Feb 01, 2017 - 3893

WIRDA WEARS PRADA — Kisah Kerjaya Editor Majalah Ternama Malaysia. Kala dijulang, Saat ‘disailang’!

Kalau di New York mereka ada Anna Wintour, di Kuala Lumpur kita punya 'the one and only', Wirda Adnan! Siapa dia?

 

Oleh: Afiza Kamarulzaman 

 

 

 

 

 

 

 

SEPULUH tahun lalu, dari Ipoh saya ke Kuala Lumpur. Mencuba nasib menggali rezeki di kota elit ini. Si budak hingusan baru habis Diploma yang langsung tidak tahu apa itu majalah (hanya tahu membaca, tidak menilai), tidak pandai fesyen dan tidak arif juga. Yang saya ada hanyalah bakat menulis yang dianugerahi Tuhan sejak saya kecil. Saya ke Seksyen 14, Petaling Jaya menaiki teksi yang saya tahan dari LRT Asia Jaya. Menjengah ke sebuah pejabat penerbitan majalah yang waktu saya tidak tahu pun ‘segah’ mana namanya? Jujurnya saya pergi hanya untuk ditemuduga sebagai penulis. Penulis majalah? Saya tidak pasti apa bezanya dengan penulis biasa? Yang saya yakin, saya boleh menulis! 

 

“Selamat petang. Saya ada appointment dengan Puan Asiah Mion,” tutur saya sebaik mendepani penyambut tetamu di pejabat itu. Lama juga saya menunggu sebelum dibawa naik ke bilik mesyuarat. Saya susuri pejabat itu dengan jelingan sipi-sipi staf-staf yang nampaknya sibuk dengan komputer masing-masing. Langsung tidak menoleh ke arah saya; sama ada saya langsung tidak menarik atau mereka benar-benar sibuk; hatta untuk menoleh sekalis pandang. 

 

Sebaik saja pintu bilik mesyuarat dikuak, kelihatan dua wanita sedang menunggu saya dengan ‘muka ketat’ masing-masing. Okey, saya bismillah dalam hati. Saya duduk sebaik dipelawa. Saya keluarkan sijil-sijil saya yang langsung tidak disentuh walau sehingga usai sesi temu duga. Puan Asiah Mion pernah saya temui untuk sesi temu duga pertama dulu. Yang seorang ini siapa ya? Wajahnya familiar... 

 

“Okey, Afiza! Afiza, kan?” Suaranya bingit menyoal. 

 

“Afiza nanti boleh keluar dari pintu bilik ni, boleh jalan sambil senyum. Sebab, apa pun yang I cakap nanti kerja ini akan tetap jadi milik you kerana Asiah mahu you!” Katanya dengan muka kelat. 

 

Wah, hati saya berbunga riang tapi saya sorokkan dengan wajah konon-konon tidak mengerti. 

 

I cuma nak tanya, kalau I minta you siapkan artikel seperti ini, berapa lama masa yang boleh you ambil?” Tanyanya sambil menyelak salah satu halaman majalah ruangan kecantikan. 

 

“10 minit!” Jawab saya yakin! 

 

“Kalau I hantar you ke Genting Highlands balik ke rumah sampai malam, boleh?” 

 

“Boleh!” 

 

“Kalau I suruh you stayback di ofis siapkan kerja sampai tengah malam, boleh?” 

 

“Boleh!” 

 

“Kalau I baling kertas sebab artikel you tak bagus, boleh?” 

 

“Boleh!” 

 

“Kalau I suruh you ubah imej jadi lebih ‘berfesyen’, boleh?” 

 

“Boleh!” 

 

Dia pandang saya atas bawah dan sambung, “You bukan tak cantik...” 

 

Wah, sekali lagi hati saya berbunga mekar! Dan saya mula rasa wanita ini ada ‘sesuatu’ walaupun mukanya ketat, saya pasti hatinya tersembunyi kebaikan yang sukar dimengerti. Dan sejak saya berkata ya kepada offer sebagai penulis majalah di situ, saya tahu kehidupan saya pasti berubah 360 darjah. 

