Apr 05, 2017 - 16067
Oleh: Onlia Mohd Dom
“MAC adalah bulan istimewa buat saya kerana saya dilahirkan pada 28 Mac. Saya berbintang Aries!” Kata Nur Fasha Sandha Hassan atau lebih dikenali sebagai Fasha Sandha yang gembira digandingkan dengan Rita Rudaini sebagai wajah sampul Mac.
Apabila ditegur dirinya nampak semakin jelita dan susuk tubuh semakin langsing, Fasha teruja. Fasha dengan senang hati berkongsi rahsia, “Untuk kurus tapi berstamina, setiap hari saya membuat senaman kardio. Saya juga melakukan aktiviti Muai Thai kerana ia cepat menurunkan lemak tetapi dalam masa yang sama tidak membesarkan otot. Daripada segi penjagaan wajah, saya memakai barangan penjagaan kulit yang sesuai dan cocok dengan kulit muka. Saya juga pastikan cukup tidur dan minum air masak yang banyak.”
Katanya lagi, “Saya juga tidak makan selepas jam 7.30 malam. Dinner saya di antara jam 6.30 hingga 7.00 malam. Selepas itu, saya tidak makan makanan yang heavy. Saya banyak minum air masak dan green tea selain minum solifit yang diperbuat daripada chia seed dan lemon. Minuman solifit ini mampu membuatkan saya berasa kenyang sepanjang hari.”
Fasha pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 27 April 2012. Fasha dikurniakan dua cahaya mata, Putra Rayfal, 3 tahun setengah dan Putri Raysha Jemyma, 2 tahun. Fasha dan Jejai berpisah pada 20 Januari lalu.
Dalam bab berpakaian, gaya yang Fasha suka dan siapa pereka fesyen yang digemari?
Dilantik sebagai duta Rumah Kebaya dan ikon kebaya Malaysia baru-baru ini, saya memang gemar memakai baju kebaya klasik kerana rekaannya yang tidak lapuk sampai bila-bila. Saya memang gemar memakai baju kebaya sejak dari dulu sampai sekarang. Di dalam almari saya terdapat banyak pakaian berjenama dan ringkas.
Saya juga suka menggayakan koleksi rekaan Rizman Ruzaini, Azura Couture dan Ari Wedding Couture terutamanya jika menghadiri majlis atau acara tertentu. Saya akan sesuaikan pakaian saya mengikut event itu dan berpakaian cantik. Saya juga suka berubah-ubah fesyen tidak suka stick to one designer only.
Daripada segi pemakaian seharian, saya lebih suka gaya simple atau berpakaian kasual seperti jeans dan top atau jeans dengan kemeja-T atau baby tee. Sebenarnya saya boleh dikategorikan sebagai wanita yang simple. Hanya masa bekerja saja saya berpakaian cantik.
Kredit foto: Instagram
Apa aktiviti Fasha waktu senggang?
Jadual kerja saya agak ketat, jadi jika ada masa lapang, saya memang suka spent time with the kids. Selalunya sebelum tidur, saya suka bacakan bed time story kepada mereka. Pada waktu siang pula, kami jalan-jalan atau tengok movie. Ada masa saya bawa anak- anak bermain playground dengan ayah mereka. Saya mengekalkan hubungan baik dengan bekas suami demi anak-anak.
Jika bercuti dengan anak-anak, destinasi pilihan Fasha?
Saya tak pilih tempat tertentu untuk bercuti. Tidak kisah sama ada di dalam mahupun luar negara, asalkan dapat bersama anak-anak. Paling penting kami enjoy bercuti bersama-sama. Apa pun saya menunggu anak besar sedikit sebab saya berhajat hendak membawa mereka ke Mekah untuk mengerjakan umrah bersama saya.
Kredit foto: Instagram
Adakah Fasha terbabit dengan sebarang kerja amal?
Ya, saya memang gemar mengikut sebarang kerja amal jika ada kelapangan. Malah saya mempunyai team charity sendiri yang dinamakan Nur Dekat di Hati yang memberi makan kepada golongan gelandangan setiap Jumaat. Kumpulan amal kami ini agak aktif terutamanya feeding the homeless.
Adakah anak-anak faham dengan situasi yang Fasha alami sekarang? Mereka pernah bertanya mengapa ayah tidak pulang?
