Dec 13, 2016 - 173394

“Solat Jangan Tinggal, Hormat Orang Tua” — Prinsip Ajai Didik 2 Anak Dara Sampai Ayu Raih 9A SPM

Ajai contoh bapa moden yang hidup dalam silau lampu dunia glamor. Tetapi masih menekankan peri pentingnya nilai-nilai agama dan budi bahasa Melayu.

 

 

KONGSIKAN latar belakang keluarga Ajai?

Saya adalah bapa kepada dua orang puteri – Ayu Nazira, 17 tahun, mantan pelajar Sekolah Menengah Tun Fatimah, Johor, serta yang kecil, Danisha. 

Tetapi secara keseluruhannya sebagai bapa, saya bangga dengan pencapaian anak- anak saya. Baik daripada segi akademik, misalnya keputusan peperiksaan Ayu amat memberangsangkan. Dahulu waktu UPSR – 5A, PMR – 8A. Yang terbaru adalah SPM, sekali Ayu membuat kami bangga dan bersyukur dengan keputusan 9A. Dia juga pernah dianugerahkan pelajar terbaik, syukur alhamdulillah. Itu berkat usahanya dan doa kami ibu bapa yang sentiasa menyokongnya.

 

 

Pendekatan Ajai dalam mendidik anak-anak?

Sudah tentunya pelajaran diutamakan, tetapi saya lebih suka layan anak-anak dan anggap mereka seperti kawan. Bersikap terbuka tetapi dengan cara orang Melayu. 

 

Saya percaya kepada sopan-santun dan apa sahaja yang ada pada individu itu datangnya dari rumah. Apa yang saya fokus dalam mendidik anak-anak adalah daripada segi keterbukaan dalam perbincangan. Mereka boleh berkongsi apa jua masalah dengan saya, baik peribadi mahupun akademik. Malah bagi anak perempuan misalnya dari kecil hingga remaja kemudian dewasa sehingga berkahwin, saya rasakan tanggungjawab itu sentiasa ada. Tidak kiralah setinggi mana tahap akademik anak-anak itu, bagi saya dia tetap anak saya dan tanggungjawab saya. 

 

Prinsip tentang perkara-perkara asas untuk menjalani kehidupan seharian perlu ada. Misalnya solat jangan tinggal, hormat orang tua, merendah diri dengan semua orang. Jangan sasarkan hanya kelompok tertentu sahaja yang mahu dijadikan kawan, sering membantu antara satu sama lain. Kemasyarakatan itu penting, lebih banyak melihat kekurangan, lebih baik mensyukuri dan jadikan tauladan. 

 

 

Perkahwinan pertama dahulu, usia Ajai masih muda ketika bergelar bapa kepada Ayu Nazirah. Pernah rasa tertekan bergelar bapa muda dan bagaimana cabarannya?

Saya tidak melihatnya sebagai satu tekanan atau sesuatu yang terlalu mencabar. Bantuan isteri ketika itu banyak menyenangkan saya untuk membiasakan diri bergelar bapa. Waktu itu saya menikmati momen bergelar bapa. Dapat melihat anak membesar saat mula meniarap-merangkak- bertatih dan berjalan langsung berlari.

 

Ia bergantung kepada mentaliti seseorang. Jika anda merasakannya sebagai sesuatu yang sukar maka susahlah ia. Tetapi jika sebaliknya dan cuba berfikir secara positif, insya-Allah semua boleh diharungi.

 

 

Bagaimana perasaan kali pertama mendukung Ayu dan Danisha?

Apabila anda sudah bersedia untuk mendirikan rumahtangga, secara tidak langsung anda sudah memikirkan perkara itu. Menimang anak, menjadi bapa, mula merancang itu dan ini. Perasaan pertama saya tidak kekok atau janggal nak dukung baby sebab bagi saya tiada yang mustahil. Dan saya sering menjadikan ibu bapa sebagai role model dalam apa jua yang dilakukan.

 

Saya sendiri dibesarkan dalam keluarga yang besar – sembilan adik-beradik semuanya. Sekarang saya baru ada dua, apalah sangat nak kekoknya mula-mula tu, hahaha…

 

 

Bergelar bapa kepada dua anak gadis, bagaimana? Berat tanggungjawabnya atau sama sahaja antara anak lelaki dan perempuan?

Bagi saya membesarkan anak perempuan lebih berat dan besar amanahnya. Pelbagai perkara perlu diperhalusi dan diterangkan secara terperinci. Baik daripada soal pergaulannya, pembawaan diri dan banyak lagi. The do’s and don’t’s itu luas skopnya.