 

Itu sedikit momen awal saya bersama wanita majalah bernama Wirda Adnan. Walaupun saya tidaklah bekerja secara langsung dengannya (saya di bawah seliaan Asiah Mion), namun saya masih berada di bawah payung pengurusan beliau. Jujurnya, sepanjang bersama di bawah satu bumbung, saya tidak punya banyak kenangan yang manis-manis bersama. Yang mungkin ada, banyak yang ‘kelat’ dan ‘masam’.

 

Tidak tahu di mana silapnya, namun jauh di sudut hati saya masih menghormati beliau sebagai seorang Editor senior majalah fesyen tersohor negara. Ya, kami pernah juga bertikam lidah, berselisih pendapat dan saya pernah menangis di depannya (kerana berasakan dia tidak adil menilai performance saya), namun saya tahu kerana dia (juga kerana garangnya Asiah Mion) saya menjadi kuat dan kebal hingga ke hari ini. Kalau mungkin saya dibelai manja semata, saya tidak pasti adakah saya masih di sini? 

 

Dan, apabila kemudiannya masing-masing meninggalkan bumbung itu; bumbung yang tidak pernah mengizinkan kami duduk berbual mesra, tidak sangka pula saya diberi task oleh Editor saya, Rosie Haslinda Nasir untuk menemu bual Wirda Adnan pada hari ini. Wow! Ini peluang terbaik untuk saya cuci yang mana berdebu, untuk ruang yang lebih bersih buat kami. Insya-Allah...

 

Jadi, apa agaknya yang menarik tentang kisah jatuh bangun seorang yang bernama Wirda Adnan dalam dunia majalah ini? Benarkah dia semirip watak Miranda Priestly dalam filem 'Devil Wears Prada', adaptasi daripada novel tulisan Lauren Weisberger? 

 

Hai Kak Wirda, apa khabar? Bagaimana kehidupan sekarang? 

Alhamdulillah, sama seperti dulu, masih sibuk walaupun tidak ke pejabat 9.00 pagi - 5.00 petang. Kadang-kadang lebih sibuk kerana apabila buat kerja dari rumah, banyak yang mahu diuruskan dalam satu waktu. Kerja rumah dan kerja penulisan.

 

I sekarang menjadi Pengasas WWorldasia Sdn. Bhd. yang memiliki produk kecantikan, Princess Kastula dan label fesyen, I Love Wirda. Apa sebenarnya yang you all nak interview I ni? (Eh, Kak Wirda soal kami baliklah! Terkedu sekejap, hahaha...) 

 

 

Kami ingin tahu bagaimana Kak Wirda mengemudi jatuh bangun kerjaya Kak Wirda sebagai orang majalah? 

What? I pernah jatuh ke? Hahaha... 

 

Maksud saya, ujian. Ujian juga dikira saat kita jatuh. Okey, apa kata Kak Wirda mulakan dengan bagaimana Kak Wirda terlintas untuk menjadi orang majalah? 

Inilah pekerjaan yang dulunya I nak eja pun tak reti; journalist! Minat itu terpupuk apabila melihat seronoknya kerja Pak Cik I sebagai wartawan surat khabar. Setiap kali ke luar negara, Pak Cik Subki Latif akan menghantarkan kami poskad dari negara-negara yang beliau lawati.

 

Waktu itu, kami adik-beradik berebut-rebut ke peti surat untuk melihat poskad apa kali ini? Dalam hati memuji cantiknya negara orang. Ada juga terlintas di hati mahu menjadi pramugari untuk melihat dunia. I pergi temu duga itu tetapi kemudian I berfikir semula, takkkanlah I mahu serve orang hanya kerana I want to see the world. Itu bukan apa yang I impikan.

 

Jadi, I rasa menjadi orang majalah adalah kerjaya terbaik untuk melihat dunia sambil mengembangkan bakat menulis yang ada. Oh, I memang suka menulis, sejak kecil I ada buku sendiri untuk I tulis apa yang I rasa, I suka berangan. 

