Jan 31, 2017 - 2783

"Saya Terpilih Menggantikan Suara Arwah Salim Bachik untuk Iklan Radio Sabun LUX” — Dato' Ahmad Tarmimi Siregar

Lebih 40 tahun menabur budi, bakat dan bakti dalam arena seni. Suaranya yang emas membuatkan Dato' Ahmad Tarmimi Siregar kekar hingga hari ini. Kenali pemilik suara emas ini.

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

 

 

 

Siapa gerangan Dato' Ahmad Tarmimi Siregar yang tidak pernah kami kenali? 

Saya dilahirkan di Tapah, Perak. Mempunyai tiga orang adik-beradik. Kami seisi keluarga mengikut arwah bapa berpindah ke Negeri Sembilan pada tahun 1955 kerana dia adalah seorang guru agama di PDRM. 

 

 

Detik mula penglibatan dalam dunia seni? 

Sejak zaman persekolahan lagi, saya sudah mula aktif sebagai penari sekolah. Kemudian pernah mengikut kumpulan nyanyian dan kami membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan. Saya mula bergiat aktif dalam teater pula sekitar tahun 1960-an. Dan sewaktu menunggu keputusan HSC, saya pernah bekerja sebagai kerani.

 

Saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (UM) tetapi saya tolak kerana ketika itu, gaji yang diperoleh lepasan universiti sekitar RM800 dan saya sudah menerima gaji sekitar RM1000 lebih sebulan. Saya terus bekerja dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Hingga sekitar 1970-an saya melibatkan diri dalam arus teater.

 

Teater muzikal pertama Melayu, Uda dan Dara adalah penglibatan pertama dalam pentas teater berskala besar. Ketua Pengarah Kebudayaan ketika itu punya pengaruh tersendiri dan melihat sesiapa yang mempunyai kelayakan HSC ditawarkan sebagai Pegawai Kebudayaan.

 

Daripada situ bermulalah episod saya berkhidmat sebagai salah seorang pegawai kerajaan di bawah Kementerian Kebudayaan hingga menaiki pangkat ke divisyen satu. 

 

 

 

 

Dalam masa sama, penglibatan saya dalam dunia teater, seni tari dan lakonan masih bergerak seiring. Ketika pembikinan teater Uda dan Dara, saya berpeluang mengenali dan bekerjasama dengan nama-nama besar penggiat teater seperti Faridah Merican, Datuk Rahim Razali dan Datuk Krishen Jit.

 

Mulanya ketika sesi uji bakat awal, saya tidak terpilih. Namun selepas pulang dari kerja, dek kerana muka tak malu dan sering kali menebeng di tepi pintu Pusat Kesenian (kini sudah menjadi tapak Hotel Nikko) melihat mereka menjalani sesi raptai; saya dipanggil. Mungkin kerana mereka terlepas pandang melihat bakat dan kebolehan saya....sesi ujibakat kali kedua dilakukan di hadapan Faridah Merican dan Datuk Rahim Razali. Saya memegang peranan sebagai rakan kepada Uda selain memakai tujuh kostum dalam teater ini. 

 

Di situ juga membawa kepada pertemuan dan penceburan saya dengan nama-nama besar pelukis, penggiat teater, pereka tari dan yang lain sealiran dengan dunia seni. Syukur kerana tidak sampai dua tahun, saya sudah mula dikenali. Ia umpama satu langkah pertama yang betul dan tepat bagi saya untuk menggelumangi dunia seni.

 

Penglibatan saya dalam drama televisyen pula bermula sekitar 1970 menerusi drama hitam putih, Potret Pekerti di bawah arahan Allahyarham Abdullah Zainol disiarkan di RTM. Memandangkan saya sudah mula dikenali oleh nama- nama besar penggiat drama, lem dan sebagainya, maka tawaran demi tawaran saya peroleh. Dan di awal pembabitan, saya banyak memegang watak di bawah arahan Datuk Rahim Razali.

