May 27, 2017 - 76079

“Mummy, Where Is God? Atas Atap Ke?” — Masya-Allah! Usaha NING BAIZURA Untuk Anaknya RYAN Buat Kita Terkesima!

Ning Baizura antara penyanyi yang cukup lagenda. Ikuti kisah jatuh bangun Ning Baizura dalam perjalanan karier seni. Dan yang lebih menyentuh perasaan, adalah kisah hijrah hidupnya ke arah keagamaan yang kini bermula perlahan-lahan.

 

 

 

 

Oleh: Norhaizan Ahmad 

 

 

 

 

 

 

NING BAIZURA dipilih untuk bergandingan dengan Ziana Zain bagi menghiasi sampul hadapan InTrend edisi Mei 2017 bersempena ulang tahun majalah ini yang ke-12.

 

Ya, kolaborasi penyanyi R&B dan pop ini pasti mengembalikan kegemilangan mereka berdua yang pernah menghiasi pentas seni tanah air suatu ketika dahulu sebagaimana gemilangnya InTrend menghiasi dunia penerbitan majalah sejak 2005. Ayuh InTrenders, kita intai kehidupan yang terkini. 

 

 

 

 

 

 

 

 

Apa khabar Ning? Sudah lama menyepikan diri, merajuk atau bagaimana? Dan apa perkembangan terbaru dalam kehidupan Ning? 

Alhamdulillah saya sihat-sihat sahaja. Perjalanan kerjaya seni terasa perlahan kerana saya memberi lebih tumpuan kepada bisnes syarikat iaitu Happening Malaysia Sdn. Bhd. Syarikat kami mengendalikan hal- hal berkaitan event management. Ya, saya bersyukur kerana bisnes masih berjalan lancar. Kini saya lebih kepada corporate work, melibatkan diri dengan kepimpinan dan motivasi. Kami buat event untuk syarikat swasta juga jabatan kerajaan.

 

Maka rutin harian masih sibuk walaupun saya sudah kurang menyanyi. Saya akui dunia korporat lebih mengenali saya pada masa ini, lantaran saya juga diberi tanggungjawab untuk menjadi speaker. Saya ada sijil untuk bercakap mengenai kepimpinan, bukan jadi speaker cakap kosong sahaja ya! Apabila sudah memiliki sijil, saya take it seriously. Skop kerja saya bukan setakat itu sahaja kerana syarikat kami juga akan mengeluarkan haruman yang dilancarkan Ramadan ini. Memandangkan dewasa ini semua orang buat bisnes, kebanyakannya secara online maka saya terpanggil untuk berbuat perkara sama.

 

Hasil kerja keras ini, saya menerima beberapa anugerah antaranya daripada Mc Millan Woods iaitu international global forum, yang menganugerahkan saya untuk ‘Best Iconic Leadership Entertainment’. Tahun lalu juga saya terima anugerah daripada Brand Laverett dan Niaga Times untuk ‘Icon Entertainment’. Memandangkan bidang seni yang saya ceburi ini mungkin tidak bertahan lama, maka saya perlu mencari laluan baru yang lebih cerah dan bermanfaat untuk masa depan saya. 

 

Menyanyi sekarang saya akan buat mana yang penting sahaja. Maksudnya, saya akan beri komitmen jika sesuatu perkara itu menjanjikan masa depan yang lebih baik. Sambil-sambil itu, saya turut berkolaborasi dengan Selina Yeop untuk fashion line kami yang dikenali sebagai Romyda_KL. Koleksi ini menawarkan helaian urban, justeru pelanggan kami terdiri daripada VVIP ladies.

 

Our store bukan seperti pop-up store, sebaliknya kami menjalankan operasi di sebuah rumah dengan suasana lebih tenang dan santai. Kebanyakan masa, saya dan Selina tawarkan luxe service, we don’t believe shopping seperti di butik-butik ternama, yang keluar masuk, keluar masuk setakat mahu beli fashion item. Dek kerana itu, butik kami diberi nama ‘The Conversation Studio’ yang memberi peluang kepada pelanggan kami untuk datang dan meluangkan masa berbual-bual, bercakap mengenai kehidupan mereka dan banyak lagi. Kami juga menyajikan kopi dan teh, selain pelbagai jenis hidangan. Justeru, they can shop at their own leisure time. 

