Apr 29, 2017 - 190426
Oleh: Norhaizan Ahmad
Majlis persandingan dan resepsi Siti Sarah Raisuddin dan Shuib Sepahtu di Bora Ombak Marina, Putrajaya tular di media sosial baru-baru ini. Manakan tidak, selepas enam tahun bergelar suami isteri, baru sekarang berpeluang bersanding buat kali pertama di atas pelamin. Romantik, kan? Majlis ini diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun perkahwinan mereka yang keenam selepas disatukan pada 26 Februari 2011.
Lebih terharu apabila Shuib menjelaskan, “Keputusan bersanding dibuat sebagai menghargai Sarah yang selama ini setia bersama saya dalam keadaan susah dan senang. Waktu kami kahwin enam tahun lepas, saya tidak cukup wang untuk adakan majlis kenduri dan bersanding. Yang saya mampu buat hanyalah majlis akad nikah.
Justeru, apabila sudah punya wang sedikit, saya mahu tunaikan janji saya kepada Sarah untuk mengadakan majlis persandingan. Walaupun mungkin agak lewat dan sudah punya tiga anak, tapi ia lebih indah dan sangat bermakna.”
Bagi Sarah pula, sebaik mendirikan rumahtangga dan melahirkan anak, dia mula memperlahankan pecutan kerjaya seninya kerana mahu memberi perhatian kepada keluarga selain memberi peluang kepada suami yang baru membina nama sebagai komedian. Alhamdulillah, dia memanjatkan syukur kepada Allah kerana segala pengorbanan yang dilakukan (rehat daripada dunia nyanyian meski itulah kecintaannya yang maha dalam) selain menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri amat berbaloi apabila kerjaya sang suami melonjak tinggi. Ya, wanita kecil molek yang cukup popular dengan lagu Kesetiaan ini adalah tulang belakang kepada kejayaan Shuib Sepahtu.
Ceritakan detik perkenalan Sarah dengan Shuib, dan bagaimana kalian mengambil keputusan mendirikan rumahtangga?
Saya kenal Shuib masa shooting ‘Gelak Khas’ terbitan ASTRO. Sebulan selepas pertemuan pertama barulah kami saling berhubung dan mula menjalin persahabatan, kawan biasa- biasa saja masa itu. Maklumlah kita bukan kenal hati budi dia, tak kan terus nak suka, kan? Namun selepas enam bulan berkawan, masing-masing seakan tahu bahawa hubungan ini haruslah ke arah yang lebih serius, bukan sekadar suka-suka.
Memandangkan saya anak perempuan tunggal maka abah begitu mengambil berat perihal saya, lebih-lebih lagi dalam bab hubungan dengan seorang yang bernama lelaki. Abah berbuat begitu kerana dia sayangkan saya. Dia mahu menjadi pelindung kepada anak perempuannya. Dia tidak mahu melihat hati saya terluka. Dan apabila abah bertanya kepada kami, “Berapa serius hubungan kamu berdua?”
Maka Shuib pun tanpa berlengah mengambil keputusan untuk melamar, mungkin dia takut dengan abah, hahaha... ataupun dia sememangnya lelaki bertanggungjawab. Apabila abah dan emak dah beri restu maka kami teruskan rancangan untuk mendirikan rumahtangga.
Ketika Shuib melamar, waktu itu dia tidak miliki apa-apa yakni dengan keadaan kewangannya yang belum stabil. Bagaimana Sarah menerima Shuib sebagai calon suami? Tidak bimbang dengan masa depan untuk hidup bersamanya?
Sejujurnya saya juga mahu lelaki yang stabil daripada segi ekonomi sebagai teman hidup. Namun saya bertekad untuk memilih Shuib sebagai jodoh saya walaupun tahu dia tidak berharta. Kerana saya yakin dia lelaki yang boleh diharapkan sekali gus dapat membahagiakan saya. Kenapa saya yakin dengan dia?