 

Hampir kesemua filem arahannya, pasti saya bintangi kecuali beberapa judul sahaja tidak melibatkan nama saya. Sleain itu, saya pernah menari dengan Badan Kesenian Melayu juga Kumpulan Seni Tari Asli selain aktif dengan festival tari dan sebagainya.

 

Tetapi apabila sampai ke peringkat divisyen satu dalam tangga kedudukan di peringkat Kementerian Kebudayaan, saya kurang aktif kerana telah mula memegang program kesenian seperti Program Perkembangan Teater Malaysia ketika itu. Memandangkan kerja dan minat saya selari, maka tidak timbul isu tertekan dan sebagainya. Lebih kepada keseronokan kerana saya benar-benar meminati dan menikmatinya. 

 

 

 

 

Sepanjang tempoh itu juga saya pernah mendapat tajaan melanjutkan pelajaran Fellowship Japan Foundation ke Tokyo selama setahun yang diselaraskan di bawah Panggung Negara. Pulang ke tanah air, masih bekerja dan diberi peluang kenaikan pangkat. Selepas menguruskan Program Perkembangan Teater, saya ditugaskan ke Kompleks Budaya Negara (kini Istana Budaya) bagi menguruskan bahagian Pembangunan Seni Tari.

 

Pegawai Kebudayaan dahulu sekurang- kurangnya perlu menguasai salah satu bidang seni. Dan alhamdulillah dengan bakat dan anugerah yang dikurniakan Allah, saya berkebolehan dalam lapangan seni tari, lakon televisyen, teater juga nyanyian.

 

Itu dianggap sebagai salah satu kriteria yang perlu anda kuasai jika ingin menyandang jawatan Pegawai Kebudayaan dan saya adalah kumpulan terakhir yang mengikuti kriteria ini. Bidang penyampaian berita radio dan terjemahan juga antara cabang dunia penyiaran selain pengacaraan yang saya ceburi ketika itu.

 

 Selepas 1987, saya sudah mula menjawat jawatan Ketua Bahagian. Di pejabat, sudah mula menggunakan kubikel dan kebetulan saya berjalan berhampiran dengan bilik salah seorang pegawai. Ketika itu, dia marahkan seorang pegawai kanan dan katanya, “Eleh, sekolah setakat tingkatan lima aje, nak mengajar kita pula!" Tiba-tiba saya terfikir, “Ish, aku pun dikata jugakah?”  Dan ada benarnya kata-kata pegawai tersebut kerana ketika itu rata-rata pegawai adalah graduan universiti.

 

Lantas saya menelefon Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Seri Dr. Musa Mohamad untuk menyambung pengajian peringkat sijil (Sijil Seni Kreatif) selama setahun dengan lima kepujian. Kemudian saya menyambung pengajian seterusnya hingga berjaya meraih ijazah. Pada masa sama juga berulang alik dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur kerana saya mengacarakan Selamat Pagi Malaysia (SPM).

 

Untungnya ketika itu saya masih belajar dan kad pelajar membolehkan saya mendapat harga tiket penerbangan (MAS) separuh harga daripada RM80 hingga RM96 sehala. Parkir motor, ikat rantai pada tiang di tempat parkir motor di lapangan terbang, saya mengambil penerbangan awal pagi dari Pulau Pinang dan tiba di studio sekitar tujuh pagi.

 

Kemudian bersiap di studio untuk ke udara bagi rancangan SPM. Pulang semula ke Pulau Pinang dengan mengambil penerbangan tengah hari. Kadangkala dalam tiga kali seminggu saya terbang ulang alik dari sana ke Kuala Lumpur kerana menerima undangan sebagai hos untuk acara makan malam atau majlis-majlis lain.

 

Itulah sebahagian daripada rutin saya selama empat tahun hingga berjaya meraih ijazah dengan kepujian. Biarpun penat tetapi pengalamannya cukup menarik dan indah apabila di imbas semula. 

 

 

 

 

Suara Dato' umpama suara emas. Boleh menyanyi dan meminjamkan suara untuk iklan-iklan di radio dan watak animasi. Bagaimana ia bermula? 

