Jan 26, 2017 - 41315

Wanita Ini Supermodel Masyhur Malaysia, Wajah Asia Pertama Kempen Dior — Kini Bahagia Selepas Hijrah

Namanya tidak asing lagi dalam bidang peragaan, malah dia layak diangkat sebagai SUPERMODEL Malaysia.

 

 

Oleh:  Huda Hussain

 

 

 

 

 

Latar belakang keluarga, siapa sebenarnya Tengku Azura Tengku Awang yang kami tidak pernah kenali pada awalnya? 

Sejujurnya saya tidak suka terlalu mendedahkan kisah peribadi saya kerana itulah sahaja privasi yang saya ada. Apa jua yang saya kongsikan di Instagram, itulah diri dan perjalanan hidup saya kini.

 

Seperti semua sedia maklum, saya mempunyai dua anak lelaki dan saya adalah anak sulung daripada dua adik beradik. Keluarga berasal dari Terengganu dan saya dilahirkan di Kuala Lumpur. 

 

 

 

Mengapa memilih untuk lebih privasi apabila memperkatakan tentang soal peribadi dan keluarga? 

Pada saya itu terpulang kepada pendirian masing-masing. Tetapi saya lebih selesa dengan pendirian yang tidak terlalu menceritakan semuanya kepada umum. Masih ada batas dan had yang perlu difahami dan dihormati. Apa yang menjadi minat dan karier saya, itu sahaja yang saya kongsikan dengan semua. 

 

 

 

 

Detik mula Tengku Azura dalam arena peragaan, kongsikan? 

Saya seorang yang 'tomboy' dahulu. Tidak tahu bagaimana mahu berjalan mengenakan sepatu tinggi, tidak tahu tentang mekap, tidak tahu-menahu langsung soal 'grooming' dan seumpama dengannya. Saya menghadiri kelas intensif modelling selama enam bulan di bawah agensi Cilla Foong. Setiap hari selama lima hari bermula jam 10 pagi hingga empat petang.

 

Tiap-tiap hari saya perlu memakai kasut tumit tinggi dan berjalan di hadapan cermin. Sampai sakit kaki, bengkak, melecet dan macam-macam lagilah! Kata Cilla Fong, “Selagi you tidak boleh berjalan dengan betul, you takkan diberi tugasan untuk lakukan fashion show.” 

 

Selain belajar berjalan mengenakan kasut tumit tinggi, saya juga belajar cara-cara menyolek kerana kami barisan model terdahulu, semuanya dilakukan sendiri. Tahun 1993, itulah permulaan saya dalam bidang ini.

 

Pertunjukan fesyen pertama saya ketika high tea di Hotel Pan Pacific, Kuala Lumpur. Ketika zaman 90- an dahulu, pertunjukan high tea dianggap seperti sebuah acara yang besar skalanya. Dan memandangkan ia adalah fashion show pertama saya, agak gugup juga mengayun langkah di runway. Di belakang pentas, rakan-rakan model yang lain banyak membantu.

 

Mereka tolong saya menyolek. Seorang tolong buat rambut, seorang tolong mekapkan mata dan sebagainya. Barisan model terdahulu lebih berdikari kerana kami diajar untuk melakukan semuanya sendiri. Bermula daripada menggantung semula baju usai pertunjukan, susun kasut dan sebagainya.

 

Kami juga diajar tentang adab dan etika, cara yang betul untuk berkomunikasi dengan media umpamanya, berterima kasih kepada semua yang menjayakan sesuatu pertunjukan dan banyak lagi. Malah saya bersyukur dan berasa bertuah kerana melalui itu semua. 

 

 

 

 

Memang meminati dunia peragaan atau bagaimana? 

Tidak pernah terlintas mahu menjadi seorang model. Selepas tamat SPM dahulu pelbagai kerja saya pernah lakukan termasuk pernah bekerja di salah sebuah restoran makanan segera di sini. Kebetulan ketika cuti, saya berjalan di sebuah kompleks membeli-belah dan tiba-tiba seorang wanita datang menegur.