Anak-anak masih belum faham dengan situasi saya sebagai ibu tunggal. Perceraian itu berlaku semasa mereka masih kecil. Sekarang pun mereka masih kecil dan tidak faham dengan situasi itu. Naturally mereka akan faham apabila besar nanti. Anak- anak saya pun tidak pernah bertanya kenapa ayah tidak balik atau tidur bersama.
Mereka masih kecil lagi untuk menyedari kehilangan seorang ayah di rumah, lagipun anak-anak selalu berjumpa ayah mereka di luar. Malah jika ada sebarang majlis atau aktiviti yang membabitkan anak, ayah mereka pasti datang dan meluangkan masa bersama mereka.
Saya masih berhubung baik dengan bekas suami kerana saya tidak mahu anak-anak berasa kekurangan. Malah saya bercerita mengenai hal yang baik-baik saja berkenaan ayah mereka.
Bagaimana pula dengan pengurusan hidup anak-anak semasa Fasha bekerja? Siapa yang menyemak kerja sekolah mereka, mengajar mereka mengaji atau ilmu agama? Apa impian Fasha terhadap anak-anak?
Disebabkan saya kerap berada di lokasi penggambaran, anak-anak saya dijaga dan diuruskan oleh dua pembantu rumah. Alhamdulillah, saya beruntung kerana ibu tinggal sekali dengan saya. Ibu turut memantau anak- anak di rumah. Waktu siang, kedua- dua anak saya hantar ke playschool.
Mereka masih sangat kecil untuk dipaksa belajar, saya biarkan mereka bermain bagi membina minda yang sihat dan ceria. Saya juga menjemput ustaz datang ke rumah untuk mengajar anak mengaji. Impian saya adalah hendak membesarkan anak-anak saya dengan baik dan menjadi seorang ibu yang baik kepada mereka. Saya sentiasa bersikap dan berfikiran positif.
Saya mahu anak- anak hidup bahagia bersama saya dan bekas suami walaupun kami tidak bersama. Memberi kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak dan membahagiakan mereka adalah keutamaan kami.
Zaman sekarang, ramai ibu bapa membelikan gajet seperti telefon pintar kepada anak-anak sebagai hadiah. Ada juga yang memberi tablet kepada anak untuk bermain game supaya tidak mengganggu mereka. Pandangan Fasha dalam hal ini, adakah ia baik untuk anak- anak yang masih kecil?
Saya agak tegas dalam bab gajet dengan anak kerana mereka masih kecil. Jika saya benarkan mereka bermain gajet pun, itu hanya untuk waktu terhad. Sebenarnya, ada kebaikan juga membenarkan mereka mengguna gajet untuk menonton rancangan kanak-kanak menerusi YouTube.
Saya pantau apa yang mereka lihat. Bagaimanapun saya tidak pernah memberi anak bermain telefon pintar. Saya hanya membenarkan mereka bermain iPad dengan tempoh maksimumnya selama satu jam.
Anak-anak kecil berkelahi itu perkara biasa. Anak Fasha bagaimana? Sepanjang membesarkan mereka, adakah Fasha pernah menggunakan rotan untuk mendisiplinkan mereka?
Ragam kanak-kanak rasanya semua sama. Anak-anak saya pun begitu. Bagusnya, anak-anak saya sangat close to each other, sangat jarang mereka berkelahi. Saya pula seorang ibu yang tegas. Biarpun masih kecil, saya tidak membiarkan mereka melakukan kesalahan. Saya hanya akan menegur setiap kesalahan anak tetapi tidak sesekali menggunakan rotan.
Susah atau senang membesarkan anak-anak bersendirian? Bagaimana mendepani tanggapan serong masyarakat terhadap ibu tunggal?
Alhamdulillah, saya gembira dengan kehidupan saya. Cabaran sebagai ibu tunggal tidak ada sebenarnya kerana anak-anak saya mempunyai ibu dan bapa yang bertanggungjawab. Hakikatnya, tiada apa yang perlu dirisaukan menjadi seorang ibu tunggal kerana setiap yang berlaku itu ketentuan Ilahi. Kita perlu menerima dengan sebaiknya. Apa yang perlu dibuat sekarang adalah to move foward.
Saya ingin semua wanita yang senasib dengan saya supaya menjadi kuat. Tidak mudah mengalah dan jangan sesekali menyesali takdir. Jangan lagi menoleh ke belakang atau ke sana sini menagih simpati. Kita harus menjadi kuat dalam hidup kerana kekuatan itu memberi inspirasi kepada anak-anak. Saya bersyukur dilahirkan sebagai wanita berhati waja dan berjiwa kuat.