 

 

 

 

Tidak mendapat bantahan orang tua yang pastinya zaman itu tidak mengerti apa sebenarnya pekerjaan orang majalah itu? 

Bapa kurang setuju. Dia lagi mahukan I menjadi guru. Jahatnya I, I isi borang untuk menjadi guru, tapi alamatnya I letak di Kuala Lumpur dengan harapan kalau dipanggil nanti, tidaklah bapa I tahu. Kemudian, I sambung belajar di Kuala Lumpur, ambil kelas malam.

 

Pada masa yang sama I sudah mula mengintai peluang bekerja di majalah. Bekerja sekejap di majalah terbitan Amir Enterprise tetapi impian mahu ke majalah Jelita; majalah paling happening. I pun dipanggil untuk temu duga oleh Editornya ketika itu, Kak Zaharah Nawawi. 

 

 

 

Apa yang berlaku pada temu duga pertama? 

Soalan pertama Kak Zaharah waktu itu, “Apa awak boleh buat?”

 

I balas, “Semua saya boleh buat,” dengan yakin dan beraninya I jawab begitu. Betul apa, sebab berilah apa pun task, fesyen, kecantikan, masakan, deko, insya-Allah semua I boleh realisasikan dengan baik. Tidak berapa lama selepas itu, memang I dapat pekerjaan itu.

 

Pernah Kak Zaharah beritahu, “Awak tahu tak kenapa saya pilih awak, sebab awak sombong! Awak kata awak boleh buat semua. Jadi, saya nak tengok dan buktikan yang awak boleh bekerja.” 

 

 

 

 

Bagaimana karakter Kak Zaharah Nawawi sebagai Editor waktu itu? 

Dia seorang yang sangat serius, strict dan patuh pada peraturan syarikat. Sangat punctual tentang kedatangan dan deadline. Di tangannya, majalah tidak pernah lewat berada di pasaran. Waktu itu jurang antara Editor dan penulis sangat besar. Pangkat Editor, lebih-lebih lagi Ketua Pengarang dipandang tinggi, hatta untuk menaiki lif pun, dikhaskan lif untuk para Editor sahaja, penulis biasa tidak boleh naik satu lif yang sama. 

 

Mereka tidak akan makan di tempat sembarangan seperti staf biasa. Pernah satu hari, Kak Zaharah memanggil I, katanya; “Wirda, awak tidak boleh bercampur sangat dengan collegues awak tu.”

 

I tanya kenapa? Katanya, satu hari nanti I akan jadi Editor, susah nanti untuk I mengarahkan staf yang dilayan macam kawan. I diam saja. 

 

 

 

Apa pahit manis bekerja di situ?

Banyak. Tentang kehidupan, bekerja, bersosial, ‘berpolitik’, survive menjaga periuk nasi kita dan pelbagai lagi yang buat kita menjadi lebih dewasa dan berani berdepan dengan kehidupan. Biasalah dalam dunia pekerjaan, ada suka ada waktunya duka.

 

Bertegang urat dengan Editor disebabkan desakan pihak pengurusan antara yang I ingat, tetapi selepas beliau bersara, kami bersahabat baik. Banyak yang I belajar dengannya. I pernah diberi kepercayaan oleh pihak pengurusan (bukan Editor) untuk membuka ruangan sendiri dalam majalah tersebut yang I namakan Ragam.

 

Dalam ruangan itu, I bebas untuk menulis apa sahaja yang terlintas difikiran. Sejak punya ruangan itu juga, I galak naik turun events, ke kelab itu, kelab ini, tapi bukan untuk mabuk-mabuk, untuk melihat perangai manusia yang kemudiannya I jadikan material untuk menulis. I was so happy, ruangan Ragam mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan punya pengikut yang ramai. 

 

 

Selepas 14 tahun, bagaimana Kak Wirda meninggalkan majalah kesayangan Kak Wirda itu?

