Nov 10, 2016 - 2538
Oleh: Huda Hussain
SEKALUNG tahniah InTrend ucapkan kepada Harith Iskander yang baru saja dinobatkan sebagai JUARA pertandingan Laugh Factory's Funniest Person in The World' 2016 (LFFPITW) yang telah berlangsung di Helsinki, Finland. Kemenangan itu benar-benar mengujakan Harith. Itulah saatnya seorang anak tempatan berjaya mengibarkan bendera Malaysia di pentas antarabangsa lantas membuktikan kredibiliti Harith dalam meletakkan mercu tanda komedi Malaysia di peta dunia.
Syabas Harith Iskander!
Harith amat berterima kasih kepda peminat di Malaysia, Asia Tenggara juga dari serata dunia yang telah menyokongnya sehingga memenangi pertandingan berprestij itu. Harith berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sejumlah US$100,000 (lebih RM400,000). Dilaporkan terdapat empat finalis lain iaitu Alex Calleja dari Filipina, Katerina Vrana dari Greece, Mino van Nassau dari India dan David Kilimnick dari Israel.
Pertandingan LFFPITW merangkumi tiga pusingan. Pada pusingan pertama, sebanyak 89 pelawak dari 56 negara di seluruh dunia bertarung untuk merebut 20 tempat teratas pada pusingan kedua (peringkat separuh akhir) sebelum lima finalis bertuah bertarung di pusingan ketiga (peringkat akhir).
Ayuh Ikuti temu bual eksklusif kami bersama Harith Iskander sebelum dia sampai ke puncak.
Siapa Harith Iskander yang sebenar?
Saya seorang yang pendiam. Waktu sekolah dahulu saya adalah kelompok pelajar yang duduk di belakang dan akan buat hal sendiri.
Bermula ketika saya masih belajar di sekolah menengah, sejak dari tingkatan satu hingga lima, kawan- kawan cakap saya pandai melawak dengan muka yang serius. Kata mereka, saya pandai tiru sound effect Starwars yang ketika itu keluar di pawagam pada 1977.
Dan apabila cikgu lewat masuk atau cikgu memang langsung tak masuk kelas, saya akan ke hadapan dan menghiburkan kawan-kawan sekelas. Selain itu saya suka bercerita dengan cerita-cerita rekaan saya yang mencuit hati mereka. Dan mungkin dari situlah ia bermula.
Arwah ibu saya adalah wanita England yang datang dari British pada 1960. Dalam keluarga, dia memang terkenal dengan karakternya yang pandai berjenaka tetapi dengan mimik muka yang serius. Arwah bapa saya pula adalah seorang tentera.
Jadi sifatnya yang tegas dan berani sedikit sebanyak ada dalam diri saya sehinggakan saya berani tampil ke hadapan seorang diri dan berlawak. Bagi saya, 40 hingga 50 peratus datangnya dari bakat dan selebihnya adalah kreativiti sendiri dan olahan idea untuk membuatkan orang terhibur dengan persembahan kita.
Segalanya bermula tanpa diduga. Pada mulanya saya bekerja di sebuah agensi pengiklanan Leo Burnett (1989). Waktu itu saya impikan untuk menjadi pengarah filem sebab semasa di universiti, saya belajar dalam jurusan Penerbitan Filem. Selepas itu saya menyertai produksi komersil selama tiga tahun, kemudian baru saya menceburi produksi televisyen menerusi Jangan Ketawa.
Di situ saya berkenalan dengan Linda Chong, salah seorang Penerbit di Leo Burnett ketika itu. Dia mahu menerbitkan sebuah sitkom yang membariskan pelakon-pelakon mewakili masyarakat Malaysia — terdiri daripada Melayu, Cina dan India. Maka lahirlah sitkom komedi 'Jangan Ketawa' yang menampilkan 10 wajah pelakon seperti mendiang Rambo Chin, mendiang Robert Kong, arwah Moon, Dee, Ghani, Sri Shan, Danny, Robin, Rama dan saya.
Seperti saya dan Ghani, mulanya kami hanya terlibat di belakang tabir tapi memandangkan ada watak-watak yang sukar dibawa oleh pelakon lain, kami tawarkan diri dan secara tidak langsung turut sama jadi pelakon. Kalau persembahan pentas pula, kali pertama saya buat show pada 1995 di Subang. Waktu itu cuma mahu tolong kawan. Dan tiada bayaran yang saya kenakan, lebih kepada suka-suka sahaja.
Bagaimana tercetusnya fenomena 'Jangan Ketawa'?
Awal tahun 1990, tiada sitkom yang berunsurkan komedi diketengahkan untuk tontonan umum. Tambahan pula waktu itu hanya ada tiga saluran televisyen iaitu TV1, TV2 dan TV3. Saya rasakan formula komedi dan tayangan waktu perdana setiap Rabu, 8.30 malam membuatkan semua orang tertumpu di hadapan televisyen.
Selepas empat episod pertama, saya masih ingat lagi waktu itu saya berjalan sekitar Port Dickson. Datang sebuah keluarga India menghampiri saya untuk bergambar. Kata mereka, “Hey, you dalam itu TV 'Jangan Ketawa'. Saya satu keluarga semua tengok!”