 

Di The Conversation Studio juga ada dua pereka hiasan dalaman yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Luxe Décor’ yang memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam seni rekaan dalaman. Semua perabot yang ada di The Coversation Studio adalah untuk dijual termasuk lilin dan bunga. Manakala tingkat atas menempatkan ruang untuk helaian Romyda_KL.

 

Pereka saya adalah orang Kemboja tetapi cita rasanya memihak kepada ciri-ciri Perancis kerana dia sudah menetap di Perancis lebih 20 tahun, malah berkahwin dengan lelaki Perancis. Sudah bertahun Selina menggunakan label ini dan selesa memakainya, lantas kami ambil keputusan untuk membawa jenama ini ke pasaran Malaysia. Kami bekerjasama yang mana untuk pasaran Malaysia, saya dan Selina bertindak sebagai Pengarah Kreatif untuk rekaan di negara kita.

 

Rekaannya yang feminin sesuai untuk wanita on-the-go, strong women, independent juga korporat. Kami memilih untuk bekerjasama kerana syarikat mereka kukuh dengan 150 pekerja dan memiliki kilang sendiri untuk menghasilkan helaian pakaian koleksi terkini. Uniknya, kami keluarkan satu helai sahaja untuk setiap rekaan.

 

Klien kami yang datang semula tahu betapa bagusnya kualiti yang kami tawarkan. Dan saya memang suka dengan fesyen, ia sesuatu yang baru untuk dicuba. Tahun ini menandakan tahun kedua Romyda_KL terlibat dengan Kuala Lumpur Fashion Week. Pada 4 Julai depan, kami akan menganjurkan pertunjukan fesyen di London. Harapnya semua berjalan lancar. 

 

 

 

 

 

 

 

Wah, sibuk benar Ning menguruskan bisnes ya! Macam tak cukup tangan mendengarnya. Masih punya masa melayan kerenah Ryan? Bagaimana Ning dan suami mendidik Ryan? 

Didikan penting yang saya nak beri kepada Ryan adalah pendidikan yang saya tidak dapat ketika kecil. Pendidikan agama itu nombor satu. Kedua, Ryan kena faham yang dia datang daripada dua budaya berbeza. Namun budaya tetap budaya, dan agama itu nombor satu. Bagi suami, Omar Sharif Christopher Layton Dalton, dia tiada masalah dengan cara didikan yang mengutamakan agama kerana dia berasal dari keluarga yang pergi ke gereja. Sebagai bapa dan suami, dia tahu saya beragama Islam, maka walau apa pun yang terjadi saya kata dia perlu didik Ryan mengikut ajaran Islam. Alhamdulillah, dia suka sebab dia boleh belajar sekali, hahaha... 

 

Anak adalah amanah. Dan tanggungjawab saya sebagai ibu adalah memberi didikan terbaik dan mengutamakan ajaran Islam. Alhamdulillah, Ryan tidak berdepan masalah untuk mendalami ajaran Islam. Dia masih kecil baru berusia empat tahun, tapi saya mahu dia tahu asas mengenai Islam. Mungkin masyarakat di luar sana beranggapan lain, ya saya tidak kisah apa orang nak kata, okey!

 

Cuma sebagai ibu, saya mahu dia tahu bahawa dia perlu belajar agama, kena belajar mengaji, belajar Iqra’ macam anak-anak yang lain. Sekurang-kurangnya Ryan tahu apa itu Al-Quran, apa itu solat. 

 

 

 

 

 

Sejak bila Ning terapkan pendidikan Islam dalam hidup Ryan?


Sejak Ryan dilahirkan, saya dah mula terapkan didikan Islam. Macam semua orang, kalau dia jumpa hidayah, ia akan datang bila-bila masa. Bagi saya, itu bagaikan panggilan hidayah untuk saya. Saya bukan nak kata yang saya mahu berubah 100 peratus dengan serta-merta. Saya anggap ini proses pembelajaran selain untuk saya memahami diri sendiri. Saya pun dapat sama-sama belajar agama dengan Ryan dan masuk kelas mengaji.