I ditawarkan menjadi Editor untuk sebuah majalah lain, kiranya majalah pesaing kami waktu itu. Dengan lurusnya, I ke pejabat itu bersama kawan baik, Mahani Awang. I have no idea why 'he' wanted to meet up with me? I sedari rupanya ada mata yang memerhati. 

 

Bendulnya I waktu itu tidak perasan bahawa adalah sesuatu yang tidak betul apabila I mendaki tangga pejabat pesaing sendiri untuk membincangkan sesuatu yang I sendiri tidak pasti. Babak itu menjadi buah mulut orang industri sehingga sampai ke pihak pengurusan tempat I bekerja. I mula ditekan apabila dikhabarkan akan ke majalah pesaing walapun belum ada tawaran rasmi, cuma cakap mulut. 

 

Akhirnya, apabila I mendapat offer letter dan memberitahu pihak pengurusan, terus I diminta berhenti serta-merta dan kemas semua barang. Mungkin waktu itu mereka berasakan tercabar dengan pemergian I ke sana. Sedih juga apabila dilayan begitu, tak sempat mahu say good bye pun kepada teman-teman. No farewell party what so ever. Lebih memilukan, nak ambil barang yang masih banyak di drawer pun, I tidak dibenarkan masuk dan nama I sudah disenaraihitamkan di security guard. Oh, rasa seperti orang salah! Hahaha... 

 

 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana memulakan kerjaya sebagai Editor di majalah baru itu? 

Banyak bezanya antara syarikat lama dan yang baru itu. Kalau syarikat lama, ia bercampur pelbagai kaum dengan pentadbiran yang lebih rencam, tetapi syarikat baru itu, didominasi orang Melayu yang pastinya budaya kerjanya juga berbeza. I tidak kata ia tidak baik.

 

Setiap syarikat ada positif dan negatifnya. Di syarikat baru itu, I belajar sesuatu yang I tidak dapat di syarikat lama, iaitu nilai kekeluargaan yang tinggi. Contohnya, apabila I melahirkan anak kedua, penuh rumah I disinggahi teman-teman sepejabat. Ia tidak berlaku ketika I di syarikat lama, waima sejambangan bunga pun tiada, hahaha...

 

Mungkin itu bukan budaya mereka menghargai sambutan kelahiran dan sebagainya. Dan, lagi satu, I dapati diri I juga sudah ke arah keagamaan, penuhi waktu solat dengan lebih sempurna. Bukankah ia suatu perkembangan yang baik? Cuma, ada sesuatu yang I terlupa! Untuk masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.

 

Hari pertama masuk ke office, I sudah buat hal apabila mengubah susun atur meja di sidang redaksi I. Malah, I dilihat cuba mengubah sistem kerja di situ. I adalah Editor pertama yang memohon untuk memiliki Pembantu Editor. 

 

Apabila hanya I diberikan Penolong, tentulah Editor-editor lain juga mempersoalkannya? Namun, bagi I, I melihatnya sebagai positif, dek kerana sikap I itulah yang memberikan kelebihan juga untuk Editor lain mendapatkan sesuatu yang sebelum ini mereka tidak mampu untuk usulkan. 

 

Oh, yang kelakarnya, ada satu peristiwa ini, punyalah orang sekeliling I agaknya selalu perhatikan apa sahaja perilaku I, ada seorang staf perempuan ini datang kepada I dan tanya, “Wirda, minta maaflah nak tanya. Sorry sangat dah lama nak tanya.”

 

I kata apa dia yang besar sangat nak tanya itu? “Kenapa Wirda hari-hari pakai baju hitam?” Ya Allah, nak tergelak. You bayangkan, rupa-rupanya hal I suka pakai baju hitam pun menjadi story mereka. 

 

 

 

 

Khabarnya Kak Wirda menamatkan kerjaya di situ juga penuh drama, walaupun selepas enam tahun menggemilangkan majalah itu? 

I masih ingat, ketika mengepalai majalah itu, seorang teman sales di majalah lama I datang kepada I dan berbisik, “Thanks Wirda. We had hard time with sales. Sudah ada persaingan.”  