 

Mungkin saya tiada pengalaman mempunyai anak lelaki tetapi saya rasakan cabaran itu lebih dalam membesarkan anak perempuan.

 

 

Mengenai kes perceraian dahulu, bagaimana Ajai menerangkannya kepada Ayu dan kesannya kepada Ayu ketika itu?

Pada awalnya agak sukar tetapi alhamdulillah lama-kelamaan dia boleh terima dan faham dengan apa yang berlaku. Saya akui ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk memahamkan anak berusia lapan tahun dengan situasi yang kami terpaksa tempuh waktu itu. Tetapi syukur kerana Allah mempermudahkan jalan untuk saya. 

 

Kes itu tidak memberi impak yang terlalu ketara kepada Ayu kerana saya dan bekas isteri faham untuk sama-sama menjaga kepentingan Ayu. Dan apa yang kami lakukan adalah demi Ayu. Saya akur pada takdir, qada’ dan qadar dengan peristiwa itu. Hingga hari ini saya percaya setiap yang terjadi ada sebabnya.

 

 

Hak penjagaan Ayu?

Hak penjagaan berpihak kepada saya tetapi sebagai bapa saya faham dengan naluri keibuan yang sebati dengan jiwa bekas isteri. Maka dengan itu, saya tidak kisah jika dia mahu mengambil Ayu bila-bila masa yang dia mahu kerana Ayu juga anaknya, darah dagingnya.

 

Walau apa pun yang terjadi antara kami, dia tetap ibu kepada Ayu. Dan memandangkan sekarang dia masih bersekolah di asrama, kalau cuti sekolah Ayu akan balik ke KL dan saya bersama bekas isteri akan bergilir-gilir menjaganya. 

 

Sewaktu Danisha dilahirkan, kekok atau tidak menguruskan anak kecil kerana jarak usia Ayu dan Danisha jauh (12 tahun)?

Tidak kekok langsung. Pun begitu, saya tidak pernah salin pampers atau cebokkan anak-anak. Tetapi saya memasak untuk anak-anak. Sehinggakan anak cakap, "Papa masak lagi sedap daripada Mama,” ujar isterinya, Liza Ilias.

 

 

Perbezaan karakter Ayu dan Danisha?

Hampir sama. Walaupun jarak usia yang jauh tetapi sifat mereka tidak banyak beza. Mereka mempunyai disiplin yang tinggi dan bijak berdikari. Cuma masing-masing ada kekuatan dan kelebihan tersendiri. 

 

Buat masa ini, Ayu lebih fokus dalam akademik tetapi dia juga berkemahiran bermain piano selain aktif dengan pelbagai kegiatan di sekolah. Misalnya dia pernah menjadi Band Master untuk band di sekolahnya. Dan bakat seni itu saya dapat lihat ada pada kedua-dua anak saya. Tetapi apa yang saya lakukan adalah sentiasa memberi dorongan kepada mereka, bukan dengan paksaan.

 

Saya lebih suka mencipta cabaran sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Jadikannya sebagai dorongan yang memangkin semangat mereka agar dapat meraih apa yang diimpikan.

 

 

Jika anak buat salah, bentuk hukuman atau denda yang dikenakan?

Bergantung kepada kesalahan, hahaha... Tetapi saya tidak merotan, naik tangan atau memukul anak dengan tali pinggang atau penyangkut baju. Bagi saya pendekatan sedemikian hanya akan menimbulkan kekerasan atau mungkin membuatkan anak mempunyai perasaan berdendam. Perlakuan fizikal bukan cara saya untuk menunjukkan betapa marahnya saya pada anak-anak. 

 

Kadang-kadang saya diam sahaja pun mereka sudah takut. Angkat kening, besarkan mata sedikit pun sudah menangis.

 

 

Cara Ajai memantau anak-anak?

Pilihan paling mudah untuk saya tahu apa jua perkembangan adalah menerusi panggilan telefon kerana Ayu tinggal di asrama. Apabila cuti sekolah, kami akan luangkan masa bersama. Saya juga bersyukur kerana bekas isteri, Nurul memberi komitmen penuh pada Ayu.

 

Setelah berbelas tahun memegang portfolio sebagai bapa, adakah ia memberi satu kepuasan atau penghargaan pada diri anda?

Tiada istilah puas sebagai bapa. Ia adalah tanggungjawab dan amanah yang dipikul selagi hayat dikandung badan. Penghargaannya mungkin dapat melihat dan berkongsi dengan kejayaan yang diraih anak-anak. 

