Feb 18, 2017 - 56231
Oleh: Huda Hussain
BUKAN mudah bagi mereka untuk menerima hakikat hidup. Kita bukan siapa-siapa untuk menjatuhkan hukum kerana kesempurnaan itu mutlaknya milik Maha Pencipta. Siapa tahu di penghujungnya kelak, taubat mereka yang diangkat dalam mencari keredaan hidup? Menerusi edisi ini, kami menyelami dan cuba memahami perjalanan hidup golongan ini.
Kongsikan bersama InTrend, asal-usul di mana bermulanya sejarah hidup Henz hingga hari ini?
Oh, panjang jalan ceritanya jika mahu dirungkai satu persatu. Cukuplah saya rumuskan secara ringkas. Saya adalah anak sulung daripada tiga adik-beradik (kesemuanya lelaki) dan berasal dari Kuching, Sarawak. Keluarga saya sederhana sahaja. Saya datang ke Kuala Lumpur ketika berumur 19 tahun untuk menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Komunikasi Massa, major in Journalism. Alhamdulillah saya berjaya menamatkan pengajian sehingga meraih ijazah.
Memang meminati bidang Komunikasi Massa?
Tidak. Saya menyambung pelajaran kerana menuruti saranan kedua-dua ibu bapa. Selepas tamat pengajian dan dalam masa sama memenuhi hajat dan impian mereka, barulah saya berasa bebas memilih haluan hidup. Kemudian, saya teruskan pekerjaan sampingan sebagai penari kerana ketika masih menuntut di universiti lagi, saya sudah mula menceburkan diri dalam dunia persembahan pentas.
Lantas, Henz terus mencari rezeki sebagai penari?
Ya, saya terus menari hingga hari ini. Menari adalah salah satu cabang yang menjadi minat saya. Pendek kata daripada minat bertukar menjadi kerjaya yang memberikan punca rezeki. Selain itu, saya suka mekap dan mencantikkan diri.
Bagaimana pula Henz berubah menjadi seperti imej dan keterampilan sebagai wanita?
Saya tidak pernah memutuskan untuk berubah menjadi wanita kerana saya percaya bahawa sememangnya saya adalah seorang wanita. Cuma ditakdirkan Allah saya lahir sebagai lelaki. Dan ia umpama saya terperangkap dalam tubuh yang tidak selari dengan sifat dan naluri saya sebagai wanita. Sudah terlalu banyak saya dihujani dengan soalan sama. Apa yang saya boleh katakan adalah saya membesar dengan cara, pemikiran dan diri saya yang sebenar. Ia membuatkan saya selesa dengannya.
Saya cuma ‘memperbetulkan’ apa yang selama ini sebenarnya sifat saya tetapi tidak dilahirkan sedemikian rupa. Saya mula ‘mengubah’ itu dan ini sejak berusia sekitar 19 tahun hingga 20 tahun ketika masih menuntut di UPM. Maka dengan itu, saya ‘tambah’ itu dan ini, buat muka sikit, makan hormon dan selepas melakukannya saya berasa lengkap. Saya berkata kepada diri, “Ya. Sepatutnya inilah diri aku yang sebenar.” Apabila melihat diri di hadapan cermin, barulah betul kerana fizikal dan dalaman saya selari.
Bagaimana pula Henz melalui zaman sekolah rendah, menengah dan ketika di universiti?
Saya membesar sebagai seorang budak lelaki lembut. Ketika sekolah menengah, saya bersekolah di sekolah lelaki. Tidak pernah main bola, berkejar-kejaran sana sini, bergusti lengan atau apa jua bentuk permainan lelaki. Dahulunya ketika dalam lingkungan empat hingga lima tahun) entah mengapa saya gemar bermain patung Barbie. Makcik yang menghadiahkannya kepada saya.
Emak tidak tahu lantas memarahi makcik. Kata makcik, “Biarlah dia suka tu main anak patung.” Sehinggakan pernah berlaku (ketika saya berumur dalam lingkungan 10 ke 11 tahun), saya tidak pasti apakah sebenarnya punca kemarahan emak saya. Dek kerana terlalu memarahi saya, disoroknya semua patung Barbie.
Reaksi rakan-rakan ketika menuntut di UPM dahulu bagaimana?