 

Fahamlah I, rupanya Wirda Adnan boleh tahan digeruni. Majalah yang kemudikan ini memberi saingan yang begitu sengit kepada mereka yang sebelum ini berada di kerusi yang selesa kerana menjadi sebuah majalah paling top waktu itu tanpa saingan. 

 

Namun, selepas enam tahun di situ, ya, kerjaya I diuji. Sedang kami menyiapkan isu 30 tahun majalah tersebut, I dihubungi pihak pengurusan untuk menukarkan I ke bahagian akhbar. Dan, jawapan I tentulah, no! Apabila I bertanyakan kenapa I dipindahkan? Kata mereka, mereka mahu semua staf di situ multitasking. I bidas, I orang majalah.

 

I tidak akan boleh buat surat khabar. Ada yang datang berbisik kepada I mengatakan I mangsa keadaan. Biasalah, di mana-mana pun ada drama dan politiknya. Waktu I dihubungi itu, I sedang menemu bual Allahyarhamah Sharifah Aini untuk cover majalah tersebut. Ketika itu, kebetulan dia sedang menangis sambil ditemu bual.

 

Sebaik I mendapat panggilan untuk ditukarkan itu, I pula yang menangis di bahu arwah. Sungguh tragis. Dan, ketika menulis Nota Editor yang terakhir itu, setiap patah perkataan yang I taip, I temani dengan air mata. Tak mampu untuk digambarkan kesedihan waktu itu. Juga, I masih ingat cover Sharifah Aini itulah yang terakhir I bersama majalah tersebut. I dapat rasakan sungguh sedap hasil tulisan temu bual I dengannya ketika itu; yang terakhir. 

 

 

 

Kemudian, Kak Wirda dipelawa untuk mengemudi majalah baru dengan syarikat penerbitan gergasi. Majalah Melayu baru yang lain daripada yang ada di pasaran. Berani Kak Wirda menerima tawaran itu? 

Sehari sebelum itu, I tolak tawaran itu kononnya mahu kerja sampai mati di syarikat lama. Tetapi apabila I dalam keadaan kecewa I hubungi semula mereka dan berkata ya, I terima tawaran kerja itu. What more the salary is far too good.

 

Ya, di situ I bekerja bagai nak gila, maklumlah mahu menerbitkan majalah baru yang belum ada hala tuju, maka banyak yang perlu dirancang, dilaksana dan diselenggara.  

 

Alhamdulillah, sebelum berhenti, tiga majalah Melayu berjaya I cetuskan di sana. Itulah babies yang pernah I lahirkan. 

 

 

 

 

Bagaimana dengan majalah WW yang mana Kak Wirda sendiri menjadi antara tuan punya majalah itu sendiri? 

Bukan tuan punya. Cuma memegang 20 peratus saham. WW juga mendapat sambutan yang baik. Ramai klien dan pembaca menyukainya. Mungkin, kerana kami tidak punya team yang benar-benar kuat pada setiap bahagian yang penting seperti Sales dan Marketing menjadikannya agak goyang. 

 

 

 

Kak Wirda dilihat agak cerewet bab memilih staf. Staf yang bagaimana sebenarnya menjadi 'anak emas' Kak Wirda? 

Bukankah elok kalau dia datang dengan pakej yang lengkap. I tahu ramai cakap I suka pandang yang cantik, yang tahu berfesyen. Tapi, itu juga tidak membantu apabila tidak tahu menulis. Tetapi, kalau hanya tahu menulis tetapi tidak pandai membawa diri pun tidak bagus juga.

 

I pernah ada macam-macam jenis staf. Ada yang kuat drama, tidak boleh tekanan, tidak boleh stayback, sibuk bercinta dan pelbagai lagi masalah budak-budak zaman sekarang. Pernah juga I ada staf yang pergi event fesyen membimbit fake bag! 

 

Kita ini sudahlah buat majalah fesyen, event yang dia pergi itu event klien kita, dia boleh usung pula beg cetak rompak yang terang-terang kita sebagai majalah fesyen tidak boleh support perkara sebegitu!