Saya mula menceburi bidang suara latar iklan radio pada 1975. Ketika itu saya menggantikan arwah Salim Bachik dan kebetulan suara saya antara yang paling mirip dengan suara arwah, maka selepas menghadiri uji bakat saya terpilih menggantikannya untuk iklan radio sabun LUX. Dan penglibatan bidang ini berterusan hingga hari ini.

 

Pada saya, iklan radio ketika itu ia memberi pulangan yang cukup besar dengan cara yang mudah. Hujung 1990-an apabila sistem pengiklanan tidak lagi dikawal oleh kerajaan dan kerajaan juga tidak melihat mengenai aspek penegasan suara yang betul, pelat atau tidak dan sebagainya tetapi diambil alih oleh Copy Writer yang rata-ranta muda usianya. Ketika itu mereka melihat aspek four in one, jika boleh bertutur dalam empat bahasa utama (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil) calon itulah yang akan menjadi suara latar untuk sesebuah iklan. 

 

Tetapi saya tegas dalam hal ini kerana apabila Copy Writer tidak arif dalam soal sebutan yang betul, saya akan lantang bersuara dan membetulkannya kerana saya sudah berpengalaman dalam bidang ini. Lantaran itu saya kurang menerima tugasan suara latar iklan. Kini saya cuma meminjamkan suara untuk dokumentari, iklan radio McDonald's juga iklan perdana deep voice lay back bagi Sime Darby.

 

Dalam bidang pengiklanan, saya pernah memegang jawatan Timbalan Presiden bagi The Voice Guild, sebuah persatuan yang menyatukan bakat-bakat suara latar pengiklan juga mengekalkan tahap juga kadar bayaran serta cara kerja individu kreatif yang bernaung di bawah persatuan ini.

 

Kini saya masih lagi aktif berpersatuan dan antaranya saya menyandang jawatan Timbalan Pengerusi CCIG (Creative Content Industry Guild Malaysia) yang khusus dalam bidang lakonan, pengarahan, penerbitan kreatif filem. 

 

 

 

 

Apakah memang bercita-cita ingin bergelar anak seni? 

Pada saya perkataan anak seni tidak pernah timbul dalam fikiran. Ia cuma retorik. Saya menceburi bidang seni sejak awal lagi. Dan asal seni itu tercetus apabila saya mula menyertai musabaqah Al Quran sejak berumur tujuh tahun hingga 15 tahun. Pernah menyandang gelaran qari di peringkat Negeri Sembilan.

 

Namun dek kerana sudah lama meninggalkan bidang pengajian ini, maka semakin lama hilanglah taranum, makhraj, tajwid dan sebagainya. Dahulunya arwah bapa adalah seorang ustaz yang mengajar mengaji. Tegas dan garang orangnya. Ketika usia enam tahun lagi saya sudah mula didedahkan dengan pertandingan musabaqah.

 

Ritual seperti isi air di dalam mulut, lari keliling rumah tujuh kali semua itu diajar oleh arwah bapa untuk menjaga suara ketika mengaji. Saya diharamkan menyanyi walau apa jua lagu sekalipun. Pernah saya menyanyikan lagu Allahyarhamah Saloma, tetapi akhirnya disebat oleh arwah bapa. Dan di awal pembabitan saya dalam dunia seni mendapat tentangan hebat daripadanya. Arwah bapa mahukan saya menjadi sepertinya, arif dalam mengaji Al-Quran. Ketika saya menceburi bidang tarian pula, kecoh juga dibuatnya. 

 

Arwah menulis petisyen kepada Pengarah Belia, Kebudayaan dan Sukan daerah Seremban dan berlaku kon ik ketika itu. Sehinggalah anak muridnya menjelaskan tindak-tanduk saya dan barulah arwah boleh menerima minat saya pada dunia seni sedikit demi sedikit. Apabila saya mula menceburi bidang lakonan di televisyen (Potret Pekerti) arwah bapa adalah peminat nombor satu dan sering sering berdiri di sebalik tiang di suatu sudut melihat lakonan saya. 