Ini kerana Shuib bukan pemalas orangnya. Pada hemat saya, ramai lagi orang di luar sana lebih kelakar berbanding Shuib, namun dia boleh berada pada kedudukan sekarang kerana sikap rajinnya. Dia bersungguh-sungguh dalam bab bekerja. Walaupun pernah gagal, namun dia tidak berputus asa. Justeru, saya yakin orang yang rajin seperti Shuib pasti akan berjaya. Sekali gus menolak jauh kebimbangan saya untuk menjadi suri hidupnya.
Walaupun dikenali sebagai komedian, tidak bermakna dia melamar saya dalam nada lucu ataupun buat aksi yang kelakar, sebaliknya Shuib bersikap gentleman. Sama sahaja ceritanya dengan orang lelaki lain apabila melamar teman wanitanya. Tidak ada yang istimewa. Memandangkan dia tidak berduit ketika itu, maka kami rancang mengadakan majlis akad nikah semata-mata, tidak perlu majlis merisik, bertunang mahupun bersanding.
Lagipun satu Malaysia tahu yang saya pernah putus tunang sebelum ini maka perasaan trauma itu masih ada. Ikutkan hati saya nak terus nikah sahaja, tak mahu dah tunang-tunang ni. Bimbang kalau pisang berbuah dua kali. Pun begitu, demi menghormati kehendak orang tua Shuib yang mahu merisik saya mengikut adat budaya Melayu, maka adalah juga majlis merisik sekali gus bertunang yang tidak dirancang-rancang. Ringkas saja majlisnya.
Selepas setahun lebih mengenalinya, maka terlaksanalah majlis nikah kami yang diadakan secara sederhana di Jeumpa D’Ramo, Bangsar. Dengan mas kahwin RM1,000 dan lima dulang berbalas tujuh, majlis kami sememangnya biasa-biasa sahaja. Hanya 200 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua belah pihak meraikan majlis kami.
Trauma dengan pengalaman lalu, mungkin membuat Sarah takut untuk mendekati lelaki ataupun sukar menerima kehadiran lelaki dalam hidup Sarah. Justeru, apa yang membuatkan Sarah akhirnya jatuh hati pada Shuib?
Saya terima Shuib kerana dia mempunyai kesabaran, kesungguhan dan kejujuran yang jarang saya jumpa selama ini, malah saya dapat lihat Shuib seorang lelaki yang telus. Sebelum bernikah, saya pernah cakap kepadanya, “You’re nothing to me!” Bunyinya sombong, bukan? Ya, saya akui yang saya memang jual mahal, dalam kamus hidup saya tiada jualan 50 peratus ya, hahaha... Kita ni orang perempuan, kita perlu letakkan maruah kita pada tahap tertinggi.
Barulah orang lelaki menghargai kita, betul tak? Shuib pula seakan tidak ambil hati dengan segala perangai ‘gila’ saya, malah nampak usahanya lebih bersungguh untuk memikat hati saya. Saya pula, bukan enggan menerima cinta daripada Shuib, cuma ucapan cinta dan sayang terlalu berat dan sukar diucapkan, malah kegagalan cinta dahulu mendewasakan saya.
Dalam hubungan ini, kadang-kadang saya sengaja cari fasal untuk melihat reaksi dia dan bagaimana dia menanganinya. Ingatkan boleh terbit rasa benci, rupa-rupanya jodoh semakin dekat, hahaha...
Sepanjang enam tahun menjalani kehidupan berumahtangga, pasti ada pelbagai fasa yang kalian tempuhi. Ada saat bahagia, adakala duka. Bak kata Sarah sendiri, setiap kali anda hamil ketika itulah rezeki kalian berkurang? Bagaimana kalian mendepaninya?
Adat hidup berumahtangga memang ada pasang ada surutnya. Enam tahun hidup bersama, banyak dugaan yang sudah kami tempuhi sekali gus mengajar erti hidup. Walaupun pada awal perkahwinan kami melalui detik sukar dalam mengharungi mahligai rumahtangga, namun kami positif. Saya reda tinggal di rumah sewa bersaiz kecil, perabot pun tak lengkap, tapi saya rasa bahagia apabila dapat tinggal sebumbung dengan suami.