Dan selepas itu bermulalah satu fenomena yang luar biasa. Ke mana- mana sahaja saya atau pelakon-pelakon 'Jangan Ketawa' yang lain pergi, kami diburu dan diserbu. Maklum sajalah waktu itu tiada telefon secanggih zaman ini.
Jadi semua berpusu-pusu nak ambil gambar buat kenangan. Hinggalah apabila masuk musim ke-4, sekitar 1992, 'Jangan Ketawa' digam dan dihentikan siarannya kerana watak yang dibawa Dee dan arwah Moon menyerupai karakter perempuan. Selepas itu berkuburlah 'Jangan Ketawa'. Walaupun ada usaha untuk terbitkan musim seterusnya tapi resipinya sudah berlainan dan tidak sama ketika arwah Moon dan Dee menjayakannya. Tetapi saya tetap gembira dan bersyukur kerana hingga hari ini, masih ada yang mengingati watak saya dalam siri itu.
Inilah lambang sukses sitkom itu. Kami berjaya mengumpul rating 6 juta penonton daripada populasi 18 juta penduduk Malaysia sekitar 1991. Satu pencapaian yang boleh dibanggakan untuk sebuah produksi sitkom tempatan.
Sukar atau tidak menempatkan nama untuk dikenali dalam bidang ini?
Apabila saya serius dengan bidang ini (1995), saya bermula dengan zaman tanpa teknologi — tiada internet, SMS, WhatsApp, telefon pintar dan sebagainya. Sama juga seperti Sheila Majid, Zainal Abidin yang mana era itu, nama kita hanya naik sedikit demi sedikit. Mungkin dalam setahun itu saya buat 100 atau 200 persembahan majlis-majlis korporat. Lama-kelamaan orang kenal siapa Harith Iskander.
Dan apabila dikenali ramai yang mana hanya selepas 10 tahun, 12 tahun menceburi bidang ini; barulah boleh menapak perlahan-lahan. Ada juga yang seperti kenal saya, tapi tak ingat di mana atau rancangan apa. Keseluruhan proses itu mengambil masa. Bagi saya, ada kelebihannya kerana ia mematangkan anak seni. Contohnya, pokok yang kukuh bermula daripada akar di dalamnya yang kuat, barulah pokok itu boleh berdiri tegap.
Kini, kita dikenali dengan kecanggihan teknologi, rancangan realiti. Sesiapa jua boleh mencuba nasib menjadi pelawak. Pekerja bank atau penganggur umpamanya, daripada tiada kerja, masuk studio atau rancangan realiti, kemudian menang lalu dikenali seluruh negara. Bagi saya itu lebih susah kerana individu itu tiada latihan atau asas yang kukuh, bagaimana menjalani kehidupannya dengan semua yang mengenalinya.
Contohnya, ketika orang mula mengenali saya menerusi 'Jangan Ketawa', sewaktu saya memandu kereta dan berhenti di lampu isyarat, tengok kereta sebelah, orang di dalamnya teruja memandang saya. Dalam hati saya berkata, “Kenapa dia pandang aku?” Saya rasa sedikit marah dan keliru, sebab saya tak selesa dipandang begitu. Itu cuma baru tempias populariti 'Jangan Ketawa' yang saya sifatkan tidak terlalu gah seperti impak sebuah filem misalnya.
Tetapi selepas beberapa tahun, sesudah mengambil masa membiasakan diri dengan orang yang tidak mengenali saya – barulah saya lebih memahami perjalanan dan impak 'public figure' yang selama ini saya anggap tidak penting.
Hari ini, kalau saya masuk dalam mana-mana pertandingan rancangan realiti, jika menang, dan dalam masa yang singkat satu Malaysia kenal saya – tentunya saya tak tahu bagaimana nak jalani rutin hidup, nak jaga diri, bagaimana nak beri reaksi dengan semua benda ini. Dan bagi artis-artis muda yang baru merasai the fame in this line, saya memahami situasi mereka yang apabila satu kesilapan kecil dilakukan, seluruh pelusuk negara bersorak.
Secara tidak langsung, orang yang tiada kena-mengena dalam hidup kita juga akan turut sama ingin tahu, mula menjadi juri. Dulu, kalau saya buat salah, yang tahu hanya orang sebelah atau orang yang berhadapan dengan saya. Untuk dikenali pada zaman kini bagi saya adalah mudah. Tetapi lebih susah mahu ‘menjaganya’ daripada waktu saya baru bermula dahulu.
Jika suatu hari nanti ditakdirkan Yang Esa anda meninggalkan kami, apakah legasi yang mahu anda tinggalkan, agar kami terus mengingati anda sebagai figura penting dunia komedi/penghibur?
Legasi saya hanya untuk anak-anak saya. Kalau boleh, saya mahu tinggalkan mereka dengan memberi perlindungan yang sempurna. Tetapi jika saya mahu dikenang, mungkin anda boleh ingat suatu hari nanti, “Oh Harith Iskander yang bawa KL International Comedy Festival."