Masuk ke universiti, saya berani memakai pakaian perempuan. Misalnya, setiap Jumaat saya memakai baju kurung seperti pelajar perempuan lain. Entah, saya tidak ingat bagaimana penerimaan mereka kerana zaman belajar di universiti sudah lama berlalu.
Kebanyakan masa saya berkawan dengan mereka yang hampir sama sifatnya dengan saya, misalnya pelajar lelaki lembut. Tetapi saya tidak kisah jika tidak punya kawan sekalipun. Saya boleh ‘hidup’ kalau orang tidak mahu menjalin persahabatan dengan saya. Itu tidak mendatangkan kudis jauh sekali memberi sebarang kesan.
Penerimaan dan reaksi keluarga?
Ketika peringkat awal saya tidak menafikan terpaksa menempuh pelbagai kesukaran. Ibu bapa memarahi saya hinggakan saya berasa susah untuk memahamkan mereka mengenai keadaan saya. Tetapi lama-kelamaan mereka menerima diri saya seadanya malah sekarang jauh lebih mudah berbanding dahulu.
Sebagai anak sulung, pasti Henz memikul tanggungjawab lantas perlu menunjukkan teladan yang baik kepada adik-adik. Pernah terfikir soal ini?
Saya tidak pernah terfikir soal ini malah saya tidak melihatnya dalam perspektif yang serius atau seolah-olah menuntut saya melakukan sesuatu untuk kepentingan keluarga. Apa yang menjadi prioriti adalah diri saya. Apa gunanya anda gembirakan orang lain jika pengakhirannya nanti hanya akan membuatkan anda sengsara dan tidak bahagia?
Pernah dibuang keluarga?
Syukur kerana keluarga benar-benar memahami. Baik kedua-dua ibu bapa dan adik-adik saya yang lain. Mereka menyayangi dan menerima diri saya seadanya. Dan saya sifatkan itu sebagai satu anugerah yang tidak ternilai. Tidak seperti rakan-rakan saya yang lain. Ada antaranya dibuang keluarga, lari dari rumah, tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke kampung dan sebagainya.
Bagaimana Henz membawa diri dan berhadapan dengan tohmahan masyarakat?
Seperti biasa, masyarakat memandang serong terhadap golongan seperti saya. Saya tidak minta dilahirkan begini, habis bagaimana? Justeru, saya tidak ambil peduli tentang apa yang orang katakan pada saya, pekakkan telinga sahaja. Saya tidak kisah atau ambil pusing setiap cemuhan, cacian atau hinaan orang. Saya biarkan ia berlalu seperti hembusan angin.
Kalau setakat berjalan di mana-mana kemudian orang ramai mencemuh atau melihat saya dengan pandangan yang lain macam, menoleh dua tiga kali atau melihat saya dari atas ke bawah; itu semua saya anggap alah bisa tegal biasa. Sehinggakan orang tidak mengutuk sekalipun, saya sendiri yang syak wasangka mereka bercakap-cakap mengenai saya kerana sudah terlalu biasa dengan itu semua.
Cara atau pendekatan yang dipraktikkan untuk bina kekuatan dalaman diri?
Entahlah, sudah terlalu lama ia berlalu sehinggakan saya tidak ingat bagaimana saya kumpul kekuatan untuk menahan diri dalam mengharungi semua penghinaan dan pandangan serong masyarakat. Saya kini berusia 36 tahun dan hampir 17 tahun saya selesa dengan imej ini. Saya sudah lali dan saya andaikan orang yang bercakap- cakap atau mengata mengenai diri saya itu orang yang suka menyibuk.
Pernah terdetik menyalahkan takdir mengapa Henz terperangkap sebagai lelaki tetapi berjiwa perempuan?
Pernah. Seolah-olah saya berdialog dengan-Nya mengapa ditakdirkan saya sebegini rupa. Saya sedih apabila memikirkannya tetapi tidaklah sehingga menangis.
Selain daripada meminati bidang tarian, apa lagi bakat atau kemahiran yang Henz miliki?
Saya boleh melukis potret. Dan selain menari saya juga menceburkan diri sebagai model sambilan. Pada saya mungkin Allah tarik sesuatu tetapi dalam masa sama Allah berikan yang lain pula. Tidak pernah pula terlintas dalam fikiran saya. Mungkin ia berlaku secara kebetulan atau hanya Allah sahaja yang mempunyai jawapannya.