Saya yakin sikap positif bakal menjanjikan kehidupan yang jauh lebih baik. Apa yang penting, kita perlu sabar dengan ujian yang diturunkan-Nya. Sebagai hamba-Nya kita perlu yakin bahawa segala ujian itu pasti ada hikmah di penghujungnya.
Bercakap fasal ujian paling getir sepanjang kami berkahwin, setiap kali saya hamil (ketiga-tiga anak ya!), rezeki kami sekeluarga berkurang. Bukan tidak ada job langsung, tetapi aliran wang keluar lebih banyak berbanding wang masuk. Misalnya, perlu ada pengeluaran yang besar untuk pastikan bisnes kami berjalan lancar dan sebagainya. Terasa jugalah peritnya apabila hidup ini diuji.
Masa ni, pandai-pandailah nak berjimat dan ‘ikat perut’. Dahulukan benda-benda yang penting, bukan berbelanja ikut suka. Kadang-kadang rasa down, tapi bila diingat balik sudah banyak rezeki yang Allah beri, jadi kena bersyukur dengan apa yang kami ada. Dan saya percaya, setiap anak itu ada rezeki masing-masing.
Alhamdulillah, selepas setiap kali bersalin rezeki kami bertambah murah. Yang untungnya saya kerana menjadi kebiasaan Shuib memberi saya hadiah setiap kali saya melahirkan anak. Dulu ketika melahirkan anak pertama dan kedua, kami duduk di rumah yang kecil, kini dengan kelahiran anak ketiga, kami dapat memiliki rumah yang jauh lebih besar dan lebih selesa. Inilah hadiah yang paling saya tidak duga sehingga mengalirkan air mata.
Ya lah, dia yang penat-penat bekerja, tapi hasil titik peluhnya dia hadiahkan kepada kita. Saya sangat-sangat bersyukur dengan nikmat yang diberi dan saya sebenarnya seorang wanita yang bertuah kerana mendapat suami yang sentiasa bekerja keras demi keluarga. Pun begitu, Shuib tidak pernah mendabik dada, malah dia selalu berkata, “Walaupun saya yang bekerja, sebenarnya saya menumpang rezeki anak-anak dan isteri.” Kerana baginya tanpa sokongan anak-anak dan isteri, selain rezeki yang sudah ditentukan oleh-Nya, maka dia bukan siapa-siapa pada hari ini.
Sukar atau tidak melayan kerenah suami yang bernama Shuib?
Shuib senang dilayan kalau kita kenal siapa dirinya. Kadang- kadang tu ada juga anginnya. Pandai-pandailah pujuk. Sekali lagi ingin saya katakan yang saya ni cukup bertuah kerana mendapat suami yang simple dan tidak banyak kerenah. Tapi jangan ambil kesempatan atas kebaikan itu. Takut nanti ada yang lari, hahaha...
Sebagai isterinya, saya kena tahu apa yang dia suka dan sebaliknya. Kena buat benda-benda yang suami suka supaya dia jatuh sayang pada kita. Misalnya, jika saya nak minta sesuatu daripadanya, saya perhatikan mood dia pada hari tersebut, kalau mood dia okey, barulah beritahu kemahuan kita. Bukan main belasah minta itu dan ini ya.
Kalau mood ala- ala ‘ghostbuster’, saya akan diam dan pergi. Memandangkan saya anak perempuan tunggal, saya memang cekap handle hati lelaki aka pujuk rayu mereka untuk belikan saya hadiah. Dulu masa kecil, abah selalu jadi mangsa. Bila dah bersuami, Shuib jadi pengganti abah, hahaha...
Perbezaan karakter Shuib di atas pentas dan di rumah? Adakah dia lucu orangnya?