 

Apabila kesedaran ini lahir dalam jiwa, maka saya lihat ia seperti cahaya, saya rasa itu antara saya dengan Allah SWT. Saya rasa bangga dengan pencapaian anak saya sebab itu saya kongsi video Ryan mengaji agar peminat tahu apa yang sedang berlaku dengan hidup Ryan, tidak ada niat untuk menunjuk-nunjuk. Sebab saya tahu saya tidak sempurna. Nobody is perfect! Saya seronok kerana saya mahu kongsikan perkara yang baik-baik sahaja. 

 

 

 

 

 

 

Ning sudah menjangkau 40-an dan pada usia begini baru berpeluang mendalami agama. Pernah rasa malu dengan situasi ini? 

Oh, saya tidak pernah rasa malu untuk belajar! Dan untuk kelas pembelajaran agama ini, ustaz datang mengajar di rumah. Saya belum lagi nak pergi mendengar ceramah agama di luar. Mungkin saya belum bertemu dengan ustaz yang boleh mengajar saya dan suami. Saya dengar Ustaz Hussein Yee sangat bagus.

 

Mungkin suatu hari saya mahu dengar ceramahnya dan saya mahu suami saya turut serta. Setiap Sabtu dan Ahad, Ustaz Hussein Yee akan adakan sesi berdialog, perkongsian dan saya tahu dia fasih berbahasa Inggeris. Ini memudahkan suami memahami topik yang dibincangkan. Insya-Allah, suatu hari nanti saya berdoa agar pintu hati ini terbuka untuk mengikuti sesi ceramahnya. 

 

Sebagai permulaan, saya lebih selesa apabila ada ustaz yang boleh datang dan mengajar di rumah. Saya boleh bertanyakan apa jua soalan yang saya mahu. Untungnya ustaz yang mengajar ni bersifat terbuka. Saya dapat tahu mengenai ustaz melalui Umie Aida yang mana ustaz mengendalikan kelas agama untuk anak-anaknya.

 

Suatu hari saya tanya kepada Umie, “Boleh tak kita kongsi ustaz untuk belajar agama?” Dan Umie kata, “Okey, tiada masalah untuk berkongsi dalam mendalami agama.” Sejak itulah, ustaz memulakan kelas agama di rumah saya sekitar enam bulan lalu. Buat masa sekarang, ustaz datang dua minggu sekali, bagi saya itu sudah memadai.

 

Saya bersyukur kerana Ryan berpeluang mendalami agama dan tahu asas agama yang dianuti oleh ibunya. Malah ibu saya, Satilah Abdullah turut serta dalam kelas agama ini. Ya, emak saya adalah mualaf. Emak kurang arif dalam beberapa perkara berkaitan agama, mungkin ayah saya tidak memberi tunjuk ajar selengkapnya. Jadi, inilah peluang buatnya untuk mendalami ilmu agama. 

 

Kami seronok belajar agama kerana suasana pembelajaran yang santai membuatkan kita tidak rasa tertekan. Ustaz juga tidak paksa kita pakai begitu begini, dia terima kami seadanya. Dia datang ke rumah saya bersama dengan isterinya. Kami belajar solat, Iqra’ dan kadang-kadang bercerita mengenai kisah-kisah Nabi.

 

Kalau nak tahu, saya sekarang belajar Iqra’ 3. Saya nak belajar mengenai makna dalam Al-Quran kerana itulah kelemahan saya. Nak membaca Al- Quran, alhamdulillah saya boleh. Sebagai ibu, saya rasa seronok apabila Ryan faham pengertian Al-Fatihah misalnya. Kalau ada kesempatan dan dapat pulang kerja awal maka suami akan turut menyertai kelas agama ini. Maklumlah kelas dibuat pada harikerja. 

 

 

 

 

 

 

Kelas agama ini sebenarnya untuk anak atau untuk diri Ning sendiri?


Kisahnya begini. Suatu hari, Ryan balik dari sekolah, ketika itu usianya tiga tahun, dan Ryan bertanyakan kepada saya, “Mummy, where is God?” Saya jawab, “God is up there,” sambil tangan menunjuk ke atas. Ryan bertanya lagi, “Mana? Atas atap ke?” Saya balas semula, “No, he is bigger than universe.” Lantas Ryan berkata, “Oh, he is a Space Man, hahaha...” 