 

Jadi, di mana common sense dia sebagai penulis majalah fesyen? I kata, I tidak minta staf I berhabis untuk beli barang berjenama, barang biasa-biasa pun tak mengapa, asalkan kamu kelihatan molek apabila ke sebarang acara agar tidak menjadi umpatan. 

 

 

 

 

 

Kak Wirda pernah dilabelkan sombong, angkuh dan diberi kelebihan setiap kali melangkah ke mana-mana majlis, adakah Kak Wirda sengaja bersikap 'diva' setaraf dengan jawatan yang digenggam? 

Tidak! You adalah orang kedua yang menyampaikan perkara ini kepada I sejak semalam. Orang kata I sombong dulu. Tegur, acuh tak acuh menjawab balik. I kata I minta maaflah kalau ada yang berperasaan demikian. Kadang-kadang I sendiri tidak sedar perilaku I itu rupanya dianggap sombong. Adakala, kita menjadi diri kita sendiri. Kadang-kadang kita sendiri terlupa kita di mana dek banyak sangat yang kita fikirkan dalam satu-satu waktu itu. 

 

 

 

Pernah berada di tampuk kegemilangan sebagai 'Editor In Chief', Kak Wirda sering menjadi buruan untuk didampingi. Tapi, adakala hubungan itu berakhir dengan... tidakkah Kak Wirda sangsi dengan hubungan baik itu selama ini? 

Itulah masalahnya I ni. Apabila I sudah sayangkan seseorang, I akan sayang sepenuh jiwa. I sanggup lakukan apa saja untuk membantu orang yang I sayang. Mana pula kita nak tahu keikhlasan seseorang itu?

 

Apabila ada yang menyampaikan kepada I, si polan itu begitu begini di belakang I, I  cuma dapat cakap, apalah dosa I kepada dia? Selalu I ingatkan diri I untuk tidak lagi mengulangi kesilapan itu (terlalu baik dengan orang), tetapi entahlah, selalunya I ulangi juga. 

 

 

Kak Wirda menabur begitu banyak jasa di setiap majalah yang Kak Wirda kerjakan, tetapi kenapa agaknya setiap pengakhiran Kak Wirda di sesebuah syarikat itu agak menyakitkan? 

(Lama berdiam). Inilah ujian Tuhan untuk I. I selalu muhasabah diri apabila berlaku sesuatu yang menyakitkan. Tak mengapalah, mungkin ini petunjuk yang Tuhan mahu berikan. Mungkin I pun ada salah dengan orang lain, yang I sendiri tidak sedar... 

 

 

 

 

Setuju tidak kalau orang kata, dunia kerjaya kita ini sungguh indah? 

Memang betul. Mana ada pekerjaan lain yang bangun pagi-pagi tidak ke pejabat tetapi ke event dengan disambut bunga-bungaan penuh taman, dihidangkan makanan yang tak pernah dirasa orang lain, kadang-kadang kita diberi pass eksklusif untuk memasuki sesuatu tempat yang orang kenamaan pun tidak boleh akses.

 

Sedangkan hari-hari kita sering dikejutkan dengan perkara-perkara yang tak terjangka. Yang semalam tidak akan sama dengan hari ini. Seribu artikel yang kita tulis tidak akan ada satu pun yang sama. Cuma, pesan saya kerjaya sebagai orang majalah bukanlah kerjaya untuk menjadi kaya. Jika kamu memikirkan tentang gaji yang besar, di sini bukanlah tempatnya. 

 

Dan lagi, ingat, kita harus tahu membezakan antara kerja dan kehidupan biasa. Apabila semalam kita makan steak paling mahal di event, hari ini kita balik rumah mengadap ikan kembung. Kita tetap harus besyukur dan gembira dengannya. Yang semalam itu tentang kerja, dan yang ini adalah realitinya. Jangan terus hanyut dengan fantasi. 

 

 

 

Jadi, kalau benar kerjaya kita indah, kenapa budak-budak sekarang susah sangat mahu 'survive' dalam kerjaya ini? 