 

Katanya, “Are you a model?” Dan saya menjawab dengan mengajukan soalan padanya, “Do I look like a model?” Tidak lama kemudian, dia menghulurkan kad pada saya dan berkata, hubunginya jika saya berminat menjadi model. Pada mulanya saya buntu untuk memilih antara mahu mencuba karier pramugari atau model. Namun bidang peragaan seakan punya daya tarikan yang tersendiri.

 

Lantas saya fikir, mengapa tidak sekadar mencuba? Dan pertemuan secara kebetulan dengan Cilla Foong (pemilik Cilla Foong Modelling Agency, salah sebuah agensi modelling terkenal sekitar 90- an) telah mengubah perjalanan hidup saya sepenuhnya selepas itu. Dialah individu bertanggungjawab membawa nama saya dalam bidang peragaan. 

 

 

 

Penerimaan keluarga pula bagaimana? 

Agak sukar pada mulanya untuk mendapat restu daripada kedua ibu bapa kerana keluarga saya konservatif apabila membicarakan soal ini. Pernah saya diejek oleh jiran tetangga ketika saya memulakan karier dalam bidang ini. Bonda saya juga terkena tempiasnya apabila ada yang mengutuk kerja yang saya pilih.

 

Masih segar dalam ingatan saya sewaktu saya menaiki teksi untuk pergi bekerja, ada suara-suara yang dari jauh memekik, “Hoi! Naik teksi nak pergi mana tu?” Saya tidak nafikan pemikiran dan persepsi masyarakat ketika itu. Bagi mereka, “Eee... model” seolah-olah mempunyai tanggapan serong terhadap profesyen ini. Namun, saya nekad memilih bidang ini sebagai punca rezeki. Saya berjanji kepada kedua-dua ibu bapa untuk memelihara nama baik keluarga, tidak melakukan apa jua perkara di luar norma mereka juga saya tahu apa yang saya buat.

 

Pesanan Bonda saya sentiasa segar dalam ingatan dari hari pertama saya menghayun langkah dalam bidang ini hingga hari ini. Katanya, “Buat apa kerja sekalipun mesti berpandukan niat untuk mencari rezeki. Kalau orang buat kita, kita jangan buat perkara yang sama pada orang.” Niat itu lebih mengatasi segalanya. 

 

 

 

 

 

Bagaimana pembawaan diri Tengku Azura dalam kalangan masyarakat jika ada yang memandang rendah terhadap profesyen ini. Komen anda? 

Pada saya, masyarakat hanya akan memilih untuk mendengar apa yang mereka mahu dengar. Jika ia berkisarkan keburukan seseorang, maka berita yang disogok dengan keburukanlah yang akan mereka dengari. Itu hak mereka dan pilihan di tangan mereka.

 

Dan persepsi sedemikian tidak akan berubah selagi mereka tidak mahu mengambil inisiatif untuk memahami dan mendalami situasi yang dihadapi seseorang. Tetapi apa yang penting bagi saya adalah, selagi saya tahu niat bekerja untuk mencari rezeki, ia tidak mendatangkan masalah yang besar. Asalkan saya tahu apa yang dilakukan, apa jua tohmahan diberi tidak meninggalkan kesan. 

 

 

 

 

Jatuh bangun, suka duka sebagai model yang orang lain tidak pernah ketahui sebelum ini?

Bergelar model sebenarnya menuntut anda mempunyai minda dan emosi yang kuat serta semangat yang kental. Kuat dari luaran dan dalaman. Jika tidak mempunyai minda yang kuat, anda akan hanyut! Dan hanyut yang saya maksudkan adalah melalui pelbagai cabang dan cara. 

 

 

Pernah terleka atau hanyut dalam dunia glamor model? 

Ya, pernah tetapi alhamdulillah saya dikelilingi oleh keluarga yang sentiasa ada di belakang membantu dan menyokong saya. Juga tidak dilupakan, mentor saya Cilla Foong yang banyak mengajar saya apa itu dunia peragaan yang sebenar. Tanpa Cilla, saya tiada apa-apa seperti yang anda kenali hari ini. 