Sebelum berkahwin ramai yang kata, Shuib ni kelakar. Bagi saya dia tidak begitu,malah pernah saya bertanya,“You ni kelakarnya di mana?” Sepanjang mengenalinya, saya rasa saya lebih kelakar berbanding dia. Perangai saya yang gila-gila ni lebih havoc, dia pula lebih banyak berdiam. Selepas mendirikan rumahtangga, barulah saya perasan adalah sikit sikap lucu dia itu, hahaha...
Malah kami ada ‘private joke’ kami sendiri, tapi tak boleh kongsi ya kak. Hanya kami berdua saja yang tahu. Yang bestnya, apabila salah seorang buat ‘private joke’ ini, pasti yang seorang lagi akan tersenyum. Joke inilah yang mengeratkan lagi hubungan kami.
Adakah Sarah membantu daripada sudut kreatif misalnya menyumbangkan idea apabila Shuib buat persembahan?
Sudah tentu ya! Misalnya ketika Maharaja Lawak dan Maharaja Lawak Mega. Tetapi selalunya saya bagi rough idea saja, dia yang akan realisasikannya, jadi keras keras masih di tangannya. Bagi dia peluang tonjolkan bakat yang ada. Sebagai tulang belakang, saya sokong sepenuhnya usaha dia. Nak tahu kenapa saya memperlahankan aktiviti seni sebaik berkahwin?
Sebab saya mahu beri peluang kepada Shuib membina nama. Sebagai orang lama dalam industri ini, saya lebih masak dengan sepak-terajang dalam bidang ini. Jika Shuib benar-benar mahu berjaya maka dia perlu kuat. Tugas saya di sini sebagai pemangkin agar dia tidak mudah mengalah.
Saya perlu bakar semangat juangnya lebih-lebih lagi kala dia rasa ‘down’ ataupun kecewa dengan usahanya. Ujian sebegini sinonim untuk orang baru yang menceburkan diri dalam industri seni tanah air.
Dahulu Shuib kalau menyanyi memang ‘ke laut’, namun lama- kelamaan mutu nyanyiannya semakin baik. Mesti Sarah jadi guru vokal dia, kan?
Jadi guru vokal, hahaha... Bila masa saya nak mengajar dia menyanyi kak. Jadual dia padat. Kerja, kerja, kerja. Masa dia untuk keluarga berapa jam saja dalam sehari. Bagi saya, mutu nyanyian Shuib semakin baik kerana dia sudah faham mengenai teknik menyanyi yang betul. Adalah saya kongsi petua sikit-sikit, tidaklah sampai jadi cikgu.
Pernahkah kalian berselisih faham disebabkan perkara-perkara remeh?
Perkara remah itu macam mana ya kak? Letak baju sepah- sepah jadi bergaduh, begitu? Hmm... seboleh-bolehnya saya cuba elakkan bertengkar dengan suami, lebih-lebih lagi kalau disebabkan perkara-perkara kecil lagi remeh. Buang masa sahaja. Bagi saya, daripada bergaduh disebabkan suami sepahkan baju misalnya adalah lebih baik jika saya jelaskan kepada dia supaya ambil semula baju tersebut dan letakkan di tempat sepatutnya.
Kalau suami tak mendengar kata, apalah salahnya kita buat untuk dia. Ganjarannya pahala, siapa yang tidak mahu. Itulah kalau kita bersikap positif, kita akan nampak pahala dengan membantu suami dan bukan memarahinya.
Selain itu, kami turut elakkan menggunakan kata-kata yang kasar dan berbau negatif misalnya ‘bodoh’ jika berlaku perselisihan faham. Kerana kata-kata begini akan membuat perkara kecil menjadi besar. Asalnya nak berbincang dah jadi bertengkar. Entah apalah faedahnya. Walhal dalam mood bergurau-senda, ungkapan kata-kata ‘bodoh’ tidak memberi apa- apa makna pun bagi kami.