 

 

 

 

Pada 1970, ada satu tekad yang saya pegang. Selepas meraih pendapatan daripada drama radio, lakonan televisyen dan sebagainya saya tanyakan kepada arwah bapa, “Nak balik kampung tak?” kerana maklum sudah terlalu lama dia tidak pulang ke Kampung Langkat, di Medan Sumatera. Dan pulanglah kami ke kampung arwah bapa.

 

Dia memuji saya dan berkata dengan arwah emak, “Tak sangka anak yang selama ini aku belasah dengan kayu rupanya dialah yang membawa aku balik ke kampung.” Apabila emak memberitahu terasa hiba di hati saya. Kerana dahulu sayalah yang sering merembat basikal tuanya untuk keluar pergi menari dan sebagainya.

 

Arwah bapa pula sudah lama menunggu kepulangan saya kerana menggunakan basikal untuk pergi mengajar mengaji dan agama sejauh 15 hingga 30 batu jauhnya. Apabila pulang ke kampung dan melihat saudara-mara saya menjalani kehidupan di sana, jauh di sudut hati saya bersyukur kerana arwah bapa berhijrah dan tinggal di Tanah Melayu dahulunya.

 

Dan melihat kesusahan sepupu- sepupu saya membuatkan saya lebih keras bekerja tanpa merungut. Selagi diberikan kudrat, siang malam saya bekerja. Berpindah ke sana sini, ditukarkan ke mana sekalipun saya tidak pernah merungut. Berilah apa jua kerja, saya akan lakukannya sehabis baik kerana memikirkan betapa bertuahnya saya dilahirkan di sini. Jika saya lahir di Sumatera, mungkin saya hanya bergelar pengayuh sampan hari ini. 

 

 

 

 

Namun usia arwah tidak panjang ketika saya menceburi bidang ini. Pada tahun 1976, arwah bapa dijemput Allah. Pada 1994, saya ditugaskan mengarahkan muzikal berskala besar Kaba Kasih Menanti di Stadium Negara sempena pertabalan Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-10, Almarhum Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

 

Oleh kerana kejayaan mengarahkan muzikal ini, saya memperoleh Fellowship Asian Cultural Centre ke New York. Daripada tempoh setahun saya pendekkan kepada tempoh enam bulan kerana memikirkan timbunan kerja di pejabat. Ketika itu saya menyandang Timbalan Ketua Pengarah Istana Budaya.

 

Pulang dari New York, Ketua Pengarah Istana Budaya sudah bersara dan sepatutnya saya mengambil alih jawatannya namun ketika itu Istana Budaya masih belum siap dibina. Namun dek kerana saya sudah mulai bosan bekerja dengan kerajaan, selain tidak popular dalam kalangan pegawai-pegawai oleh sebab prinsip saya yang begitu kuat membuatkan orang keliling tidak menyenangi cara saya bekerja.

 

Prinsip bekerja saya tiada istilah duit bawah meja, penyelewengan dan sebagainya. Maka sebelum saya ‘dibunuh’ atau ditikam dari belakang, saya maklumkan kepada Menteri Kebudayaan untuk bersara awal.

 

Ketika itu masih belum kering dakwat Ketua Pengarah Istana Budaya. Sukar menteri mahu menerima peletakan jawatan tetapi modal terakhir saya beri untuk sertai politik, maka mahu atau tidak dia terpaksa menerima peletakan jawatan saya. 

 

 

 

 

Dato' punya bakat baik dalam lapangan seni lakon, teater dan pengarahan juga suara latar untuk iklan-iklan radio. Antara cabang- cabang seni ini, yang mana paling mencabar dan memberi kepuasan kepada Dato'? 

Pada saya semua cabang seni punya cabaran dan kepuasan tersendiri. Jika saya bosan dalam mengarah drama misalnya, saya akan beralih arah kepada lakonan. Jika ada yang mengundang untuk pembacaan puisi atau menyanyi, saya akan pergi. Pada saya kepuasan itu berbeza.

 

Dalam lakonan umpamanya, ia dapat dirasai apabila digandingkan dengan pasangan pelakon yang bagus, skrip yang bagus. Tidak timbul isu bayaran. Berapa sahaja yang diberi, saya tidak kisah kerana di situ kepuasan tidak boleh dibeli.