 

 

 

 

Perbezaan cara kerja model dahulu dan sekarang? 

Zaman saya bekerja dahulu, jika datang lambat dari jauh anda akan dimarahi. Fashion show dahulu juga tidak seperti sekarang yang hanya ada up and down. Dahulu, up, down, left, right, twist dan banyak lagi. Dan jika anda salah juga, akan dimarahi.  Apabila dimarahi, gugurlah jua air mata ini. Ya, saya menangis kerana cuai mengingati setiap gerak langkah yang perlu dilakukan.

 

Model dahulu kebanyakannya akan digandingkan dengan model lain. Dan ia berkisar kepada elemen kerjasama antara satu sama lain. Apabila anda tersilap angkah, maka cacat cela sesebuah pertunjukan itu akan dapat dilihat dengan ketara.

 

Masuk sahaja ke belakang pentas, bersiap sedialah kerana anda akan dihambur dengan kata-kata kesat. Ditegur dengan tegas dan dimarahi kerana kegagalan tergalas di bahu anda. 

 

 

 

 

Pernah atau tidak terbit rasa menyesal memilih bidang ini sebagai karier? 

Pernah! Ketika di awal pembabitan dalam bidang ini, saya kurang jelas dan sukar untuk pick up. Namun selepas melalui beberapa episod dimarahi dan dimaki, maka saya memilih untuk berubah dan belajar daripada setiap kesalahan yang saya lakukan.

 

Apa yang membuatkan saya berubah? Kerana inilah minat dan cinta saya. Inilah karier yang saya benar-benar mahukan dalam hidup. Sejujurnya saya akui, dahulu saya sering datang lewat. Dan saya terkenal dengan fiil datang lewat. Itu antara habit buruk saya (ketawa) hinggakan saya pernah beberapa kali melakukan fashion show secara percuma kerana bayaran terpaksa ditolak disebabkan punca lewatnya saya tiba di lokasi.

 

Selain itu, pernah juga ketika melakukan raptai tiba-tiba terdengar jeritan, “You stupid!” Tetapi bertitik-tolak daripada insiden itu, ia telah membawa saya mencapai tahap apa yang tidak pernah saya impikan seperti yang dikecapi hari ini. 

 

 

 

 

Ada kisah lucu mungkin ingin dikongsi kala kali pertama melakukan sesi fotografi , catwalk dan sebagainya? 

Mestilah ada! Hahaha... Sebenarnya ketika hari pertama menghadiri kursus intensif, saya perlu memakai kasut tumit tinggi. Saya sebenarnya datang daripada keluarga sederhana dan buntu juga di maan mahu mencari kasut tumit tinggi.

 

Tambahan pula memandangkan ketika itu saya kurang berkemampuan untuk membeli kasut tumit tinggi baru, lantas saya mengambil inisiatif meminjam kasut makcik yang bekerja sebagai jururawat kerana kasutnya mempunyai tumit. Kemudian, saya beli spray hitam. Namun lama- kelamaan warna hitam kasut itu mula meninggalkan kesan pada lantai ketika saya melakukan latihan catwalk.

 

Hairan Cilla dibuatnya, hahaha... Kemudian, dia bantu dan belikan saya kasut tumit tinggi yang sebenar! (ketawa). Dahulu, kesepaduan model lebih sepakat dan bekerjasama dalam setiap pertunjukan. Misalnya untuk sebuah show, jika ia memakan masa yang lama, masing-masing akan mengambil peranan. Ada yang membantu membancuh air, membeli makanan dan sebagainya.

 

Maka dengan itu, hubungan kami yang bernaung di bawah agensi model yang sama tetap akrab.Jatuh dek kerana menyarung kasut tumit tinggi itu dianggap alah bisa tegal biasa dalam modelling dik! Naomi Campbell pun pernah terjatuh, hahaha... Pernah dahulu sewaktu mengadakan pertunjukan fesyen di Mines dan entah bagaimana saya jatuh terduduk kerana platform pentas tiba- tiba terjatuh. Terkedu juga seketika tetapi the show must go on. Jalan sajalah! (ketawa).