Lazimnya golongan seperti saya mempunyai cabang kelebihan yang cenderung kepada bidang seni. Misalnya jurusolek, jurudandan, chef, penari, pelukis, pereka fesyen dan banyak lagi pekerjaan yang berasaskan seni. Dan saya melihatnya sebagai satu kelebihan atau anugerah pemberian Allah yang amat berharga.
Apakah perasaan Henz apabila bercampur gaul dengan mereka yang sama seperti Henz?
Saya lebih selesa dengan mereka kerana masing-masing memahami antara satu sama lain. Cuma yang membezakan adalah jalan cerita sahaja. Saya selesa dan senang sekali meluahkan perasaan sesama mereka kerana hanya yang mengalaminya akan memahami keadaan kami.
Sejauh mana Henz ‘memperbetulkan’ diri untuk tampil dengan imej seperti hari ini?
Benar saya akui sebagai orang Islam apa yang saya lakukan adalah haram dan salah di sisi agama tetapi tidaklah sehingga saya melakukan pembedahan semata-mata untuk menukar jantina. Pilihan dan pendirian saya ketika ini, biarlah seperti ini sahaja. Masih ada kesedaran dan batas agama yang saya pegang.
Saya akui, ada segelintir daripada kelompok kami yang menjalani pembedahan untuk membuang alat sulit mereka. Dan pada saya, itu terpulang kepada pendirian dan pilihan masing- masing. Kerana saya melihatnya sebagai satu isu yang cukup peribadi dan sensitif. Saya hanya melalui beberapa pembedahan untuk ‘memperbetulkan’ wajah dan badan seperti hidung dan mengambil hormon.
Berapakah pula kos yang sudah dibelanjakan?
Hidung sahaja menelan belanja sebanyak RM30,000.00. Seperti harga beg tangan berjenama Dior atau Chanel umpamanya, mahal harganya bukan? Dan lakukan perbandingan dengan beg tangan tempatan, sudah pasti jauh beza harganya. Begitulah nilai perbandingannya.
Saya melakukan kajian dan studi terlebih dahulu sebelum bertindak menjalani pembedahan. Dan untuk hidung misalnya, saya memilih pakar pembedahan plastik terbaik di Seoul, Korea. Dan jika mahu dikira keseluruhan perbelanjaan, saya fikir sudah melebihi RM30,000.00. Hidung adalah bahagian pertama yang saya lakukan dan bahagian lain telah lama saya ‘siapkan’.
Pernah melalui pengalaman tersalah melakukan pembedahan mungkin?
Choiii... Itu adalah risiko yang terpaksa ditanggung apabila kerap melakukan pembedahan. Tetapi dalam kes saya, mujurlah semuanya berjalan dengan baik. Tiada cacat celanya, segalanya selari dengan apa yang dirancang. Hal ini kerana apabila menyentuh mengenai soal pembedahan; saya lebih peka, teliti dan berhati-hati dalam memilih doktor, klinik atau hospital dan sebagainya.
Saya lakukan persediaan awal misalnya bertanya dengan kawan-kawan, membuat tinjauan, melakukan kajian dan perincian studi untuk memastikan saya mendapat hasil yang diimpikan.
Cabaran atau kesukaran yang paling sakit pernah Henz lalui selama ini?
Cabaran untuk mengekalkan bentuk tubuh, kulit wajah dan paling besar pada saya adalah mengawal selera makan. Selera makan saya tinggi tetapi saya harus kawal dan beri tumpuan kerana sebagai penghibur dan penari saya tidak boleh gemuk. Mana lagi perlu lincah menari, memakai kostum dan sebagainya, oh... Saya sifatkan itu sebagai satu kekangan besar yang perlu saya jaga.
Sengsara dan seksa rasanya apabila melihat orang lain boleh makan sesuka hati tanpa perlu memikirkan kesan sampingannya. Kadangkala saya menahan perut yang lapar semata-mata untuk pastikan pinggang kekal ramping. Itu lebih menyakitkan berbanding melalui beberapa siri pembedahan ‘membetulkan’ apa yang patut pada diri saya.
Selepas melalui beberapa siri pembedahan, apa yang Henz rasakan?
Sudah cukup lengkap semuanya dan seolah-olah sempurna sifat saya sebagai seorang wanita. Cuma kini aspek penjagaan yang perlu saya beri perhatian. Yalah, apabila meningkat usia banyak aspek yang saya perlu pelihara. Bagaimana mahu kekalkan apa yang saya miliki, itulah cabarannya.