 

Saya terkedu namun masih menjawab, “He is not a Space Man, Ryan.” Bertitik tolak dari situ, saya tahu yang saya perlu mendalami agama, barulah boleh jawab soalan anak. Saya rasa Ryan membuat saya menyedari banyak perkara. Disebabkan itu, saya mahu menjadi ibu yang boleh menjawab soalan anak.

 

Saya tidak mahu orang lain yang mengajar Ryan, biarlah saya sebagai ibunya yang memberi pendidikan asas dalam agama. Malah suami saya juga mualaf, maka ini adalah tanggungjawab saya untuk mengajar suami dan anak mengenai Islam. 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Siapa lebih dominan dalam mendidik anak, Ning atau suami?


Dua dua sama kut! Tapi kebanyakan masa Ryan bersama saya dan neneknya. Ryan agak takut dengan ayahnya kerana Chris memang garang orangnya. Pun begitu, setiap kali marahkan Ryan, Chris akan memberi pelukan kepada anaknya. Beri peluang kepada Ryan untuk bermanja- manja.

 

Saya pun kadang-kadang garang juga dengan Ryan. Pernah rotan dia kerana buat salah. Kali pertama rotan anak apabila dia buat kesalahan besar. Itu sebagai pengajaran dan peringatan bahawa ada jurang antara buat baik dan buat salah. 

 

 

 

Kita tahu bahawa kebanyakan orang Barat tidak menghukum anak mereka dengan merotan. Jadi, bagaimana penerimaan suami apabila Ning merotan anak? 

Suami saya jenis tidak kisah. Asalkan baik tujuannya maka dia sokong segala tindakan saya. Cuma emak saya yang tidak boleh terima apabila saya rotan Ryan. Maklumlah nenek mana yang tak sayang cucu. 

 

 

 

 

 

 

Sejak awal pembabitan Ning dalam dunia seni (sekitar awal 90-an), emaklah yang menemani Ning ke mana jua, sementelahan dia juga yang menguruskan jadual seni Ning. Bagaimana hubungan Ning dengan emak sekarang? 

Saya rasa semua orang melalui fasa yang mana dia tahu perasaan ibunya selepas dia melahirkan anak. Wanita yang sudah berumahtangga dan melahirkan anak akan lebih memahami kenapa ibu merotan dan memarahi kita ketika kita masih budak- budak. Alhamdulillah, hubungan saya dengan emak sangat bagus!

 

Dalam usia 73 tahun, emak sememangnya mengharapkan perhatian yang lebih daripada saya. Emak adalah segala-galanya buat saya. Malah sebelum berkahwin, saya beritahu Chris bahawa dia perlu ‘berkahwin’ dengan emak saya sebelum kami bernikah.

 

Saya kata, “You nak kahwin dengan I, kan? So, you kena kahwin dengan mak I dulu, hahaha...” Maksudnya, saya mahu Chris menerima kehadiran emak saya dalam hidup kami yang seterusnya. Saya terharu kerana suami menerima permintaan ini. 

 

Emak adalah ‘BFF’ dan tulang belakang saya selama ini. She is my life! Hubungan saya dengan emak semakin hari semakin akrab, lebih-lebih lagi selepas saya berkahwin.

 

Apabila kita dah berumur, kita lebih tenang dan relaks. Emak banyak buat meditasi dan beri tumpuan kepada beribadat. Dia suka sangat dengan Ryan. Saya bangga kerana sekurang-kurangnya saya ‘hadiahkan’ emak dengan seorang yang dia sayang iaitu Ryan Sky Dalton. 

 

Di rumah, emak saya dah macam cikgu buat Ryan. Dia akan sediakan jadual belajar untuk Ryan. Balik sahaja dari sekolah (sesi persekolahan dari jam 9.00 pagi hingga 12 tengah hari), emak akan ajar Ryan menulis dan membaca. Kami juga menyediakan reward chart buat Ryan agar dia berkelakuan baik dan lebih bertanggungjawab.

 

Ia bertujuan memberi insentif kepada Ryan misalnya jika dia memberus gigi, dia dapat lima bintang; buat homework pun dapat lima bintang, all the good thing seperti kemaskan barang permainan juga akan dapat bintang.