 

Setiap apa yang saya lakukan sekarang semuanya untuk anak-anak. I will do anything for them. Baik daripada soal persediaan wang untuk sambung pengajian, insurans perlindungan, itu dan ini semuanya saya cuba lengkapkan untuk mereka.

 

Rutin anda sebagai bapa era kini?

Pulang ke rumah sekitar jam enam hingga tujuh saya akan terus ke dapur dan memasak. Jika terlibat dengan urusan recording, ia akan berlarutan hingga lewat malam. Pada usia 40-an kini saya lebih suka untuk menikmati hidup ini dengan cara saya sendiri. Saya tidak percaya kepada istilah life begins at 40 – there is no such thing like that. Kesederhanaan dan hidup berkeluarga yang saya tumpukan.

 

 

Cara Ajai menzahirkan kasih sayang kepada anak-anak bagaimana?

Berlakunya perceraian itu memberi banyak manfaat dan membuka mata saya – baik bekas isteri mahupun Ayu. Ia banyak mengajar saya supaya lebih rapat dan akrab dengan anak, lebih bersedia, lebih terurus dalam segala segi. 

 

Saya tidak mempunyai cara yang spesifik untuk buktikan kasih sayang kepada anak. Cuma mungkin stail saya adalah memasak untuk mereka. Saya tidak terlalu ekstrim misalnya balik rumah mahu peluk cium anak-anak. Kerana saya lebih memikirkan soal keselamatan mereka. Malah saya sendiri meletakkan limitasi memandangkan kedua-duanya perempuan, jadi nak bermanja pun ada hadnya.

 

 

Cara Ajai beri penghargaan kepada anak-anak?

Oh, itu memang gila! “Anything you want, just name it!” Saya akan cakap kepada anak-anak. Jika anak-anak bertungkus-lumus dan berjaya mencapai hasilnya, ada balasan yang setimpal dengan usahanya.

 

Apa sahaja yang mereka mahukan saya akan cuba tunaikan. Malah saya melihat reward ini sebagai satu elemen yang mendorong mereka untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh.

 

Pernah terfikir mahu mencipta lagu dedikasi kepada anak-anak ataupun menggubah lagu yang berkisarkan kebapaan?

Saya tidak pernah terfikir pula ke arah itu kerana cara saya bukanlah melakukan sesuatu untuk cuba menunjukkan atau membuktikan sesuatu. Mungkin kalau ada sekalipun ia bukan ditujukan secara spesifik dan bersifat universal. 

 

Saya tidak suka adakan benda yang tiada, misalnya sebagai penulis lirik dan komposer kena ada lagu untuk isteri, anak atau sesiapa. Pada saya, sayang bukan bermakna saya cipta lagu untuk dikenang. Biarlah pengertian sayang itu berada di dalam hati dan ingatan.

 

 

Nilai-nilai yang diwarisi daripada ayah Ajai yang diterapkan kepada anak-anak?

Protokol kehidupan didikannya bermula dari rumah. Asasnya adalah didikan agama dan minta restu ibu bapa.

 

Bapa saya bekerja di Kementerian Pelajaran, mak saya pula jururawat. Kalau bercakap mengenai Kementerian Pelajaran, maklum sajalah buku itu umpama makanan bagi kami adik-beradik kerana mereka amat menitikberatkan pendidikan. Kalau kena rotan itu suatu yang lumrah sementelah anak-anak ramai tetapi tidak terlalu ekstrem misalnya dengan getah paip, tali pinggang dan seumpama dengannya. Disiplin dan berdikari yang menjadi pegangan saya dan diterapkan pada anak-anak.

 

Cabaran mendidik anak-anak zaman digital era kini, komen Ajai?

Saya lebih suka memberi pengajaran dengan melihat daripada perspektif yang negatif. Misalnya bad words, saya akan terangkan apa impaknya. Saya bukan sekadar mengajar anak tentang benda-benda baik sahaja tetapi impak perkara buruk juga saya terangkan supaya mereka faham.

 

 

Ajai mahu anak-anak membesar sebagai...

Manusia yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Saya tidak menghalang anak-anak mahu memilih apa jua profesyen sekalipun, asalkan ia memberi manfaat kepada diri mereka.

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Jangan Kutuk Orang. Kita Bukannya Bagus Sepanjang Masa” – Pesan Ziana Zain, Jangan Sentap

  • Seterus →

    Vivy Yusof Dulu ‘Blogger’, Kini Mogul Bisnes FashionValet! Ada Sesuatu Boleh Kita Pelajari Daripadanya