Nov 10, 2016 - 2919
Foto: Alex Tan Artwork
STIGMA gelaran janda tidak seperti bergelar duda. Tidak mahulah kolot lagi fikiran itu. Ayuh kita kategorikan janda sama perkara positif! Mereka punya segalanya. Kerjaya yang tidak pernah suram, kewangan yang stabil dan berdikari. Wajah yang kekal cantik tidak dimamah usia.
Perkara yang paling mencabar hidup sebagai ibu tunggal?
Ikhlas Nora katakan, mendepani pandangan masyarakat, itulah yang paling sukar, malah terkadang melukakan. Persepsi masyarakat sukar dijernihkan. Most people are judgemental but at different extents. Ramai orang suka menjadi hakim. Seolah-olah mereka sahaja yang maksum dan hidup kita di layar skrin telefon bimbit mereka ini tidak pernah membawa kebaikan, sebaliknya hanya bergelumang kotor dan dosa.
Kerana inilah jalan hidup yang telah Nora pilih, maka Nora tidak boleh berpatah semula. Nora perlu kuat mengharunginya.
Jika ada yang datang kepada Nora dan meminta nasihat, bagaimana meneruskan kelangsungan hidup sebagai ibu tunggal? Maka Nora akan kongsikan pengalaman Nora seadanya. Nora sentiasa positif. Nora ambil keputusan untuk menyuburkan silaturrahim dengan insan yang ada di sekeliling Nora.
Nora eratkan ukhuwah dengan bekas mentua, dengan bekas suami, biar hati kita jernih dan bersih, tiada perasaan terpendam atau rasa yang tak lepas. Insya-Allah inilah kunci ketenangan, dan jawapan untuk hati terus redha jalani ujian-Nya.
Nora rasa peminat dapat terima prinsip dan cara hidup Nora?
Mana mungkin kita mampu puaskan hati semua orang? Profil peminat Nora memang unik. Mereka datang daripada pelbagai ras, budaya, pendidikan dan peringkat umur. Ada tua ada muda. Ada urban ada desa. Nora pilih untuk telus dan jujur kepada diri sendiri. Maaf, Nora tak suka menjadi manusia hipokrit. Lainlah kalau tengah berlakon, haha!
Cuma pendirian Nora saat ini, harus ada tapisan dan sekatan tentang apa yang BOLEH dan apa yang TIDAK BOLEH dikongsi di laman media sosial. Seperti yang Nora katakan tadi, kalau batas-batas ini tidak diimplementasi, garis peribadi dicerobohi.
Perceraian memberi pengajaran hidup baru buat Nora? Apakah insiden itu merubah persepsi dan pandangan Nora tentang cinta, takdir dan harga hidup?
Yang jelas, pengalaman lalu membuat kita menjadi manusia lebih matang, mandiri, bahkan lebih berhati-hati. Given the choice between the experience of pain and nothing, I would choose pain. Ia buat Nora bangun kembali, berdiri lantas berlari. Ia mengingatkan Nora betapa kekar dan kuatnya wanita yang bernama Nora Danish ini. Tiada kerikil mampu menyiatnya. Insya-Allah, Nora berazam untuk menjadi suri yang lebih baik untuk seorang lelaki bernama suami. Doakan yang baik-baik untuk Nora.
Zaman ini banyak ustaz dan ustazah ‘segera’ yang pandai ‘baling batu sembunyi tangan’ di laman media sosial. Tak rasa terganggu?
Di laman media sosial, semua orang bebas melontar pendapat peribadi. Semua orang boleh menjadi guru, ustaz, ustazah, hakim, peguam bela, hatta berlagak menjadi polis mahupun alim ulama. Lihat sahaja bagaimana kontradiktifnya gaya seorang pemunya akaun Instagram. Berwajah manis dan naïf, tetapi sisi kritik dan keperibadiannya yang kasar dan memaki hamun orang tanpa segan-silu, amat memeranjatkan!
Betul, kadang-kadang memang tak masuk akal rasanya apabila kita dikomen dicerca oleh budak-budak bawah umur. Tapi seperti yang Nora sebutkan tadi, Nora sentiasa berfikiran positif. Nora pilih untuk tidak ambil peduli dan depani hidup ini dengan jiwa besar.