 

Kemudian, pernah juga pertunjukan di Berjaya Times Square, platform pentas agak licin membuatkan seorang demi seorang model terjatuh. Muka perlu maintain glamor, tahan sahaja rasa malu, sakit dan sebagainya. Tetapi sampai di belakang pentas, “Aduh... sakitnya!” Hahaha... 

 

 

 

 

Cara Tengku Azura tangani rasa gugup sebelum mula pertunjukan? 

Saya akan duduk di satu sudut kemudian saya mendengar lagu atau membaca. Itu lebih memberi ketenangan daripada mendengar atau melihat suasana yang serba- serbi kelam-kabut di belakang pentas. 

 

 

Pernah berhadapan dengan insiden buruk sesama rakan model? 

Ya, saya pernah disabotaj. Ketika pertunjukan sedang berlangsung, selesai catwalk lalu bersedia untuk catwalk bagi memperagakan baju seterusnya; baju saya hilang, kasut hilang, solekan yang salah dan macam-macam lagi. Dan ya, saya juga pernah ‘bergaduh’ dengan model lain sekitar tahun 1995. Ketika itu kami sedang melakukan persiapan untuk sebuah pertunjukan.

 

Salah seorang model bersikap ‘kurang ajar’ dan asyik menghempaskan barang-barang selain sengaja melanggar saya tanpa meminta maaf. Tetapi ‘pergaduhan’ itu cuma berlaku secara lisan (perang mulut) tidaklah pula berlanjutan sehingga tarik-menarik rambut (ketawa).

 

Namun usai pertunjukan, kami saling memohon maaf dan itu semua saya anggap sebagi asam garam dan sesuatu yang lumrah dalam dunia peragaan. Tetapi saya tidak mengambil dan melihatnya secara serius. 

 

 

 

 

Cabaran bergelar model ketika zaman kegemilangan Tengku Azura, bagaimana? 

Bagaimana kita perlu memuaskan hati semua orang. Apabila anda tidak yakin dengan diri sendiri juga sebenarnya salah satu cabaran. Misalnya dahulu sewaktu menerima tawaran bergelar wajah pertama Asia untuk kempen Dior, saya seakan tidak percaya.“Eh, betul ke saya dapat offer Dior ini?” Dan sewaktu menjalani sesi penggambaran saya pernah dimarahi kerana tidak berjaya menyampaikan apa yang diingini.

 

Pulang ke rumah dengan hati yang penuh dengan kekecewaan. Dirundung rasa bersalah dan ya hampir putus asa untuk meneruskannya. Tetapi saya percaya bahawa inilah jalan yang saya pilih dan cuba perbaikinya. Segala gosip, kisah ditikam dari belakang, bagaimana perlu memastikan berat badan kekal (tidak terlalu kurus dan tidak terlalu naik mendadak), menjaga perilaku dan sebagainya.

 

Cabaran lain termasuk prioriti saya kerana lebih mendahulukan keluarga dan karier saya letakkan di tangga kedua. Anak- anak umpamanya dan keluarga, saya tidak mampu berjauhan dengan mereka untuk satu tempoh masa yang lama. Cabaran lain termasuk sewaktu di awal penglibatan saya dalam dunia peragaan. Cuba bayangkan, kami perlu membawa bersama bagasi besar berisi kasut, alat solek, kelengkapan mendandan rambut ke mana jua fashion show berlangsung. Sudahlah perlu mengheret bagasi besar, naik pula teksi atau bas. Dan ya, Bas Sri Jaya sememangnya banyak berjasa kepada saya dahulu (ketawa). Bayaran yang diterima untuk pertunjukan high tea sekitar RM100 (era 90-an). 