Itu bezanya satu perkataan dalam dua situasi berbeza. Sebaik-baiknya elakkan bertengkar suami isteri. Saya belajar ilmu ini dengan arwah mama. Tak pernah tengok mama meninggi suara dengan abah, apatah lagi menjawab. Kadang-kadang tu ada juga buli Shuib, itupun sebab nak manja-manja. Walaupun kita ni suri hidupnya, adab tetap kena jaga sebab sebagai suami, dialah raja!
Apa yang menarik hidup bersama Shuib?
Semuanya menarik kak. Kerana dia sangat toleransi. Dia jenis tidak berkira, penyayang dengan anak-anak, tolong jaga anak walaupun penat bekerja seharian dan terima kekurangan saya. Jujur cakap, saya ni tak pandai kemas rumah dan buat kerja rumah, maklumlah sejak kecil dimanjakan orang tua, semua kerja rumah maid yang buat.
Dia terima kekurangan saya dengan hati terbuka. Maka dia sediakan pembantu buat saya, supaya saya tidak stres melihat rumah bersepah-sepah. Bukan bererti saya tak buat kerja rumah langsung, saya belajar sikit-sikit untuk menjadi isteri dan ibu yang sempurna, insya-Allah.
Oleh sebab itu, urusan anak-anak menjadi keutamaan saya. Tak senang tau melayan kerenah tiga anak kecil, kadang-kadang boleh naik hantu kita dibuatnya kalau melihat il dan perangai masing-masing.
Sarah khabarnya kembali aktif menyanyi, kenapa ya? Mampukah membahagikan masa untuk keluarga dan kerjaya?
Saya rindu sangat-sangat dengan bidang nyanyian. Itulah kecintaan saya sejak dahulu. Saya korbankan kecintaan ini dengan mengundurkan diri buat sementara kerana mahu memberi perhatian kepada anak-anak yang sedang membesar. Saya kembali menyanyi kerana mahu memenuhi impian merebut seberapa banyak kenangan manis dalam bidang seni suara.
Apabila sudah mengambil keputusan untuk menyanyi semula, saya sudah kir semasak-masaknya. Pro dan kontra, susah dan senang. Kalau pun saya ligat menyanyi, ini tidak bermakna anak- anak dan suami terabai. Saya akan pastikan keadaan rumah ditinggalkan dengan cukup sempurna. Kerana keluarga adalah keutamaan saya.
Lagipun Shuib sudah memberi keizinan untuk saya kembali aktif. Itu lesen paling besar ya, hahaha... Saya juga ada berbincang dengan dia untuk bergilir-gilir menjaga anak, lagipun kerjaya seni saya mungkin akan disesuaikan dengan keadaan semasa.
Melihat kepada sokongan peminat kala saya menyertai Gegar Vaganza 3, saya yakin masih ada segelintir peminat yang merindui nyanyian saya. Doakan yang baik-baik. Dan jangan lupa sokong saya, kerana tanpa peminat siapalah Siti Sarah Raisuddin tu.
<<Temu Bual Eksklusif Bersama Siti Sarah>> KLIK DI SINI:
Khabarnya waktu rehat selama enam tahun itu mendorong Sarah muhasabah diri, sekali gus menjadi insan yang lebih baik, setuju?
Saya manusia biasa, tak lari daripada kesilapan. Saya ni jenis cakap lepas, macam tak prihatin dengan perasaan orang, mungkin banyak sakitkan hati orang selama ini. Apabila punya masa untuk bersendiri, saya akui saya belajar banyak daripada kesilapan yang saya lakukan dulu. Dari situ, saya belajar betapa bagus sekalipun kita tapi kalau kita tak jaga sikap, kita tak akan pergi ke mana.
Mengingat kembali wajah-wajah insan yang selama ini banyak membantu membuat saya tersedar betapa perasaan mereka dan orang di sekeliling kita juga perlu dijaga. Apatah lagi jika terpandangkan muka suami dan anak- anak. Kehidupan yang tenang, penuh rasa cinta dan bahagia mendorong kita untuk menjadi orang yang baik-baik, insya-Allah.