Saya percaya setiap kejadian itu umpama warna yang mencorak kehidupan. Kita perlu sentiasa bersyukur dengan apa juga pemberian Allah setiap hari. Itulah yang utama dan ingatlah, tiada apa yang dapat menjatuhkan kita seandainya kita kuat. Wanita perlu kuat supaya tidak ditindas.
Kredit foto: Instagram
Boleh kongsi hubungan Fasha dengan adik-beradik dan ahli keluarga yang lain?
Syukur, hubungan kami baik-baik saja. Jika ada sebarang masalah, saya lebih suka menyelesaikannya sendiri. Tapi jika masalah itu rumit, barulah saya merujuk keluarga untuk mendapat pandangan. Ibu saya pun banyak memberi sokongan kepada saya.
Iktibar daripada kegagalan rumahtangga terdahulu?
Apa yang berlaku kepada perkahwinan kami bukan salah saya mahupun bekas suami. Banyak faktor luar dan situasi yang menjadi punca perpisahan. Semua ini sudah ditetapkan oleh Allah SWT dan saya menerima sebaiknya. Saya yakin ada hikmahnya dan saya sentiasa positif.
Saya seorang wanita besi dan seorang yang kuat. Saya hanya mahu enjoy sebagai seorang ibu yang berkerjaya. Cukup setakat itu yang boleh saya komen. Saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi sampai bila-bila. Kehidupan saya sekarang indah bak pelangi, saya suka dengan kehidupan saya sekarang. Saya sangat bahagia.
Tidakkah rindu untuk kembali berumahtangga? Impian dan harapan jika Fasha bertemu jodoh?
Oh, tidak! Saya belum rindu untuk kembali berumahtangga. Saya terlalu sibuk dengan kerjaya dan tidak fikir mengenainya. Saya nak fokus kepada kerjaya dan sebagai duta produk. Selain fokus membesarkan anak-anak. Desas-desus berkenaan saya bercinta itu tidak benar. Saya belum menemui teman hidup yang baru.
Saya masih dalam fasa berkawan. Kami tidak bercinta. Kami hanya berkawan rapat. Pada saya, it’s not easy untuk jatuh cinta lagi. Perasaan itu akan datang naturally dan ia akan mengambil masa yang lama.
Saya tidak boleh mengatakan persahabatan itu ke arah perkahwinan kerana semuanya masih baru. Buat masa ini saya tidak berharap dan tidak berfikir untuk mendirikan rumahtangga lagi. Biarlah kami berkawan saja dulu.
Boleh kongsi ciri-ciri lelaki dambaan Fasha?
Lelaki itu mestilah boleh menerima kebaikan dan keburukan saya. Dia mestilah boleh terima diri saya seadanya; boleh terima keluarga saya, begitu juga dengan keluarganya mestilah boleh menerima saya dengan keluarga saya. Restu amat penting dalam sesebuah hubungan. Jadi, jika saya bertemu dengan lelaki idaman, saya perlu pastikan hubungan kami direstui.
Kini Fasha ligat mencari rezeki? Kongsikan perkembangan Fasha dalam bidang lakonan dan perniagaan?
Oh, saya memang sedang ligat mencari rezeki untuk kehidupan saya dan keselesaan anak-anak. Alhamdulillah, saya sekarang sedang shooting filem terbitan Prof Dato’ A Razak Mohaideen. Saya menjadi pelakon wanita utama bersama Dato’ Aliff Shukri Kamarzaman sebagai hero. Filem itu bertajuk Badang. Saya juga akan mula shooting drama terbaru saya sekitar Mac ini.
Selain itu, saya juga masih mengusahakan perniagaan Chinta Hair Salon & Beauty yang sudah enam tahun beroperasi di Kuala Lumpur. Itulah perniagaan pertama saya. Alhamdulillah, saya mempunyai ramai regular customer yang masih setia hingga hari ini. Terima kasih. Untuk naik memang mudah tapi hendak maintain itu yang mencabar dan sedang saya usahakan.
Saya juga dilantik menjadi duta produk Perfume DHaja, SoliFit DHaja, Hijab Fasha Sandha by Milyunir dan Lerve Lipstik serta ikon kebaya Malaysia untuk SYUS Kebaya.