 

Ada lebih kurang 10 kategori saya sediakan. Saya lakukan ini kerana mahu Ryan tahu tanggungjawab dia. Sebagai anak lelaki, esok lusa Ryan akan jadi ketua dalam sebuah keluarga. Saya mahu dia menjadi seorang lelaki yang budiman dan bertanggungjawab. 

 

 

 

 

 

Cukupkah dengan seorang anak? Atau Ning dan Chris ada perancangan untuk menimang cahaya mata kedua?


Tak tahulah, hahaha... Semua orang bertanya bila nak anak kedua. Apa pun perancangan saya serahkan di tangan Allah SWT. Bagi suami, sudah cukuplah. Saya pun dah ada dua anak tiri perempuan yang berusia 15 dan 13 tahun.

 

Ryan bukan tak ada kawan. Dia ada kakak. Boleh luang masa dengan kakak dan menjadi teman berbual. Walaupun kami bertemu tiga kali dalam setahun, itu sudah memadai. Lagipun saya tidak mahu beri tekanan kepada suami kerana kos membesarkan dua anak yang menetap di London adalah sangat tinggi. Banyak duit perlu disediakan. Jadi, kita kena rancang ikut kemampuan. 

 

 

 

Khabarnya hubungan Ning dan bekas isteri suami, juga anak-anak tiri dalam keadaan yang baik. Bagaimana Ning dapat melakukan ini? 

Suami sangat sayang saya kerana saya cuba kekalkan hubungan baik dia dengan bekas isteri dan anak-anak. Disebabkan emak saya adalah isteri kedua, jadi saya faham perasaan sebagai anak dan saya tahu apa yang anak rasa apabila bapa selalunya tidak ada bersama mereka. Walaupun suami bagi duit, beri pendidikan namun itu tidak bermakna jikalau dia tidak meluangkan masa bersama anak-anak.

 

Dek kerana itu, hubungan saya dengan ayah agak renggang sebab masa kecil jarang dapat bersua. Jadi, saya tidak mahu ini berlaku dalam keluarga suami saya Ayah saya kahwin tiga, dan ibu saya isteri kedua, jadi faham-fahamlah bagaimana keadaannya, it’s not easy.

 

Jadi, saya tidak mahu suami buat begitu. Walau apa yang terjadi, hubungan dengan anak-anak sangat penting dan perlu dijaga baik. Untuk itu, saya aturkan percutian Ryan bersama kakak-kakaknya. Kalau tidak pun, kami berkumpul ketika Ramadan atau Hari Raya, tengok keadaan. 

 

 

 

 

 

Raya tahun ini disambut di mana ya? 

Setiap kali Syawal, saya pastikan ia disambut di tanah air sendiri. Kerana saya mahu Ryan merasai suasana sebenar sambutan hari raya. Walaupun kami tidak ada suasana kampung tetapi dia berpeluang menziarahi rumah sanak- saudara. 

 

 

Bagaimana Ning memiliki keberanian berjumpa dengan bekas isteri suami dan berterus terang dengannya? 

Mungkin disebabkan kegagalan perkahwinan emak dahulu, saya mendapat kekuatan untuk bersemuka dengan bekas isteri Chris (ketika itu mereka masih suami isteri).

 

Emak selalu berpesan, “Kamu mesti berkomunikasi dan bersikap jujur dalam hubungan.” Justeru, saya rasa apa yang saya lakukan ataupun apa jua tindakan yang diambil, memang 80 peratus adalah hasil didikan dan pengalaman emak saya. Emak selalu beri pelukan yang hangat pada saat diperlukan, itu momen paling hebat. 

 

Saya dan suami saling mengenali agak lama, kemudian bercinta. Saya cakap dengan Chris, “Kalau you nak kahwin dengan I, you kena single, tidak boleh menjadi seseorang yang berpisah iaitu tidak tinggal sebumbung, sebaliknya you kena bercerai dengan isteri.” 

 

Jadi, saya ambil keputusan berjumpa dengan isteri Chris untuk berterus terang dengannya supaya dia dapat melepaskan Chris dari hidupnya. Tiada guna mereka mengekalkan perkahwinan sekiranya masing-masing membawa haluan sendiri dalam tempoh yang lama. Disebabkan saya bersikap jujur dan berterus-terang, isteri Chris setuju untuk melepaskannya dengan hati terbuka.