Pernah jatuh cinta? Ke mana hala tuju kisah cinta Henz kini?
Pernah, sewaktu sekolah dahulu ada juga terjebak dengan cinta monyet. Selepas itu pernah beberapa kali bercinta dan hingga kini sudah punya kekasih hati. Bagaimana pengakhirannya? Oh, sukar untuk saya bayangkan. Choiii... Hahaha... Tetapi sebelum melangkah ke fasa yang lebih serius dalam sesuatu perhubungan, saya ceritakan duduk sebenar diri saya. Saya berterus terang dengan mereka mengenai status saya sebagai seorang transgender dan mereka menerima saya seadanya.
Namun demikian, saya selalu memikirkan soal ini dan bersedia dengan setiap kebarangkalian yang akan terjadi. Yalah, lelaki lazimnya pasti akan berkahwin untuk menoktahkan perjalanan hidup bujang mereka. Walau apa jua yang akan berlaku di masa akan datang, saya tanamkan dalam fikiran agar sentiasa bersedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan.
Lelaki pernah mengambil kesempatan terhadap Henz?
Saya sifatkannya sebagai lumrah. Apa yang penting adalah tidak kira sesiapa jua, anda harus berhati-hati dengan setiap tindak-tanduk. Selain itu, daripada aspek emosional ada juga ketikanya saya merasakan mereka mengambil kesempatan dalam mempermainkan perasaan.
Bak kata pepatah, habis manis sepah dibuang. Mungkin dua perkara inilah lazimnya yang saya rasakan bahawasanya diri saya seringkali disalah guna atau mudah sekali lelaki mengambil kesempatan.
Terma transgender ditujukan kepada anda, sejauh mana penerimaan anda dalam isu ini?
Saya sifatkan ia sebagai istilah yang sesuai, tepat dan saya menerimanya dengan terbuka. Berbeza dengan istilah lady boy dan she male. Istilah she male huraiannya pada hemat saya lebih menjurus kepada bintang pornografi. Istilah lady boy digunakan di Thailand merujuk kepada golongan seperti kami.
Sukar atau tidak mencari pekerjaan sebagai golongan transgender?
Saya tidak menafikan, pada ketika era saya dahulu, agak sukar untuk golongan kami mencari pekerjaan terutamanya jika anda memilih untuk bekerja di pejabat. Selepas tamat belajar, adalah juga cuba mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan saya. Saya menghadiri empat temu duga tetapi satu sesi temu duga itu telah mengubah persepsi saya untuk cuba mencari rezeki dalam dunia pekerjaan. Saya hanya sempat membuka mulut hadir ke sebuah pejabat untuk sesi temu duga tetapi salah seorang pekerja di syarikat tersebut mengatakan, “Maaf kami tidak menerima pondan bekerja di sini.”
Saya tidak diberi peluang untuk memperkenalkan diri, menunjukkan segala kemahiran dan kelulusan yang ada apatah lagi melalui peringkat sesi temu duga. Saya seolah-olah dihalau pergi begitu sahaja. Dalam sesi temu duga lain pula pernah saya ditanya, “Habis, kalau awak pergi tandas; awak masuk tandas mana?” Dan saya tidak mampu untuk memberikan jawapan. Hinggalah saya pernah bekerja sebagai operator di bahagian pusat panggilan (call center) sebuah syarikat.
Saya hanya mampu bertahan bekerja selama tiga bulan. Itulah satu-satunya pengalaman bekerja di pejabat yang saya ada. Dan rentetan daripada insiden itu membuatkan saya malas untuk cuba mencari pekerjaan lain. Mungkin itu realiti yang berlaku kepada saya lebih 10 tahun lalu. Tetapi saya tidak pasti bagaimana senarionya golongan seperti saya mencari pekerjaan atau ingin bekerja di pejabat era kini.
Rutin harian Henz kini bagaimana?
Tidur, bangun untuk bersiap dan pergi kerja. Waktu saya bekerja bermula jam 10.30 malam. Sekitar 9.00 malam saya sudah mula bersiap. Pulang ke rumah sekitar jam 1.30 pagi hingga 2.00 pagi. Dan begitulah rutinnya setiap hari. Jika bercuti dan ada kelapangan, saya akan ke rumah makcik atau luangkan masa outing bersama kawan-kawan.