Sarah menjadi baik disebabkan Shuib?
Dia yang banyak mengubah cara hidup saya bahkan saya sebagai artis pun, saya banyak belajar daripada dia. Dia juga sangat penyabar melayan kerenah saya. Saya dapat rasakan, diri saya sekarang jauh lebih baik daripada dulu kerana dia.
Kongsi detik persandingan kali pertama selepas enam tahun berkahwin? Idea siapa sebenarnya? Bagaimana dengan perasaan Sarah sendiri?
Shuib yang punya idea dan perancangan. Waktu bernikah enam tahun lalu, dia ada sebut fasal ini. Maklumlah ketika itu, dia tidak berduit. Jadi dia janji pada saya, kalau dimurahkan rezeki, dia memang berbesar hati untuk membuat majlis persandingan. Dapat jemput kawan-kawan dan saudara-mara. Dia sungguh- sungguh kala berjanji dengan saya. Dan saya terharu dengan usahanya untuk menunaikan janji yang satu ini.
Ya lah, siapa sangka selepas enam tahun dan ada anak tiga, baru kami berpeluang naik pelamin. Kalau tanya perasaan saya, sudah tentu saya teruja sebab inilah persandingan pertama. Lebih terharu apabila mengenangkan yang suami masih ingat akan janjinya walau selepas bertahun masa berlalu. Apa pun, majlis persandingan ini lebih bermakna dan lebih menyeronokkan kut.
Ada hikmahnya dulu kami tak cukup duit, hahaha... Yang bestnya, anak-anak dapat menyaksikan persandingan kami. Tapi sebelum majlis berlangsung, anak sulung kami ada bertanya, “Kenapa ayah nak kahwin lagi?” Hahaha... budak-budak mana nak faham dengan situasi kita. Alhamdulillah atas rezeki yang dilimpahkan terhadap kami sekeluarga selain dipermudahkan segalanya.
Saya sangat-sangat bersyukur ke hadrat Allah atas kebahagiaan yang saya nikmati sejak mendirikan rumahtangga bersama lelaki yang paling saya cintai. Yang seronoknya, kami sempat menyanyikan sebuah lagu dengan Shuib mendendangkan lagu Aku Lelakimu dan saya melantunkan lagu Kaulah Segalanya. Feeling gitu...
<< DI Balik Tabir Sampul Hadapan InTrend Edis April 2017>> KLIK DI SINI:
Majlis itu menjadi tular di media sosial kerana memilih tema baju tidur untuk malam berinai?
Mungkin juga, ya lah kita tidak tahu apa yang orang suka dan orang tak suka. Kalau tular pun atas dua sebab; dikecam atau disukai netizen. Syukur kerana rata-rata menyukainya. Yang menarik lagi majlis ini kerana kami dapat kerjasama daripada rakan-rakan artis.
Untuk majlis malam berinai misalnya kami pilih tema baju tidur hasil lontaran idea Ozlynn kerana tidak mahu menyusahkan tetamu dengan membeli baju baru semata-mata untuk mengikut tema majlis. Kata Ozlynn, “Suruh mereka datang dengan baju tidur aje, tak payah nak beli baju baru. Habis majlis, balik terus boleh tidur. Hahaha...” Tak sangka, barisan foto yang dimuat naik di laman sosial menjadi tular.
Pernah terfikir hidup tanpa Shuib?
(Memandangkan Sarah memulakan perbualan dengan cerita pemergian Johan Nawawi yang jatuh pada hari sama temu bual dilakukan, maka saya tanyakan dia soalan ini). Ya Allah, soalan apa ni kak? (dengan nada terkejut). Saya tak mahu jawab soalan ini boleh?
Betul, saya baru dikhabarkan dengan berita pemergian arwah abang Johan dan saya masih bersedih dengan kehilangan ini. Sejujurnya, kalau ini yang terjadi, saya tidak boleh bayangkan hidup tanpa lelaki yang saya cintai...