 

Dahulu jika pertunjukan fesyen diHotel Pan Pacific, naik bas di Chow Kit kemudian saya akan berjalan sambil membawa beg berisi segala macam kelengkapan. Baki duit itu akan dibelanjakan untuk makan dan selebihnya sekitar RM50, saya akan simpan. Itulah yang mengajar saya untuk bekerja keras dan bukan mudah untuk berada pada tahap seperti hari ini. 

 

 

 

Pencapaian terbesar dan membanggakan Tengku Azura? 

Apabila saya menerima tawaran bergelar wajah Dior untuk rantau Asia (tahun 2000). Alhamdulillah dan hingga kini saya masih rasakan cukup bertuah dan bersyukur. Ia cukup mengujakan juga satu kejutan dalam karier saya. Peluang melibatkan diri dalam siri jelajah dan pertunjukan seluruh Asia adalah pengalaman yang cukup indah dalam lipatan kenangan.

 

Saya tidak pernah menyasarkan untuk pergi sejauh itu. Malah tidak pernah memasang angan-angan untuk sampai ke peringkat antarabangsa kerana bagi saya sebagai seorang yang beragama Islam dan berbangsa Melayu, masih ada batas-batas yang perlu dipelihara.

 

Ya, saya pernah menerima tawaran daripada beberapa agensi model antarabangsa di London, New York, Jerman untuk menetap dan bekerja di sana. Tetapi saya menolak tawaran tersebut kerana lebih memikirkan keluarga. Misalnya jika saya menerima tawaran tersebut, banyak perkara yang perlu saya korbankan.

 

Sepanjang setahun terikat dengan kontrak Dior, saya terpaksa tinggalkan keluarga. Hampir sebulan lamanya, tetapi saya tetap akan pulang ke Kuala Lumpur. Tanggungjawab saya sebagai anak sulung perlu saya penuhi. Dan saya akui komitmen itu menuntut saya memilih sama ada mementingkan keluarga atau kerjaya.

 

Saya tidak pernah menyesal menolak semua tawaran dan memilih keluarga sebagai prioriti. Jika saya menerimanya, entah apa yang akan berlaku kepada saya, adakah saya akan tampil dengan imej ini, hanyut atau sebaliknya, saya tidak pasti. Tetapi saya bersyukur memutuskan untuk tinggal di sini bersama keluarga. Sentiasa bersangka baik dan percaya kepada perancangan Allah kerana Dialah sebaik-baik perancang untuk kita semua. 

 

 

 

 

Bergelar model, apa yang senang, susah dan terbatas? 

Pada saya sebagai orang Islam banyak limitasi yang perlu dihormati, difahami dan dijaga dengan sebaiknya. Senang? Tiada perkara yang mudah dik! Dalam apa jua bidang atau kerja yang kita lakukan, tiada istilah senang dan jalan pintas untuk berjaya. Berusaha untuk mempermudahkan sesuatu, itu antara pilihan yang ada.

 

Susahnya pula; saya berjuang, belajar dan menimba pengalaman daripada seorang model biasa hinggalah berada pada tahap ini. Alhamdulillah, syukur. Saya bermula pada 1993 hingga tahun 2000. Ia menuntut usaha, kerja keras dan komitmen yang tinggi. Semuanya saya lalui dengan pelbagai liku, jatuh bangun dan sebagainya. Selebihnya adalah cara kita untuk memperbaiki kekurangan diri, berfikiran positif dan berubah. 

 

 

Kualiti yang ada pada model dahulu (90- an) berbanding kini? Adakah ia memberi kelebihan atau bagaimana?

Kami tiada media sosial, tiada istilah untuk edit gambar jika ada kekurangan pada foto anda. Apa yang ada pada diri anda, itulah dia. Pada saya, model dahulu lebih yakin dengan keterampilan diri masing- masing dalam setiap apa yang dilakukan. Dahulu lebih berdikari. Nilai itu yang membuatkan kami bertahan. 

 

 

 

<<Tonton Video Temu Bual Eksklusif Bersama Tengku Azura>>

 

 

 

 

Prinsip atau pegangan yang membuatkan nama anda masih kekal dalam dunia peragaan hingga kini? 