Seminggu kerja, esok sudah hilang. Kerana budak sekarang terlalu dimanjakan. Segala apa yang dimahukan disuap terus ke mulut anak-anak. Berbeza dengan zaman I dulu. I datang merantau dari Perak ke Kuala Lumpur, duduk menyewa, makan minum sendiri tanggung. Kalau sudah dapat kerja, you fikir senang-senang mahu letak surat apabila tidak happy? Banyak yang mesti difikirkan sebelum mengikut emosi untuk berhenti. 

 

Budak sekarang mahu fikir apa? Kalau tiada kerja pun, masih menumpang rumah mak ayah. Makan minum tersedia, adakala duit poket pun masih mak ayah hulurkan. Lemahnya budak sekarang. 

 

 

Apa yang membuatkan Kak Wirda masih bertahan sehingga sekarang? 

I suka dan bangga dengan apa yang I buat. Hey, kita dulu, sebaik keluar sahaja majalah baru yang kita buat, berlari untuk dapatkan. Kita belek dan baca lagi dan lagi. Penulis sekarang, majalah baru keluar selak pun tidak. Kenapa tidak bangga dengan apa yang telah dihasilkan? 

 

 

Bagaimana Kak Wirda menguruskan kerjaya dan anak-anak dalam satu waktu?

Agak mencabar. Kebetulan, kerjaya I memuncak pada ketika anak-anak masih kecil. I juga punya banyak pengalaman bertukar pembantu rumah. Jadi, dalam tempoh ketiadaan pembantu itu, I kena bijak bahagikan masa. Menjadi rutin I masak sebelum keluar bekerja. Apabila semua hidangan sudah tersedia di meja, barulah hati tenteram untuk bekerja.

 

Pernah terjadi satu hari itu, pembantu mahu berhenti hari yang I ada mesyuarat penting dengan bos besar. Puas dipujuk tak mahu juga. Akhirnya, I seret dua anak lelaki I untuk I letakkan sekejap di rumah staf I sehingga selesai mesyuarat itu. 

 

 

<< Tonton Video Temu Bual Eksklusif Bersama Wirda Adnan >>

 

 

 

Nasihat Kak Wirda kepada kami yang masih menjadi orang majalah? 

Pertama, you perlu tahu your job scope. Pandai membezakan antara kerja dan personal. Jangan amalkan sikap berat sebelah. Contohnya, disebabkan you baik dengan artis ini, you puji dia melambung.

 

Sepanjang I bekerja, I tidak amalkan bertunggu-tangga di rumah artis. I bimbang jika terlalu baik, ia mengganggu ruang kerja kita. I juga tidak punya sebarang nombor personal artis di telefon bimbit I, kecuali Dato' Shake kerana sesekali kami berjumpa di Paris.

 

Jika mahu berhubungan, I lebih selesa berurusan dengan pengurus atau pembantu artis itu sendiri. Bukan sombong, tetapi ini cara terbaik memastikan etika kerja tidak tersasar. 

 

 

 

Harapan Kak Wirda untuk industri majalah? 

Tentunya I harapkan majalah cetak kita akan terus bertahan walaupun disaingi majalah online. Feelingnya lain apabila membaca majalah secara fizikal, menyentuhnya, menatap dan memegangnya. Majalah cetak harus teguh bersaing dengan majalah online yang mampu membuat update di hujung jari.

 

Justeru, majalah cetak perlu ada pendekatan baru untuk menarik pembaca.Kita mesti berbeza dengan online, banyakkan publisiti. Jika tidak ia akan terperap dalam timbunan rak majalah di kedai mamak sahaja! 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    "Saya Terpilih Menggantikan Suara Arwah Salim Bachik untuk Iklan Radio Sabun LUX” — Dato' Ahmad Tarmimi Siregar

  • Seterus →

    Dapat A+ SPM Subjek Matematik Tambahan — Miss Universe Malaysia 2016 Bakal Jadi Doktor Gigi!