 

Dan pasangan pelakon yang bagus tidak semestinya pelakon lama atau veteran. Pada saya istilah lama itu terbahagi kepada tiga. Lama besi, lama kayu dan lama emas. Lama besi akan berkarat, lama kayu akan reput dan lama emas berkilat.  Dan jika inginkan lama emas itu yang payah. 

 

 

 

 

Pernah terpalit dengan kontroversi sepanjang hampir 40 tahun menggelumangi arena ini? 

Pada pengamatan saya, tiada. Ketika zaman dahulu, barisan wartawan bukan calang-calang hebatnya. Pena mereka sememangnya lebih tajam daripada pisau atau mata pedang. Arwah Ahmad Idris, Datuk Kamal Amir, Saodah, Kak Bam dan ramai lagi.

 

Cerita-cerita sensasi ini lazimnya akan timbul apabila saya digandingkan dengan mana-mana pelakon. Apabila dilihat di skrin televisyen, keserasian dan watak itu menjadi malah sehingga ada yang jatuh cinta kepada saya tetapi semua dapat ditangani dengan baik.

 

Pada ketika penglibatan dalam seni lakon, saya masih lagi berkhidmat sebagai pegawai kerajaan dan semememangnya segala isu, kontroversi atau gosip saya akan jaga sebaiknya.

 

Malah jika sesi fotografi dan seumpama dengannya saya akan cuba elakkan kerana berlaku conflict of interest dengan profesyen saya sebagai pegawai kerajaan. Alhamdulillah, rakan- rakan wartawan cukup memahami dan tidak timbul cerita dalam kain sebaliknya lebih fokus kepada karier seni sahaja. 

 

 

Filem Abang (1981) 

 

 

Cara dan pendekatan Dato' untuk menangani apa jua isu/gosip/kontroversi yang melibatkan nama Dato' dalam industri? 

Itu antara perkara yang paling saya takuti kerana saya tidak pandai memberikan jawapan dengan baik, berlapik dan sebagainya. Benar, pengalaman sepanjang 40 tahun dalam bidang ini ia bukanlah tiket atau alasan kukuh untuk saya mendabik dada mengatakan saya bijak menguruskan soal ini. Hingga kini saya masih belajar untuk memperbaiki dan memberikan jawapan atau komen dengan sebaiknya. 

 

 

 

Filem Mekanik (1983) - Sebagai watak pembantu - Encik Razaleigh 

 

 

Cara kerja gagasan seangkatan Dato' dahulu dan sekarang, kongsikan? 

Mungkin zaman saya sekolah lakonan tiada, orang yang mahir dalam bidang lakonan juga tidak ramai. Cuma yang ada seperti Datuk Rahim Razali, Ahmad Yatim, Othman Hafsham, Abdullah Zainol. Ketika itu, nak mencari ilmu susah. Ada kalanya kena maki, kena baling selipar atau objek-objek lain dan itu dianggap lumrah malah jauh sekali untuk kami merajuk atau mengomel.

 

Cara kami melihat dimensi seni juga berbeza. Ia bermula daripada minat yang pada awalnya dianggap sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Sementelahan bermula dari sekolah namun lama- kelamaan, apabila diberi fokus; oh bidang ini mendatangkan pulangan; memberi sumber kewangan. Tidak terlintas mahu mengejar glamor.

 

Drama radio misalnya, pernah saya mendapat RM10 untuk sebuah drama sekitar tahun 1970-an. Begitu juga ketika membaca berita radio, RM10 untuk durasi berita 15 minit. Pada saya hujung minggu adalah masanya untuk saya mencari wang lebih. Ketika orang lain bercuti, saya bekerja. Jauh bezanya dengan kadar bayaran ketika ini. 

 

 

 

Filem Puteri (1987) - Dalam filem ini, Dato' Ahmad Tamimi Siregar memegang watak pembatu, malah dia menerima anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM (1987). 

 

 

Hidup sebagai anak seni perlu kental semangat, kuat jati diri dan punya prinsip. Apa yang menjadi pegangan Dato' untuk terus bertahan hingga kini? 