 

Ya, hubungan saya dengan bekas isteri Chris memang baik sejak kali pertama saya berjumpa dengannya. Malah saya juga menyayangi anak-anak tiri saya, mereka seperti anak saya sendiri. 

 

Sejak kami berkahwin, saya lihat suami boleh dengar cakap saya. Ini kerana nasihat saya agak praktikal. Kerana saya mendekatkan diri dia dengan bekas isteri dan anak-anaknya. Kerana itu sejarah hidupnya, dia tidak boleh lupakan masa lalu.

 

Saya selalu berpesan pada Chris, “I’m not asking you to fall in love with her, tetapi kerana anda berdua berkongsi anak. You kena sama-sama berbincang dan berkomunikasi agar anak-anak mendapat kasih sayang sebaiknya walaupun ibu bapa bercerai.” 

 

 

 

 

 

Mei ini adalah ulang tahun InTrend ke-12. Boleh kongsi siapa Ning kala usia 12 tahun?


Sejujurnya, saya ni tomboy dan nakal. Bapa kerap bawa rotan untuk mendidik saya. Pun begitu, daripada segi akademik, saya dikira okey, walau tidak skor A untuk setiap mata pelajaran, namun adalah A,B,C, malah D pun ada, hahaha... Saya juga aktif dalam bersukan. Saya melibatkan diri dengan olahraga, bola jaring dan banyak lagi. Waktu usia 12 tahun, saya memang atlet sejati. I love running. 

 

Pada usia 12 tahun juga, saya dah tahu yang saya nak jadi penyanyi. Saya punya impian untuk bergelar penyanyi sejak usia 10tahun.Emak yang berimotivasi.Waktuitu nak beli biola pun tak mampu, mahal bagi emak. Jadi, emak buat ekstra kelas tuisyen dan ambil tempahan buat kek semata-mata untuk membolehkan saya belajar main biola.

 

Dia akan tunggu saya di bawah pokok sehingga kelas tamat. Saya belajar muzik di sebuah rumah di sekitar Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. Ya, inilah kenangan bersama emak yang paling tidak boleh saya lupakan.

 

Saya belajar biola sejak usia sembilan tahun. Mula-mula tu saya main- main, kemudian baru saya sedar yang saya minat bermain biola. Kemudian saya masuk Royal Academic Music dan mendalami lagi bidang muzik ini. 

 

 

 

Besar sungguh pengorbanan seorang ibu apabila dia sanggup melakukan apa sahaja demi membolehkan Ning mendapat hanya yang terbaik. Komen? 

Melihat kerja keras emak selama ini dengan memperoleh wang tambahan daripada para pelajarnya yang datang ke rumah untuk kelas tuisyen, maka jasanya tidak akan saya lupakan. 

 

Walaupun suatu ketika dulu apabila nama saya berada di puncak, saya tidak pernah lupa pengorbanan emak. Saya sentiasa doakan yang terbaik untuk ibu bapa saya. Saya selalu terfikir kalaulah emak saya tiada di sisi... (terdiam seketika), it was very hard. Saya berjanji akan menjaganya selama-lamanya.

 

 

 

 

 

Ucapan istimewa buat insan tersayang bersempena dengan Hari Ibu?


Pertama, saya bersyukur sebab dia emak saya. Melahirkan dan membesarkan saya dalam keadaan yang sederhana. Dia bekerja keras untuk saya. Pengorbanan dan kasih sayang dia sama seperti ibu- ibu yang lain.

 

Emak selalu beri saya lebih daripada 100 peratus. Jadi, kini saya lebih memahami perasaan dia sebagai seorang ibu. Kalau tak kerana emak, saya tidak akan berada di sini, itu yang pasti! Saya sayang emak dunia akhirat. 

 

 

 

Boleh kongsi rahsia cantik Ning terutamanya barisan gigi yang serba putih itu?


Gigi ini satu pelaburan. Saya bukan jenis yang beli beg tangan berjenama. Kalau ada kawan beri, saya ambil, saya tidak kisah menyandang tas tangan hasil pemberian teman-teman. Sebab itu, kadang-kadang ada bagusnya kita jadi duta kepada jenama tertentu kerana kita berpeluang memiliki produk yang mereka tawarkan.