Jadilah seperti resam padi, semakin berisi semakin menunduk. Sentiasa ingatkan diri apa jua yang dilakukan pohon restu daripada kedua- dua ibu bapa, bersandar pada niat semata-mata untuk mencari rezeki. Insya Allah, semuanya akan dipermudahkan. 

 

 

Masih lagi aktif dalam dunia peragaan, atau bagaimana? 

Kadang-kadang, jika ingin melepas rindu saya akan lakukan. Tapi tidaklah sekerap atau aktif seperti sahulu. 

 

 

 

 

Kenangan manis sepanjang mengungguli arena peragaan?

Sudah tentu berpeluang menyarung busana-busana daripada pereka tersohor. Menjadi orang pertama menyarung dan memperagakan item yang belum dipasarkan lagi dan sebagainya.

 

Indahnya medium ini, ia mempertemukan saya dengan insan-insan kreatif yang saya segani dan hormati profesionalisme mereka dalam karier masing-masing. Malah hingga hari ini saya masih lagi berhubung dengan rakan-rakan pereka terdahulu seperti Michael Ong, Dato' Rizalman Ibrahim, Zang Toi, Radzwan Radziwill dan lain-lain.

 

Selebihnya, saya tidak mengejar gunung yang tinggi apatah lagi bercita-cita besar mahu menawan pentas peragaan antarabangsa atau seumpama dengannya. Cukuplah dengan apa yang saya ada hari ini. Berada di ‘bukit’ yang selesa, nyaman dan menenteramkan jiwa itu jauh lebih bermakna. 

 

 

 

 

Apa yang mahu dilihat dalam dunia peragaan?

Dahulu, ketika era 90-an semua wajah model yang menghiasi pertunjukan adalah wajah-wajah Malaysia yakni terdiri daripada pelbagai kaum. Malah kita cukup bangga dengan apa yang kita ada. Kita punya model daripada bangsa Melayu, India, Cina, Pan Asian dan sekarang saya tidak faham mengapa perlu terlalu mengagungkan wajah-wajah model luar misalnya. 

 

Beri ruang dan peluang kepada pelapis model-model tempatan yang punya potensi untuk pergi lebih jauh. Misalnya kita ada Deanna Ibrahim, Tuti, Rubini, Gwen dan ramai lagi. Mereka punya potensi namun sayangnya medium yang ada terhad. Benar saya faham, ia umpama perkembangan yang sihat tetapi sewajarnya dikawal kuota penggunaan model dari negara lain. Kerana itulah formula yang dipraktikkan oleh agensi model antarabangsa. 

 

Di penghujungnya, kita masih berada di negara kita sendiri. Mengapa kita perlu mengagungkan model luar? Kita punya model yang juga tidak kurang cantiknya. Masing- masing punya karakter dan keunikan tersendiri.

 

Ketika era 90-an dahulu, jika anda adalah pelanggan dan ingin membeli baju, adakah anda membayangkan diri anda menyarung pakaian dalam susuk tubuh dan raut wajah orang tempatan atau orang Caucassian umpamanya? Pokok pangkalnya, baju kurung yang diperagakan oleh model Caucassian itulah baju yang akan dipakai oleh masyarakat kita. 

 

 

 

 

Kata akhir daripada anda buat pelapis model atau sesiapa yang ingin menceburi bidang ini?

Jaga etika, perwatakan dan keterampilan anda. Jika anda benar meminati bidang ini dan berbakat, pelajari dan berusahalah menggilap potensi yang ada. Persiapkan juga minda dan emosi agar lebih bersedia mendepani apa jua cabaran. 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Ramuan 3 Jejaka Kelakar Sempoi — Rupanya Formula ‘Tiga Abdul’ dan ‘Laksamana Do Re Mi’ Memang Ajaib!

  • Seterus →

    “Saya Pernah Hidup Melarat, Makan Bersekat” — Kini Bonda Rozita Ibrahim Sendayu Tinggi JUTAWAN, Suri Niaga Tekad Kuat!