Bergelar transgender, adakah ia memberi kepuasan atau Henz rasakan bebas?
Selagi saya berada di sini, saya tidak bebas untuk melakukan apa sahaja. Pernah juga terfikir untuk berpindah dan berhijrah ke luar negara tetapi tidak pasti bila dan di manakah lokasi yang sesuai. Saya percaya ada tempat (negara) yang lebih sesuai buat golongan transgender seperti saya.
Lima tahun akan datang, di manakah anda?
Kadangkala terfikir juga tetapi lebih kepada perasaan takut kerana saya tiada perancangan yang spesifik. Saya masih tercari-cari apa yang mahu saya lakukan selepas ini. Apabila duduk seorang diri, terlintas juga di fikiran sampai bila harus saya menari, selama mana lagi kudrat saya dipinjamkan untuk berada di atas pentas membuat persembahan dan sebagainya. Apatah lagi apabila meningkat usia, banyak perkara yang timbul. Jika dahulu saya pernah menetap di Macau selama dua tahun dan bekerja di sana sebagai penari. Pendapatan yang diraih juga tidak kurang hebat jumlahnya.
Lazimnya golongan transgender mempunyai kecenderungan mengalami kemurungan dan sebagainya. Komen Henz?
Sekarang pun saya sudah takut memikirkannya. Saya tinggal seorang di rumah dan jika ada apa-apa berlaku pada diri saya, biarlah Dia yang menentukannya. Kematian adalah pengakhiran hidup kita sebagai manusia. Dan saya tidak pernah memikirkan bagaimanakah tamatnya jalan cerita perjalanan hidup saya. Di mana-mana pun boleh mati cuma puncanya sahaja kita tidak tahu.
Maklum mengenai apa yang dilakukan bertentangan dengan agama?
Ya, saya tahu dan faham soal itu. Tetapi dalam masa sama saya percaya dan yakin bahawasanya Allah SWT Maha segala-galanya. Dialah Maha Mengetahui dan Maha Adil. Saya tidak mempunyai jawapan kukuh dan mutlak mengapa saya ditakdirkan sebegini tetapi saya percaya Allah SWT Maha Mengetahui setiap sebab-musababnya. Mahu dijadikan cerita, tahun lalu saya pernah ditangkap sewaktu bekerja (membuat persembahan pentas) di sebuah kelab atas kesalahan lelaki berpakaian seperti wanita.
Ada operasi besar-besaran yang melibatkan pihak Polis, Jabatan Imigresen, RELA juga hadir adalah pihak media. Itulah pengalaman pertama seumur hidup saya ditangkap, tangan digari dan kami beramai-ramai diarah menaiki trak polis. Betapa sedihnya perasaan saya ketika itu, seolah- olah saya dan yang lain dilayan seperti pesalah jenayah. Sana sini jurukamera sibuk mengambil gambar dan merakam momen itu. Saya hanya menadahkan muka sahaja. Saya bingung seketika kerana terfikir apakah jenayah yang telah saya lakukan sehingga tangan terpaksa digari.
Saya ditahan di lokap semalaman dan diikat jamin oleh rakan. Kebetulan keesokan harinya (Sabtu) saya perlu menghadiri majlis perkahwinan sepupu di Subang. Dan sewaktu operasi berlaku (Jumaat malam) semua ahli keluarga yang menetap di Kuching sudah berada di Kuala Lumpur. Mana mungkin saya mahu menghubungi mereka memaklumkan kejadian itu lantas meminta pertolongan mengikat jamin. Kerana saya tidak mahu merosakkan ‘mood’ mereka yang sedang gembira bersama saudara-mara lain.
Setelah selesai semuanya (mujur pihak polis hanya meminta ikat jamin menerusi perjanjian lisan, bukan wang ringgit) saya terus ke Subang. Lantas berjumpa emak, saya ceritakan kejadian malam sebelumnya.
Apa yang Henz mahukan daripada masyarakat?
Cubalah menerima dan memahami sifat serta naluri kami. Kami bukanlah penjenayah yang melakukan jenayah berat dan seumpama dengannya. Hakikat asasnya kita semua adalah manusia, jauh daripada sifat sempurna. Berpegang sahaja pada asas itu.