Tiada prinsip atau istilah yang khusus dan sesuai. Bagi saya kita mesti lakukan pekerjaan yang kita tahu dan membuatkan kita seronok. Jika kita lakukan pekerjaan yang kita sendiri tidak menyukainya, maka akan datanglah beribu alasan. Memontenglah, itu dan ini. Apa yang penting jaga disiplin, jangan menipu, jangan merasuah, jangan mengambil kesempatan, jangan menyalahgunakan kuasa dan jangan membuli. 

 

 

Cabaran pelakon sealiran Dato' dengan generasi anak seni hari ini? 

Zaman dahulu waktu adalah cabaran utama. Jika terlibat dengan drama pentas memakan masa dua bulan berlatih dan setiap malam perlu hadir sesi latihan. Dari jam lapan malam hingga dua tiga pagi.

 

Walaupun hanya memegang peranan sebagai pembantu tetap perlu menunggu sehingga tamat sesi latihan. Sistem latihan dahulu tidak seperti hari ini yang ibaratnya pocket rehearsal. Ketika itu pemain teater diajar untuk bersolek sendiri, mendandan rambut sendiri. Pada hemat saya, kami lebih berdikari berbanding pelakon hari ini. Hinggakan tidak terlintas bahawa sesuatu peranan itu diberikan wang. 

 

Terkejut rasanya, “Eh, dapat duit?” dan itu menggambarkan bahawa kami tidak melakukannya semata-mata kerana duit. Minat, kesungguhan dan cinta pada bidang ini telah mengatasi segalanya. Jika ada pemberian duit, itu dianggap bonus. 

 

 

 

 

 

Media sosial, sejauh mana ia membina atau membunuh karier anak seni?

Saya tidak popular dalam arus media sosial. Kadang-kadang saya muat naik status di Facebook dan jika 10 orang yang memberi komen, saya sifatkan sudah cukup hebat (ketawa). Ada ketikanya hanya empat atau lima orang yang akan menjawab. Dan ia terdiri daripada rakan-rakan terdekat sahaja. Kadangkala saya menyalahkan diri kerana tidak pandai berkawan dan gurauan saya berbunyi sarkastik. 

 

Malah isteri saya pernah berkata, “Abah, sometimes your joke is sarcastic.” Begitu juga dengan penulisan saya. Kadangkala apa yang saya tulis atau muat naik, intonasinya tidak sama dengan apa yang saya cuba sampaikan. Tetapi itulah diri saya. 

 

Hinggakan saya berkata kepada isteri, “Nak tahu kawan saya ramai atau tidak, tunggulah saya mati esok. Kalau ada, adalah.” Merujuk kepada soalan tadi, pada hemat saya, sebenarnya media sosial adalah medium terbaik untuk memasarkan ‘diri’ (kepada golongan selebriti) jika dimanfaatkan dengan cara yang betul. Namun jangan pula disalah erti penggunaannya.

 

Hindari sifat gemar menunjuk-nunjuk mengenai kehidupan glamor anda. Kerana harus diingat, ada yang menyukainya dan ada juga sebaliknya. Usah dicanang satu dunia setiap pergerakan anda. Tinggalkan sedikit untuk diri anda agar nilai eksklusiviti terlihat tinggi di mata yang melihat. 

 

 

Sumber rujukan Dato' dalam memastikan penggunaan Bahasa Melayu sering diangkat ke peringkat yang lebih tinggi? 

Tiada sumber yang khusus, apa jua yang saya lihat di sekeliling atau menerusi pembacaan dalam apa jua medium sekalipun itulah saya jadikan sumber rujukan. Perbendaharaan kata amat penting untuk dikuasai bagi mereka yang benar-benar ingin menjiwai dunia seni. Ketika zaman saya dahulu, kami dilatih, diuji dan diajar untuk membuat huraian mengenai sesuatu objek.

