Dec 03, 2016 - 1603

“Jangan Kutuk Orang. Kita Bukannya Bagus Sepanjang Masa” – Pesan Ziana Zain, Jangan Sentap

“Peringatan ini juga buat diri saya. Kaki mesti selalu berpijak di bumi nyata..."

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

BARU tamat konsert High Note bersama rakan artis Jaclyn Victor dan Azlan Typewriter minggu lalu di Istana Budaya, penyanyi tersohor kesayangan ramai Ziana Zain membuktikan ‘taringnya’ masih lagi berbisa. Berjaya mengumpulkan peminat dalam penganjuran konsert yang berlangsung tiga hari berturut-turut; Ziana Zain menyifatkan ia satu penghormatan buatnya setelah lebih 20 tahun bergelar anak seni.  

Ujarnya, “Tidak dinafikan, industri hiburan era kini terlalu ramai artis-artis yang muncul. Tidak kiralah sama ada mereka ‘dilahirkan’ dari medium rancangan realiti ataupun menerusi media sosial seperti Youtube dan sebagainya. Dan sejujurnya Kak Ziana akui, ada dalam kalangan mereka yang benar-benar berkebolehan. Teknik yang mereka ada juga tidak kurang hebatnya. Tetapi kadang-kadang Kak Ziana lihat ada sesuatu yang kurang dalam sanubari mereka.”

 

 

Apakah anda benar-benar berbakat dan punya potensi untuk pergi lebih jauh?

Bakat anda umpama permata. Jika ia digilap pasti akan menyerlah. Dan untuk dilihat menyerlah bukanlah mudah. Pelbagai cabang dan liku yang harus ditempuh. Jika anda punya pakej atau x factor misalnya; itu dianggap bonus dan anda bertuah kerna punya aset yang mungkin tiada pada penyanyi lain. Itu semua rezeki dan pemberian Allah. 

 

 

Anda harus bekerja keras!

Untuk membina asas atau pegangan juga prinsip anda sebagai artis. Bagaimana untuk membina asas itu? Ia bertitik-tolak daripada bagaimana pembawakan diri anda sebagai pendatang baru dalam industri. Baik daripada segi keperibadian, rahsia diri anda. Janganlah semua perihal diri mahu dicanang satu dunia. Jika semuanya sudah diberitahu, masyarakat tidak akan lihat eksklusiviti yang ada pada diri anda. Once in a while, yes you can post.

Tetapi, kadang-kala jika terlalu banyak mendedahkan apa yang dilakukan, kuranglah manisnya dik! Barangkali ada yang suka dan ada juga yang tidak suka. Jika ada ‘lubang-lubang’ yang ‘lompong’, perkara inilah yang akan menjadi bahan untuk diperdebatkan di media sosial yang akhirnya akan melunturkan semangat dan mood kita. Maka, berpada-padalah.

Inilah yang paling Kak Ziana jaga. Kak Ziana hanya akan update perkara-perkara berkaitan dengan kerja dan sekali-sekala Kak Ziana akan post jika ada sambutan hari jadi anak, hari raya dan seumpamanya. 

 

 

Menyanyi untuk apa?

Kenal pasti matlamat dan objektif anda menceburi dunia seni. Adakah anda mahu mengejar populariti? Apakah ini akan dijadikan sebagai periuk nasi anda? Atau kerana anda memang minat untuk menyanyi? Pastikan anda jelas dengan semua hal ini kerana penyanyi masa kini terlalu banyak dan saingan juga tidak kurang hebatnya. 

 

 

Hormati mereka yang lebih senior!

Ya, anda boleh berseloroh dan bergurau tetapi dengan siapa anda bercakap itu perlu diberi perhatian. Itulah yang kadang-kala menjadi kesilapan bagi pendatang baru. Mereka tidak sedar dan mungkin mereka terlepas pandang.

Respect kepada mereka yang lebih senior daripada anda. Misalnya, jika terserempak atau terjumpa; tidak mahu bersalaman sekalipun tidak mengapa. Tetapi menyapa dan bertanya khabar mungkin perlu didahulukan. “Hi, how are you?”. Kalau anda hormat dengan orang lain, orang juga akan menghormati anda, atau mungkin lebih daripada itu. 

 

 

Jangan kutuk atau kecam orang lain

Kita bukannya bagus sepanjang masa! Kita manusia biasa dan serba-serbi tidak sempurna. Kak Ziana selalu lihat dan berkata pada diri sendiri. “Orang selalu puja…Kak Ziana itu, Kak Ziana ini…” tetapi jauh di lubuk sanubari; Kak Ziana selalu ingatkan diri sendiri, “Semua ini rezeki daripada Allah, syukur alhamdulillah.

Tetapi ingat, setiap hari ada penyanyi yang lebih bagus.” Dan dalam masa sama, Kak Ziana sering berpijak di bumi nyata, sering bersyukur dan berterima kasih. Seboleh mungkin saya mahu gembira dan puaskan hati orang. Dan saya pastikan ada sifat gerun dalam hati.

Dan Kak Ziana selalu berdoa, “Ya Allah, ini yang Allah bagi aku pinjam untuk dunia sahaja Ya Allah. Ya Allah, janganlah ada rasa riak dan ujub,”. Benar kita manusia ada kalanya suka dipuji dan dipuja. Tetapi, jangan sesekali terleka atau hanyut dibuai itu semua.  

 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Norman Hakim Kongsi Rahsia Bagaimana Dia Transform Jadi 'ABANG SADO'

  • Seterus →

    “Solat Jangan Tinggal, Hormat Orang Tua” — Prinsip Ajai Didik 2 Anak Dara Sampai Ayu Raih 9A SPM