 

Misalnya, kalau duta untuk jenama beg tangan, dapatlah merasa bawa beg tangan terbaru. Ini kerana saya lebih percaya dengan pelaburan untuk kecantikan diri. Daripada suami hadiah saya dengan beg tangan adalah lebih baik dia hadiahkan saya gigi baru, hahaha...

 

Jadi, inilah hadiah daripada suami (sambil menunjukkan barisan giginya yang putih), kerana saya boleh sentiasa memberikan senyuman yang terbaik kepada suami sampai bila-bila. 

 

Ya, kita kena sedar bahawa kecantikan itu tidak abadi. Sebanyak mana pun kalau kita peruntukkan untuk cantik, kalau sudah dimamah usia, ia akan pudar juga. Apa yang saya percaya, kecantikan itu lahir dari dalaman kita. Untuk bercantik-cantik, saya suka oksigen facial. Dua minggu sekali saya buat facial.

 

Juga buat microdermabrasion. Selagi tidak ubah bentuk muka you, it’s okay! Saya bersyukur kerana mewarisi feature yang terletak daripada emak saya. Kulit muka juga amat penting bagi saya, justeru saya menitikberatkan pengambilan makanan untuk menjaga kecantikan kulit. Saya banyak makan sayuran dan ikan. Jarang makan daging dan ayam.

 

Juga banyak minum jus. Lagipun emak saya ni vegetarian. Saya memang mengamalkan gaya hidup sihat. Rajin bersenam maklum usia sudah cecah 42 tahun, I want to see the best version of me, tidak mahu menjadi orang lain. 

 

Saya pun tak suka bermekap. Pada hari-hari biasa, saya hanya oleskan gincu nude. Kalau saya tahu apa yang baik untuk kulit 20 tahun lalu, saya akan amalkan, hahaha... Dan mungkin penampilan kulit saya jauh lebih sihat dan cantik berbanding hari ini.

 

I wish I can do that, tapi kita tidak boleh undurkan masa. Maklumlah masa muda, kita nak cuba semua benda, bermekap tebal. Kalaulah saya boleh berpesan kepada diri saya masa muda, saya mahu katakan, “Less is more.” 

 

 

 

 

 

Boleh kongsi apa yang ada di dalam beg tangan Ning? Tengok bermacam- macam minyak dan ubat, gayanya dah macam farmasi bergerak? 

Ya, beg tangan saya seperti farmasi bergerak, hahaha... Dulu-dulu pun saya dah bawa banyak barang. Apabila dah bergelar emak, lagi bertambahlah barang yang saya bawa misalnya minyak angin kalau baby kembung perut, ubat luka kalau- kalau anak terjatuh. Ada macam-macam minyak di dalam beg tangan saya ni. Selain itu, ada wet wipes, maskara, lip gloss, kunci rumah, kunci kereta, dua telefon bimbit, satu untuk kerja dan satu untuk famili, berus gigi dan ubat gigi, hahaha... 

 

Kerana itu juga kawan-kawan panggil saya ‘Wanita Minyak’. Saya percaya dengan aromaterapi. Saya cuba elakkan daripada mengambil ubat-ubat doktor kecuali jika tidak ada pilihan. Kalau boleh natural healing. 

 

Kalau Ryan demam misalnya, saya akan oleskan peppermint oil pada dahi dan tapak kakinya. Insya-Allah dengan izin Allah SWT, demamnya akan kebah. Boleh dikatakan Ryan adalah aromatheraphy baby sebab saya cuba gunakan natural healing walaupun kesannya agak lambat tapi saya percaya dengan penggunaan bahan-bahan semula jadi. 

 

 

 

Pesanan buat InTrend bersempena sambutan ulang tahun ke-12?

Semoga majalah InTrend terus kukuh bersama barisan team yang cukup berpengalaman, semoga terus berjaya dan gemilang. Happy birthday InTrend! 

 

 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    "Mereka Tak Hadir Majlis Kahwin Kami" — Cinta Jezamine & Harith Dulu Bergolak, Ambil Teladan Kisah Kesabarannya

  • Seterus →

    “Didik Anak Kena Guna ‘Reverse Psychology’, Barulah Hati Anak Lembut, Mendengar Kata” — ZIANA ZAIN