 

Baik daripada tekstur, sifat dan apa sahaja yang dilihat bisa dirungkai satu persatu. Perlu ada penggunaan perkataan yang menghurai dan menerangkan objek tersebut dan orang yang mendengarnya menutup mata. Jika si pendengar faham dan dapat membayangkan apa yang diterangkan bermaksud kita lengkap dalam aspek perbendaharaan kata.

 

Aspek perbendaharaan kata juga inti pati penting untuk dikuasai pada era saya bergelar pengacara dahulu. Seharusnya pengacara itu boleh membuat huraian, memberi penerangan dan menyampaikan maklumat. Namun itu yang kurang malah ada pengacara atau hos yang seakan malas melakukan kerja lebih.

 

Misalnya jika penggambaran sebuah rancangan televisyen diadakan di zoo, hosnya akan berkata lebih kurang begini, "Hai, saya sekarang berada di zoo. Lihatlah apa yang ada di belakang saya ini. Best kan? Jom kita ke sana pula." Terlalu mudah mereka mengendalikan sebuah rancangan tanpa melakukan kajian atau sekurang-kurangnya melakukan persiapan awal. Gunakan kelebihan yang ada di hujung jari anda. Klik sahaja dan studi terlebih dahulu barulah anda ‘nampak cerdik’. 

 

 

 

 

Andainya suatu hari nanti Dato' sudah tiada, apa yang ingin ditinggalkan agar kami bisa mengenang jasa dan peranan Dato'? 

Saya tidak mempunyai legasi atau empayar yang gah untuk diwarisi. Hanya anak-anak sahajalah yang ada. Anak-anak murid pun tidaklah seramai mana. Tetapi apabila berada di lokasi penggambaran, jika ada yang bertanya atau mahu belajar daripada pengalaman saya, sekurang-kurangnya dua jam saya akan bercakap.

 

Bukan mahu mendabik dada menceritakan I've been there, done that. Sebaliknya lebih kepada perkongsian yang diselitkan juga nasihat dan panduan sebagai rujukan. Itu juga terpulang kepada penilaian masing-masing jika ingin mengenang jasa saya. Pada saya perihal ini bukan ukuran selagi perkongsian saya mendatangkan manfaat, silakan. Tetapi saya masih ingat kata-kata Dato' Rosyam Nor ketika kami sama-sama menziarahi almarhum Hani Mohsein. 

 

Ratusan orang hadir memberi penghormatan terakhir. Apabila wartawan yang bertanyakan bagaimana pandangan Rosyam tentang Hani Mohsein. Jawabnya, “Lihatlah, berapa ramai yang hadir hari ini. Maknanya, yang mengenali dan memahami arwah, berkawan rapat dan sebagainya, itulah dia.”

 

Itulah tanda sama ada kita disayangi, dihormati, dikenang dan disegani. Saya tidak menaruh harapan untuk dikenang sebagai ikon atau apa jua gelaran sekalipun. Biarlah Dia yang menentukan segala pengakhiran. Doakan sahaja muda-mudahan semuanya dinoktahkan dengan baik. 

 

 

 

 

Nasihat dan panduan Dato' untuk generasi hari ini agar punya keterampilan seperti mereka yang sealiran dengan Dato' dahulu? 

Generasi dahulu berdisiplin. Tetapi ada sesetengahnya suka bercerita mengenai zamannya. “Zaman aku dulu ni...” pada saya usahlah dijaja cerita zaman anda kerana hakikatnya pada zaman itu serba- serbi susah. Melainkan jika ada yang bertanya, barulah bercerita.

 

Seeloknya diamkan sahaja. Zaman sekarang semuanya ada. Namun keseronokannya yang berbeza. “Oh, aku dulu dah lama ni...” Yalah adakah lama kayu atau lama emas? Ceritakan sahaja keindahannya. Itu jauh lebih manis dan molek untuk dikenang. 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Saya Pernah Hidup Melarat, Makan Bersekat” — Kini Bonda Rozita Ibrahim Sendayu Tinggi JUTAWAN, Suri Niaga Tekad Kuat!

  • Seterus →

    WIRDA WEARS PRADA — Kisah Kerjaya Editor Majalah Ternama Malaysia. Kala dijulang, Saat ‘disailang’!