan rumah gelap, tiba-tiba merekan nyanyikan lagu ‘Happy Birthday’ untuk saya. Sweet lah tu! Kalau tanya kenapa tak beli hadiah, Johan akan cakap, “Macam mana papa nak surprise kan mama dengan hadiah, sedangkan cheque pun mama yang akan sign. Nanti mama tahu juga. Hahaha...” 

 

 

 

Apa rahsia Ozlynn menambat kepercayaan Johan sehingga meletakkan segala-galanya di bawah jagaan Ozlynn?

Ada kawan pernah datang mengadu dengan saya, katanya, “Kau untunglah Ozlynn laki kau bagi apa saja kau nak, percayakan kau. Laki aku begini... begitu...” Saya kata, kau sendiri tak percaya pada diri kau sendiri, bagaimana suami nak percayakan kau?

 

Kalau dengan orang pun kau boleh ceritakan buruk suami, macam mana keikhlasan dan kepercayaan itu nak wujud? Bagi saya, masalah suami dan isteri sebaik-baiknya diselesaikan sendiri. Jangan harapkan campur tangan orang lain. Jika kita rasa ikhlas terhadap pasangan kita, insya-Allah, kepercayaan suami akan datang dengan sendirinya. 

 

 

 

 

 

Ozlynn lakukan segalanya sebagai pengarah syarikat, isteri dan ibu, tidakkah rasa penat?

Penat memanglah penat. Namun, setiap kali rasa penat itu datang, kita kirlah bahawa ini adalah tanggungjawab. Tanggungjawab yang kita jalankan untuk orang yang kita sayang. Apa saja yang kita lakukan haruslah datang dengan rasa ikhlas dan happy.

 

Macam bibik saya, mereka jaga anak- anak saya seperti nyawa sendiri kerana mereka ikhlas bekerja untuk saya dan gembira dengan apa yang mereka lakukan. 

 

 

 

 

Setelah stabil daripada segala segi, gusar tak ditakdirkan nanti diuji dengan sesuatu yang paling ditakuti oleh seorang wanita?

Saya pernah berkata kepada Johan, “Papa, you dah ada segalanya. Ada rumah, kereta, isteri, anak-anak, duit yang banyak tapi misal kata, satu hari nanti papa jumpa perempuan yang lebih baik, papa kena beritahu mama sendiri. Walaupun, mama tak mungkin dapat terima tapi mama tak mahu dengar daripada mulut orang lain.” Tapi itulah kata-kata pertama dan terakhir saya kepada Johan apabila Johan betul-betul sentap dengan kata-kata saya itu.

 

Johan balas, katanya, dia tidak mahu lagi dengar saya cakap benda ini. “Mama, bukan senang papa nak dapatkan mama. Mungkin mama tak appreciate atau masih tak faham sehingga mama boleh cakap sampai macam tu. Sepatutnya mama sejahterakan keluarga kita sampai kita sama- sama tutup mata. Papa berharap sangat, biarlah Papa pergi dulu sebelum Mama, kerana Papa tahu hanya Mama mampu jaga anak-anak lebih baik daripada Papa.” Dan, saya tahu waktu itu Johan betul-betul terguris. 

 

 

 

Pernah terfikir andai ditakdirkan hidup tanpa Johan? 

Selalu juga terfikir. Beringatlah untuk sentiasa kuatkan kasih sayang yang ada. Hargai seseorang itu selagi ada hayatnya. Kita pun tidak tahu bila ajal bakal menjemput? Dia sudah sediakan semuanya untuk kita, kita pula bagaimana sudah bersediakah? Jangan menyesal kemudian hari, selagi ada waktu bersama, sempurnakan seadanya kerana apabila dia pergi, dia sendiri sudah sempurnakan tanggungjawabnya itu. 

 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    "Anak-anak Tak Pernah Tanya Kenapa Ayah Tak Balik dan Tidur Bersama” — FASHA SANDHA

  • Seterus →

    Tiap Kali SITI SARAH Hamil, Job Tiada, Rezeki ‘Sangkak’, Tapi SHUIB Tawakal! — Ini Rahsia Jatuh Bangun Pasangan Berjaya